Wednesday, August 31, 2011

Selamat menyambut Kemerdekaan Negara ke 54

Hari ini kita berada pada tarikh keramat 31 Ogos, tanggal Kemerdekaan Negara yang diisytiharkan kira-kira 54 tahun dahulu iaitu pada tahun 1957. Imperalis British merupakan penjajah terakhir Negara sebelum itu Jepun sepanjang Perang Dunia Kedua.

Sewajarnya kita bersyukur kerana Negara memperoleh kedaulatan sekian lama, kita bebas merdeka menentukan nasib dan masadepan kita tanpa belenggu dan pengaruh sesiapa pun. Kita yang menentukan cara hidup kita dalam proses demokrasi berparlimen yang kita anuti.

Yang jelas Kemerdekaan Negara diserahkan kepada Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman pada tarikh berkenaan yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Sebelum tanggal Merdeka itu beberapa persitiwa penting dan bersejarah berlaku antaranya Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955 dan keduanya Rundingan Baling iaitu rundingan antara wakil kerajaan diketuai Tunku dan pimpinan Parti Kominis Malaya yang diharamkan diketuai Chin Peng dan Allahyarham Rashid Maidin.

Perjuangan menuntut kemerdekaan Negara ini sesungguhnya suatu perjuangan yang panjang dan membariskan banyak nama. Ada yang masih dalam tinta sejarah Negara dan ada yang dilupakan begitu sahaja.

Bermula seawal Dato Maharajalela di Perak, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain-lain. Semuanya berjuang membebaskan tanahair dari pengaruh dan belenggu penjajah. Malah kita jangan lupa Sultan Mahmud, pemerintah terakhir di Melaka merupakan pejuang terbesar mempertahankan kedaulatan bumi Melaka dari penaklukan penjajah Portugis pada tahun 1511.

Hari ini 54 tahun lalu, Almarhum Tunkulah yang telah menempa nama sebagai Bapa Kemerdekaan. Namun sebaris dan sezaman dengan Tunku hakikatnya ramai lagi yang berjuang menurut cara dan kaedah masing-masing, cuma ditakdirkan peluang diraih oleh Tunku. Kita jangan lupa ramai yang lain yang turut menyumbang dan memain peranan.

Dato Onn yang mengemuruhkan semangat menentang Malayan Union tahun 1946 sebelumnya tidak senasib Tunku tetapi beliau juga menyumbang jika tidak kerana ditolak Umno lantaran idea beliau membuka Umno kepada kaum lagi barangkali datuk Hishamuddin itulah PM yang pertama.

Begitu juga Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi yang meniup semangat kemerdekaan jauh sebelum Umno berani memikirkan slogan kemerdekaan. Berjuang dari dalam dengan bekerjasama dengan Imperalis Jepun, Almarhum hampir diserahkan kunci kemerdekaan Negara jika tidak kerana Jepun tiba-tiba menyerah kalah sudah pasti Bapa Kemerdekaan Negara dikenali dengan nama Burhanuddin.

Malah selain Dato Onn, dalam Umno sendiri wira mereka yang berjuang bertungkus lumus pun ada yang disishkan begitu sahaja umpama Allahyarham Khatijah Sidek yang sekadar berdiri sesama ribuan yang hadir pada malam Union Jack diturunkan di padang Selangor Kelab (kini Dataran Merdeka). Dalam memoir beliau ada dinukilakn betapa sebaknya hati beliau melihat persitiwa berkenaan di barisan rakyat biasa sedangkan beliaulah yang telag berkorban dan mengembeling tenaga menghidup dan member nyawa kepada Wanita Umno, sebelumnya Kaum Ibu Umno dalam meneyemarakkan sokongan kaum wanita terhadap Umno.

Saya percaya ramai lagi nama-nama lain yang sebaris dengan mereka ini. Ibrahim Yakub, Mokhtaruddin Laso, Ustaz Abu Bakar al Bakir, Ahmada Boestamam, Shamsiah Fakeh antaranya. Begitu juga penduduk kampong di Temerloh, di Gunung Semanggol, di Hulu Langat dan banyak lagi ceruk rantau Negara.

Cuma memang ada yang memilih haluan kiri, masuk ke hutan berjuang bersama pihak kominis lalu lantaran anutan fahaman mereka terpaksa berbunuhan sesama anak bangsa yang berkhidmat dan bekerja dengan penjajah sebagai pasukan keselamatan tempatan.

Di sinilah kita berbelah bahagi samada mengiktiraf mereka ini atau sebaliknya. Dr Burhanuddin contohnya sebagaimana saya sebut di atas pernah berkhidmat sebagai Penasihat Agama dan Adat Istiadat Melayu kepada penjajah Jepun, tetapi Almarhum tidak terlibat dalam aktiviti keganasan sebagaimana yang dikaitkan dengan Tentera Jepun itu.

Yang kiri dan mengenakan seragam PKM atau Regimen ke 10 ini berbeza. Mereka pejuang ideologi dan berjuang dengan misi utama membebaskan Malaya dari penjajah dan menubuhkan sebuah Daulah Kominis mirip Soviet Rusia (satu ketika dahulu) dan kemudiannya Kominis Cina.

Secara peribadi saya kagum dengan disiplin perjuangan mereka. Kebetulan saya sempat bersama dengan Allahyarham Shamsiah Fakeh sebelum beliau meninggal dunia. Walaubagaimanapun sebagai seorang Islam saya tidak menerima anutan politik mereka ditolak oleh Islam dan semua gerakan Islam seluruh dunia.

Berbalik kepada mereka yang menyumbang dan berperanan dalam perjuangan kemerdekaan Negara saya teringat sebuah buku karangan Allahyarham Ahmad Boestamam yang pernah saya catatkan dalam posting saya di blog ini. Betapa Pak Boes ada mencatatkan bagaimana para pelacur di Kuala Lumpur juga pernah ditahan oleh Biritish bersama pejuang-pejuang politik pada tahun 40an termasuk Pak Boes. Menurut Pak Boes beliau sempat bertanya beberapa pelacur mengapa mereka ditahan dan dibawa ke kem tahanan politik Biritish sedangkan mereka bukan orang politik. Kata mereka kerana mereka membocorkan rahsia tentera Biritish kepada orang-orang Ibrahim Yakub dan Mokhtaruddin Lasso.

Catatan sejarah sudah pasti tidak akan memuatkan peranan para pelacur seumpama ini, tetapi itulah hakikatnya betapa berbagainya manusia yang telah menyumbang kepada kemerdekaan Negara bertuah ini. Ada yang disanjung dan ada yang hanya terbiar begitu sahaja.

Selamat menyambut Kemerdekaan Negara yang ke 54 semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang ikhlas berkorban sehingga memungkinkan kami hidup aman dalam Malaysia Merdeka hari ini. Amin.

Sunday, August 28, 2011

Bala Allah di ambang Syawal

Diambang Syawal ini Allah swt mentakdirkan angin ribut melebihi 100 batu sejam melanda pantai timur Amerika Syarikat.

Diketika ini CNN melaporkan ombak besar, banjir kilat dan angin ribut melanda beberapa negeri di pantai timur AS. North Carolina. Delaware, Virginia, New Jersey, Philadelphia Bandaraya New York dijangka akan dilanda angin ribut Hurricane Irene awal pagi Ahad ini. Menurut BBC setakat ini 8 sudah terkorban. Difamakan semua penerbangan ke sana telah dibatalkan.

Sekuat dan sehandal AS rupanya tiada yang dapat mengatasi kekuatan dan murka Allah swt, Subhanallah!

Rupanya Eidul Fitri bukan sekadar waktu bergembira, ada juga yang Allah terus uji dan bagi saudara-saudara kita di AS dengan bencana alam ini

Semoga Allah swt melindungi mereka semua di sana. Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami, kasihanilah kami, jangan Engkau timpakan bala bencana Kamu ke atas kami yang lemah ini

Friday, August 26, 2011

Salam Eidul Fitri


Hari ini Jumaat 26 Ramadhan masih hari bekerja malah sepatutunya Isnin 29 Ramadhan juga adalah hari bekerja. Namun saya kira kebanyakkan kita sudah terhidu harum Eidulfitri dalam erti kata lain sudah dalam “mood” Raya.

Ada yang sudah bercuti hari ini atau merancang balik kampong selepas waktu pejabat hari ini. Apa pun bagi mereka yang akan berangkat pulang ke kampong masing-masing jika memandu atau menonggang motorsikal saya nasihatkan berhati-hatilah ketika di jalanraya. Jika mengantuk rihat dan tak perlulah pandu laju-laju insyallah selamat.

Bagi yang menaiki pengangkutan awam perhatikan drebar atau pemandu anda , kalau nampak macam mengantuk jangan diamkan suruh dia berhenti berihat. Puluhan nyawa berada dalam kenderaannya.

Saban tahun kita melihat berpuluh yang terkorban di jalan-jalan raya menjelang dan sesudah Hari Raya. Sudah barang tentu disaat yang gembira ini segalanya berkecai jika kematian ngeri seumpama ini berlaku.

Begitu juga kita wajar pastikan rumah dan hartabenda kita yang ditinggal semasa kita pulang ke kampong selamat. Jangan nanti ketika kita bersuka-ria di kampong rumah dimasuki penceroboh.

Dalam kesempatan penghujung Ramadhan dan menjelangnya Syawal ini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Eidulfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua penjenguk dan pengunjung blog ini. Semoga Allah swt menerima ibadah Ramadhan kita dan diberikan Nya kekuatan bagi kita menempuh bulan-bulan berikutnya sehinggalah bertemu Ramadhan yang akan datang.

Tuesday, August 23, 2011

Apa khabar adinda DHUAT.....

Saya gembira menerima SMS dari sahabat lama DHUAT yang boleh dilayari blognya di http://kaset79.blogspot.com/ . Beliau SMS bertanyakan khabar dan saya maklumkan padanya memang kebetulan kebelakangan ini saya terfikirkan beliau, begitulah ikatan persahabatan yang ditaut oleh keimanan dan ketaqwaan barangkali.

Beliau ini istimewa kerana beliaulah yang telah mendorong saya menghidupkan blog ini pada bulan Mei 2004, subhanallah sudah kira-kira 7 tahun lebih. Blog ini dibina oleh beliau dan binaannya kekal sehingga ke hari ini, saya cuma mengisinya dengan posting hinggalah kesat ini.

Beliau berkongsi minat dengan saya dalam mengeluarkan pandangan-pandangan terhadap sebarang dan apa sahaja isu. Kami pernah belumba-lumba membaca buku, kalau berjumpa masing-masing akan update buku apakah yang sedang dibaca, begitulah kami.

Minat saya membaca memang tidak pernah berhenti. Saya biasanya membeli buku yang saya minati dan membaca kadangkala dua tiga buah buku dibaca berselang-selang. Sekarang ini untuk pengetahuan adinda DHUAT saya sedang membaca 1) A doctor in the house karangan Tun Dr M 2) Hikayat Abdullah oleh Hamzah Hamdani berkenaan Abdullah Munshi 3) The Golden Chersonese oleh Isabella Bird – berkenaan pelayaran dan catatatn kunjungan penulis ke Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu sekitar 1870an.

Saya juga dalam bulan Ramadhan ini baru membeli koleksi buku fiqah sebanyak 3 jilid iaitu Alfiqh Alwadhih atau Fiqah Lengkap karangan Dr Muhammad Bakar Ismail sebagai bahan rujukan.

Insyallah saya akan berkongsi dengan pengunjung blog ini beberapa penemuan menarik dalam pembacaan saya itu terutama dalam “Hikayat Abdullah” dan “The Golden Chersonese”.

Munsyi Abdullah ada menulis: “Kata orang arif: Apabila engkau mendapat wang, belikan emas; jualkan emas itu, belikan intan; jualkan intan, belikan manikam; jualkan manikam, belikan ilmu.”

Kemiskinan perlu segera ditangani

Sebuah hadis Rasulullah saw menyebut bahawa: “Hampir sahaja kemiskinan berubah menjadi kekufuran”. Saya sengaja membawa perkara ini apabila membaca dua laporan akhbar yang berbeza pagi ini.

Pertama tentang cadangan kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah membantu mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan di dalam Bajet akan datang. Presiden CUEPACS dipetik menyebut bahawa ramai kakitangan awam terpaksa melakukan kerja sampingan bagi menampung kehidupan masing-masing akibat kenaikan kos hidup yang tinggi.

Kedua yang jauh berbeza dari di atas adalah berkenaan rompakan ke atas sebuah kafe siber haram di Sungai Buloh Selangor yang mengakibatkan seorang perompak ditembak mati dan beberapa suspek ditahan. Menurut sumber polis simati dan suspek yang ditahan dipercayai anggota tentera dan ada dianataranya berumur sekitar 20an.

Adakah kesempitan hidup kini benar-benar kritikal, suatu isu yang bukan lagi merupakan masalah politik tetapi realiti yang mengancam dan perlu ditangani secara serius oleh semua pihak? Kita tampak gah di luaran tetapi hakikatnya ramai yang terpukul menderita akibat kenaikan kos hidup lantaran ketenatan ekonomi dunia.

Faktor kemiskinan boleh menjadi satu ancaman kerana ia mampu mendesak mereka yang lemah iman melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan penderitaan diri dan keluarganya walaupun langkah itu haram atau membahayakan diri dan keluarganya.

Semua pihak kena beri perhatian dalam perkara ini. Ini masalah benar yang terlonggok di hadapan kita dan inilah yang perlu diberi keutamaan dan perhatian berbanding isu dan perkara lain kerana jika tidak “kekufuran” akan berleluasa!

Semoga Allah swt memberika kekuatan kepada kita dalam bulan Ramadhan ini agar kita mampu bangkit dari masalah besar ini.