Tuesday, August 10, 2010

Selamatkanlah Selangor dari mereka







Maka berakhirlah fasa 1 program gergasi Umno Selangor iaitu “roadshow” Selamatkan Selangor Darul Ehsan semalam di Jalan Kebun Kelang. Kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar:

"Alhamdulillah, sambutan rakyat untuk peringkat pertama ini di luar dugaan. Ini kerana ia banyak menyedarkan rakyat mengenai pembohongan pakatan pembangkang selama ini sama ada dalam pentadbiran negeri mahu pun kempen politik mereka,".

Saya tidak tahulah “standard” apa yang diguna oleh Noh apabila beliau berkata sambutan rakyat terhadap program Umno itu “luar dugaan”, tetapi dari pengamatan ramai, termasuklah saya sendiri yang pernah menjenguk program yang sama di Ampang, kehadiran luar dugaan itu mungkin maksudnya yang diduga hadir patutunya ramai yakni ribuan atau puluhan ribu tetapi hakikatnya yang hadir cuma beberapa kerat, itulah maksudnya barangkali “luar dugaan”!

Umno satu ketika dahulu ketika memerintah Selangor, jika menganjurkan program yang hadir adalah belasan malah puluhan ribu, berbas-bas, tetapi kebelakangan ini “funfair” anjuran Noh, tidak lagi semeriah dahulu.

Ia mungkin kerana Umno Selangor sendiri kekurangan dana untuk menaja bas-bas seperti dahulu atau mungkin kerana rakyat pun sudah muak dan bosan, takkanlah nak mendukung biawak hidup lagi.

Ahad lepas saya berceramah bersama Timbalan Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga EXCO Selangor dan ADUN Cempaka, YB Iskandar Samad di Kg. Pandan. Saya tertarik dengan penyampaian Ustaz Sallehen, kata beliau mengapa susah-susah Umno Selangor mahu menganjurkan “roadshow”seumpama ini, bukankah mereka menguasai media arus perdana? Ada TV ada akhbar ada radio? Tayangkan sahaja secara langsung taip-tiap malam.

Sesungguhnya malapetaka (bagi BN) 2008, telah membunuh apa sahaja semangat dan kekuatan yang ada pada Umno dan BN Selangor untuk bangkit semula. Mereka bersengketa sesama sendiri, menuding jari, berbalah, berebut jawatan,malah sehingga hari ini “malapetaka” itu terus menghimpit dan menghantui mereka.

Mereka serba-salah, tak tahu apa yang patut dilakukan, sedangkan rakyat telah maklum bahawa mereka inilah yang sebenarnya telah memeras dan menyelongkar harta kekayaan negeri, menggemukkan kroni dan sanak-saudara, rakyat digula-gula hanya bila perlu, lalu rakyat sudah serik, sipincang dan sikotor ini jangan diberi muka dan peluang lagi.

Dijajanya ke hulu dan ke hilir, cabaran supaya PAS Selangor tuntut diharamkan pusat-pusat hiburan dan rumah urut dalam bulan Ramadhan nanti. Tidakkah itu membunuh mereka sendiri?! Pertama mengapakamu sendiri tidak melakukannya ketika berkuasa sepanjang 52 tahun lalu. Kedua mengapa negeri-negeri yang masih kamu perintah tidak pula melakukannya.
Maghrib ini inysallah kita meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh barakah itu. Marilah kita jangan lupa memanjatkan doa ke hadrat Allah siang dan malam. Selitkan juga jangan lupa dalamdoa kita itu, agar Allah menzahirkan kebenaran dan menghancurkan kebatilan di negeri ini. Minta Allah satu padukan saf Melayu/ Islam di Selangor ini di bawah panji-panji kepimpinan Islam. Hancurkan pemimpin yang kotor dan pincang. Selamatkan negeri ini dan rakyatnya. Berilah kemenangan kepada Islam.

Selamatkan Selangor Darul Ehsan dari saki-baki pimpinan Umno!

1 comment:

Anonymous said...

pemantauan dan penguatkuasaan terhadap tempat-tempat maksiat harus giat dijalankan