Wednesday, December 21, 2016

Bersama memartabatkan agama melaksanakan syariat

PAS menjunjung kasih atas pengisytiharan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke 15 baru-baru ini.

Pengisytiharan yang penuh adat istiadat itu dari Istana Kubang Kerian ke Lapangan Terbangan Sultan Ismail sehinggalah ke KLIA, Bangunan Parlimen dan berakhir di Istana Negara sungguh warna-warni dan paling bersejarah khususnya buat rakyat Kelantan dan seluruh warga Malaysia amnya.

Suka tidak suka walaupun Malaysia telah melihat 14 Yang Dipertuan Agong silih berganti dan memegang teraju, namun ternyata pengisytiharan Sultan Muhammad V kali ini telah lebih menarik perhatian ramai.

Mungkin kerana Tuanku datang dari Kelantan, iaitu negeri yang diperintah oleh PAS sejak 26 tahun lalu. Tetapi yang pastinya kemunculan Tuanku seakan melepaskan satu bentuk aura yang telah memaksa rakyat memberikan lebih tumpuan dan perhatian kepada Baginda.

Hakikatnya Tuanku sangat disenangi rakyat Negeri Kelantan sejak menjadi Sultan pada 13 September 2010 dan sebelumnya sebagai Tengku Mahkota Kelantan.

Keperibadian dan akhlak Tuanku sungguh dikagumi rakyat lantaran itu Tuanku benar-benar diangkat dan diiktiraf sebagai Sultan berjiwa rakyat.

Institusi Raja-raja Melayu telah wujud di tanahair kita sejak ratusan tahun.

Tanah Melayu yang asalnya di bawah kuasa dan takluk mutlak Raja-raja Melayu ini akhirnya diperkenankan oleh Duli- duli Tuanku untuk diberikan kemerdekaan di bawah Persekutuan Malaya dan kemudiannya Malaysia, dengan Duli-duli Tuanku menyerahkan sebahagian besar kuasa kepada anak negeri untuk mentadbir dan memerintah negeri-negeri dan negara melalui sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan.

Begitu besar pengorbanan Raja-raja Melayu demi memberi kemerdekaan selain kesejahteraan kepada rakyat, namun jasa dan pengorbanan ini sering dilupa dan terselit serta terbiar begitu sahaja dalam lembaran sejarah.

Tuanku Raja-raja Melayulah yang memayungi kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam dalam negara dan negeri-negeri.

Raja-raja Melayu dihormati rakyat dan institusi mereka terpelihara oleh Perlembagaan Pesekutuan dan Negeri-negeri. Kesetiaan rakyat terhadap mereka malah diikrarkan di dalam Rukunegara walaupun kebelakangan ini sudah ada individu dan kumpulan kecil yang biadap seumpama pengkhianat yang mula mempertikaikan institusi ini.

Saya yakin dan percaya Raja-raja Melayu sangat prihatin dan menerima perkembangan politik dan budaya yang berligar di sekitar mereka. Raja-raja Melayu memelihara dekorum tidak sekali-kali terlibat atau campurtangan dalam urusan politik kepartian. Apa sahaja keputusan dan mandat rakyat diterima Tuanku, dan inilah amalan dalam negara kita sejak Merdeka.

Apa pun ketaatsetiaan rakyat kepada Raja-raja tambah padu dan disanjung tinggi apabila Duli-duli Tuanku proaktif dan lebih turun ke bawah mendampingi dan mengambil-tahu nasib dan kebajikan rakyat jelata.

Perkara ini kita tahu memang menjadi perhatian pihak istana, dan hakikatnya kebelakangan ini pihak istana di setiap negeri termasuklah Istana Negara begitu terlibat aktif apabila ada perkara-perkara besar melibatkan rakyat samada bencana, upacara agama, keramaian dan sukan.

Tetapi lebih tinggi lagi lantaran sebagai payung agama Islam, apabila sahaja Tuanku menjiwai agama dengan ilmu dan diterjemahkan melalui kepribadian dan cara hidup, perhatian rakyat akan pantas teralih ke arahnya. Ini kerana hari ini rakyat begitu dekat dan memelihara agama mereka.

Segala amalan dan pengaruh British dan Barat umpamanya sudah semakin jauh ditinggalkan dan rakyat hari ini mula menobatkan kembali budaya dan agama sendiri

Apa sahaja usaha dan inisiatif untuk memartabatkan agama dan perlaksanaannya terus mendapat perhatian dan sokongan rakyat kerana rakyat semakin matang dan berilmu.

Hari ini diiktiraf dan diakui bahawa Islamlah asas dan pokok yang boleh menyelamat dan menyatukan ummah dan negara. Rakyat akan mulia dan terbela apabila Islam dibela dan sebaliknya akan hina dan melarat apabila Islam dikesampingkan.

Kerana itu apabila rakyat melihat Yang Dipertuan Agong nya memiliki ciri-ciri seorang Muslim yang sejati, memulia dan mengamalkan agamanya, rakyat tersentuh hati dan malah semakin sayangkan Baginda.

Inilah yang telah dirasai dan dilihat oleh rakyat Kelantan sejak bertahun lalu dan inilah yang bakal dikenali dan dilihat oleh rakyat Malaysia dalam lima tahun pemerintahan Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke 15.

Sudah pasti Yang Dipertuan Agong yang ke 15 nanti akan mampu mencetuskan kebangkitan rakyat sekurang-kurangnya mendorong rakyat jelata mencontohi akhlak dan keperibadian Tuanku. Ini kerana  pepatah Arab ada menyebut “An-Naasu ‘ala Diini Muluukihim” yang maksudnya “Manusia (rakyat) itu mengikuti agama (cara hidup) pemimpin mereka”

Semakin baik dan semakin istiqamah Yang Dipertuan Agong, sudah hampir pasti rakyat dan negara juga akan begitu.

Sejarah telah membuktikan Islam berjaya tembus dan sampai ke jajahan Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Melaka sendiri ketika itu memilih untuk menganut dan menerima Islam. Agama ciptaan manusia ditinggalkan kerana menerima agama yang suci dari Tuhan yang satu.

Semoga Sultan Muhammad V tidak akan penat dan terus diberi tenaga dan ruang untuk melepaskan auranya ke seluruh pelusuk tanahair sepanjang 5 tahun pemerintahan Tuanku sebagai Yang Dipertuan Agong.

Biar maruah dan kehormatan rakyat Malaysia kembali tegak, negara semakin sejahtera dan maju bebas dari bencana dan malapetaka. Semoga rakyat dan negara berjaya dikeluarkan dari belenggu ekonomi yang tidak menentu. Segalanya tidak  mustahil apabila Raja dan rakyat berpegang teguh dan sama-sama membela dan mempertahankan Islam.

Kita sesungguhnya yakin dan percaya kemuliaan syariat Islam akan semakin terpelihara dan dibela di bawah naungan Yang Dipertuan Agong dengan dukungan umat Islam, rakyat jelata keseluruhannya.

Allahuakbar.


No comments: