Perhimpunan BERSIH buat pertama
kalinya diadakan pada tanggal 10 November 2007 iaitu kira-kira 9 tahun lalu.
Ketika itu kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang hanyalah di Kelantan yang
dipertahakan oleh PAS dengan majoriti tipis pada PRU 2004.
Tuntutan BERSIH ketika itu adalah
empat perkara yang jelas iaitu pertama membersihkan daftar pemilih dari
sebarang ketempangan dan kepincangan, kedua penggunaan dakwat kekal untuk
mengelakkan pengundian berganda, ketiga pemansuhan undi pos bagi anggota
tentera dan polis dan keempat akses media yang adil kepada semua parti politik
semasa pilihanraya.
Tiada tuntutan untuk
menggulingkan kerajaan atau menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu, kerana pada
dasarnya sistem berpilihanraya masih diiktiraf dan dianggap sebagai sistem yang
paling sesuai yang walaubagaimanapun perlu kepada beberapa penambahbaikan dan
perubahan drastik.
Oleh kerana tuntutan ini sangat
relevan buat sistem berdemokrasi di Malaysia, maka PAS sebagaimana parti-parti
pembangkang lain ketika itu telah bersetuju melibatkan diri, lebih penting lagi
buat PAS kerana bimbang sistem yang kotor boleh menggugat kedudukannya khasnya
di negeri Kelantan.
PAS telah mengambil bahagian
paling aktif dalam perhimpunan yang julung-julung kali diadakan itu, malah
sejarah membuktikan bahawa penggembelingan tenaga dan kekuatan yang paling
besar dalam perhimpunan itu datangnya dari PAS. Presiden dan seluruh kepimpinan
PAS terlibat sehinggakan kekuatan akar umbi PAS dikerahkan dan telah turun membanjiri
Kuala Lumpur berbodong-bondong menaiki bas, keretapi dan kenderaan persendirian
dari segenap penjuru dan ceruk tanahair.
Saya ketika itu merupakan
Setiausaha Akhbar Presiden dan masih tajam diingatan betapa keberanian dan
kesungguhan ahli-ahli PAS lah yang telah mendorong dan memberi kekuatan kepada
rakyat yang lain untuk bergerak menuju Istana Negara. Sukarelawan Unit Amal PAS ternyata menyerlah
mewarnai himpunan raksaksa itu.
Saya bersama pimpinan lain
diketuai Presiden PAS sendiri berjalan kaki dalam cuaca yang renyai-renyai, dari
Masjid Negara menuju ke Istana Negara.
Penyokong yang lain yang datang
dari pelbagai penjuru di Bandaraya, ada yang tersekat lalu ditembak gas pemedih
mata dan “water canon” manakala rombongan Presiden PAS dari Masjid Negara selamat
tiba di luar Istana tanpa gangguan.
Matlamat menyerahkan memorandum
ke Yang Dipertuan Agong berjaya dan yang lebih penting tuntutan BERSIH ada yang
telah diterima dan dilaksanakan manakala yang selebihnya telah menyaksikan
beberapa penambahbaikan walaupun tidaklah sempurna sepenuhnya.
Saya mengimbau kembali perisitiwa
ini agar rakyat Malaysia dapat melihat dan menyedari penglibatan PAS sejak
awal-awal lagi. PAS terus menyertai perhimpunan BERSIH berikutnya, cuma pada
BERSIH 4 ia sekadar menghantar dua wakil dan BERSIH 5 baru-baru ini PAS tidak
mengambil bahagian.
Keputusan tidak mengambil bahagian dalam
BERSIH 5 baru-baru ini bukanlah bermakna PAS tiada lagi berminat menuntut
pilihanraya yang bersih dan adil, akan tetapi ianya diambil oleh kerana PAS mempunyai
pendekatannya yang sendiri.
Tidak dinafikan pilihanraya yang
bersih dan adil merupakan asas paling penting dalam sistem berpilihanraya dan
demokrasi berparlimen. Itulah tuntutan PAS sepanjang usianya dan terbaru
melalui BERSIH sejak 2007 lalu, tetapi kali ini kaedah tuntutannya bagi PAS
perlukan pendekatan yang berbeza.
PAS hari ini lebih menekankan
budaya politik matang dan sejahtera. Melalui kaedah ini PAS lebih minat
melakukan “engagement” dengan pihak-pihak berkepentingan selain memberikan
teguran yang konstruktif dan nasihat secara langsung kepada pihak kerajaan dan
badan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan pilihanraya.
Pendekatan baru ini PAS yakin
lebih bermakna dan kini lebih disenangi rakyat kerana ianya tidak mencetuskan
ketegangan dan huru-hara yang hanya akan mengancam kestabilan negara. Pada
pandangan PAS politik konfrantasi sudah basi dan mula ditinggalkan, memang
rakyat menuntut reformasi pilihanraya tetapi rakyat juga mahukan keamanan yang
ada dipertahan dan dikekalkan.
Inilah cabaran besar bagi semua
pihak, dan PAS menganggap cabaran ini sesuatu yang serius dan mahu membuktikan
bahawa ia mampu membawa perubahan itu tanpa memperjudikan nasib dan masa depan
negara dan rakyat.
Kongres Rakyat umpamanya yang
menghimpunkan suara rakyat melalui pelbagai NGO dan badan, PAS percaya adalah
forum yang lebih sesuai dan lebih dialu-alukan masyarakat sivil berbanding
protes jalanan.
PAS sedar bahawa mereka yang
mengambil bahagian dalam BERSIH 5 masing-masing mempunyai hak untuk berbuat
demikian. PAS tidak pernah mencabar hak mereka itu.
Cumanya dari pengalaman BERSIH 4
yang lalu ternyata semangat BERSIH 2007 yang asal sudah semakin luntur serta dikesampingkan
dan malah sudah ada pihak-pihak tertentu yang cuba “hijack” perhimpunan BERSIH
dengan membawa tuntutan dan agenda peribadi yang tidak menepati dasar dan
prinsip perjuangan PAS.
Ramai mengetahui pihak liberal
termasuklah kumpulan haram “LGBT” yang memperjuangkan hak golongan lesbian dan
homoseksual yang bertentangan dengan Islam dan budaya kita turut mengambil
kesempatan melalui BERSIH. PAS tidak akan membenarkan dirinya terlibat dengan
puak mungkar ini.
Dan tidak sebagaimana BERSIH yang
sebelumnya, hari ini PAS tiada lagi hubungan politik dengan DAP, malah DAP hari
ini memilih PAS sebagai musuh utamanya. Bagaimana mungkin PAS mahu bersekongkol
dengan mereka yang menganggap PAS sebagai musuh? Demikian juga kehadiran parti
PAN yang kononnya diasaskan untuk menggantikan PAS, masuk akalkah PAS
berhimpun bersama golongan pengkhaianat
seumpama ini?
Selain itu kehadiran golongan radikal
“baju merah” menyumbang ke arah hilang fokusnya himpunan ini.
Apa pun ternyata ketiadaan PAS
sangat dirasai dalam BERSIH 4 dan 5 yang terbaru. Sejak BERSIH 4 lagi ramai
yang menyatakan bahawa perwakilan Melayu dalam himpunan BERSIH telah susut
kerana ternyata PAS lah yang selama ini berjaya menggembeling golongan majoriti
ini.
Dan ini juga membuktikan anasir
yang kononnya dilahirkan untuk menggantikan PAS telah sekali gagal, rugi
besarlah penajanya.
No comments:
Post a Comment