Tuesday, February 10, 2009

Angkara nak jadi Husin Lempoyang

Alkisah seorang peniaga minyak urat dicadangkan berjual beli manusia. Lebih lumayan dan banyak untung. Maka dipersetujui dan digadaikanlah hambanya untuk wang ringgit. Kalau ikut skrip Allahyarham P. Ramlee, si Husin Lempoyang, saudagar minyak urat itu melonjak kegembiraan bila beroleh wang yang lumayan kerana berdagang manusia.

“Wow” jeritnya bila mengira dirham ditangan. Berniaga manusia lebih baik dari berniaga minyak urat!

Begitu juga barangkali kini. Bezanya si peniaga jering tidak menyangkakan wang sogokannya begitu lumayan. Maklumlah kalau berniaga jering dapatlah sekadar seringgit dua. Beliau pun melonjak bagai si Husin lempoyang, tetapi kerana terlalu tinggi berlonjak tubuhnya kejang dan terus terlentang. Akibatnya sipeniaga jering kini dirawat di hospital.

Moralnya kalau berniaga jering jangan cuba nak berniaga diri pula. Buruk padahnya.

(cerita ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau telah mati.........jika ada pun sipi-sipi sahaja)

Monday, February 09, 2009

Bukit Gantang: Penebus maruah rakyat

Apabila menerima berita kematian ahli parlimen Bukit Gantang Allahyarham Roslan Shahrom pagi tadi saya sedih. Perkara pertama yang terlintas di kepala saya betapa rasanya begitu besar cabaran terhadap kita di Perak. Dalam kelam kita menghadapi krisis perlembagaan di Perak kini dikejutkan pula dengan kematian ahli parlimen kita ini sekaligus memaksa pilihan raya kecil dalam tempuh 60 hari setelah SPR dimaklumkan oleh Spekaer Dewan Rakyat.

Kemudian saya terfikir pula barangkali kita perlu anggap ini sebagai lorong yang dibuka oleh Allah swt. Diambilnya Allahyarham untuk mendahului kita, kemudian dibukanya peluang buat kita untuk membuktikan kepada rakyat Perak, melalui “politik pintu belakang” yang kotor kita kehilangan negeri, sekarang kita berpeluang buktikan yang rakyat tetap bersama kita. Lalu diberi peluang kepada kita untuk tunjukkan kepada rakyat Perak dari hutan, desa, pekan sehingga ke istana, bahawa sokongan rakyat tetap di belakang kita.

Apabila ternampak seakan segala pintu ditutup menyekat kita, tiba-tiba Allah swt membuka pintu Nya buat kita. Ayuh kita sahut peluang ini. Ia jarang-jarang datang begini tetapi dihayat kita Allah tunjukkan secara tunai untuk dilihat semua.

Setelah jenazah Allahyarham ini disempurnakan petang tadi, kini masanya untuk kita bertindak. Ayuh kita bekerja bagi menebus maruah bukan PAS, bukan Pakatan Rakyat tetapi maruah rakyat Perak yang telah “dicuri” itu. Kuala Terengganu telah mencetuskan momentum besar buat rakyat, jadikan Bukit Gantang kemucaknya, insyallah.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditemapatkan dikalangan mereka yang hampir pada Allah swt. Alfatihah

Friday, February 06, 2009

Kita tidak kalah dan tidak akan bersedih

Kita tidak kalah di Perak, kita terima kuasa dari mandat rakyat tetapi kita jatuh angkara “politik pintu belakang”. Pokoknya rakyat tidak menolak kita yang menolak kita adalah mereka yang bermain “politik pintu belakang” itu.

Lalu sebagaimana dianjurkan oleh sahabat saya adinda Nik Abduh didalam blog beliau:

Jika anda yakin rakyat sedang berubah untuk menolak rasuah dan pemimpin rasuah, yakinlah kita pembangkang sedang berada di laluan tepat menuju kemenangan. Rakyat bersama kita dan kita bersama rakyat. Kuala Terengganu masih segar menjadi sumber kekuatan.

Jika rakyat pun menolak kita, janganlah juga anda bersedih. Jika tidak, anda termasuk dalam kalangan orang - orang yang tidak yakin dengan janjiNya.

Beliau sebelumnya menyebut:

Anda baca buku ‘La Tahzan’ karangan seorang ulama masyhur itu? Baca tak?
Jika belum, beli dan baca. Saya telah membacanya dalam teks asal Arabiyyahnya. Ayahanda juga telah membacanya sebab saya telah membacanya setelah saya mengambil buku itu daripadanya setelah dibacanya buku itu.

Jika anda telah membacanya, maka amalkannya.

Apa? ‘La Tahzan’. Jangan bersedih!

“Jangan bersedih! Sesungguhnya Allah bersama kita.”

“Maka bersabarlah ( wahai Muhammad ). Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Dan janganlah orang - orang yang tidak yakin ( dengan janji tuhan itu ) meremehkanmu ( dan mendorongmu untuk tidak tetap dan thabat di atas suruhan dan laranganNya. )” - Akhir al Rum.

Di mata rakyat kita adalah pejuang sebenar, pemimpin sebenar dan lebih penting lagi kita tahu di hadapan Allah swt kita beroleh redha Nya. Oleh itu terimalah dugaan kecil ini dengan tenang, kita yakin dengan izin Allah swt, apabila kuasa kembali ketangan rakyat, ia tidak akan diserahkan kembali kecuali kepada pemimpin yang mereka senangi dan yakini!

Kita dari dahulu sehingga kini dan insyallah sampai bila-bila akan tetap yakin dengan janji Allah swt, ia pasti datang, lantas orang PAS tidak akan bersedih tetapi bekerja dan terus bekerja untuk memperoleh janji Allah swt itu samada kita syahid atau menang untuk mendapatkannya.
Bahtera kita menghadapi lautan yang luas

Seingat saya mendengar kalimat sembah derhaka ini dalam riwayat Hang Tuah apabila Datuk Bendehara memohon sembah derhaka kepada Tuanku Sultan Melaka dalam mengakui bahawa Laksamana Hang Tuah tidak beliau bunuh sebagaimana yang dititahkan Baginda, tetapi sebenarnya disembunyikan dan masih hidup.

Semalam MB Perak turut bersembah derhaka kepada Paduka Sultan Perak, kerana enggan meletakkan jawatannya sebagai MB atas alasan beliau sebenarnya masih berkuasa.

Saya menerima banyak komen dan reaksi dari orang-ramai terhadap perkembangan yang agak mengejutkan ini sehingga Utusan Malaysia memaparkannya di muka depannnya hari ini. Sudah pasti agenda Utusan adalah bagi menggambarkan bahawa MB Perak dari PAS ini tergamak derhaka kepada Tuanku, suatu tindakan yang tidak pernah didengari oleh telinga umat Melayu kecuali dizaman Sultan Melaka!

Secara peribadi saya sendiri terganggu dengan perkembangan ini. Minta maaf tapi saya pohon untuk berterus-terang.

Saya telah menyatakan bahawa sebelum ini rakyat khususnya rakyat Perak memandang tinggi sumbangan Nizar, walaupun dalam tempoh singkat 11 bulan namun impak kepimpinan beliau sebagai MB jelas dirasai bezanya oleh rakyat jelata berbilang kaum. Siapa yang tidak megah dan berbangga dengan Nizar sebagai MB, seorang jurutera, fasih berbahasa Inggeris dan Cina, boleh pula membaca kuliah dan menyampaikan tazkirah, baik sungguh budi dan akhlaknya. Bagi PAS pula ia telah menjulang panji-panji parti ke mercu yang sebelum ini hanya dirasai dari karisma dan aura Tok Guru Nik Aziz sahaja (sebagai MB Kelantan).

Saya bimbang dari perkembangan ini ia mungkin terjejas dan digunakan musuh untuk “delete” segala yang tercapai di atas.

Memang kita terkilan, marah dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di Perak. Ini lebih-lebih lagi dirasai oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS yang menganggap amanah ini sebagai suatu kurnia dari Allah swt dan wajib dilaksanakan sebaik-baiknya. Ia tidak boleh dijual-beli apalagi disalah-gunakan.

Namun perasaan kita tidak boleh mengatasi maslahah dan kepentingan jemaah dan perjuangan. Sebagaimana pesan Dato Seri Tuan Guru Presiden semasa Mukatamar di Ipoh tahun lalu:

Sasaran perjuangan kita luas dan bahtera kita menghadapi lautan yang luas.

Dalam mendepani perjuangan yang serba mencabar ini yang pentingnya kita tidak karam atau lemas di lautan dunia yang sentiasa bergelombang dan memukul kita ini. Bahtera ini membawa muatan Islam, ia mesti sampai ke destinasi kemenangan, cumanya lewat atau cepat, insyallah kita akan sampai jua, Cuma perlu berhati-hati.

PAS tidak rugi di Perak, Pakatan Rakyat juga tidak rugi. Di Kelantan sepanjang-panjang pemerintahan kita apa yang tidak kita hadapi, teringat saya kata Tok Guru sampai perlu menelannya walaupun pahit, tetapi yang pentingnya Islam ini terus ke hadapan.

Saya yakin jika esok atau lusa (malah hari ini pun), Nizar dan rakan-rakan turun ke Ipoh atau Teluk Intan atau Lenggong, mana-mana sahaja ceruk di Perak, dengan rekod pentadbiran yang walaupun singkat namun bermakna, rakyat akan keluar menyambut dengan mesra dan baik. Biar rakyat yang menghakimi kita. Sebagaimana kenyataan Tok Guru MB Kelantan dalam Sinar Harian hari ini, apa yang berlaku adalah hak dan kuasa Baginda, lalu kita terimanya.

Kita tidak bertelagah dengan istana apalagi dengan rakyat Perak. Musuh kita adalah orang-orang politik. Sebagaimana pesan Tuan Guru Presiden di Muktamar yang sama:

Kita perlu bina parti kita menjadi parti yang perkasa dan diri kita menjadi diri yang perkasa sebagaimana ditunjuk oleh Islam.

Ayuh kita merancang dan bekerja untuk mendapatkan kembali mandat rakyat melalui proses demokrasi pada pilihan raya umum ke 13 nanti, rakyat insyallah di belakang kita. Allahu Akbar!
Biar Dollah kekal sebagai PM lagi............

Apabila Presiden PAS mencadang agar Dollah Badawi tidak berundur lagi Mac ini dan kekal sebagai PM ramai yang tertanya-tanya dan tidak kurang yang memandang serong terhadap kenyataan Tuan Guru itu. Kelebihan PAS ia dipimpin oleh ulamak, maka segala pandangan dan susun katanya sentiasa penuh dengan ilmu dan tunjuk ajar disamping iktibar dan pandang jauh.

Tuan Guru berpandangan biarlah Dollah selesaikan segala pertugasannya yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia khasnya dalam pilihan raya umum lalu. Dan dalam pada itu, dalam memperkenal dan melaksanakan janji-janjinya itu, turut melihat di keliling-kelalangnya, manalah tahu ada yang perlu dicuci dan disucikan.

Beberapa hari kebelakangan ini kita telah menyaksikan sendiri perisitiwa yang “luar biasa” yang mencetuskan suasana tegang dan ketidak-tentuan rakyat hasil dari kerja tangan seorang yang bakal menggantikan Dollah kiranya beliau berundur Mac ini.

Perisitiwa yang saya maksudkan bukan sekadar berlaku di Ipoh yang kebanyakkan kita berikan tumpuan tetapi juga berlaku di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membicarakan kes berprofil tinggi, pembunuhan bekas model Mongolia, Altantuya. Tertuduh mengatakan saya menjadi “scapegoat” (buat siapa?) ??!!


Mungkin dalam keghairahan Dollah menghabiskan saki-baki tempuh pentadbirannya ini, memperkenalkan “reformasi” dalam bidang kehakiman dan pencegahan rasuah, ketelusan dan keterbukaan, beliau juga perlu lihat samada apa yang diperkenalkannya itu terpakai terhadap semua, dari rakyat kebanyakkan di hutan dan di desa sehinggalah ke para penghuni Putrajaya!

Kerana itu saya percaya Tuan Guru merasakan Dollah perlu melanjutkan tempohnya. Biar beliau keluar bukan hanya sebagai PM yang sempat memperkenalkan pembaharuan dipenghujung usia pentadbirannya, tetapi juga PM yang berani mengekang dan menghalang malapetaka besar dari menimpa Negara ini sejurus beliau keluar.

Tun Dr Mahathir sendiri marah-marah apabila BN menerima dua EXCO PKR di Perak yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah. Meskipun mereka tidak menyertai Umno (barangkali atas alasan rasuah itu) tetapi mereka berikan sokongan padu kepada BN yang dipimpin Najib di Perak sekaligus bagaikan kerbau akan memalit lumpur-lumpurnya ke kepala dan wajah mereka yang berada dalam kandang Umno/BN itu.

Tetapi mahukah seorang bakal Bendehara mendengar nasihat dan pandangan mereka yang lebih tua dari beliau? Keghairahan untuk ditabalkan sebagai Bendehara sedang meluap-luap dan telah meresap dan menjalar deras dalam saluran dan pembuluhnya. Persetan dan pedulikan mereka itu. Bila jadi Bendehara nanti beliau akan dikenang sebagai Bendehara tersohor, menebus sebuah kerajaan sebelum pun mengangkat sumpah dan senarai kehebatan ini akan berjela-jela lagi sebaik beliau dinobatkan. Inilah yang dibimbangi Tuan Guru, dari bacaan saya.

Kini bagaimana, haurkah Dollah lanjutkan tempohnya atau bagaimana?

Thursday, February 05, 2009

Jatuhnya kerajaan pilihan rakyat
(Titah DYMM Sultan Perak)

Media statement from the Office of DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul RidzuanYang Amat Berhormat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin was granted an audience by Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan of Perak Darul Ridzuan on Feb 4, to ask for his Royal Highness’s consent to dissolve the Perak State Assembly.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Razak, Deputy Prime Minister of Malaysia, also requested for an audience with his Royal Highness in his capacity as the Perak Barisan Nasional chairman and consent was granted to be present before his Royal Highness on Feb 5.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib informed that the Barisan Nasional and its supporters, now comprising 31 state assemblymen, had the majority in the State Assembly.

On the order of the Duli Yang Maha Mulia to ascertain that the information given was accurate, all the 31 state assemblyman were to present themselves before Paduka Seri Sultan.
After meeting all the 31 assemblymen, DYMM Paduka Seri Sultan of Perak was convinced that YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin had ceased to command the confidence of the majority of the State Assembly members.

DYMM Paduka Seri Sultan of Perak had also considered thoroughly YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin’s application on Feb 4, 2009 for his Royal Highness’s consent to dissolve the Perak State Assembly.

His Royal Highness had used his discretion under Article XVIII (2)(b) of the Perak Darul Ridzuan State Constitution and did not consent to the dissolution of the Perak State Assembly.
YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin was summoned to an audience with the Sultan to be informed of his Royal Highness’s decision not to dissolve the State Assembly, and in accordance with the provisions of Article XVI(6) of the Perak Darul Ridzuan State Constitution,

DYMM Paduka Seri Sultan of Perak ordered YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin to resign from his post as Perak Mentri Besar together with the members of the state executive council with immediate effect.

If YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin does not resign from his post as Perak Mentri Besar together with the state executive council members, then the posts of Mentri Besar and state executive councillors are regarded as vacant.

This statement is issued with the consent of Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan of Perak Darul Ridzuan. (BERNAMA)


Kepada Allah kami mengadu dan berserah............
Kerajaan pintu belakang BN Perak

Berdasarkan berita terkini berakhirlah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Sultan Perak telah pun menitahkan agar MB Nizar meletak jawatan dan begitu juga dengan semua EXCO Pakatan Rakyat. SUK pula telah pun mengarahkan agar segala harta kerajaan diserahkan kembali manakala pegawai khas dan pembantu peribadi masing-masing diminta agar segera meninggalkan bangunan kerajaan negeri.

Apa pun hakikatnya kerajaan Pakatan Rakyat gabungan PAS, PKR dan DAP yang diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum 2008 lalu telah jatuh bukan akibat skandal atau salah-laku atau kalah dalam pilihan raya tetapi jatuh angkara "politik pintu belakang".

Mereka dari MB sehinggalah ahli-ahli EXCO perlulah diberi penghormatan kerana walaupun sekadar 11 bulan memegang amanah ternyata mereka telah menonjolkan corak kepimpinan yang terbaik lebih baik dari mana-mana pentadbiran di bawah BN atau sebelumnya Perikatan. Hayat politik mereka bukan ditentukan oleh rakyat tetapi oleh beberapa anasir yang memilih untuk berpaling-tadah.

Begitulah politik di Malaysia dalam keadaan seadanya. Kita mungkin boleh marah pada mereka yang berpaling tadah itu, tetapi dalam ketiadaan peraturan atau undang-undang yang boleh mensabitkan tindakan mereka itu sebagai satu kesalahan maka terpaksalah kita menerimanya walaupun pedih.

Umno dan BN perlu sedar bahawa mereka telah diajar oleh rakyat pada 8 Mac 2008 lalu. Rakyat mahukan kerajaan dan pimpinan yang bersih, telus, adil dan berkebajikan. Kini mereka telah berjaya mematahkan kerajaan rakyat itu dan menaikkan kerajaan melalui "politik pintu belakang". Mampukah mereka memikul aspirasi rakyat itu atau mereka akan kembali ke amalan dan cara lama mereka yang ditolak rakyat?

Mungkin atas sebab-sebab yang diluar kemampuan rakyat maka mereka boleh berkuasa hari ini walaupun melalui "pintu belakang", namun saya yakin semangat Kuala Terengganu yang dibayangi oleh pengundi "solid" Melayu akan terus berligar di atas kepala mereka, dan jika dikembalikan mandat kepada rakyat tidak mustahil kerusi-kerusi Umno yang ada akan berkecai sebagaimana berkecainya kerusi di Kuala Terengganu.

Ambillah kerajaan ini kerana liciknya cara kamu, namun rakyat hari ini bukan lagi rakyat tahun 50an dan 60an. Pemimpin mungkin boleh dijual beli tetapi rakyatlah yang mengangkat mereka. Kuasa "pintu belakang" ini bukan kekal buat selama-lamanya, bila tamat tempoh nanti kepada rakyat jualah kamu terpaksa serahkan segala-galanya selain yang Maha Perkasa dan Maha Adil yang tidak pernah henti melihat setiap langkah dan gerak-laku kamu.