Tiada sebarang peruntukan undang-undang mewajibkan saudara
baru untuk menukar nama kepada nama Islam dan menukar kad pengenalan dengan
maklumat baharu, demikianlah penjelasan pihak kerajaan di Dewan Negara semalam.
“Mereka hanya dinasihat menukar status agama dan nama di
Jabatan Pendaftaran Negara,”demikian jelas Timbalan Menteri di JPM, Dr Mashitah
Ibrahim.Soal tukar nama mungkin tidaklah berapa penting dan tiada keperluan akan tetapi memasukkan status baru, iaitu Islam, dalam kad pengenalan setelah memeluk Islam, dirasakan sesuatu yang wajar dan penting kerana ia bakal menyelesaikan kemelut yang kita hadapi kebelakangan ini yang mencetuskan pelbagai kontroversi.
Apabla berlaku kematian, apabila berlaku isu hak penjagaan
anak-anak di sanalah sering isu ini timbul, dan kita seakan tiada penyelesaian
yang meyakinkan.
Akibatnya berlakulah insiden rampas-merampas mayat untuk
dikebumikan, apabila pihak keluarga simati tidak tahu menahu darihal pertukaran
status tadi.
Kerana itu satu mekanisma yang lebih kemas perlu
diperkenalkan. Tidak cukup dengan pihak jabatan agama mengeluarkan kad memeluk
Islam, yang penting adalah pertukaran status dalam kad pengenalan. Benar
kadangkala yang memeluk Islam mahu atau perlu merahsiakan pengislamannya dari
pengetahuan keluarga atas sebab-sebab tertentu, tetapi demi kepentingan semua
khasnya memelihara maruah dan maratabat Islam sendiri, pertukaran status agama
dalam kad pengenalan perlulah diwajibkan.
Kita tidak mahu melihat isu rampas-merampas mayat contohnya
memberikan gambaran buruk terhadap Islam. Biarlah status dalam kad pengenalan,
apabila telah diwajibkan ke atas yang memeluk agama Islam menukar statusnya, menjadi
penentu agama akhir simati.
Kita mahu hidup aman dan lantaran menyedari hakikat
berbilang agamanya rakyat Negara ini, kerajaan perlu serius dalam hal ini.
No comments:
Post a Comment