Friday, October 07, 2011

Bajet: Dari padang bola lebih baik bina rumah kos murah

Pasti ramai yang beri tumpuan kepada pembentangan Bajet oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri selepas solat Jumaat petang tadi.

Bajet 2012 memperuntukkan RM232.8 bilion untuk melaksanakan segala pelan permbangunan kerajaan Persekutuan. Diperingkat ini cadangan bajet itu sudah barang tentu sedang dianalisa, dikaji dan didalami oleh ramai pihak selain ahli-ahli parlimen.

Kebetulan pembentangan bajet tadi serentak dengan siaran langsung perlawanan persahabatan bolasepak antara Malaysia dan Australia. Harapan tinggi yang diletakkan oleh peminat bolasepak tempatan ke atas pasukan kita hampa apabila Malaysia dibelasah 5-0.

Apa kena mengena dengan bajet?

Kebetulan dalam bajet yang dibentangkan tadi kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk mempertingkatkan aktiviti rekreasi terutama bolasepak. Peruntukkan itu dicadangkan akan dibelanja untuk pembinaan padang bolasepak lengkap dengan kelengkapan rumput tiruan dan lampu limpah di 30 lokasi seluruh Negara.

Mungkin kerajaan berfikiran dengan perbelanjaan ini sukan yang popular itu akan lebih maju dan bakal melahirkan pasukan tempatan yang lebih hebat.

Entahlah tetapi dengan kekalahan teruk 5-0 tadi kepada pasukan Autralia, cocok agaknya cadangan itu disemak semula. Belanjalah jumlah wang yang besar itu ke bidang yang lebih bermanfaat RM50 juta contohnya boleh membina lebih 1400 buah rumah kos RM35,000 yang boleh memanfaatkan hampir 10,000 rakyat Malaysia yang daif dan miskin.

Anda setuju?

Thursday, October 06, 2011

Apabila orang Islam pun keliru dan mengeliru

Selagi tidak terlaksana selagi itulah akan ada pihak menuntut perlaksanaannya. Yang saya maksudkan adalah Hudud yang terus menjadi topik panas dalam Negara.

Baru-baru ini Presiden PAS mengeluarkan kenyataan agar jangan sesiapa mempertiakikan hudud sebagai hukum. Malah dalam artikel terbarunya beliau menulis:

Bagi penganut Islam jangan dipandang mudah dan ringan untuk mempermainkan isu ini sekadar undi pilihan raya nanti menang di dunia dan kalah di dalam kubur dan terjunam di hari akhirat

Islam hendaklah dikenali secara menyeluruh kerana setiap aspek dalam ajaran Islam berkait di antara satu sama lain, laksana mata rantai yang tidak boleh dipisahkan. Undang-undang hudud adalah berkait dengan undang-undang jenayah yang banyak cabangnya yang berkait pula dengan sistem kehakimannya sendiri, berkait juga dengan fikah, syariat, akidah dan akhlak yang ada roh perhitungan dosa dan pahala.

Yang jelas sebagaimana kenyataan TPM Muhyuddin Yassin yang pernah saya petik di blog ini bahawa hudud itu tidak dipertikaikan lagi adalah merupakan sebahagian dari hukum Islam. Apa yang terlaksana di Kelantan dan Terengganu melalui enakmen yang diluluskan di dewan negeri masing-masing adalah undang-undang yang digubal oleh kerajaan yang memerintah yang mahu membawa hudud dalam satu bentuk perundangan diguna-pakai diperingkat negeri untuk dilaksanakan.

Kritiklah negeri atau parti yang memerintah negeri itu atau pemimpin-pemimpinnya semahu dan sesuka hati tetapi sebagai seorang Muslim jangan sekali-kali mengkritik apa lagi mempertikaikan intipati hudud itu yang merupakan sebahagaian dari yang termaktub dalam al Quran iaitu ayat-ayat Allah swt.

Ini seirangan dengan kenyataan bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin bahawa umat Islam tidak sama sekali boleh mempertikaikan hukum hudud yang digariskan oleh al Quran. Namun mereka boleh mempersoalkan enakmen berkaitan, yang digubal manusia, jika mereka tidak berpuas hati.

Tambah Asri jika sekadar mahu mempertikaikan prosedur enakmen hudud (sebagaimana yang

Diluluskan di Kelantan dan Terengganu)ianya tidak menjadi masalah. Tetapi seorang Muslim tidak boleh berkata atau mendakwa yang hukum hudud al quran itu tidak adil.

Dalam hal ini saya rasa lebih selamat kita mengikut tafsiran dan tunjuk ajar para ulamak yang pakar. Jangan menggunakan akal fikiran apalagi logik akal untuk berhujah bab agama.

Seorang ahli akademik Muslim yang punya artikel dalam akhbar The Star menulis dengan berani:

Minta maaf jika anda ada kepercayaan peribadi yang hanya menjejaskan hidup anda dan anda tidak mahu ia dipertikaikan itu masalah anda. Tetapi jika anda mahu memperkenalkan sesuatu kepada umum , sesuatu yang bakal menjejaskan kehidupan rakyat, saya tidak peduli jika sumber yang anda ceduk itu datang dari langit, ia perlu dipertikaikan.


Saya tidak peduli jika anda mengatakan saya tiada ijazah dari al Azhar dan tiada berjanggut, saya tetap akan pertikaikan apa sahaja undang-undang yang mana-mana kerajaan mahu perkenalkan.

Barangkali kerana hujah-hujah sebeginilah maka Islam makin dipandang lekeh dan dipersenda oleh orang lain. Kalau kita sendiri sudah lupa asal-usul dan pembawaan kita, apalah nak diharapkan pada yang lain-lain.

Mari ajar kembali sejarah

Saya tak pasti tetapi merasakan bahawa Negara kita merupakan salah sebuah Negara di dunia yang paling kerap menukar, merobah dan merombak sukatan matapelajaran diperingkat rendah dan menengah.

Kalau kita perhatikan setiap kali PM atau Menteri Pendidikan bertukar setiap kali itulah ditebok-tebok dan dipinda-pindanya sukatan matapelajaran di sekolah-sekolah. Pernah subjek sejarah atau dahulu semasa saya tarawih ditiadakan diperingkat sekolah rendah dan hari ini kita dengar ia akan diadakan kembali.

Sebelum itu matematik dan sains di robah dari diajar dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris kononnya untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris anak-anak kita. Tetapi akibatnya kita sendiri tahu hari ini.

( Sedangkan orang-orang inilah juga pada tahun 1970an meniadakan aliran Inggeris dan ditukar ke aliran Kebangsaan semua sekolah-sekolah kononnya kerana memartabatkan Bahasa Melayu) (Dan sebelum itu orang-orang inilah juga meniadakkan pembelajaran Tulisa Jawi di sekolah-sekolah sampai lenyap pupus terus buta Jawi jadinya anak-anak kita)

Ada beberapa Negara maju, sukatan pelajarannya kekal berpuluh-puluh tahun lamanya, dan Negara itu Negara maju tak berubah, cuma yang dipinda atau lebih tepat lagi diperkasakan apabila ada perkembangan dan maklumat baru.

Sudah tiba masanya kita menghentikan amalan tebok-tebok dan tukar-tukar sesuka hati ini kerana mangsanya adalah anak-anak kita jenerasi mendatang.

Tuesday, October 04, 2011

Melayu di Singapura 1880an

Ada beberapa lagi catatan menarik Isabella Lucy Bird dalam “The Golden Chersonese” berkenaan Singapura di tahun 1880an yang mahu saya kongsi dengan pengunjung blog ini.

Saya sangat minat mahu mengetahui bagaimana hidup penduduk di rantau kita ini 100 tahun dahulu atau lebih. Kita mungkin boleh menjejak sejarah penghidupan 50-60 tahun lalu, tetapi apabila menjangkau ratusan tahun seakan ada suatu jurang yang memisahkan kita. Barangkali kerana tiada catatan yang sempurna.

Bagaimana hidup orang melayu contohnya di zaman Kesultana Melayu Melaka, jika adapun catatan ia sangat kabur begitu juga di zaman Portugis 155 dan Belanda kemudiannya.

Puncanya kerana tiada banyak catatan yang boleh kita pegang. Antara yang ada adalah catatan dan rakaman Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir yang menghasilkan dua karya penting iaitu “Kisah pelayaran Abdullah (1838)” dan “Hikayat Abdullah (1849)”.

Yang lain kebanyakkan adalah catatan dan rakaman orang asing khasnya Inggeris, Portugis dan Belanda. Sebagaimana rakaman Isabalella Bird ini.

Berbalik kepada Singapura semasa Bird melawatinya pada 1879, menurut penulis ketika itu malapetaka yang paling besar di Singapura adalah ancaman serangan harimau. Ya Harimau! Tulis beliau:

“(tigers )... carried off about three hundred people yearly.”

Ya ketika itu harimau yang sebahagian besarnya berenang dari Johor membunuh seramai 300 orang penduduk pulau itu setahun! 300 adalah satu angka yang bear, saya yakin agaknya bilangan kematian dalam kemalangan di Singapura hari ini pun taks eramai itu.

Dari segi pendapatan pula menurut penulis Singapura ketika itu mencatatkan pendapatan hampir setengah juta pound sterling setahun dengan hutang Cuma seratus ribu pound sterling setahun.

Bagaimana orang Melayu ketika itu? Tahukah anda fesyen orang Melayu ketika itu menurut penulis adalah :

Malays in red sarongs (Melayu berkain sarong merah)

Beliau mencatat bahawa orang Melayu di Singapura ketika itu banyak tercebur dalam industri perikanan dan sebahagian besar anggota polis di Singapura berbangsa Melayu. Malangnya tiada seorang Melayu pun menurut penulis merupakan seorang saudagar yang berjaya.

Tetapi yang pastinya orang Melayu sangat taat pada Inggeris malah beliau mencatat:

The Maharajah of Johore sovereign of a small state on the nearest part of the mainland, a man much petted and decorated by the Biritish government for unswerving fidelity to the Biritish interests.

Begitulah kehidupan di Singapura ketika itu, semuanya tunduk dan senang serta taat pada Kerajaan Inggeris dari orang Melayu kebanyakkan sehinggalah yang berada di istana!

Singapura majoriti Cina lebih 100 tahun dahulu

Baru-baru ini saya terbaca sepotong berita berkenaan jumlah bilangan penduduk terkini di Singapura. Menurut laporan Population Trends 2011 dari Republik berkenaan setakat Jun 2011 jumlah penduduk Singapura adalah seramai 5.18juta orang.


Dari jumlah berkenaan 3.79 juta merupakan rakyat Singapura samada warganegara atau pemastatutin tetap manakala 1.39 merupakan warga asing.

Menurut laporan itu juga 74 peratus warga Singapura berketurunan Cina, 13 peratus Melayu dan 9.2 peratus India.

Saya menonjolkan perkara ini kerana kebetulan sedang membaca buku karangan Isabella Bird berjudul “The Golden Chersonese” yang merupakan rakaman pengalaman penulis sepanjang menjelajah Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu sekitar 1880 iaitu 131 tahun lalu.

(Banyak fakta menarik dan bersejarah khasnya berkenaan tanah air kita dirakamkan oleh wanita Inggeris ini yang pada tahun 1892 dilantik sebagai wanita pertama fellow Royal Geographical Society) (Saya memang akan berkongsi dengan pengunjung blog ini beberapa maklumat yang saya kira sangat menarik khasnya berkenaan keadaan tanah air kita sekitar tahun 1800an yang tiada rakaman tepat oleh para penulis tempatan ketika itu).

Benarkah Singapura ini asalanya mejaoriti Melayu? Sekurang-kurangnya itulah yang telah difahamkan kepada saya sebelum ini dan pernah menjadi mainan politik beberapa kalangan orang politik bahawa kononnya jika tidak berhati-hati Tanah Melayu nanti jadi macam Singapura!

Menurut penulis (yang memperolehi akses pada dokumen dan statistic “kerajaan” ketika itu) bancian pulau berkenaan untuk tahun 1881 menunjukkan bahawa terdapat 139,208 orang penduduk di Singapura.

Pecahan penduduk menurut kaum ketika itu adalah:

Cina 86,766 Melayu 22,114 India (yang disitilah Tamil) 10,475

Selebihnya:

Jawa (dari Indonesia) 5,881 Serani 3,091 dan selebihnya warga asing termasuk Inggeris dan Eropah.

Walaupun penulis merakamkan orang Melayu sebagai “native” tetapi menurut rakamannya :

Then there are the native Malays who have crowded into the island since we acquired it till they number 22,000 ....

(Kemudian terdapat warga Melayu yang telah membanjiri pulau ini sejak kita (Inggeris) menguasainya sehinggalah bilangan mereka seramai 22,000....)

Dalam erti kata lain bilangan orang Melayu di Singapura telah jauh diatasi oleh kaum Cina sejak awal-awal lagi. Menurut penulis:

The Chinese who number 86,000 out of a population of 139,000 are not only numerous enough but rich and important enough to give Singapore the air of a Chinese town with a foreign settlement.

(Masyarakat Cina yang berjumlah 86,000 dari jumlah penduduk 139,000 bukan sahaja ramai tetapi kaya dan terlalu penting buat Singapura sehingga memberinya nafas bagaikan Pekan Cina dengan penempatana asing)

Berdasarkan maklumat ini Singapura sejak 1880 lagi sudah mempunyai penduduk yang majoritinya kaum Cina. Melayu mungkin majoriti lebih awal dari itu membawa kita kembali kepada kisah Singapura dilanggar todak dan Sang Nila Utama sekitar 1500.

Sekadar berkongsi dengan pengunjung blog ini.