Tuesday, May 17, 2016

Sg Besar dan Kuala Kangsar menguji hubungan PAS-PKR


Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2148 Edisi Isnin muka F16

Belum pun padam bahang Pilihanaraya Negeri Sarawak, kini Malayasia bakal menyaksikan dua lagi pilihanraya yang berkemungkinan dipanggil serentak iaitu pilihanraya kecil bagi kerusi parlimen Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar di Perak berikutan kematian dalam nahas helikopter kedua-dua ahli parlimen berkenaan semasa berkempen di Sarawak baru-baru ini.
BN sudah pasti akan meletakkan calon dari Umno bagi kedua-dua kerusi tradisional parti itu dan PAS pula yang merupakan pencabar Umno di kerusi berkenaan sejak berdekad-dekad lamanya turut telah mengisytiharkan akan bertanding mencabar BN-Umno.

Jika di Sarawak kita telah menyaksikan betapa parti-parti pembangkang telah gagal mencapai persetujuan mengelakkan pertandingan tiga penjuru dibeberapa kerusi di sana, apakah berdasarkan pengalaman Sarawak itu, pertembungan yang merugikan semua pihak dan lebih menguntungkan BN itu akan dapat dielakkan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar nanti?
Pastinya perhatian para penganalisa politik akan lebih tertumpu pada kerusi Sungai Besar, kerana ia terletak di negeri Selangor, negeri yang dikuasai PKR, PAS dan DAP melalui kemenangan Pilihnaraya 2013 lampau.

Selangor merupakan satu-satu negeri paling unik di Malaysia kerana ialah satu-satu negeri dimana dua dari tiga parti komponannya tidak boleh berlaga angin walaupun masing-masing parti punya wakil yang duduk dalam EXCO dan menyokong kepimpinan dan kerajaan Menteri Besar.
Sebelum ini masing-masing mahu melihat dan menunggu-nunggu sehingga Pilihnaraya Umum ke 14 nanti, bagaimana parti-parti pembangkang terbesar ini iaitu PAS, PKR dan DAP selain sebuah parti serpihan baru Pan akan menghadapi BN. Adakah akan berlaku pertandingan tiga penjuru atau bagaimana?

Tiba-tiba ditakdirkan melalui nahas helikopter yang malang itu, parti-parti yang dimaksudkan seakan terpaksa menyelesaikan persengketaan mereka terlebih awal, samada boleh selesai atau terus berkerat rotan berpatang arang bertembung sesama sendiri.
Dan dalam hal ini Timbalan Presiden PKR yang juga Dato Menteri Besar Selangor iaitu Datuk Seri Azmin Mohamaed Ali lah yang akan paling terhimpit dan tertekan.

Azmin bertanggungjawab membawa satu formula penyelesaian yang efektif dan praktikal bagi mengelakkan pertembungan antara parti-parti tadi kerana beliau merupakan teraju politik dalam negeri ini. Kegagalan mengambil keputusan yang terbaik akan mengakibatkan kekalahan awal bagi beliau di Selangor terutama dalam mahu menghadapi PRU ke 14 nanti.
Kekalahan awal seumpama itu sudah semestinya tidak baik buat nasib dan masadepan kerajaannya.

Parlimen Sungai Besar ini istimewa kerana kawasan pertanian dan “bengkung Melayu” ini punya dua kerusi DUN iaitu Sekinchan dan Sungai Panjang. Sekinchan kini diwakili DAP manakala Sungai Panjang diwakili BN-Umno yang telah berjaya mengalahkan calon PAS dalam PRU ke 13 lalu.
Dalam PRU lalu kerusi ini punya 42,837 pengundi berdaftar yang mana 66.89% pengundi Melayu, 31.04% Cina, 1.85% India dan 0.22% lain-lain. Calon BN Allahyarham Datuk Noriah Kasnon memenangi kerusi ini apabila menewaskan calon PAS Mohamed Salleh M. Husin dengan majoriti cuma 399 undi.

Ini bermakna blok pembangkang punya prospek yang baik untuk menundukkan calon BN dalam pilihanraya kecil ini dengan syarat pertembungannya satu lawan satu.
Dan dalam hal ini, PAS dengan kekuatan hampir 40 cawangandan jentera pilihnaraya yang lengkap, dengan organisasi yang tersusun termasuklah Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di DUN Sg Panjang, tiga orang wakil ahli Majlis Daerah Sabak Bernam selain puluhan lagi ketua-ketua kampong dan anggota JKKK, tiada sebab untuk menghalang laluan buat PAS untuk bertanding sekali lagi.

Dan kiranya PAS mampu mengenengahkan calon yang “winnable” yang disenangi masyarakat, tidak mustahil kerusi parlimen ini akan jatuh ke tangan PAS.
Soalnya apakah Azmin memiliki kekuatan politik untuk memastikan PAS satu-satunya wakil pembangkang yang akan menentang BN nanti sekaligus memberikan harapan yang cerah buat pembangkang.

Sebagaimana kita maklum DAP tiada lagi hubungan atau kerjasama dengan PAS, manakala parti yang dilahirkannya pula iaitu Pan, tidak pernah diiktiraf PAS tambah-tambah mereka sarat dengan tokoh-tokoh pengkhianat yang telah mengkhianati perjuangan PAS.
Mampukah Azmin mendesak agar PAS diberi laluan dengan sokongan dan dokongan penuh kerajaan negeri, atau apakah Pan atau mungkin juga DAP akan turun bertanding sehingga mencetuskan pertandingan pelbagai penjuru yang akhirnya menguntungkan BN sebagaimana di Sarawak?

Sesungguhya para pengundi di kerusi ini dan di Kuala Kangsar sudah bosan dan muak dengan BN khasnya Umno. Pelbagai isu khususnya yang melibatkan kenaikkan kos hidup dan GST terus-menerus menjejaskan kehidupan mereka dan BN kelihatan tidak mampu mengatasinya.
Inilah masa dan ketikanya untuk kita bangkit menggantikan BN-Umno dan nyatalah tiada yang lebih mampu dan punya harapan selain PAS di Sungai Besar. DAP sekadar boleh menghambat 31% pengundi Cina itupun belum tentu mutlak, manakala Pan pula sekadar pengacau sebagaimana pengalaman di Sarawak.

Saya yakin dengan pengalaman dan kematangan politiknya Azmin mampu meredakan ketegangan dan menjamin PAS diberi laluan yang selayaknya. Yang utama adalah  BN-Umno perlu dikalahkan dengan kekuatan kerjasama bersepadu jentera pilihanaraya khasnya PAS dan PKR,
Tidak dapat dinafikan di sinilah dapat kita uji betapa jujur dan setianya hubungan antara PAS dan PKR yang masing-masing jelas agendanya iaitu untuk merobohkan kerajaan BN.
Malangnya jika penyelesaian tidak dapat diusahakan dalam pilihanraya kecil ini kita bimbang ianya akan membawa sehingga ke PRU ke 14 nanti dan ketika itu masing-masing akan bertanding antara satu sama lain yang akibatnya akan mengancam survival kerajaan negeri Selangor.

Saya percaya Azmin dan rakan-rakannya sedar akan kemampuan jentera pilihanraya PAS di Selangor, kerana jentera inilah yang telah banyak membantu PKR sebelum ini. Segala tohmahan PAS mahubersekongkol dengan Umno kononnya terpadam melalui dua pilihnaraya kecil ini.
Semoga semua pihak dipandu oleh rasional dan kematangan berpolitik dan semoga Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi penanda aras kebangkitan rakyat menolak Najib, Umno dan BN. roslansms@gmail.com

No comments: