PAS tegas tolak kerjasama Pan dan Dap

Saturday, December 17, 2016

PAS telah putus hubungan dengan DAP lebih setahun lalu dan ianya sudah menjadi sejarah.

DAP sebelumnya telah bertindak mencabar dasar dan prinsip perjuangan PAS sehingga membangkitkan porak-peranda dalam parti apabila bersekongkol dengan kalangan pimpinan tertentu dalam PAS ketika itu untuk merobah saf kepimpinan PAS.

Hala tuju perjuangan PAS dianggap dan dilihat sebagai kononnya tidak liberal dan langsung tidak membantu perjuangan rakan-rakannya yang lain dalam PR.

Camputangan DAP walaubagaimanapun gagal apabila mereka yang “DAP friendly” atau “mesra DAP” ini tidak berjaya dengan agenda mereka mengambil-alih kepimpinan PAS. Mereka ditolak oleh para perwakilan muktamar PAS dan akhirnya bertindak mengangkat kaki dan mengkhianati perjuangan PAS, lari keluar parti dengan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN milik PAS dan akhirnya menubuhkan parti baru dengan restu DAP yang kononnya mahu berjuang menggantikan PAS.

Lahirlah Pan atas pengkhianatan terhadap perjuangan PAS.

Kini setahun lebih berlalu dan hubungan PAS dan DAP tidak kelihatan seperti mampu berubah. Walaupun PAS, PKR dan DAP masih bersama memerintah negeri Selangor atas mandat rakyat pada PRU 2013, namun demikian di gelanggang politik PAS dan DAP bertarung antara satu dengan yang lain.

Usaha PAS membawa dan mendaulatkan perjuangan Islam dan pemerkasaan syariaah umpamanya terus mendapat tentangan terbuka DAP yang mendakwa kononnya Malaysia Merdeka dijamin sebagai sebuah negara sekular iaitu yang memisahkan agama dengan politik dan pentadbiran.

DAP menolak contohnya RUU355 yang dibawa PAS atas alasan kononnya ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mewujudkan dualisma dalam sistem undang-undang selain ia kononnya adalah usaha untuk memperkenalkan “Hudud” di Malaysia.
Dengan keadaan sedemikian hampir mustahil PAS boleh kembali duduk semeja dengan DAP.

Bagi DAP kononnya bertelagah dan menolak PAS begitu akan mengakibatkan pengundi Cina yang kononnya menolak Islam akan teguh bersama mereka.

Bagi DAP mendakap dan membelai Pan, parti yang menghimpunkan mereka yang berjuang Islam progresif kononnya boleh menarik pengundi Melayu Islam kepada mereka.

Ternyata segala anggapan DAP itu silap dan tersasar jauh.

PAS yang disangkanya akan terkubur dan kering kerana ditinggalkan ahli-ahlinya yang akan berbondong-bondong menyertai Pan, rupanya terus kekal relevan dan bertenaga. Ahli-ahli PAS semakin kukuh bersama gerakan Islam ini dan malah hasil dari layanan buruk DAP itu telah mengakibatkan PAS mampu meraih simpati para pengundi Melayu Islam. Orang Melayu melihat PAS bersungguh bawa dan perjuangkan Islam, PAS tiada kepentingan selain mahu melihat Islam dinobatkan dan semakin ia diserang tambah-tambah oleh DAP ia semakin mendapat simpati dan tempat.

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini contohnya telah meluluskan 1,615 orang ahli baru untuk PAS bagi tempuh sebulan November-Disember 2016. Malah menurut rekod dinyatakan bagi tahun 2016 ini sahaja PAS telah berjaya memperolehi ahli baru seramai 23,561 orang.

Terbukti PAS bukan sahaja gagal dilenyapkan tetapi hari ini berbagai pihak sedang cuba untuk menjadi “jambatan” kononnya bagi menyatukan kembali PAS dengan DAP dan Pan demi penyatuan dan pembentukkan blok pembangkang yang lebih kukuh bagi menghadapi BN “satu lawan satu” dalam PRU yang akan datang.

PAS memang mahu menang dalam menghadapi Umno dan BN, musuh politik tradisinya sejak zaman berzaman, dan PAS bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang bersedia dan sudi menerima perjuangannya namun demikian PAS jelas dan tidak berselindung dalam mengemukakan syarat-syaratnya.

PAS tidak sekali-kali akan berkerjasama dengan DAP dan Pan dua musuh politiknya.

Isu satu lawan satu tidak berbangkit apabila melibatkan DAP dan Pan kerana kedua-duanya memang terang-terangan menentang PAS dan mahu melenyapkan PAS. Buktinya sudah ada yang bernafsu dan bercita-cita mahu merampas kerajaan negeri Kelantan.

PKR dan mana sahaja rakan baru yang mahu berkawan dan berkerjasama dengan PAS perlu sedar dan faham akan realiti politik ini. Sebagaimana ditegaskan Timbalan Presiden PAS Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramahnya di Paya Jaras baru-baru ini, jangan sekali-kali jadikan PAS batu loncatan .

Jangan apabila perlu dan terdesak maka diheret dan diseret PAS ke tengah, akan tetapi apabila telah menang dan senang segala jasa PAS dilupakan dan tidak lagi dipedulikan. PAS terlalu banyak pengalaman dalam hal ini dan tidak bersedia pengalaman seumpama ini diulangi.

Kerana itu PAS kini sangat berhati-hati dan secara terbuka meletakkan syarat-syaratnya.
Apa pun yang berlaku program dan aktiviti PAS diseluruh negara terus bergerak dan digerakkan. Kerana itu keahlian parti terus meningkat. PAS serius dan bersedia menghadapi pilihanraya dengan jentera dan kekuatan yang terlatih yang telah dibuktikan puluhan tahun.

Ringkasnya PAS dengan keahlian yang berdisiplin dan penuh istiqamah sentiasa bersiap-sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan. roslansms@gmail.com

0 comments: