Tuesday, June 24, 2014

Apabila media ghairah jolok sarang tebuan (24/6/14)


Laporan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Gereja Katholik untuk mencabar KDN dalam larangan pengunaan kalimah Allah mendapat  liputan media samada yang arus perdana mahupun alternatif.
Secara peribadi saya merasakan keputusan ini suka atau tidak perlu dihormati dan jalan untuk mengelakkan sebarang konflik sewajarnya dirintis semua pihak demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara agama dan kaum.

Tetapi dari pengamatan saya beberapa pihak cuba terus menghangatkan keadaan, membakar api kemarahan dan kebencian seakan mahu menyemarakkan ketegangan antara agama.
Mahkamah Persekutuan telah mencipta sejarah apabila bersidang dengan panel 7 hakim terkanan dalam Negara bagi memutuskan permohonan ini. Tampak ada inisiatif dari pihak mahkamah mahu mencerminkan keadilan saksama dalam membikin keputusan. Inisiatif ini seakan tidak hormati dan diraikan.

Saya nyatakan demikian kerana walaupun keputusan dibuat majoriti 4-3 akan tetapi sesetengah pihak lebih ghairah mahu melaporkan keputusan minoriti 3 hakim dari melaporkan keputusan 4 hakim dipihak majoriti.
Contohnya akhbar The Star hari ini sungguhpun melaporkan bahawa majoriti 4 dari hakim yang bersidang telah menolak permohonan Gereja namun yang diberikan laporan terperinci adalah keputusan yang dibuat oleh 3 hakim minoriti iaitu Hakim Richard Malanjum (Ketua Hakim Sabah dan Sarawak), Hakim Zainun Ali (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Hakim Jeffrey Tan Kok Wha (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Memanglah hak masing-masing pihak mahu melaporkan apa sahaja yang difikirkannya wajar namun tidakkah tindakan demikian seakan mahu mengadu-domba tanpa memberi pembaca menilai rasional 4 hakim majoriti?
Demikian juga portal Malaysian Insider yang lebih ghairah lagi membawa laporan dengan tajuk “What the 3 dissenting judges said about Allah appeal”.

Portal berkenaan memberi liputan meluas keputusan 3 hakim yang meluluskan permohonan berkenaan.
Laporlah apa sahaja yang difikirkan akan menarik minat pembaca masing-masing, akan tetapi dalam kita meniti jalan demokrasi dan hak bersuara, keputusan majoritilah yang sepatutunya diberi liputan meluas agar pembaca dapat menghadamkan rasional dan menerima kenyataan.

Kalau media pun condong ke arah mencetuskan konflik dan ketegangan, apa lagi rakyat kebanyakkan. Jangan menjolok sarang tebuan!

1 comment:

Anonymous said...

kalimah Allah jadi rebutan perintah Allah jadi gurauan
sedikit yang taat pada perintah Allah
bermacam musibah sedang melanda manusia
sendiri juga mau ingat