Satu-satunya parti politik yang kekal mempertahankan
kepentingan Islam dan memperjuangkan perlaksanaan syariatnya di Malaysia adalah
PAS.
Tidak hairan apabila meletus atau tercetusnya isu-isu
berkaitan Islam, samada melibatlkan politik antarabangsa dan dunia Islam
mahupun isu-isu tempatan, maka PAS lah yang akan ke hadapan menyatakan
pendirian dan membuat desakkan.
Sesuatu yang janggal jika ada isu Islam, PAS senyap membisu
tidak bersuara atau menegur.
Murtad adalah tindakan seorang Muslim keluar meninggalkan Islam.
Ia satu kesalahan, jenayah besar dalam Islam, kerana mampu menggugat dan
mengancam kestabilan dan kekuatan Islam itu sendiri. Kerana itu sejak dari
dahulu lagi samada ia punya kuasa dan suara atau tiada kuasa dan suara PAS lah
yang akan ke hadapan menentang sebarang gejala murtad demi memelihara kesucian
dan kedaualatan Islam.
Satu kes kontroversi yang sedang hangat diperbahaskan hari
ini adalah kes melibatkan Zarena bt Abdul Majid, 32 tahun.
Ahad lalu para pegawai Jabatan Agama Islam Selangor yang
bertindak atas laporan telah pergi ke Kuil Seri Sakhti Easwari di Jalan SS1/25
Sg. Way, Petaling Jaya kerana seorang Muslim, Zarena Abdul Majid dikatakan akan
melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Hindu mengikut kepercayaan
agama Hindu.
Tindakan JAIS itu telah mendapat kritikkan banyak pihak
sehingga kerajaan Selangor sendiri melalui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim
menyatakan bahawa para pegawai JAIS yang terlibat akan dikenakan tindakan
tatatertib kerana menceroboh kuil dan menganggu majlis perkahwinan.
MB dalam kenyataannya menyebut kerajaan negeri akan membantu
Zarena yang kononnya dibesarkan sebagai seorang Hindu untuk memohon menukar
status agamanya pada kad pengenalan beliau.
Laporan awal menyebut Zarena dan adik-beradiknya “dimasukkan”
Islam oleh bapanya Abdul Majid, memetik akhbar The Malay Mail bertarikh 4 Jun
2014:
Khalid explained that he was informed by Jais this morning
that Zarena had been registered as a Muslim by her father but has never
practiced the faith and had been brought up by her Hindu mother her whole life .
(Khalid menjelaskan yang beliau dimaklumkan oleh JAIS bahawa
Zarena didaftarkan sebagai seorang Muslim oleh bapanya tetapi tidak pernah
mengamalkan ajaran Islam kerana dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh ibunya
sepanjang usianya)
Menurut akhbar yang sama lagi:
Zarena had claimed that she and her siblings were secretly
converted by her Muslim convert father when they were children, but they have
long been practising Hindu since their father divorced their mother and
abandoned the family over 20 years ago.
(Zarena mendakwa yang beliau dan adik beradiknya telah di
Islamkan secara rahsia (tanpa pengetahuan) oleh bapanya ketika kanak-kanak,
namu mereka telah sekian lama mengamalkan ajaran Hindu sejak ibu-bapanya
bercerai, dan ayahnya mengabaikan keluarga mereka 20 tahun lalu)
Laporan awal dan kenyataan Zarena serta tekanan politik
pihak-pihak tertentu telah memaksa kerajaan negeri Selangor mengambil
pendirian, iaitu tindakan JAIS itu salah dan Zarena perlu diberi laluan untuk
menukar agama menjadi seorang Hindu demi melangsungkan perkahwinannya itu.
Ternyata satu hak asasi penting iaitu “right to be heard”
atau “hak untuk didengari” iaitu hak pada bapa Zarena, seorang “player” penting
dalam kes ini telah dinafikan. Dinafikan oleh pihak-pihak berkepentingan,
dinafikan oleh kerajaan Selangor dan MB.
Mengapa Abdul Majid bin Gulam Kader, 54 tahun, bapa kandung
kepada Zarena, suami kepada Vasantha, ibu Zarena yang menurut surat beranak
mereka bernama Zainab dan beragama Islam, tidak dipanggil? Sudahkah kerajaan
negeri, sudahkah MB memberi peluang kepada Abdul Majid untuk memberikan versi
beliau dalam kes ini sebagai bapa?
Kerajaan negeri dan MB Selangor menafikan hak “right to be
heard” Abdul Majid, dan telah membuat keputusan pada saya yang terburu-buru
tanpa menyaisat secara terperinci kes ini. Begitu juga seorang ahli Parlimen
PAS, tanpa usul periksa terus memihak kepada Zarena, dengan maklumat “half
truth” dan membuat kesimpulan:
“Isu murtad mesti dibezakan antara yang asal Islam dan yang
memeluk Islam kerana berkahwin atau namanya dan status agamanya ditukar menjadi
Islam sedangkan dia beramal dengan agama lain….”
Saya dengan seorang sahabat, seorang Ustaz melalui bantuan
seorang wartawan telah menjejaki Abdul Majid siang tadi demi mendapatkan versi
seorang ayah yang merupakan individu penting dalam kes kontroversi ini.
Saya yakin ramai kita mahu tahu dari Abdul Majid sendiri,
apa sebenarnya berlaku sehingga anak kandung beliau boleh mendakwa dirinya Hindu
dan mahu dikahwinkan dalam upacara Hindu
Benarkah beliau sebagaimana didakwa oleh seorang ahli
Parlimen PAS, nama asalnya adalah S Mahendran dan memeluk Islam dengan
menggunakan nama Abdul Majid? Benarkah
ibu Zarena, Vasantha, sebagaimana dakwa
ahli Parlimen tadi ….. “sedangkan ibunya kekal pada agama asal” seorang yang
kekal pada agama asal iaitu Hindu? Benarkah Zarena dan adik beradiknya tidak
pernah dibesarkan sebagai anak-anak Muslim? Dan banyak lagi soalan-soalan
penting.
Adapun maklumat yang dapat saya pungut dari batang tubuh
Abdul Majid sendiri adalah seperti berikut:
1. Bapanya Gulam Kader berketurunan Pakistan, seorang Muslim
dan ibunya berketerunan India dan memeluk Islam. Lantas menjadikan Abdul Majid
seorang Muslim sejak lahir (menyanggah anggapan ahli Palimen PAS di atas tadi)
Berikut saya berikan gambar kad pengenalan Abdul Majid yang
sempat saya rakamkan.
2. Beliau mengenali Vasantha (ibu Zarena) dan kemudiannya
bernikah dengannya atas dasar suka sama suka setelah Vasantha di Islamkan di
Ibupejabat PERKIM KL dan mengambil nama Zainab pada tahun 1979 (sekali lagi
menyanggah anggapan bahawa Vasanta adalah seorang Hindu dan tidak pernah
memeluk Islam).
3. Kesemua anak-anaknya iaitu Zarena, Shahull Salleh 30,
Zaleha 28, dan Abdul Gulam 24 adalah Muslim kerana beliau (Abdul Majid) adalah
Muslim dari lahir dan ibu mereka Zainab telah memeluk Islam apabila bernikah
dengannya pada tahun 1979. Buktinya nama Zainab sebagai ibu terkandng dalam
surat beranak kesemua anak-anaknya itu.
4. Semasa kecil anak-anak beliau telah disekolahkan dan
bercampur dengan anak-anak jiran yang Muslim dan terdedah sedikit sebanyak kepada
amalan dan pendidikan Islam memandangkan mereka masing-masing memegang surat
beranak sebagai seorang Muslim.
5. Sejak berkahwin 1979 itu beliau dan Zainab tinggal
sebumbung sehingga mendapat anak-anak. Pada tahun 2000 beliau dihalau keluar
oleh isteri dan anak-anaknya semata-mata kerana beliau menegur anak
perempuannya agar menjaga diri dan memelihara maruah. Insiden 14 tahun dahulu
itu berlaku ketika Zarena sudah dewasa (berumur kira-kira 18 tahun). Sedangkan
kita diberi gambaran seolah Abdul Majid tidak pernah terlibat dalam pembesaran
anak-anaknya.
Abdul Majid akui isterinya sangat berpengaruh ke atas
anak-anak mereka. Isterinyalah yang telah membawa anak-anaknya menjauhi Islam.
Soalnya sebagai seorang Muslim, yang tahu dan sedar bahawa
anak-anaknya semua adalah Muslim, Abdul Majid enggan memberikan persetujuan
sehingga memungkinkan mana-mana anak-anaknya menjadi murtad dan menukar agama.
Apakah sahih dan benar belaka kata-kata Abdul Majid ini?
Pihak bertanggungjawab perlu siasat dan ruang seluas-luasnya perlu diberikan
agar penyiasatan terperinci dibuat sebelum sesuatu pendirian atau keputusan
dibuat. “Right to be heard” perlu dihormati dan diberikan kepada semua pihak
yang terlibat.
Berdasarkan apa yang saya kaut dari Abdul Majid, beliau
adalah seorang Muslim sejak lahir, isteri yang beliau nikahi, Vasantha telah
memeluk Islam dan mengambil nama Zainab sejak 1979. Anak-anak mereka semua
Muslim kerana beliau dan isterinya tetap Islam dan tiada permohonan murtad dari
mana-mana pihak.
Jika saya dalam situasi dan suasana Abdul Majid saya juga
tidak akan rela dan redha melihat anak-anak saya menukar agama.
Apa pun kebenaran mestilah dibongkar. Jangan dengar dan
raikan suatu pihak sahaja dalam kes sensitif dan kontroversi ini. Keputusan
yang telah dibuat oleh kerajaan negeri boleh disemak semula kiranya ada “new
evidence” atau bukti-bukit baru.
Bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus,
tepung tidak berselerak.
PAS mesti ke hadapan dalam kes ini dan biarlah kebenaran
terserlah sejelas-jelasnya.
1 comment:
Saudara Roslan, sekadar bertanya. Ada saudara tanyakan si ayah, mengapa anak isteri beliau membesar sebagai Hindu? Sejak bila?
Yang lebih penting, kita patut bertanya beliau ada lagi tak, pada pengetahuan beliau, kes-kes sebegini. Keluarga Islam tampa bimbingan, yang kemudiannya mengamalkan ajaran lain. Kita patut mengenal pasti 'Zarina' Zarina yang lain.
Kes permohonan pertukaran agama ini akan dibawa ke Mahkamah. Jadi versi siapa yang lebih benar akan terungkai di sana. InsyaAllah.
Post a Comment