Friday, May 06, 2016

PAS akan terus subur di Sarawak bermula PRN 2016

Ini mungkin artikel terakhir ruangan saya sebelum rakyat negeri Sarawak keluar mengundi memilih wakil-wakil mereka pada hari Sabtu 7 Mei nanti dalam Pilihanraya Negeri berkenaan kali ke 11.

Sudah pastilah masing-masing parti yang bertanding mengharapkan calon masing-masing akan berjaya dan diberi mandat oleh rakyat ke Dewan Undangan Negeri. Apa pun segala-galanya akan diputuskan oleh 1.14 juta pengundi berdaftar Sarawak. Pada 7 Mei nanti rakyat Sarawaklah yang berkuasa menentukan nasib dan masadepan mereka. 

Setelah kita bersungguh berkempen tiba tanggal 7 Mei, rakyatlah yang akan memuktamadkannya.

Rata-rata kempen pilihanraya negeri kali ini didominasi oleh Barisan Nasional, dari kawasan bandar sehinggalah ke luar bandar, di kawasan pedalaman, kawasan pantai, kawasan hulu Barisan Nasional menggunakan kuasa, kedudukan dan kekuatan kewangannya mengula-gula dan membeli sokongan rakyat secara terbuka. Seperti biasa media khasnya media elektronik yang dikuasai BN, dikerah sepenuhnya  untuk memberi liputan padat kempen-kempen BN seakan hanya ahli-ahli dan penyokong BN sahaja menyumbang kepada hasil cukai dalam negara.

Projek-projek dalam angka jutaan ringgit diluluskan ada ketikanya dalam sekelip mata dari satu kawasan ke satu kawasan kemana sahaja menteri kabinet Persekutuan atau negeri pergi berkempen. Etika berpilihanraya yang sepatutnya menjadi pedoman dan garispanduan semua calon-calon yang bertanding seakan dipersetankan. Saya melihat sehingga anak-anak sekolah pun digunakan untuk mempromosi calon-calon tertentu tanpa segan dan silu.

Dalam pada itu BN Sarawak juga telah  menggunakan kuasa imigresen negeri menghalang kemasukan pada awalnya pemimpin tertentu dan diwaktu artikel ini ditulis sehingga petugas dan pekerja pilihanraya pun disekat dan dihalang dengan had atau tempoh masa sekatan tertentu. Sudah pastilah dalam kita mengiktiraf kuasa imigresen kerajaan negeri itu, namun tiada siapa warga Malaysia yang boleh bersetuju penyalahgunaan kuasa, dan pengunaannya untuk kepentingan politik pihak yang berkuasa terutama diwaktu negeri menghadapi pilihnaraya.

BN Sarawak seakan sengaja mahu menggelapkan nama baik Bumi Kenyalang ini dengan amalan kotor yang mencemarkan demokrasi dan kebebasan bersuara semata-mata kerana mahu kekal berkuasa.

Mungkin mereka perlu dihukum dan diajar oleh rakyat 7 Mei ini. Berkempenlah dengan bermoral  secara telus dan adil. Terbukti mereka telah mengkhianati segalanya, lalu wajar sangatlah rakyat Sarawak bangkit memperbetulkan pencabulan ini dengan memastikan mereka tidak lagi diundi kali ini.

Dalam pada itu sebagaimana parti-parti lain yang mengemukakan calon bertanding dalam PRN ini, PAS juga mengharapkan agar kesemua 11 calon-calonnya akan mampu meraih undi dan sokongan dari pengundi-pengundi Sarawak sehingga berjaya melangkah kaki masuk ke Dewan Undangan Sarawak.

Para pimpinan, petugas dan jentera PAS telah berikhtiar sebaik mungkin “menjual” calon-calon kepada para pegundi di kesebelas kawasan DUN yang PAS bertanding walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kekangan. 

Selain itu PAS Sarawak turut melancarkan manifesto pilihanraya bertemakan “Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak”.

Manifesto PAS yang komprehensif itu menyentuh isu-isu yang dekat pada hati rakyat Sarawak iaitu termasuklah tuntutan royalti petroliam dan gas sebanyak 20 peratus, mempertahankan hak anak negeri serta memelihara hak pelbagai kaum, agama dan budaya.

Dan sebagaimana ditegaskan oleh Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Awang semasa melancarkan manifesto ini, bahawa PAS mahu berperanan sebagai parti yang menasihat kerajaan di DUN Sarawak dan akan sokong segala usaha baik yang dilaksanakan pihak kerajaan negeri untuk rakyat. Namun sekiranya dasar yang mahu dilaksanakan menekan rakyat, wakil PAS akan tentang habis-habisan kerana yang pastinya PAS bukan parti pengampu.

Dalam pada itu Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pula menyatakan bahawa kehadiran calon-calon PAS di Sarawak bukannya bertujuan memecah-belahkan rakyat di sana tetapi sesungguhnya lebih kepada mengembangkan gerak-kerja dakwah.

Berlainan parti-parti sekular yang ada PAS merupakan sebuah parti yang berteraskan tarbiyah, siyasah dan dakwah.

Dengan tanggungjawab membawa politik Islam ke tengah masyarakat PAS akan terus istiqamah dalam misi dan gerak kerjanya menyedarkan rakyat Sarawak bukan hanya dalam tempoh kempen pilihanraya ini malah sehinggalah bila-bila.

Harapan PAS untuk mencapai kejayaan kali ini tidaklah mustahil lebih-lebih lagi dengan komitmen calon-calon dan para petugas parti, serta sambutan yang diberikan oleh pelbagai masyarakat rakyat di Sarawak.

Di negeri Selangor umpamanya, selepas hampir 50 tahun mencuba tanpa jemu mendaulatkan gerak kerja dakwah Islam iaitu sejak Pilihanraya Umum pertama 1959, hanya pada Pilihanraya Umum 1999 barulah PAS berjaya memenangi kerusi. Hari ini PAS bukan sekadar pembangkang tetapi sebahagian daripada kerajaan di Selangor.

Sarawak berkat kesedaran Islam yang semakin meluas hari ini ditambah dengan kekuatan PAS sendiri, tidak mustahil walaupun baru berusia 20 tahun di negeri berkenaan, limpahan kekuatan dalaman dan luaran boleh memungkinkan PAS mencipta sejarah 7 Mei ini.

Setelah kita berusaha wajarlah kita bertawakal, dengan izin Allah swt jua jika bumi yang tandus di Semenanjung seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dahulu tidak pernah kenal PAS sebagaimana Sarawak, tidak mustahil jika Allah swt kehendaki, Sarawak boleh mencipta sejarah dan mencetus gelombang pada 7 Mei ini. 

Ya Allah perkenankanlah usaha dan doa hamba-hambu Mu ini. roslansms@gmail.com

No comments: