Sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, dan Yang
Dipertuan Agong diperingkat Persekutuan, Raja-raja Melayu dilihat sebagai
payung yang memayungi nasib dan kepentingan umat Islam selain sebagai simbol
kedaulatan negeri yang menyatukan rakyat di dalam sesebuah negeri.
Agama Islam serta seluruh institusi yang ditubuhkan bagi
mengurus dan mengawalnya terletak dibawah bidangkuasa Raja-raja Melayu. Salah
sebuah institusi penting dalam hal ini adalah Lembaga Zakat yang menguruskan
wang kutipan zakat di sesebuah negeri.
Baru-baru ini dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan Sultan
Kelantan Sultan Muhammad V dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
berkenan melawat Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Lembaga Zakat Selangor di
Kampung Gong Jenerah, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.
Projek berkenaan diusahakan bersama Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh
dengan sokongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang telah menyalurkan sejumlah
RM8.3juta.
Projek yang membabitkan tiga segmen iaitu penempatan
berkelompok, pembinaan infrastruktur asas dan projek agroekonomi telah
membangunkan projek tanaman cili yang diusahakan oleh seramai 29 asnaf di atas
tanah seluar 17 hektar dan kini masing-masing peserta dapat menjana pendapatan
RM1,200 sebulan.
Tuanku Sultan berdua telah berkenan menyampaikan kunci rumah
kepada para peserta membabitkan 30 buah rumah lengkap dengan perabot asas pada
majlis berkenaan.
Sesungguhnya keprihatinan kedua-dua Tuanku Sultan sehingga
berkenan menjalinkan kerjasama, merentas sempadan geografi negeri seumpama ini
telah berjaya membuktikan betapa sistem zakat Islam benar-benar dapat membela
nasib dan kebajikan umatnya lebih-lebih lagi apabila penguasanya, dalam hal ini
Raja-raja Melayu sendiri dapat proaktif dan bersatu tenaga demi agama yang
tercinta.
Dan kerjasama seumpama ini diharapkan tidak terhad kepada
urusan zakat semata-mata tetapi boleh diluaskan sehingga melibatkan hal ehwal
lain berkaitan agama Islam.
Inisiatif dan kebijaksanaan serta keprihatinan Raja-raja
Melayu seumpama ini sering meninggalkan kesan yang mendalam ke atas jiwa rakyat
jelata khasnya umat Islam. Hormat dan taat setia rakyat jelata terhadap
institusi warisan bangsa dan negara yang disanjung ini akan semakin kental dan
kukuh terutama apabila menyaksikan Raja-raja Melayu ke hadapan dalam memberikan
tumpuan ketas nasib rakyat jelata.
Islam tidak syak lagi adalah merupakan agama penyatu yang
menyimpul umpama ikatan yang kemas dan kuat hubungan antara Raja-raja Melayu
dan rakyat jelata.
Malah menurut sejarah beberapa inisiatif Raja-raja Melayu
dalam hal ini terus disebut-sebut sehingga ke hari ini.
Saya teringat membaca salah sebuah karya Allahyarham Datuk
Ahmad Boestamam yang menyebut ketika beliau dalam tahanan keselmatan di zaman
pemerintahan British dahulu Almarhum Sultan Pahang ketika itu telah menziarahi
kem tahanan. Almarhum telah menyapa Allahyarham dan menegaskan kiranya
Allahyarham rakyat Baginda, Ahmad Boestamam adalah anak Perak, pasti Almarhum
akan menitahkan agar Allahyarham dibebaskan kerana berjuang untuk negara.
Selain itu menurut sejarah Istana Selangor adalah yang
terkehadapan dikalangan Raja-raja Melayu khususnya dalam isu keprihatinan
terhadap Islam sebagaimana yang dipamirkan oleh Sultan-sultan Selangor
sebelumnya dan dicontohi Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Menurut rekod Sultan Selangor yang kelima Almarhum Sultan
Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa yang memerintah Selangor selama 40
tahun dari 1898 hingga 1938 adalah antara Sultan yang banyak menyumbang pada
Islam. Ketika pemerintahan Almarhum, Baginda sangat rapat dan menerima nasihat
dari Almarhum Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani seorang ulamak
dari Patani.
Almarhum membina Masjid Alauddin di Kuala Langat dan Baginda
sendiri beberapa kali menyampaikan khutbah Jumaat dan Hari Raya di masjid
berkenaan sehingga menambat hati rakyat ketika itu.
Baginda juga turut berkarya dan diantara bait-bait puisi
nukilan Almarhum berbunyi: “Agama Islam amat sebenar, peraturannya cukup benar.
Tetaplah padanya jangan nanar, beroleh kebajikan yang bersinar ... ``
Keprihatinan Almarhum Sultan Alauddin dituruti pula oleh
anakanda putera sulung Baginda yang kemudiannya menggantikan Baginda atas
takhta iaitu Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Al-Marhum Sultan
Alaiddin Sulaiman Shah yang kemudiannya menjadi Yang Dipertuan Agong yang
kedua.
Antara jasa terbesar Almarhum Tuanku terhadap Islam di
Selangor adalah apabila Baginda mewakafkan sebuah istana di Jalan Kota Raja
Klang untuk dijadikan sebuah Kolej Islam dikenali Kolej Islam Malaya dan kini
dikenali Kolej Islam Kelang salah sebuah kolej Islam yang ternama dalam negara
kini.
Jasa dan inisiatif Raja-raja Melayu seumpama ini dan banyak
lagi yang tidak sempat dimuatkan terus menjadi sebutan rakyat zaman berzaman.
Kerana itulah ketaatsetiaan rakyat terhadap Raja-raja Melayu sukar mahu dikikis
buang.
Semoga usaha murni Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah diterus dan dilipatgandakan lagi
pastinya dengan dukungan dan sokongan rakyat. Dan semoga kerja-kerja baik dan
bermanfaat Tuanku berdua ini dicontohi dan dituruti pula oleh pihak istana yang
lain demi meyakinkan rakyat bahawa istana dan rakyat itu sebenar dan
sesungguhnya berpisah tiada. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment