Wednesday, April 06, 2011

Umno parti ultra rasis

Oleh kerana interviu itu diterbitkan oleh akhbar berbahasa Mandarin, maka tiadalah ia mendapat liputan meluas akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang lain kecuali beberapa ulasan kecil di sini-sana. Lantaran itu tidaklah ia diperbahaskan oleh kalangan media Melayu sebagaimana hangatnya ia diperbahasakan dalam media yang lain.

Interviu yang dimaksudkan melibatkan ahli majlis Tertinggi Umno yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Nazri Tan Sri Aziz dalam akhbar Nanyang Siang Pau baru-baru ini.

Antara isu menarik yang berbangkit dari interviu itu adalah ulasan Nazri sendiri terhadap kedudukan parti-parti komponan BN khasnya MCA, MIC dan Gerakan. Sebagaimana yang kita ketahui parti-parti berkenaan menerima tamparan hebat dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu apabila kalah teruk termasuklah pupus dari sudut poilitik di negeri-negeri tertentu. Gerakan contohnya hilang terus dari bumi Pulau Pinang termasuk kerusi parlimen Presidennya, MIC juga begitu apabila kesemua calon DUN nya tewas di Selangor dan Pulau Pinang, manakala Presidennya sendiri kecundang di Sungai Siput.

MCA yang merupakan rakan kongsi Umno di Selangor kalah teruk dengan bertahan cuma di dua kerusi DUN iaitu Sungai Pelek dan Kuala Kubu Bharu. Ramai pemimpi n kanan MCA tewas di kerusi Parlimen masing-masing.

Kini tiga tahun telah berlalu sejak pilihanraya umum berkenaan, dan bagi Umno yang lebih baik nasibnya berbanding ketiga-tiga parti bukan Melayu itu sudah pastilah merasakan mereka lebih punya potensi politik berbanding parti-parti berkenaan kiranya dipanggil Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Siapa lagi jika bukan Nazri yang memang memiliki karektor “ringan mulut” atau dalam isitilah nakal hari ini, “tidak sayang mulut” yang berani bangkit menyuarakan pandangan terus terang terhadap keupayaan dan kemampuan MCA, MIC dan Gerakan membantu BN dalam pilihanraya akan datang. Ramai yang melihat kritikan Nazri itu sesungguhnya mewakili isihati pemimpin dan ahli-ahli Umno yang lain. MCA, MIC dan Gerakan yang satu ketika dahulu diharapkan meraih sokongan pengundi bukan Melayu bagi mengukuhkan kedudukan BN dan sekaligus survival Umno rupa-rupanya hari ini sudah hilang kuku dan taring, sudah tenat dan tiada berguna lagi buat BN khasnya Umno.

Kata Nazri, MIC contohnya yang diberikan bertanding 6 kerusi DUN di Perak, tewas di kesemua kerusi berkanaan, maka wajarlah kiranya PM Najib Tun Razak mahukan cuma “winnable candidates” atau calon-calon yang berupaya menang menjadi calon-calon BN, kesemua kerusi MIC itu di Perak di serahkan sahaja kepada Umno untuk ditandingi.

MCA pula kata Nazri dalam interviu berkenaan bagaikan seorang wanita yang bermasalah dan seorang isteri yang saban hari mengadu yang ia didera suaminya namun tidak mahu menuntut cerai. Dalam ertikata lain MCA sejak kalah terlalu menampakkan masalah, maka lebih baiklah bagi MCA menuntut cerai dari BN dan membawa nasibnya sendiri tanpa memudaratkan BN.

Gerakan pula menurut Nazri hanya ketara diperingkat Pusat manakala telah hilang sama-sekali kekuatan di peringkat akar umbi. Ini bermakna jika tidak kerana Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dilantik menjadi Senator dan Menteri oleh PM, Gerakan sudah terkubur, sebagaimana nasibnya di Pulau Pinang hari ini.

Nazri membayangkan ketiga-tiga parti bukan Melayu it hari ini sudah tidak relevan lagi malah lebih merupakan liabiliti buat BN kiranya mereka terus dibenarkan mengeklakan “status quo” mereka sebagaimana pra PRU 2008 lalu. Ternyata pengundi bukan Melayu khasnya pengundi Cina sudah berkerat rotan berpatah arang dengan ketiga-tiga parti berkenaan. Pandangan Nazri itu seolah mengisyaratkan kepimpinan Umno agar mengambil-alih sahaja kerusi-kerusi yang Umno lebih punya potensi berbadn ing ketiga-tig aparti itu.

Sesungguhnya Umno hari ini melihat mereka sudah tidak lagi memerlukan MCA, MIC dan Gerakan sebagaimana dahulu. Mereka merasakan dengan kononnya sokongan orang-orang Melayu semata-mata mereka sudah boleh berenang kembali ke mercu kuasa khususnya di Kedah, Selangor dan mungkin juga Kelantan. Jika ketiga-tiga parti itu terus kekal bertanding di kerusi-kerusi yang mereka tandingi dahulu BN akan terus kalah dan kemungkinan tidak mustahil Umno juga akan menerima padahnya sebagaimana ia hilang takhta MB di Selangor, Perak dan Kedah.

Pandangan Nazri itu sebagaimana dijangka telah menerima kecaman hebat dari ketiga-tiga rakan setia BN itu. Bagi mereka Nazri biadap dan sengaja mahu memecahkan perpaduan BN. Tetapi adakah Nazri memberikan pandangan peribadinya atau sebenarnya ia mewakili sentimen dan pandangan pimpinan dan ahli-ahli Umno akar umbi.

Hari ini Umno berbesar kepala seolah ialah yang paling kuat dalam BN hari ini. Memang benar MCA, MIC dan Gerakan menerima padah kebangkitan pengundi bukan Melayu menolak BN dalam PRU lalu tetapi hakikatnya Umno apa kurangnya. Umno turut menyumbang ke arah kekalahan besar itu kerana pimpinan Umno juga banyak mencetuskan masalah dan kontroversi. Umno lupa bahawa ketempangan dan kepincangan pentadbiran BN lalu turut disumbang oleh mereka di berbagai peringkat. Tetapi lantaran kekalahan mereka tidak sebesar ketiga-tiga parti itu maka yang tampak berdosa hanyalah MCA, MIC dan Gerakan bukannya mereka.

Jika diteliti pandangan Nazri itu Umno sebenarnya menuju ke arah menjadi sebuah parti “ultra” rasis yang merasakan ia sudah tidak perlu pada sokongan bukan Melayu. Umno mahu lebih menonjolkan agenda Melayu semata-mata, terus bersekongkol dengan MCA, MIC dan Gerakan akan bermakna mereka juga akan ditimpa nasib yang sama. Kerana itu dalam keadaan tidak menetu Umno sanggup menembak rakan-rakannya sendiri.

Dalam pada itu sudah tiba masanya juga barangkali bagi ketiga-tiga komponan BN itu menyemak semula kedudukan mereka dalam BN. Lebih baik bercerai sahaja dengan Umno dan BN memandangkan jasa dan kehadiran mereka sudah tidak lagi dihargai dan diharapkan. Saya percaya masih banyak ruang dan tempat kosong dalam Pakatan Rakyat.

Biarlah Umno bersendirian, kerana jika demikian akan lebih pantaslah tiba tarikh luputnya nanti.

ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Sdr. Roslan,

Bagi saya ini merupakan satu "spin" yang bijak dari Nazri kerana secara tak langsung, dia memprovokasi supaya kaum Cina dan India beramai2 menyokong calon BN di pilihanraya akan datang kerana pastinya kaum2 ini mau suara mereka kuat dalam kerajaan berbanding sekarang yg lebih merupakan jawatan belas ihsan dari UMNO-Be End.

PR khususnya PAS harus lihat perkara ini secara pandangan politikal dari terus menberi cop "Ultra Rasis" kepada Nazri. PAS seharusnya keluar dengan satu "spin" yang lebih baik hasil dari kenyataan Nazri ini.

Anonymous said...

kalau ikut kpi, tak perform, 'out the door' ...