Tuesday, March 20, 2012

Apa MESEJ iklan ini (20/3/12)

Saya pasti ramai yang pernah terserempak dengan iklan ini (barangkali ada yang dah gunakan pun produknya). Kalau di TV3 ia sering dimuatkan semasa siaran Buletin Utama.

Ianya bermula dengan “alarm” sebuah kedai emas berbunyi, dan seorang yang digambarkan sebagai perompak berlari keluar dari kedai berkenaan menuju ke lorong-lorong jalan. Dalam waktu yang sama seorang anggota polis wanita dimaklumkan melalui “walkie talkie” nya berkenaan insiden itu dan berlari kea rah perompak tadi.

Penghujungnya mereka bertemu dan iklan ini berakhir sebelum mereka berdakap.

Iklannya adalah AXE ANARCHY keluaran Unilever sebuah alat semburan badan.

Yang menghairankan abagaimana iklan sebegini dapat dilepaskan? “Segalanya akan berubah” kata mesej iklan ini.

Bagi saya iklan ini mengambarkan satu mesej yang buruk dan tidak seharusnya menjadi tontonan awam kerana ia seolah tidak menghukum si pesalah sebaliknya semua selesai apabila penjahat lelaki dan polis perempuan berdakap!

Apa pandangan anda?

Saturday, March 17, 2012

Keadilan ala AMERIKA (17/3/12)

“Double standard” Barat terserlah dalam kes ini. Kalaulah tertuduh seorang Afghan atau Arab atau Muslim lah katakana, pasti ungkapan yang pertama adalah bahaw “terrorist” atau pengganas membunuh!

Tapi dalam kes ini apabila tertuduh seorang anggota Tentera Amerika Syarikat. Seorang Sarjan yang yang kononnya telah banyak berjasa pada “Uncle Sam” lalu serta-merta pandangan dunia mahu dilalihkan dan dikaburi. Tertuduh yang kini kelihatan sebagai mangsa pula punya masalah teknana hidup, menggelapkan sama-sekali realiti bahawa akibat tindakan tertuduh 16 nyawa yang tidak berdosa telah terkorban .

Menurut peguamnya Sarjan Robert Bales (gambar sebenar di atas) kecewa kerana dikerahkan ke Afghanistan untk bertugas buat kali keempat. Sejak bila pula peradaban Barat yang hebat dan dipandang tinggi itu mengajar bahawa jika tidak puas hati acukan senjata anda dan tembak mati sahaja orang yang tidak bersalah!

Manakala New York Times pula melaporkan menurut sumber tertuduh mabuk pada malam sebelum kejadian.

Posting ini merujuk kepada kejadian seorang anggota tentera AS yang telah menembak mati 16 orang rakyat awam Afghnaistan Ahad lepas.

Di mana tertuduh sekarang? Walaupun telah membunuh beliau diterbangkan oleh “Uncle Sam” kembali ke AS dan kini berada di kem tentera Fort Leavenworth, Kansas. Dan menurut sumber masih belum dituduh atas apa-apa kesalahan lagi!

Demikianlah keadilan Negara yang termaju di dunia.

Tuesday, March 13, 2012

Hidup dua kali..........(13/3/12)

Saya tertarik melihat satu segmen di TV al Hijrah dimana penceramah menyebut: “Ada orang kata kita hidup itu sekali mati pun sekali jadi perhabiskan masa hidup yang sekali itu. Sebenarnya hidup itu dua kali mati itu sekali.

Menarik untuk direnungi agar kita dapat bermuhasabah diri dan insaf akan hakikat ini.

Hidup kita sekali di alam dunia dan sekali lagi hidup di alam akhirat dimana kita akan berhadapan dengan Allah swt untuk diadili. Sudah pastilah ini bermakna kita perlu gunakan hidup yang sekali di dunia itu untuk mengumpul harta, bukan harta duniawi tetapi yang dimaksudkan adalah harta akhirat yang dapat membawa pulangan apabila kita berhadapan pengadilan Allah swt nanti lalu ditebus dengan ganjaran syurga.

Bukan bermakna kita tidak boleh hidup sebagai insan berjaya di alam dunia, tetapi kejayaan itu mestilah menepati kayu ukur akhirat. Biarlah kita baik di dunia hidup senang lenang dan berjaya dan akhirnya nanti senang lenang dan berjaya juga di alam akhirat.

Marilah sama-sama kita ikhtiar dan mencuba insyallah.

Sunday, March 11, 2012

Gaji naik: Jangan PINGGIRKAN warga pesara (11/3/12)

Dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat naik tanpa bayang mahu turun-turun sudah pastilah pengumuman penyelarasan gaji baru kakitangan awam berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) oleh pihak kerajaan sangat dialu-alukan. Turut berada dalam pakej berkenaan adalah kenaikan Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50.00 bagi kawasan B dan C.

Sedikit sebanyak sudah pastilah kenaikan ini akan membantu sekitar 1.3 juta warga kakitangan awam diberbagai peringkat dalam mengharungi hidup diri dan keluarga masing-masing.

Cuma saya perhatikan dalam ruangan SMS dari pembaca dalam akhbar The Star hari ini pengumuman kerajaan ini sekali lagi dilihat tidak mengambil kira warga pesara kerajaan yang tidak kurang besar juga bilangannya dalam Negara.

Why are pensioners not given COLA even though cost of living is affecting them more?

Benarlah bagi warga yang bekerja, mereka masih muda dan masih boleh ikhtiar mendapat belanja tambahan dengan berbagai cara dan usaha, tetapi apakah sama dengan warga pesara yang telah lewat usianya?

Kita akui kos hidup sebagai menekan dan membebankan, itu bagi kita yang sihat tulang empat kerat, bagaimana dengan yang tua khasnya pesara? Kalau mereka punya anak-anak yang boleh diharapkan, anak-anak yang pendapatan mereka juga selesa, tak mengapa. Tetapi jika anak-anak pun sempit kehidupannya apalagi anak-anak yang tak memperdulikan kebajikan orang tuanya, bagaimana?

Kita mengharapkan agar pihak kerajaan turut prihatin dan mendengar rintihan warga emas ini. Dan semoga isu ini diangkat dan di bawa kehadapan oleh wakil-wakil rakyat kita apabila Parlimen mula bersidang esok. Jangan hanya sibuk ber”politik” tetapi warga emas kita susah dan merempat di bumi sendiri.

Ke arah hubungan AKRAB Malaysia-Indonesia (11/3/12)

Saya membaca dengan penuh minat perkembangan yang berlaku berkaitan hubungan Malaysia-Indonesia. Tanpa prejudis politik, pengumuman Menteri Penerangan Rais Yatim mengenai pembentukan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia, iaitu satu badan gabungan yang bakal berusaha merapatkan lagi hubungan rakyat kedua buah Negara adalah sesuatu yang harus dialu-alukan.

Sebelum ini kita gusar apabila membaca dan mendapat maklum berkenaan ketegangan hubungan kedua buah Negara apabila rakyat di Indonesia sering protes dan berdemonstrasi anti Malaysia atas isu-isu yang terkadang remeh dan tidak tepat. Sedangkan kedua buah Negara punya sejarah hubungan yang sangat intim dan berkaitan dalam satu rumpun Melayu Nusantara.

Bukan hanya keturunan kesultanan dan Raja-raja Melayu banyak dapat dikesan dari sebelah sana malah menurut sebuah buku yang saya baca “The Modern Malay” – L Richmond Wheeler (1928) bancian yang dilakukan oleh kerajaan Biritsh Malaya tahun 1921 menyebut bahawa Tanah Melayu ketika itu (iaitu 91 tahun dahulu) punya 1.6 juta penduduk Melayu dan dari jumlah itu cuma 87.4 peratus atau 1,418,198 orang diklasifikasi sebagai “Malay proper” (Melayu asli) manakala selebihnya adalah:

Jawa (113 038) Banjar (37 914) Boyan (9 779) Bugis (8 388) Aceh (729) Kerinchi (859) Mendeling (946)

Ketika itu kita tiada buruh asing dari Indonesia seperti hari ini. Bermakna jumlah yang bukan Melayu Asli itu pada hari ini sudah pun sebenarnya diserap sebagai sebahagian dari kita. Malah yang 87.4 peratus itupun punya keturunan yang lebih awal berhijrah ke Tanah Melayu dan telah menjadi warga Biritish Malaya.

Berbalik kepada isu merapatkan hubungan rakyat kedua-belah Negara, saya fikir banyak lagi inisiatif dan usaha boleh diambil kearah ini termasuklah program “exchange student” atau pertukaran pelajar dari peringkat menengah sehinggalah IPT diperingkat yang lebih serius dan besar-besaran. Kita juga boleh bertukar-tukar kakitangan dan pegawai kerajaanuntuk memberikan masing-masing lebih pendedahan. Di bidang sukan, kebudayaan dan hiburan kita sudah buka jalan, ianya perlu dipertingkatkan lagi.

Kita mahukan rakyat kedua belah Negara kembali intim, bantu-membantu dan bekerjesama antara satu sama lain demi kesejahteraan dan kemanan rantau sebelah sini.

Usaha baik ini perlu disokong dan dipertingkatkan lagi. Mungkin melalui persidangan Parlimen yang bermula esok, wakil-wakil rakyat kita boleh meneroka perkara ini. Jangan apabila hubungan menjadi tegang barulah kita kelam-kambut dan salah-menyalah sesama kita.

Friday, March 09, 2012

Renungan pagi JUMAAT (9/3/12)

Di hari Jumaat ini hari yang mulia, penghulu segala hari marilah kita berbicara perkara yang baik-baik. Mudah-mudahan baiklah juga hidup kita hari ini, esok dan kesudahan kita nanti insyallah.

Kalau kita perhatikan apa yang sangat kurang dalam masyarakat kita kebelakangan ini dan barangkali dalam diri dan jiwa kita adalah sifat penyayang sesama kita. Tidak kiralah dalam persahabatan, hubungan masyarakat, berinteraksi dengan orang kebanyakkan, sifat ini semakin luntur dan pudar.

Kes-kes yang dilaporkan dalam akhbar dan media kebelakangan ini semuanya menunjukkan betapa benarnya terhakis sifat mulia ini.

Bapa boleh perkosa anak angkat, ibu boleh bersubahat, kemudian imam masjid boleh naik angin dikhalayak ramai,suami boleh menampar isteri semasa bermulan madu, kawan boleh bakar kawan hidup-hidup, guru boleh bunuh murid..........apa sudah jadi pada masyarakat kita?

Itu belum diperingkat yang lebih besar, fitnah-memfitnah, adu-domba, kalau dalam politik cantas-mencantas, tikam-menikam dari belakang. Dalam perniagaan pun tidak terkecuali, hada dengki mendorong kepada pertelingkahan, tipu-menipu dan pergaduhan sehingga saman-menyaman dan lain-lain.

Barangkali kalau kita penuhi hidup kita dengan sifat berkasih-sayang sebagaiamana yang dapat kita contohi dari hidup dan keperibadian Rasulullah saw, banyak permasalahan yang ada pada hari ini dapat dielak dan diselesaikan.

Rasulullah saw bersabda:

“Cintailah manusia sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri” (Bukhari)

Sabda Rasulullah saw lagi:

“Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap sudaranya lebih dari tiga hari.”(Muslim).

Bayangkan betapa jauhnya kita dari tunjuk ajar dan nasihat Rasulullah saw hari ini sedang kita mengaku seorang Muslim.

Ternyata buah dari sifat penyayang itu adalah pemaaf dan pengampun. Sekiranya kita meniti hidup dengan sentiasa mengejar-ngejar untuk memaaf dan mengampunkan kesalahan orang pada kita dan tidak naik berang, panas dan marah-marah, maka terpadamlah segala kejahatan dan hiduplah kerukunan dan kesejahteraan.

Ya Rasulullah saw kami sangat merinduimu, terlalu jauh kami dari kamu hari ini.....