Kes Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati
oleh anggota polis di Shah Alam pada bulan April tahun 2010 kini bergelora
kembali. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah menolak keputusan
Mahkamah Sesyen yang sebelum ini mendapati Koporal Jenain Subi bersalah atas
tuduhan membunuh tanpa niat apabila melepaskan 20 das tembakan terhadap
kenderaan yang dipandu Allahyarham sehingga mengakibatkan beliau terbunuh.
Beliau dihukum 5 tahun penjara.
Dengan keputusan tersebut Mahkamah Tinggi telah membebaskan
Korporal Jenain.
Sudah pastilah keputusan ini membangkitkan kemarahan
keluarga Allahyarham dan mereka yang marah dengan kejadian berkenaan. Apa pun
pihak Peguam Negara masih boleh merayu terhadap pembebasan ini dan proses
perundangan masih belum selesai.
Apa yang mahu saya bangkitkan di sini adalah penerimaan kita
terhadap proses perundangan dan badan kehakiman dalam Negara. Saya tidak
bermaksud mahu menyebelahi mana-mana pihak kerana saya masih ingat ketika kes
ini meletus saya turut berada di Balai Polis Shah Alam mengiringi pimpinan
parti membuat laporan polis terhadap kejadian berkenaan.
Apa yang mahu dibangkitkan di sini adakah kita menganggap
badan kehakiman itu adil apabila keputusan memihak kepada kita dan tidak
apabila sebaliknya? Harus diingat dalam kes ini proses kehakiman masih belum
muktamad kerana keputusan Mahkamah Tinggi masih boleh dicabar.
Sekadar mengambil kes ini sebagai contoh, tanpa merujuk
kepadanya secara spesifik, saya rasa kita perlu meneliti hal ini, kerana
seingat saya antara pemimpin politik yang mula-mula membangkitkan protesnya
terhadap Badan Kehakiman adalah Tun Dr Mahathir ketika beliau menjadi PM.
Ini pernah ditegaskan oleh Tun Musa Hitam (apabila berhenti
dari menjadi TPM) bahawa apabila sahaja mahkamah tidak memihak kepada kerajaan
maka TDM akan menuduh bahawa hakim berkenaan anti kerajaan. Natijah kita telah
lihat apabila TDM memecat Ketua Hakim Negara ketika itu dan beberapa hakim lain
menjadikan beliau Perdana Menteri pertama bertindak ke atas hakim-hakim.
Tetapi itu kes 1988 iaitu lebih 20 tahun lalu. Ada diantara
hakim yang dipecat telah pun meninggal dunia dan TDM pun bukan PM lagi hari
ini.
Adakah badan kehakiman kita hari ini telah pulih atau masih
ditakuk 20 tahun lalu atau bagaimana?
Adakah pihak kerajaan menguasai keputusan kehakiman atau
tidak atau bagaimana?Pasca krisis 20 tahun lalu kita melihat ramai muka-muka baru telah duduk di bangku institusi berkenaan. Memang sebagai manusia ada keputusan yang kita setuju dan ada juga yang kita tidak berpuas hati. Jadi dimanakah duduk kita sebenarnya?
Berbalik kepada kes ini saya merasakan pihak Peguam Negara
wajib merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan. Kegagalan berbuat
demikian akan membangkitkan protes ramai. Namun dalam waktu yang sama kiranya
segala proses perundangan dan kehakiman telah mukatamad, semua piohak perlu
berlapang hati dan menerimanya.
Jika tidak maka kita menghukum badan kehakiman kita sebagai
curang dan tidak adil, benarkah begitu?
No comments:
Post a Comment