Tuesday, November 22, 2016

Surat terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia (termasuklah YB Ahli-ahli Parlimen)



(Menjawab tuduhan liar Zaid Ibrahim)

Rang Undang-undang Persendirian dari Ahli Parlimen Marang, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang memohon untuk meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dijangka dibentangkan sebelum sidang Dewan Rakyat berakhir pada 24 November ini sekiranya diberi kesempatan.

Adapun Rang Undang-undang itu bermaksud meminda Akta 355 dengan:-

i. menggantikan seksyen 2 di dalam akta berkenaan dengan:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan” dan

ii. memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.”

Sesungguhnya Akta 355 ini adalah berkenaan urusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di negeri-negeri seluruh Malaysia. Undang-undang Syariah yang telah wujud sekian lama dalam negara kita hanya terpakai dan berkenaan dengan orang Islam sahaja. Lantas sebarang pindaan ke atasnya termasuklah apa yang sedang diusahakan oleh Ahli Parlimen Marang ini hanyalah terkena atas rakyat Malaysia yang beragama Islam sahaja.

Rakyat Malaysia yang bukan Islam tidak akan terlibat sama-sekali.

Janganlah kita mudah terpedaya, terpesong atau terpengaruh dengan mana-mana individua atau kumpulan yang memandang serong dan menentang usaha ini atas pelbagai alasan fitnah dan kepalsuan.

Pertimbangkanlah:

1. Skop pindaan ini adalah untuk memberi kuasa Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman setimpal dengan undang-undang syariah iaitu sebagaimana yang terkandung dalam hukum Islam yang sebenar. Namun ianya tertumpu kepada hukuman penjara, denda dan sebatan. Hari ini hadnya adalah  terbatas kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Melalui pindaan ini had hukuman di atas boleh dipertingkatkan selaras dengan hukum syariah sebenar sebagaimana yang terkandung dalam enakmen negeri-negeri yang berkaitan.

Pindaan ini tidak melibatkan hukuman potong tangan (sebagaimana dituduh oleh seorang bekas Menteri dalam surat terbukanya – “The amendment could mean the amputation of limbs … “) dan sebarang tuduhan sedemikian ternyata punya maksud jahat untuk mengagalkan usaha awal umat Islam rakyat majoriti di negara ini untuk mengamalkan ajaran agama mereka sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

2. Pindaan ini jelas menyebut bahawa had hukuman di Mahkamah Syariah nanti adalah sebagaimana yang dibenarkan undang-undang syariah. Mahkamah Syariah Negeri-negeri menjalankan tugasnya berlandaskan Enakmen Negeri-negeri yang diluluskan oleh Dewan-dewan Negeri. Tidak benar menuduh bahawa mahkamah nanti berhak menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya (kononnya dituduh – “ …with the bill, jail sentence can be imposed without any limitations.”) tanpa had.

Undang-undang syariah telah jelas menghadkan hukuman bagi satu-satu kesalahan, dan jika Enakmen Negeri-negeri ada yang mengambil semangat dari undang-undang syariah, ianya memang diketahui punya had, mengatakan sebaliknya seolah menghina hukum Allah swt.

Di Kelantan umpamanya kesalahan meminum arak disebut dengan terang di bawah Kanun Jenayah Syariah Kelantan, fasal 22:

Sesiapa yang meminum arak atau minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atau tidak dan tanpa mengira kuantiti yang diminumnya, adalah melakukan suatu kesalahan syurb dan apabila disabitkan hendaklah disebat tidak melebihi lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat puluh kali sebatan

Di Terengganu seksyen 5, Enakmen Jenayah Syariah Terengganu (2002) menyebut:

2) Sesiapa yang melakukan kesalahan syurb hendaklah dihukum dengan hukuman seperti berikut:

(a) bagi kesalahan pertama atau kedua dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan;

(b) bagi kesalahan ketiga dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan; dan

(c) bagi kesalahan keempat dan seterusnya dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan, dan boleh juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

3. Usaha ini bukannya memperkenalkan hukum Hudud, kerana hukum berkenaan sebenarnya komprehensif melibatkan kesemua kesalahan jenayah dalam Islam termasuklah merompak, membunuh, mencuri dan sebagainya. Walaubagaimanapun pindaan ini jelas menyebut “…selain dari hukuman mati  bermakna hukuman mati yang ada dikenakan atas kesalahan Hudud tidak boleh dikuatkuasakan sekaligus membuktikan pindaan ini bukanlah Hukum Hudud sebagaimana didakwa.

4. Usaha ini adalah usaha untuk membawa umat Islam lebih dekat kepada amalan agamanya yang sebenar walaupun tidak keseluruhannya. Sebagai seorang Muslim apa sahaja usaha untuk dekat kepada agama mereka sudah pasti adalah usaha yang baik dan menentangnya sudah pasti bermakna menetang usaha memperkasakan agama sendiri, menentang hak yang diberikan kepada umat Islam Malaysia.

Umat Islam di Malaysia akan menjadi rakyat yang baik apabila mereka lebih dekat pada agama mereka, dan ini sudah pasti turut memberi jaminan keamanan kepada warga Malaysia yang lain khasnya yang bukan Islam.

Kerana itu sebarang usaha seperti ini wajar dialu-alukan.

5. Sesungguhnya Akta 355 ini telah menjadi undang-undang sejak tahun 1965. Semasa perbahasan Bajet 2017 baru-baru ini Ahli Parlimen Kota Bharu menyebut bahawa ketika Akta 355 ini di bawa ke Parlimen dahulu, mendiang PM Singapura Lee Kuan Yew adalah ahli Dewan, dan tiada ahli yang bukan Islam pun bangkit membahaskannya kerana ianya berkenaan hal ehwal orang Islam. Begitu juga semasa Akta ini melalui pindaan pada tahun 1984, beberapa ahli Parlimen DAP yang ada dalam Parlimen hari ini juga merupakan ahli, mereka pun ketika itu tidak bangkit termasuklah Lim Kit Siang dan Dr Tan Seng Giaw.

Demi perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. 

Hormatilah hak umat Islam untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana selama ini umat Islam yang majoriti menghormati amalan dan kepercayaan penganut agama lain yang merupakan minoriti dalam negara kita. Semoga suasana harmoni di Malaysia dapat terus kekal tanpa ada syak wasangka.

Surat terbuka ini mohon merayu dan memberi kesadaran kepada semua bahawa Rang Undang-undang ini berniat baik iaitu untuk memperkasakan Mahkamah Syariah tanpa punya niat jahat atau mahu mencederakan hak dan kepercayaan mana-mana pihak lain.
Rang Undang-undang ini melalui proses demokrasi berparlimen, dibawa secara tertib dan menurut peraturan. Islam mahu diperkasakan melalui RUU ini dan ianya dibawa secara terhormat dan terbuka bukannya melalui pintu belakang atau seumpamanya.

Siapa sahaja termasuk ahli-ahli parlimen berhak membahas, memberi teguran dan mencadang penambah-baikan terhadapnya tetapi mohonlah agar ia dapat diluluskan kerana umat Islam, rakyat Malaysia yang majoriti yang dekat dan sayang pada agama mereka sangat mengharapkan dan mahu melihat amalan agama mereka selari dengan ajaran sebenarnya.

No comments: