Tuesday, October 20, 2009


Selamatlah negaraku Malaysia

Setelah sekian lama ia ditubuhkan kini taggal 16 September iaitu hari penubuhan Malaysia, diisytiharkan sebagai hari cuti umum seluruh negara.

Sesungguhnya penubuhan Malaysia bukan sekadar kejayaan mengabungkan Sabah dan Sarawak bersama Malaya selain Singapura, tetapi ia suatu proses transformasi yang besar yang punya nilai sejarah dan kesan politik yang besar juga khasnya dirantau ini.

Kalau mengikut sejarahnya YTM Tunku (PM ketika itu) mahukan tanggal 31 Ogos, 1963 sebagai tarikh penubuhan Malaysia. 31 Ogos adalah tarikh keramat undurnya kuasa penjajah British dari Tanah Melayu yang merdeka, tetapi atas tekanan pimpinan di rantau ini khasnya Indonesia yang dipimpin Sukarno dan Filipina, tarikh itu terpaksa ditunda.

Tunku dituntut agar mengadakan suatu referendum atau pungutan suara yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) dikalangan rakyat Sabah dan Sarawak, samada mereka bersetuju bergabung di bawah Malaysia atau tidak. Walaupun keberatan Tunku terpaksa bersetuju kerana mahu mengelakkan ketegangan dirantau ini.

Kerana itulah maka tarikh 31 Ogos diganjakkan ke 16 September.

Apa pun memang sesuai sangat tanggal 16 September ini diingati. Malah usaha serius perlu dipertingkatkan bagi merapatkan jurang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung. Laut Cina Selatan adalah pemisah besar antara bumi Semenanjung dan Borneo. Hakikatnya rakyat Semenanjung lebih rapat sesama mereka berbanding dengan saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak. Sempadan geografi yang dipisahkan oleh lautan terbuka ini sepatutnya tidak memisahkan kita.

Saya kebetulan pernah berada selama hampir 5 tahun di Sabah. Menamatkan persekolahan menengah saya di sana (tingkatan 4 dan 5) dan menyertai ITM (kini UITM) juga disana sebelum menamatkan pengajian di kampus Shah Alam. Pada tahun 80an di sana saya merasai banyak bezanya antara kedua anak bumi yang sama.

Kerajaan perlu memastikan yang proses pembangunan di Semenanjung seiring dengan Sabah dan Sarawak setelah bersama bawah satu bumbung lebih 45 tahun. Kemudahan infra, pendidikan, kesihatan masih jauh ketinggalan berbanding Semenajung hingga ke hari ini.

Usaha mengintegrasikan rakyat kita perlu terus diperbaiki. Tidak cukup sekadar menghantar warga Semenanjung untuk bertugas di sana samada sebagai anggota tentera atau polis atau guru tetapi warga sabah dan Sarawak juga perlu diberi peluang berinteraksi dan menjalankan kegiatan dan aktiviti ekonomi di Semenanjung. Memang kita lihat kebelakangan ini ramai warga Sabah dan Sarawak berhijrah ke Semenajung tetapi kebanyakkannya hanya sebagai tenaga buruh yang tidak mahir. Adalah yang bekerja di pasar-pasar raya dan kilang-kilang.

Peluang perlu dibuka agar para professional dan pakar dari sana juga boleh menjalankan kegiatan di sini. Begitu juga sebaliknya.
Masalah besar saya lihat adalah mobiliti atau kemudahan bergerak lantaran dipisahkan Laut Cina Selatan. Dahulu kita ada perkhidmatan feri Malaysia tetapi ia dihentikan atas beberapa sebab. Mungkin kerajaan perlu memastikan yang walaupun kita terpisah oleh lautan besar namun hubungan dari sana ke seini dan sebaliknya perlulah lebih mudah dan murah.

Pesawat terbang merupakan satu-satunya pengangkitan lazim,maka usahakan agar tambangnya berpatutan demi perpaduan nasional.

Dalam kita mengingati sejarah dan pengorbanan ke arah penubuhan negara bertuah ini kita juga kesal dengan berpisahnya Singapura dari kita melalui pengumuman Lee Kuan Yew pada jam 10 pagi hari Isnin 9 Ogos 1965. Patrick Keith dalam bukunya “Outsted’ menulis bahawa Tunku kesal yang Kuan Yew terus memainkan senitmen “Malaysian Malaysia” yang telah mencetuskan ketegangan kaum sehingga meletus beberapa rusuhan kaum termasuk di Singapura sendiri.

Dari tanah yang dibebaskan oleh Sang Nila Utama, yang berkait rapat dengan sejarah Melayu dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, akhirnya Temasik atau Singapura terpisah dari rumpun kita atas kehendak politik ketika itu. Menurut Keith antara yang bergembira dengan terpisahnya Singapura dari Malaysia adalah Sukarno yang sejak awal menyatakan bahawa penyatuan ini sesuatu yang mustahil dapat bertahan.

Generasi hari ini perlu didedahkan darihal sejarah penubuhan gagasan Malaysia ini kesan dan akibatnya supaya kita tidak mengulangi kesilapan mereka yang terdahulu. Semoga rakyat Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semananjung dapat kekal sebagai rumpun warga Malaysia dan bekerja memajukan negara dan membawa keadilan dan kesejahteraan buat semua, demi agama bangsa dan negara.

No comments: