Sunday, October 16, 2016

Berubah ke arah kebaikan atau kekal musnah dalam kemungkaran

(Menerjang Badai : HARAKAH Bil . 2189)
 
Pulangnya ke rahmatullah Almarhum Dato Dr Haron Din, Mursyidul Am PAS, sesungguhnya merupakan satu kehilangan besar yang sangat dirasai bukan hanya oleh PAS malah oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Bagi PAS Almarhum merupakan seorang tokoh yang terbilang dan besar peranan, pengorbanan serta sumbangannya pada parti sehingga ke akhir hayat.

Beliaulah perisai yang telah melindungi dan memberi kekuatan kepada kepimpinan parti khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran dalaman dan luaran dan beliaulah juga pendorong dan pembimbing yang sentiasa memberi suntikan semangat dan daya juang pada para ahli dan akar umbi PAS dipelbagai peringkat.

Bagi sesetengah pemerhati luar ketiadaan Almarhum kononnya akan mencetuskan kelompangan dalam saf kepimpinan tertinggi parti dan PAS dikatakan akan tempang tanpa tokoh sehebat dan sekaliber Almarhum.

Ternyata mereka tidak mengenali PAS.

Walaupun diakui ketiadaan Almarhum adalah satu kehilangan besar pada PAS, namun PAS bukannya sebuah parti setahun jagung. Ia telah wujud lebih enam dekad lamanya dan ia merupakan satu-satunya parti Islam terbesar dalam negara dengan memiliki ahli dan kekuatan parti kedua terbesar selepas Umno.

Kekosongan jawatan Mursyidul Am tetap mampu diisi dan PAS ternyata punya barisan kepimpinan yang berwibawa, terlatih dan masing-masing mampu untuk mengisi apa sahaja kekosongan dalam parti membuktikan PAS sentiasa serius dalam mahu memimpin ummah dan negara ke arah kecermerlangan mengikut acuan prinsip dan perjuangannya.

Tuan Guru Hashim Jasin telah diumumkan oleh Majlis Syura sebagai Mursyidul Am PAS yang baru menggantikan Almarhum Dato Dr Haron Din dan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan.

Begitulah PAS, patah tumbuh hilang berganti, namun agenda untuk memartabatkan Islam dan menyelamatkan negara tidak sekali-kali berganjak dan akan kekal utuh sampai bila-bila.

Individu dan kelompok lebih-lebih lagi yang khianat dan punya agenda peribadi, besar mana sekalipun mereka, pemergiannya langsung tidak mampu menjejaskan bahtera perjuangan PAS kerana PAS sarat dengan pimpinan dan individu yang ikhlas dan kukuh berkongsi satu matlamat perjuangan ke arah menuntut redha Allah swt.

PAS hari ini membuktikan bahawa ia mampu kekal relevan dan mencabar walau apa tribulasi dan dugaan besar atau kecil yang ia tempuhi.

Ramai tokoh-tokoh besarnya direhatkan oleh Allah swt terbaru Almarhum Dato Dr Haron Din dan sebelumnya Tuan Guru Nik Abd Aziz, Ustaz Tan Sri Azizan Abd Razak, Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Dato Abu Bakar Chik dan ramai lagi. Namun setiap kekosongan telah segera diisi dan bahtera PAS terus tenang belayar.

Begitu juga dikhianati ia apabila bekas-bekas pimpinannya yang kecewa telah melompat parti bersekali dengan kerusi-kerusi yang “dicuri”, namun bahtera PAS tidak terkesan dan terus belayar menuju destinasi besarnya.

Kerana itu dikalangan parti-parti politik yang ada khususnya yang mewakili masyarakat Melayu Islam, PAS dilihat jauh ke hadapan dengan keupayaan untuk mengaut keyakinan rakyat dalam skala yang besar kerana ia kelihatan sentiasa konsisten dalam perjuangannya dan tidak mudah menggadaikan prinsip semata-mata kerana mengejar sesuatu yang tidak menentu.

Dosa dan pahala menjadi garis pemandu buat PAS dan ini tidak lagi dipentingkan oleh mana-mana pihak lain.

Selain itu kekuatan PAS tidak bertenggek pada mana-mana individu tetapi sebaliknya tersandar pada prinsip perjuangannya yang agung lagi suci. Tokoh dan negarawan datang dan pergi namun Islam yang diperjuangkannya terus semakin marak dan menjulang tiada kelihatan akan layu apatah lagi padam.

Orang Melayu Islam kini sudah mula menuntut pimpinan yang berkualiti dan ikhlas membela dan mempertahankan nasib dan masadepan mereka. Bukannya pemimpin yang rasuah, zalim apalagi khianat dan pembelot.

Sesungguhnya dewasa ini rakyat khasnya masyarakat majoriti Melayu Islam cenderung kepada parti yang bersih dan sentiasa mampu mengenengah dan melahirkan pimpinan yang jujur dan bertaqwa.

Satu-satunya parti yang memiliki kualiti seumapam ini sudah semestinyalah PAS yang masih istiqamah kekal kukuh berdiri di atas paksi Islamnya.

Malah seorang penganalisa politik dalam sebuah akhbar tempatan menulis:

PAS is still very much a Malay party to watch.
It has a huge cache of young and committed professionals and religious scholars who will shape the future of the party and perhaps even the country.

Maksudnya:

PAS mashi merupakan (satu-satunya) parti Melayu yang perlu diberi perhatian.
Ia sarat dengan pimpinan muda dari kalangan profesional dan ulamak yang bakal melakar masa depan partinya dan malah juga negara.

Demikianlah tidak syak lagi majoriti umat Melayu Islam akan kekal mulia dan dihormati ramai apabila ia mampu memilih dan mengangkat pimpinan  yang terbaik dari kalangannya untuk memimpin.

Masa depan negera terjamin stabil dan sejahtera kiranya ia dipimpin oleh saf kepimpinan yang gerun dan takutkan Allah swt dan bukan yang sebaliknya.
PAS mengemukakan pilihan ini buat masyarakat.

Berubah ke arah keselamatan dan kebaikan atau kekal musnah dengan kemungkaran. roslansms@gmail.com

No comments: