Wednesday, December 05, 2012

Tarikh pilihanraya: suatu penantian yang menyiksa (5/12/12)


Perhimpunan Agung Umno 2012 telah datang dan pergi. Bagi rakyat Malaysia yang tak sabar-sabar menunggu tarikh pembubaran Parlimen, agak kecewa apabila tiada langsung petanda yang diberikan oleh pimpinan Umno khasnya Presiden Umno selain menyebut sudah semakin dekat. Memang dekat iaitu April 2013, tetapi ramai yang beranggapan bahawa kemungkinan besar tarikh tersebut diumum oleh Presiden Umno yang juga PM semasa ucapan penangguhan beliau, tetapi tidak juga.
Maka sekali lagi kita semua perlu menunggu, dan nampaknya tukang telek dan ahli nujum sudah tiada banyak pilihan, jika tidak Disember 2012, Januari 2013, Febuari, Mac atau April…..

Apa pun ternyata BN terpaksa menganggap pilihanraya kali ini adalah yang paling genting dan mencabar buatnya. Buat pertama kali mereka berhadapan dengan saingan yang setanding dalam sejarah pilihanraya Malaysia. Apakah bakal berlaku kejutan, segalanya terpulanglah kepada rakyat jelata dan sudah pasti ketentuan Allah swt.
Di Selangor, secara peribadi saya tidak nampak BN punya banyak tenaga untuk merampas kembali negeri ini dari pimpinan PR. Presiden Umno sepatutnya mengumumkan nama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, bagi menampakkan kebersediaan mereka bertempur dengan BN, malangnya tidak dan beliau masih memegang jawatan itu sekaligus menunjukkan Umno dan BN tidak punya pemimpin yang berkaliber untuk disabungkan di negeri ini.

Presiden Umno sudah menyatakan bahawa kali ini BN akan menyediakan calon-calon yang mampu menang “winnable” candidates, sudah pastilah banyak muka baru dan difahamkan yang tiada jawatan diperingkat bahagian juga akan di payung-terjunkan demi memberi harapan buat Umno dan BN.
Kerana itulah kekhuatiran Presiden Umno darihal isu sabotaj dalam parti ditekankannya berkali-kali dalam ucapan pennagguhan beliau.

Marilah kita saksikan nanti apakah “winnable” candidates itu benar-benar “winnable” atau sebaliknya menjadi “debacle” atau malapetaka buat Umno dan BN.
Sementara itu PR juga tidaklah boleh terlalu “over confident” atau berangan-angan Mat Jenin. Kerja kuat perlu diteruskan dan selain itu calon-calon juga mestilah dipastikan dikalangan mereka yang benar-benar berkaliber dan punya kemampuan sebagaimana dikehendaki rakyat. Jangan pula PR yang bermasalah dalaman. Berebut-rebut dan “sabotaj” dalam isu pemilihan calon.

Bagi PAS , “SOP (standard operating procedure) ” nya telah ada dengan mekanisma tapisan oleh Majlis Syura, pastikan benar-benar menepati kehendak yang diputuskan. Jangan ada yang “melobi”, meminta-minta jadi calon, kerana itu dalam Islam merupakan satu tegahan. Saya masih ingat dalam satu pilihanraya kecil, pemimpin tertinggi PAS lantaran disiplin Islam yang disebutkan menggugurkan nama seorang calon atas dasar ini. Ramai yang terkejut dan tidak puas hati, tetapi beliau tetap berpegang dengan disiplin berkenaan dan Alhamdulillah calon yang dipilih telah menang besar dalam pilihanraya kecil itu.
PAS mengikut sejarahnya tidak pernah menghadapi masalah pemilihan calon. Almarhum Dr Burhanuddin walau berasal dari Perak telah bertanding dan menang di Besut, begitu juga Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad di Bachok, Khatijah Sidek di Dungun dan seumpamanya. Tidak pernah ada halangan dari “warlords” tempatan dalam soal pemilihan calon bagi PAS, janganlah kerana sudah menang besar hari ini PAS juga macam Umno sudah ada “warlords” tempatan, negeri dan seumpamanya.

Jika mampu mengekalkan kehormatan Islamnya sebagaimana dahulu insyallah ia punya potensi besar kali ini.
Berbalik kepada Perhimpunan Agung Umno yang lepas, saya terkejut apabila menjelang perhimpunan itu seorang rakan “blogger” membuat posting dalam blognya:

“Diberitakan beberapa orang politik yang sebelum ini bersama Pas akan mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Umno pada perhimpunan tersebut. Antara orang yang bakal menyertai Umno ialah bekas dua pemimpin tertinggi Pas.”
Walaupun “blogger” taraf “superstar” itu memulakan postingnya dengan:

“Khabar Angin - iya atau tidak bergantung kepada keadaan.”

Tetapi ternyata maklumat atau khabar angin atau terjahan beliau itu tidak berasas. Tiada pun bekas pemimpin PAS yang lompat masuk Umno sepanjang perhimpunan berkenaan. Bermakna “iya” atau “tidak” beliau itu berkesudahan dengan “tidak”. Namun sebagai seorang “blogger” yang “pro” saya merasakan sekurang-kurangnya beliau akan menjernihkan kembali “iya” atau “tidak” beliau itu dengan penjelasan bahawa ia tidak berasas atau menariknya, malangnya sampai hari ini “posting” tersebut masih melekat di blog beliau dan tiada kisah apa pun dari beliau berkenaannya.
Begitulah kalau “blogger” mahu cetuskan sensasi. Cuma saya merasakan kita mesti ada pertanggungjawaban jika tidak pun sebagai seorang “blogger” yang professional, setidak-tidaknya sebagai seorang Muslim. Fitnah itu berat …… Jangan kerana kebencian atau tidak puas hati kita kepada seseorang menjadikan kita mebelakangkan akhlak dan keperibadian Islam dalam pendekatan kita.

Apa pun biarlah siapa yang mahu menang, menang dengan penuh maruah, barakah dan naungan Allah swt. Jangan menang dengan fitnah dan adu domba, carut dan maki (memang seorang rakan “blogger” tersohor juga ringan kaya betul dengan perbendaharaan kata lucah dalam tulisannya – tapi popular juga!). Islam itu Allah janji akan menang, dan ia akan menang dengan keperibadian dan akhlak Islam, bukan sebaliknya.
Selamat menunggu lagi tarikh pilihanraya.

 

 

No comments: