(Menerjang Badai: HARAKAH Bil. 2190)
Rang Undang-undang Persendirian yang
dibawa Presiden PAS dan ahli parlimen Marang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi
Awang untuk meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) diletakkan
pada perkara ke empat dalam “order paper” atau Aturan Urusan Mesyuarat Dewan
Rakyat yang mula bersidang Isnin ini.
RUU 355 ini kini menjadi isu
nasional dengan diberi perhatian dan minat oleh sebahagian besar rakyat
khsusunya umat Islam yang kelihatan bersatu menanti-nantikan usaha untuk
memartabat dan memperkasakan mahkamah syariah ini sekaligus memberi laluan
kepada perlaksanaan sebahagian dari hukum dan peraturan Islam menepati al Quran
dan Sunnah dikalangan mereka.
Akta yang mahu dipinda ini adalah
berkenaan pengurusan dan pentadbiran Undang-undang Syariah yang selama ini
mengawal dan mengurus hal ehwal umat Islam dalam negara berhubung kait dengan
amalan dan pegangan agama mereka.
Umat Islam yang merupakan
majoriti penduduk dalam negara kita mahu dan berkeinginan mengamalkan agama
mereka menurut fahaman dan kepercayaan mereka. Hak ini terjamin di dalam
Perlembagaan Persekutuan khasnya dalam Perkara 3 dan Perkara 11 undang-undang
tertinggi negara itu. Malah Perlembagaan Persekutuan turut memberi hak kepada
penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka menurut kepercayaan mereka.
Walaubagaimanapun samada usaha
memperkasakan mahkamah syariah ini akan diterima atau ditolak adalah tertakluk
kepada ahli-ahli Dewan nanti.
PAS sebagai sebuah parti Islam
sudah pastilah berharap besar agar usaha ini dapat disokong dan menjadi
kenyataan. Sekurang-kurangnya adalah diharapkan usul ini diangkat oleh kesemua
ahli-ahli Dewan yang beragama Islam bagi membuktikan kesatuan kita khasnya
dalam isu dan perkara yang melibatkan agama kita bersama.
Menurut Mursyidul Am PAS Tuan
Guru Hj Hashim Jasin jika pun usul ini ditolak PAS sesungguhnya tidak rugi.
Yang penting PAS telah berusaha. Menurut beliau:
“Kalau tidak boleh buat
disebabkan halangan, itu persoalan lain. Tapi apa yang Allah perintahkan, kita
kena usaha untuk buat.”
Malanglah jika ada ahli-ahli
Dewan khususnya yang beragama Islam terbabit dalam menggagalkan usaha murni
ini.
Usul ini akan dibuka untuk
perbahasan, sewajarnya jika ada kalangan ahli-ahli Dewan yang beragama Islam
merasakan usul ini perlu penambah-baikan untuk memperkemaskannya, maka
pergunakanlah sesi perbahasan itu untuk mengemukakan cadangan dan pandangan.
Akan tetapi jika sesi perbahasan
digunakan untuk menggagal dan menyerang usul ini, saya percaya ahli-ahli yang
berkenaan akan dipertanggungjawabkan khususnya oleh pengundi-pengundi Islam di
kawasan mereka masing-masing nanti.
Disaat dan ketika peluang dibuka
untuk kita semua mengangkat dan memartabatkan agama tercinta ini, tiba-tiba ada
wakil rakyat Islam bersekongkol dalam menggagalkannya sekaligus sealiran dengan
para pengkritik dan penentang usul ini.
Suka tidak suka tindakan
sedemikian samalah dengan tindakan menentang Islam kerana tidak mahu melihat
perkembangan dan kemajuan amalannya dalam negara.
Demi memilihara maruah dan
kesucian Islam sepatutnya kesemua wakil rakyat Islam tidak kira dari mana parti
sekalipun bangkit mengenepikan perbezaan ideologi dan fahaman politik
masing-masing dan malah bagi parti-parti tertentu mengenepikan whip dan
disiplin parti untuk menyokong usul ini.
Usul ini bukannya usul PAS atau
usul Hj Hadi walaupun dibawa oleh Presiden PAS tetapi
sebenarnya ia perlu
dilihat sebagai usaha kita bersama untuk membela dan memperjuangkan Islam dalam
negara ini.
Setelah hampir 60 tahun Merdeka
hari ini kita diberi peluang untuk menyumbang ke arah melaksankan jika tidak
pun sepenuhnya tetapi sebahagian dari hukum dan peraturan yang diperintahkan
oleh Allah swt ke atas kita. Apakah kita mahu melepaskan peluang ini atau kita
memilih untuk menentangnya?
Sejarah Islam di Malaysia bakal
dilakarkan berikutan pembentangan usul ini. Lakarkanlah ia dengan tinta emas
dan bukannya dakwat hitam yang comot serta mencacat dan merencatkan masa
depannya.
Sementara itu DAP dengan lantang
menyatkan bakal menentang Rang Undang-undang ini kononnya kerana mahu
mengekalkan negara ini sebagai sebuah negara sekular iaitu negara yang
memisahkan agama dengan pentadbiran (untuk rekod DAP punya dua ahli Parlimen
Islam).
Disitu sahaja kita boleh lihat
“denial syndrome” atau sindrom penafian mereka sedangkan kewujudan dwi sistem
perundangan telah ada dalam negara kita sejak zaman berzaman dari sebelum
Merdeka lagi.
Malaysia lahir dan terus
membangun bersama dengan dwi sistem perundangan ini dengan bukti terpampang
megah dan besar bangunan-bangunan Mahkamah Syariah dalam negara. Ini tidak
mungkin berlaku jika negara ini negara sekular.
Rakyat Malaysia bukan Islam tidak
wajar melahirkan kebimbangan kerana urusan pentadbiran agama Islam ini tiada
kena mengena langsung dengan mereka. RUU 355 ini sebagaimana kuasa mahkamah
syariah yang lain adalah terkena hanya ke atas umat Islam sahaja dan ini
ditegaskan berulang kali namun terus juga ditentang DAP dan konco-konconya.
Menurut sejarah umat Islam di
Malaysia tidak pernah menafikan hak masyarakat bukan Islam dalam negara, jadi
kenapa perlu yang minoriti pula menafikan hak yang majoriti?
Kita akur Malaysia adalah sebuah
negara demokrasi berparlimen. Masing-masing dan siapa sahaja berhak bersuara.
Semoga DAP dan sekutunya mengamalkan hak mereka mengikut peraturan, malah sebelum
inipun ahli Parlimen Marang telah naik turun mahkamah kerana menghadapi
penentangan mereka yang mahu menggagalkan usaha membawa usul ini ke Parlimen.
Siapa pun tidak boleh memaksa
masyarakat bukan Islam tetapi jika mereka faham dan akur tiada sebab mereka
mahu menentang kecuali termakan hasutan dan fitnah DAP.
Yang pelik dan harus kita bimbang
adalah apabila penentangan datang dari yang beragama Islam sendiri. Semoga
Allah swt merawat dan memulihkan hati-hati mereka ini. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment