Wednesday, February 11, 2015

Sepang Move lagi .... (11/2/15)


Dalam posting saya “Sepang Move….”saya memulakan bicara dengan mendedahkan laporan yang kononnya ahli Parlimen Sepang yang juga AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin dibelasah dalam mesyuarat JK PAS Pusat baru-baru ini.
Saya memungut laporan itu terus dari portal berita “pro Pasma’ The Malaysian Insider yang menyebut antara lain:

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin dipukul dua kali di belakang oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam kekecohan yang berlaku semasa mesyuarat parti Islam itu semalam, menurut sumber parti. Sumber itu memberitahu, sehari selepas kejadian itu, Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang, masih terasa sakit kesan pukulan tangan itu.

TMI menyebut “sumber parti” bermakna ada orang dalam parti yang telah membocorkan perkara ini, jika ia benar berlaku. Kerana sumber itu memberitahu TMI kejadian dalam bilik mesyuarat, apa yang Hanipa bangkitkan, apa jawapan Presiden PAS dan reaksi beberapa AJK PAS Pusat yang hadir, cukup "detail" dan dramatik.

Ini bermakna sumber itu datangnya dari bilik mesyuarat jua, bermakna ada AJK PAS Pusat yang membocorkannya.
TMI turut menyebut:

Sehingga kini, sekurang-kurangnya dua pengguna media sosial yang rapat dengan PAS yang menggunakan nama Penarik Beca dan Zulhazmi Shariff, calon Ketua Pemuda PAS dalam muktamar lepas, menulis mengenai kejadian tersebut dalam laman Facebook dan blog mereka.
Bermakna dua “pengguna media sosial” di atas yang kononnya rapat dengan PAS (rapat dengan PAS atau rapat dengan pemimpin tertentu dalam PAS) di atas turut menjadi perkakas membantu laporan TMI itu.

Kesimpulannya kelihatan ada pihak tertentu mahu “expose” apa yang dikatakan kejadian membelasah Hanipa itu demi mahu mencetuskan suasana buruk pada PAS dan pemimpin tertentu.
Dan terus, Hanipa pula telah mengeluarkan kenyataan selepas itu, turut dipetik dalam TMI:

"Saya ingin menyatakan di sini, segala laporan yang wujud di alam siber yang menjadi viral, termasuk laporan The Malaysian Insider tersebut, spekulasi semata-mata, yang saya tidak mempunyai sebarang tanggungjawab mengesahkan laporan spekulatif tersebut. "Saya juga ingin jelaskan, sebagai AJK PAS Pusat tidak wajar saya mendedahkan apa yang berlaku dalam mesyuarat PAS Pusat kerana ia urusan dalaman PAS yang saya dan PAS tidak bertanggungjawab untuk berkongsi dengan sesiapa," kata Hanipa dalam satu kenyataannya yang dibuat awal pagi ini. “
Turut dilaporkan:

Mengenai dakwaan kononnya beliau dipukul Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, beliau berkata: "Saya tidak tahu dari mana datangnya sumber berita itu." "Razman kawan baik saya, jadi mana mungkin dia tergamak memukul saya. Maka saya menganggap dakwaan itu spekulasi semata mata," katanya.
Sekejap kena pukul, sekejap spekulasi, sekejap tidak, mana satu yang betul TMI? Mana satu yang betul Hanipa?

Saya merasakan asalnya ada sesuatu agenda yang mahu dilunaskan dari laporan pendedahan pertama TMI itu. Biar nampak buruk orang yang mencetuskan insiden ini, biar nampak buruk cara penggendalian mesyuarat. Tetapi mereka lupa bahawa laporan itu seakan mengakui bahawa ada mulut celupar yang telah membocorkan perjalanan mesyuarat sehingga laporan berkenaan dapat dinaikkan. Untuk mengukuhkan laporan itu diselitkan dua agen mereka iaitu Penarik Beca dan Zulhazmi.
Kerana itu si yang dikatakan dipukul sehingga masih kononnya sakit-sakit kesannya terpaksa mengeluarkan kenyataan kedua di atas dengan menegaskan :

“……sebagai AJK PAS Pusat tidak wajar saya mendedahkan apa yang berlaku dalam mesyuarat PAS Pusat”
Drama sungguh. Isunya Hanipa dipukul dalam mesyuarat, tidak siapa diluar yang tahu tetapi TMI yang telah dedahkan dengan bantuan “sumber parti” dan dua agen. Oleh itu siapakah yang bocorkan perkara ini jika ia benar berlaku? Pasti ada kerana TMI menyebut “sumber parti”, melainkan TMI pembohong.

Apa pun posting saya “Sepang Move….” bukanlah tertumpu pada insiden pukul yang sekejap berlaku sekejap tidak itu semata-mata. Posting saya itu lebih pada tuntutan yang diperlukan dari seorang pemimpin gerakan Islam.
Akhlak dan keperibadian seorang pemimpin gerakan Islam mestilah benar-benar mencerminkan Islam yang mahu diperjuangkan. Berdasarkan laporan dari akar umbi PAS di Sepang, pengalaman mereka, harapan mereka, kerana itulah “Sepang Move” mahu dicetuskan, untuk apa? Untuk menjamin yang calon PAS yang mewakili PAS Sepang nanti biarlah seorang yang mulia akhlak dan keperibadiannya.

Hanipa adalah wakil mereka kini, dan berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir dan pengalaman rakan-rakan di Sepang, sebagaimana lajunya kereta-kereta F1 yang berlumba di Litar Sepang, begitulah juga laju dan derasnya harapan mereka agar wakil ini dapat ditukar dengan yang lebih cucuk. Lantas sebagaimana “Kajang Move”, mereka juga mahu “Sepang Move”.

 

Tuesday, February 10, 2015

Sepang Move ..... (10/2/15)

Dari tidak ada seorang pun yang tahu. Tiba-tiba beberapa media alternatif melaporkan yang kononnya ahli Parlimen Sepang yang juga AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin “dibelasah” semasa Mesyuarat JK PAS Pusat.

Beberapa sumber dalaman parti (ada pula yang bekerja bocorkan apa sahaja) kononnya memberitahu Hanipa dibelasah oleh seorang pemimpin PAS yang lain. Beliau kemudiannya keluar dari mesyuarat dan dikejar pula oleh pemimpin yang lain sehinggalah dileraikan.
Belasah, atau tumbuk, atau tampar atau cuit belakang, hanya mereka yang hadir tahu (selain sumber dalaman yang kerjanya memang membocorkan apa sahaja dari Pejabat Agung PAS).

Kenapa Hanipa?
Apa masalahnya Hanipa?

Dalam Muktamar PAS yang lalu di Batu Pahat beliau menjadi pemimpin PAS Pusat yang pertama di “boo” semasa menyampaikan ucapan, terakhir begitu mungkin dizaman penyingkiran Allahyarham Datuk Asri dulu.

Kalau kita lihat sidang Parlimen, Hanipa lah yang paling ringan mulut, dari kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat PAS. Terkadang keceluparannya diakui tidak mencerminkan akhlak dan peribadi seorang ahli Parlimen Parti Islam.
Ternyata akhlak dan gelagat Hanipa ini sering mencetus masalah. Seorang peguam dan kini seorang ahli Parlimen, namun itu seharusnya tidak meletakkan beliau sebagai seorang yang serba tahu dan wajar diberi hormat mutlak.

Pepatah Inggeris menyebut “Respect is earned not given” atau penghormatan itu bukannya diberi tetapi perlu diusaha untuk didapati.
Orang-ramai tidak semata-mata menghormati seorang yang berilmu atau alim tetapi penghormatan diberikan kepada seorang yang berilmu atau alim dan mengamalkan pula ilmunya itu dengan sentiasa mengormati yang lain.

Rupanya masalah beliau tidak berakhir di situ.
Di kawasan yang diwakilinya iaitu di Sepang, sekarang meniti ungkapan “Sepang Move”

Iaitu “Langkah Sepang” bagi menjamin yang rakyat Sepang dan PAS sendiri nanti diwakili oleh seorang wakil rakyat yang benar-benar berakhlak Islam, membawa orang kepada memahami dan menerima Islam, dan yang paling penting beradab, berkeperibadian mulia dan pandai menghormati semua.
Saya difahamkan ahli-ahli PAS di Sepang sudah mula bosan dengan Hanipa. Sumbangan dan tenaga mereka tidak pernah dihormati. Malah mereka dituduh tidak bijak dan sempit pemikiran.

Mesyuarat Agung cawangan-cawangan PAS di Sepang difahamkan dibekukan Hanipa dari merasmikannya. Malah PAS Sepang akan mengundang Ustaz Datuk Nik Amar, Timbalan MB Kelantan untuk merasmikan mesyuarat agung mereka bukan lagi Hanipa seperti tahun lepas.
Jika demikianlah nasib orang-orang Sepang, khasnya jentera parti di Sepang, maka sesuai sangatlah sesuatu dilakukan bagi memastikan selepas ini cuma calon yang paling berkualiti dan menepati ciri-ciri pemimpin Islam diturunkan mewakili PAS di kawasan Parlimen Sepang.

“Sepang Move” penting bagi menyelamatkan nasib dan masa depan perjuangan Islam dan PAS di Sepang, di Selangor malah seluruh Malaysia. “Sepang Move” wajar digerakkan mulai sekarang.

 

 

Monday, February 09, 2015

Bersihkan PAS dari pengkhianat (9/2/15)

Fasal 26 Perlembagaan PAS menetapkan tugas-tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, iaitu dari jawatan Presiden sehinggalah ke Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja.

Selain Presiden, Timbalan dan Naib-naib, terdapat satu jawatan penting yang duduk di bawah Jawatankuasa ini iaitu jawatan Ketua Pengarah Pilihanraya, bidang tugasnya digariskan oleh Fasal 26 (8) a hingga c. Jawatan ini sebagaimana Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Bendeharai adalah dilantik oleh Presiden.
Antara bidang tugas beliau adalah:

(a) Bertanggungjawab atas kesempurnaan seluruh urusan pilihan raya PAS.
(b) Menyedia, menyusun dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti pilihan raya PAS.

(c) Bertanggungjawab melaporkan kepada Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas segala usaha dan tindakan berhubung dengan kegiatan pilihan raya.

Penyandangnya adalah Dr Mohd Hatta Ramli, yang juga ahli Parlimen Kuala Krai.
Berdasarkan pendedahan terkini yang mendapat liputan penuh akhbar-akhbar tempatan dan media beliau didakwa terlibat dalam kerja-kerja sabotaj mahu menjatuhkan Presiden PAS dan kepimpinan ulamak dalam PAS.

Semalam telah diedearkan kepada pihak media beberapa keratan “printscreen” grup Whatsapp yang sarat dengan maki-hamun dan sumpah seranah serta komplot jahat untuk memburuk-burukkan Presiden dan Majlis Syura PAS. Kumpulan itu turut merancang dan menghebahkan program dan gerak-langkah Pasma, sebuah NGO yang tidak diiktiraf PAS.
Bagaimana seorang yang memegang jawatan kanan dalam parti, yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kerja-kerja pilihanraya melibatkan parti, boleh terlibat malah dikatakan mengetuai gerombolan untuk menyerang dan menggulingkan Presiden yang melantiknya?

Betapa besarnya amanah dan tanggungjawab yang PAS berikan kepada beliau, tetapi jika benar beliau menggunakan jawatan itu untuk “belasah” Presidennya sendiri, ianya suatu pengkhianatan yang amat dikesali.
Benarkah grup Whatsapp berkenaan yang dikenali “Hawaii Five 0” merupakan kumpulan cyber trooper bawah Pasukan Gerak Saraf (PGS) di bawah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat?

Pertuduhan dari Ketua Pemuda PAS Kuantan tersebut semalam adalah suatu yang sangat serius. Jika ia tidak betul maka ia suatu fitnah yang serius dan Ustaz Fadhli wajar diambil tindakan.
Walaubagaimanapun jika ia benar maka kubu PAS sudah dikhianati dari dalam. PAS perlu membersihkan rumahnya kerana ternyata ia sudah dicemari dari dalam.

Pertuduhan ini bukan suatu yang boleh disapu ke bawah karpet begitu sahaja. Ia serius dan membabitkan maruah dan rahsia parti. Sewajarnya PAS boleh bertindak dengan memanggil segera Ustaz Fadhli untuk memberi keterangan. Jika ada asas di atas pertuduhan beliau, maka seleuruh Jabatan Pilihnaraya PAS Pusat perlu dibekukan. Ketua Pengarahnya perlu digantung tugas dan mengosongkan pejabatnya sementara siasatan dijalankan.
PAS tidak pernah berpengalaman menghadapi isu pengkhianatan seumpama ini diperingkat yang paling tinggi, jika benarlah dakwaan Ustaz Fadhli itu.

Dalam hal ini saya percaya ahli dan pendukung PAS mengharap sangat agar tindakan segera diambil. Telah terpalit arang di wajah PAS akibat pendedahan ini. Ia yang suci bersih telah tercemar, dan berbagai pertanyaan serta syak wasangka timbul daripadanya.
Bagi saya secara peribadi, Ustaz Fadhli, samada benar atau tidak dakwaan beliau, telah berani bangkit mengemukakan bukti-buktinya yang telah memeranjatkan politik Malaysia terutama dalam PAS.

Kini atas PAS lah untuk bertindak.
Jangan tanya Dr Hatta atau Mustafa Ali (kerana nama beliau juga dilibatkan oleh Hawaii Five 0), kerana mereka ada kaitan atau terkait secara langsung atau tidak dengan pertuduhan ini. Presiden PAS juga tidak boleh bertindak.

Sebaiknya serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin PAS.  Siasatan dan tindakan perlu dilaksana segera demi memelihara nama baik PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Yang menuduh telah mengemukakan bukti, apakah ianya terhenti apabila yang tertuduh sekadar berkata:

 “Tidak ada, tidak ada. Hari ini tidak akan komen,” katanya ringkas (petikan Sinar Harian 9 Feb 2015)
Ayuh segera bersihkan PAS dari sebarang pengkhianatan.

 

 

Sunday, February 08, 2015

Nama pengkhianat PAS sudah terdedah (8/2/15)

Dalam posting saya pada 31 Januari lalu bawah tajuk “Pemimpin kanan PAS khianat?”

saya telah menekankan:

Benarkah ada pemimpin kanan PAS yang terlibat sebagaimana didakwa Ustaz Fadhli?
Ustaz Fadhli bertanggungjawab terbit dengan bukti-bukti jelas memperakui dakwaan ini, jika tidak ianya satu fitnah yang jahat. Tetapi saya yakin Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang itu punya bukti, dan saya yakin ianya akan segera terdedah.

Jika adalah walau sekelumit mana bukti yang menunjukkan pembabitan pemimpin kanan PAS itu, saya kira ianya lebih jahat dan hodoh dan tidak layak pelakunya bukan sahaja duduk sebagai pemimpin malah menjadi ahli PAS. Apalagi jika dia memiliki agenda sebagaimana dibayangkan di atas.
Pagi tadi bertempat di pintu masuk Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, Ketua Pemuda PAS Kuantan Ustaz Fadhli Ibrahim telah tampil mengemukakan bukti-buktinya termasuklah melalui perakuan bersumpah dalam kenyataan terbuka kepada pihak media.

Nama Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli yang juga ahli parlimen Kuala Krai, telah didedahkan sebagai “kepala” atau “,mastermind” dalam kerja-kerja jahat menjatuhkan Presiden PAS dan kepimpinan ulamak melalui pelbagai kaedah dan strategi yang sangat buruk, tidak layak buat seorang yang bergerak dalam Jemaah Islam.
Turut diedarkan adalah “printscreen” dari “whatsapp” group kumpulan yang diketuai dan didalangi Hatta. Salinan “printscreen” berkenaan turut dimetrai dengan akuan bersumpah.

Berdasarkan kenyataan Ustaz Fadhli itu Hatta lah yang berperanan aktif dalam Pasma, dan Pasma menurut beliau, berdasarkan tulisan Raja Petra dalam laman webnya telah menerima RM1.5 juta suntikkan dana dari DAP, guna untuk memanjang dan melangsungkan agenda jahat mereka.
Saya gerun mengikuti perkembangan ini, apakah yang sedang terjadi ke atas PAS hari ini?

Apa pun Ustaz Fadhli telah bangkit dengan bukti-buktinya, sekarang giliran si kena tuduh untuk menafikan atau jika tidak bagi PAS untuk bertindak.
Perlakuan Hatta dan kumpulannya sebagaimana didakwa termasuklah membocorkan keputusan dan perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat (JKPP) adalah merupakan tindakan paling biadap, dan melanggar adab dan peraturan Jemaah. Jika benar ia suastu yang tidak boleh dimaafkan.

Saya difahamkan pendedahan Ustaz Fadhli tidak tamat dengan kenyataan pagi tadi, banyak lagi bukti-bukti yang akan didedahkan selepas ini.

Sewajarnya mereka yang berkenaan segera meletakkan jawatan dan angkat kaki keluar PAS, jika rasa bertanggungjawab. Jika tidak sewajarnya PAS bertindak, siasat dakwaan Ustaz Fadhli dan oleh kerana pertuduhannya sangat berat, gantung jawatan dan keahlian Hatta dan mereka yang berkaitan agar PAS dilihat terus bersih sebagai sebuah Jemaah dan gerakan Islam.
Bayangkan berapa banyak lagi maklumat dan rahsia parti yang telah terdedah sebelum ini, Allah sahaja yang tahu.

Sama-sama kita tunggu reaksi yang kena tuduh. Semoga Allah swt melindungi pimpinan yang ikhlas dalam memperjuangkan agenda PAS dan menghukum mereka yang khianat dan mungkar.

 

Friday, February 06, 2015

Pesanan terbuka buat Ayah Chik (6/2/15)


Kehadadapan yang dihormati ayahanda Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang – Presiden PAS:

Ahad ini Tuan Guru akan mewakili Parti Islam Se Malaysia, PAS,  dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat. Ia bukan kali pertama Tuan Guru selaku Presiden mewakili PAS, dan saya penuh yakin kali ini Tuan Guru seperti biasa akan menghadirinya dengan jiwa yang penuh istiqamah dan teguh terhadap dasar dan prinsip perjuangan parti selain mahu melihat kesepakatan politik melalui PR terus berlangsung dalam suasana harmoni.

Bukan senang mahu kekal dalam satu kesepakatan politik dalam keadaan masing-masing parti punya dasar dan matlamat yang berbeza, namun saya yakin Tuan Guru sedia tahu apa yang penting dan utama buat PAS dan dengan ilmu dan pengalaman pada Tuan Guru sudah pasti Tuan Guru akan menyatakan yang hak dan benar semoga pandangan itu dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh kawan-kawan dalam PR.

PAS kami tahu menyertai dan menghormati PR atas dasar tahaluf siyasi, perjuangan digarabkan bersama demi menumbangkan pakatan yang zalim yang diterajui BN. Walaubagaimanapun ianya kekal selagi mana tidak bertentangan dengan prinsip dan dasar Islam, kami yakin Tuan Guru sedia termaklum dan akan mempertahankan hal ini agar difahami oleh kawan-kawan.

Ahad ini difahamkan beberapa isu penting akan dibincangkan dan keyakinan seluruh ahli dan penyokong PAS diletakkan atas kepala bahu Tuan Guru.

Kami harap Tuan Guru meyakinkan kawan-kawan betapa pentingnya Undang-undang berkenaan Hudud diperkenalkan di Kelantan. Undang-undang ini telah diterima oleh rakyat Kelantan melalui kelulusan dalam DUN dan diperkenankan oleh Tuanku Sultan. Rakyat Kelantan mahu melihat ia terlaksana kerana itu PAS diberi mandat di Kelantan sejak 25 tahun lalu.

Kiranya kawan-kawan boleh faham dan terima kita bersyukur, namun kiranya tidak, kami yakin Tuan Guru akan menyatakan bahawa PAS akan teruskan juga perjuangannnya secara bersendirian dalam hal ini sehinggalah Hukum Islam itu tertegak di bumi Kelantan sebagai contoh buat semua negeri-negeri lain.

Kami yakin Ahad nanti Tuan Guru juga akan menyatakan kepada kawan-kawan dalam PR agar tidak mencampuri urusan sesama parti dalam PR. PAS contohnya melihat Pasma sebagai satu jemaah dalam jemaah yang lebih merugikan perjuangannya. Kiranya kawan-kawan pula menyokong apalagi membiayanya, sudah tentulah ianya dilihat sebagai pendurhakaan terhadap persahabatan. Kawan tidak menikam kawan.

Begitu juga kami yakin Tuan Guru akan memaklumkan agar jangan ada mana pimpinan yang mengkritik dan memperlekeh sesama kerajaan negeri yang dikuasai PR. Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang contohnya mengkritik dan memperlekeh cara kerajaan negeri Kelantan menguruskan bencana banjir baru-baru ini sangat dikesali dan ianya mestilah dihentikan dan jangan lagi diulangi demi menghormati persahabatan.

Dalam pada itu hal berkenaan Pilihanraya PBT pun kami yakin akan Tuan Guru nyatakan “concern” PAS berkenaannya. Pandangan PAS perlu didengar dan hormati, jika sekiranya kawan-kawan boleh terbit dengan formula dimana tidak akan berlaku perbalahan kaum ekorannya, dimana semua kaum diwakili, kami yakin Tuan Guru akan bersikap terbuka. Namun kiranya Pilihanraya ini mengulangi pengalaman yang lama, sudah pasti PAS melalui Tuan Guru akan menentangnya.

Saya yakin ketokohan Tuan Guru akan menyerlah Ahad ini, dan isi serta suara hati PAS akan diluahkan oleh Tuan Guru. PAS mahu kekal dalam PR namun dalam waktu yang sama janganlah ada pihak yang memusuhi PAS atau menyerang PAS dan dasar perjuangannya dari dalam.

PAS kekal dalam PR demi menghormati Tahaluf Siyasi. Kiranya ia tidak lagi relevan maka demi Islam PAS terpaksa mengundur diri.

Semoga Allah swt memberikan kekuatan dan kecekalan kepada Tuan Guru untuk mewakili PAS, sebuah Gerakan Islam yang istiqamah berkecimpung dan terlibat dalam politik Negara demi memartabatkan Islam sejak sebelum Merdeka lagi sehingga ke hari ini.

Siru Ala Barakatillah

 

Tuesday, February 03, 2015

Kepimpinan Ulamak Tok Guru Nik Abd Aziz (3/2/15)

Baru-baru ini saya diminta pandangan oleh sebuah akhbar tempatan berkenaan ketokohan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat. Tuan Guru kebelakangan ini mendapat perhatian umum khasnya pihak media lantaran keuzuran beliau berpunca dari kanser prostat.


Bekas Menteri Besar Kelantan ini sesungguhnya telah meninggalkan banyak kesan pada senario politik Malaysia malah berperanan melonjakkan imej PAS di persada politik tanahair.
Apalah hebat sangat Tok Guru kampong ini sehingga keperibadian beliau mampu memberi impak yang besar dalam Negara malah diperingkat antarabangsa?

Saya nyatakan Tok Guru bukanlah seorang “firebrand” atau pemidato yang petah dan panas sebagaimana sesetengah tokoh. Kerana itu diawal tahun 80an kalau beliau naik berceramah ke pentas politik khasnya di sebelah Pantai Barat, ramai yang tidak beri perhatian kerana ketika itu hanya yang pedas dan panas-panas mendapat tumpuan.
Tambahan lidahnya yang pekat Kelantan tidaklah sangat memikat hati dan fokus mereka yang hadir ketika itu. Malah walaupun menjadi Ahli Dewan Rakyat sejak 1967 sehingga PRU 1982 suara beliau tidak menyerlah di sana.

Tetapi Tok Guru seorang ulamak yang berilmu. Berikutan meletusnya fenomena kepimpinan Ulamak” dalam PAS selepas itu, ketokohan dan keperibadian para ulamak mula dihargai. Ahli-ahli dan pendukung PAS termasuklah anak-anak muda mula mengerumuni majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah politik yang diterajui para ulamak termasuklah Tok Guru, walaupun cara penyampaiammya tetap lembut dan bersahaja.
Tok Guru mengajar dan memberi keyakinan kepada ahli-ahli dan pendukung PAS bahawa Islam akan menang, yang penting kita istiqamah dan ikhlas bekerja. Walaupun dibenci dan digeruni, kebenaran Islam kelak akan menyerlah.

Kemuncaknya adalah apabila PAS menang dan memerintah kembali di Kelantan pada PRU 1990. Tok Guru yang ketika itu Pesuruhjaya PAS Kelantan telah diangkat menjadi Menteri Besar. Walaupun beliau bukanlah ulamak pertama menjadi MB kerana tokoh-tokoh Umno pun sebelum ini di negeri-negeri lain pernah menjadi MB umpamanya Tan Sri Wan Mokhtar di Terengganu tetapi Tok Guru telah membawa imej dan keperibadian Tok Guru pada jawatan MB yang disandangnya itu.
Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Rakyat Malaysia melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana apabila jawatan MB ini disandang oleh seorang ulamak Islam yang bukan hanya berilmu tetapi mengamalkan ilmunya dalam kehidupan seharian termasuklah dalam menjalankan tugas MB. Tidak ada tolak ansur buat Islam dalam pentadbiran Tok Guru. Prinsip dan dasar perjuangan Islam tidak pernah sekali-kali dikendurkan apalagi dijual-beli.

Pemimpin yang sederhana, yang tinggal dalam rumah kampungnya tanpa mahu berpindah ke kediaman rasmi MB. Pemimpin yang mengutamakan ibadah dan mengajak rakyatnya dekat dengan Tuhan, sesuatu yang asing di Malaysia. Dalam waktu yang sama Tok Guru dikelilingi oleh selain golongan ulamak, professional rakyat Kelantan yang ikhlas dan seronok mahu menaburkan khidmat kepada sebuah kerajaan yang berslogankan “Membangun Bersama Islam”.

Dari situlah imej PAS turut bersinar. Rakyat jelata selain ahl dan pendukung PAS yang tegar mula mengenali ketokohan pemimpin PAS. Tok Guru telah menyumbang ke arah mempromosi PAS kepada rakyat Malaysia dan dunia sejurus menyandang jawatan MB Kelantan.
Atas itu saya dipetik sebagai berkata:

“His leadership in Kelantan helped build the PAS image of today,” said Roslan Shahir, Hadi’s former press secretary.

Saya turut menerangkan bahawa Tok Guru juga berperanan dalam menyusun peralihan kuasa secara teratur di Kelantan sejurus Pilihanraya Umum lalu apabila menyerahkan kuasa kepada Timbalannya Ustaz Dato Ahmad Yakob untuk mengambil alih sebagai MB dan kemudiannya dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan yang baru menggantikan beliau. (Beliau juga kini Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menggantikan Allahyarham Ustaz Dato Harun Taib yang meninggal dunia)

Bermakna PAS Kelantan telah sedia dengan pelapisnya untuk memastikan rakyat Kelantan terus menikmati kepimpinan bercirikan Islam walaupun berlaku perubahan kepimpinan tanpa kalut dan gelabah sebagaimana negeri-negeri lain.
Dan hari ini Ustaz Dato Ahmad meneruskan legasi Tok Guru dengan membetuk kerajaan negeri yang anggota EXCOnya terdiri dari gabungan ulamak dan professional yang mantap dan berwibawa.

Begitulah ketokohan Tok Guru Nik Abd Aziz yang hari ini menjadi kebangaan negeri Kelantan dan seluruh Malaysia. Semasa beliau MB Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang membuka laluan bagi perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah Islam atau Hukum Hudud di Kelantan.
Betapa besarnya sumbangan beliau terhadap Islam tidak dapat dinafikan lagi.

Semoga Allah swt mengurniakan beliau kesihatan yang baik agar terus dapat membimbing kita dan semuga kita terus dipimpin oleh para ulamak seumpama beliau sampai bila-bila.

 

Monday, February 02, 2015

Mustahil orang PAS mahu musnahkan kerajaan sendiri (2/2/15)

PAS merupakan parti yang memerintah kerajaan negeri Kelantan. Parti ini telah diberi mandat oleh rakyat negeri Kelantan untuk mentadbir dan mengurus negeri ini sejak dari 1990 lagi.

Sudah pastilah Kelantan merupakan kebangaan ahli-ahli dan pendukung PAS seluruh Negara. Kemampuan PAS untuk terus kekal memerintah negeri ini di bawah slogan “Membangun Bersama Islam” terus-menerus menjadi bualan dan perbahasan rakyat jelata dimana-mana.

PAS kekal memerintah Kelantan lantaran ciri-ciri khas yang ada pada darah-daging rakyat Kelantan sendiri yang zaman-berzaman cenderung dan tunduk menerima Islam. Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam dijunjung dan disanjung rakyat Kelantan.

Malah Kelantan zaman-berzaman merupakan gedung ilmu Islam, lantas itu ianya dilabel Negeri Serambi Mekah dan hakikat ini diterima oleh kawan dan lawan.

Sejak 1990 rakyat Kelantan telah mencatat rekod dengan menobatkan seorang ulamak bertaraf Tok Guru sebagai Menteri Besarnya dan tradisi ini terus kekal selepas PRU lalu apabila berlaku peralihan kuasa dengan berundurnya Tok Guru Nik Abd Aziz dan naiknya Ustaz Ahmad Yakub yang juga seorang ulamak sebagai MB.
Kelantan merupakan negeri pertama di Malaysia yang meluluskan Undang-undang Hudud, yang rata-rata diterima tanpa bangkangan dalam Dewan Undangn Negeri dan berterusan PAS menerima mandat rakyat negeri menujukkan undang-undang ini turut direstui rakyat jelatanya.

Program dan dasar Islam dilaksanakan dan diterima dengan senang hati oleh rakyatnya termasuklah masyarakat minoriti bukan Islam.

Ahli-ahli dan pendukung PAS terus memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada kerajaan negeri, malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa Kelantan merupakan model negeri Islam yang dicita-cita dan diperjuangkan oleh rakyat Islam di Negara ini, ia bukan lagi satu impian.

Mustahil ada ahli PAS yang enggan membantu kerajaan negeri. Mustahil ada ahli PAS yang mahu mencetus onar menghilangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri. Mustahil ada ahli PAS yang bercita-cita mahu menegakkan kerajaan dalam kerajaan.
Saya menyatakan ini kerana ahli-ahli PAS dari atas sampai bawah, dari pemimpin sampai ahli biasa, semuanya sepatutnya merupakan pejuang Islam. Para pejuang Islam sokong-menyokong dan kuat-menguatkan antara satu sama lain. Mereka tidak tikam-menikam, mereka tidak “cah keting” kerana tindak-tanduk dan perjalanan mereka diikat oleh disiplin dan adab berjemaah sebagaimana diajar oleh junjungan mereka Rasulullah saw dan para sahabat.

Ahli-ahli PAS melayari bahtera perjuangan dalam satu bahtera. Mereka taat pada satu nakhoda. Mereka sentiasa berunding, berbincang bermesyuwarah dan tidak sekali-kali lantaran tidak kepuasan hati, akan menebuk bahtera tadi kerana kehausan air atau tidak senang dengan orang di atas.
Atas ketaatan dan kekuatan inilah Islam boleh menguasai dunia, atas kekuatan inilah Islam dapat bertahan atas muka bumi ini sehingga dewasa ini kerana para pejuang Islam mengharapkan sesuatu yang tidak diharapkan oleh mana-mana pejuang pun di atas dunia ini.

Walaubagaimanapun apa yang berlaku di Kota Bharu semalam, membangktikan kerisauan, sudah adakah apa yang kita “mustahil” kan di atas dalam PAS hari ini?
Sebagai pencinta PAS saya tidak boleh disalahkan kalau membangkitkan kerisauan ini.

Sepatutnya kerajaan Kelantan yang sedang bertungkus-lumus menguruskan pembangunan semula negeri berkenaan yang teruk dilanda banjir baru-baru ini dibantu, lebih-lebih lagi oleh orang-orang PAS sendiri. Setakat ini saya tidak keterlaluan jika mengatakan tidak ada seorang pun ahli PAS yang terlepas dalam membantu nestapa di Kelantan dan di beberapa negeri Pantai Timur yang lain, itu tanggungjawab.
Bantuan wajar disalurkan terus kepada yang menguruskannya dalam hal Kelantan sepatutnya terus ke kerajaan negeri. Sokonglah, bentuklah apa badan, NGO sekalipun tetapi akhirnya inisiatif yang diambil perlulah jatuh terus ke tangan kerajaan negeri, tambahan pula jika kita ini ahli PAS.

Tetapi apabila ada pemimpin PAS, ada penggerak PAS terlibat dalam usaha berasingan mahu menjuarai bantuan kepada rakyat, keluar dari saluran sepatutnya. Katalah apa pun tidakkah ini menggambarkan seakan ada saingan, seakan mahu membelakangkan dan melekehkan usaha negeri dan sebaliknya mahu jadi juara sendiri.
NGO yang bukan politik bolehlah ia bebas ikut kehendak dan kemahuannya, tetapi apabila NGO itu penggeraknya orang-orang PAS, sewajarnya ia membantu dengan menyalurkan apa sahaja bantuan dan sokongan kepada kerajaan yang dipimpin parti. Apabila ia pula mahu jadi juara, sah ia sesungguhnya punya agenda peribadi dan dalam hal PAS tidak lagi akur dan tunduk pada disiplin dan adab berjemaah.

Pelancaran Gabungan Impian Kelantan kononnya oleh 39 NGO dan orang perseorangan di Kota Bharu semalam bagi saya sungguh mengecewakan. Rata-rata pihak media melaporkan bahawa kerajaan Negeri Kelantan tidak diundang. Tetapi yang mengepalai gabungan ini adalah pemimpin PAS belaka. Dato Husam Musa, Naib Presiden PAS dikatakan bertindak sebagai pengerusi turut hadir Muhammad Sabu, Timbalan Presiden PAS selain pimpinan kanan DAP.
Jika diteliti program gabungan ini jelas ianya mahu terlibat membangunkan semula negeri Kelantan tetapi luar dari inisiatif dan usaha kerajaan negeri. Kelantan ini negeri Umno atau BN kah? Mengapa perlu kita bertindak sedemikians edangkan Kelantan dalah negeri pimpinan PAS dan PAS merupakan rakan dalam PR?

Maaf tapi bagi saya gabungan ini memiliki agenda politik, dan ianya akan bersaing dengan kerajaan negeri. Saingan ini bagi tujuan apa, tiada lain pasti kerana memenuhi impian politik pihak tertentu bagi merobah kepimpinan yang sedia ada di negeri berkenaan. Bermula dengan Kelantan dan barangkali selepas ini seluruh Negara bukannya untuk bersaing dengan seteru politik tetapi lebih untuk memusnahkan saf kepimpinan sendiri demi memenuhi nafsu politik sendiri.