Wednesday, February 22, 2017

Himpunan 355 petunjuk sokongan rakyat perkasa Syariah

“Syariah diperkasa rakyat sejahtera”, demikian tema Himpunan 355 yang telah berlangsung dengan jayanya di Padang Merbok pada 18 Febuari baru-baru ini. 

Kesungguhan rakyat khususnya umat Islam Malaysia mahu memperkasa dan memartabatkan hukum syariat boleh dibaca dari kehadiran ribuan yang membanjiri Padang Merbok dan persikatarannya sejak tengahari sehinggalah tengah malam hari tersebut.

Rakyat kebanyakkan datang dari setiap pelusok dan penjuru negara menaiki apa sahaja kenderaan dan pengangkutan awam yang ada bagi memastikan mereka tercatat sebagai sebahagian dari yang menjayakan himpunan bersejarah ini.

Yang hadir terdiri dari wakil-wakil, ahli dan para penyokong parti-parti dan NGO-NGO yang berkongsi aspirasi yang sama mahu melihat Islam didaulatkan khasnya dikalangan penganutnya di Malaysia. Ramai juga mereka yang tidak berparti atau berpersatuan, tetapi rakyat biasa turut hadir kerana terpanggil dengan laungan keramat memperkasakan syariat ini.

Himpunan 355 ini sesungguhnya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh mereka yang berkobar-kobar semangatnya mahu menjayakannya malah ia turut diberi perhatian oleh ramai yang lain yang mahu melihat sejauh mana kuat dan popularnya sokongan terhadap usaha untuk memartabatkan Islam di Malaysia.

Turut memberi perhatian pada himpunan ini adalah para pengkritik dan penentang usaha dan matlamat penganjur.

Dengan lautan manusia yang hadir pada hari berkenaan, yang tidak langsung berganjak walau dalam keadaan cuaca yang hujan menjelang Maghrib, ternyata telah mencetuskan kebimbangan dan kerisauan dihati para pengkritik apatah lagi mereka yang menentang Rang Undang-undang 355 ini.

Bagi para pengkritik dan penentang, mereka mahu sahaja melihat himpunan ini gagal. Jika kehadiran tidak sampai separuh padang, atau orang ramai lari meninggalkan tapak apabila cuaca buruk, maka puaslah hati mereka, penuhlah tangan mereka dengan peluru untuk menyerang dan menggambarkan bahawa para penganjur telah gagal dan rakyat menolak pindaan terhadap Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Mereka lupa bahawa perbezaan ahli-ahli PAS dan ahli-ahli parti lain khasnya kelompok mereka,adalah bahawa ahli-ahli PAS telah terbukti sejak dahulu lagi begitu berdisiplin dan komited dalam mendukung perjuangan mereka.

Demi menjunjung perjuangan Islam, ahli-ahli PAS telah terbukti sanggup berhadapan dengan apa sahaja keadaan dan kemungkinan,namun berundur dan lari menggagalkan perjuangan apatah lagi majlis yang menjayakan cita-cita perjuangan mereka tidak sekali-kali.

Sedangkan halangan dan gangguan yang lebih besar dan zalim pernah mereka tadah dan hadapi sepanjang sejarah perjuangan PAS apalah sangat cucuran air dari langit.

Disiplin, komitmen dan kesungguhan seumpama inilah yang mengkagumkan ramai dan tidak keterlaluan dikatakan lantaran sikap sebegini, ramai yang cenderung pada PAS dan mengiktiraf bahawa dalam hal berkenaan Islam, nasib dan masadepannya, PAS lah satu-satu gerakkan politik yang setia, konsisten dan boleh dipercayai dan diharapkan.

Tidak ada mana-mana organisasi lain yang punya ahli yang sanggup menadah tubuh dengan hujan dari maghrib ke isyak, bersolat dibawah langit berlantaikan bumi yang lembap dan berselut melainkan ahli-ahli PAS di Malaysia. Keunikkan inilah telah menambat hati ramai dan lantaran kekentalan semangat inilah pada hari himpunan berkenaan ramai yang lain yang hadir turut sama tidak lari dan sebaliknya duduk mendengar pidato para pimpinan dengan penuh perhatian sehinggalah ke tengah malam.

Bagi saya kejayaan himpunan ini harus membuka mata banyak pihak.

Mesej yang paling jelas  yang telah dicetuskan oleh kejayaan himpunan ini adalah bahawa umat Islam di Malaysia serius dalam bab berkaitan anutan dan amalan agama mereka. Pindaan terhadap Akta 355 ini mahu memperkasakan mahkamah syariah agar hukuman yang boleh dikenakan ke atas mereka yang sabit kesalahannya lebih selaras dan bertepatan dengan tuntutan Islam.

Urusan dan amalan agama umat Islam sebagaimana agama lain, merupakan suatu hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan hak ini sepatutunya tidak diganggu apalagi dicampuri oleh mereka yang tidak ada kepentingan.

Selama ini negara kita boleh aman dan tenteram dengan masing-masing penganut agama menghormati amalan agama masing-masing, mengapa pula kini apabila umat Islam mahu pertingkatkan amalan agama mereka mengikut saluran dan peraturan undang-undang ianya dikritik dan ditentang?

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara, semua pihak khususnya warganegara Malaysia sewajarnya menghormati dan tunduk pada semua peruntukkan undang-undang tertinggi ini.

Keluhuran Perlembagaan merupakan salah satu prinsip Rukunegara yang selama ini menyatukan kita, dan ianya wajar terus dihormati dan menjadi amalan kita.

Sesungguhnya Himpunan 355 yang berjaya tempuh hari itu menjadi simbol kesepakatan dan penyatuan hati umat Islam di Malaysia.

Untuk negara ini kekal harmoni, rakyatnya yang berbilang kaum dan agama haruslah hormat-menghormati antara satu dengan yang lain khasnya dalam amalan kepercayaan masing-masing. Melalui pindaan akta ini tiada satu hak dan kepentingan rakyat yang bukan Islam pun yang terjejas atau diganggu. Jangalah kerana tidak bersetuju maka dicetuskan pelbagai fitnah dan onar untuk membangkitkan keraguan dan kebimbangan orang-ramai.

Semoga pindaan ini nanti dapat diluluskan di parlimen bagi memenuhi kemahuan umat Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara ini.

Pindaan ini nanti bakal mendekatkan amalan umat Islam dengan agama mereka, sesuatu yang mereka yakini akan melahirkan umat Islam yang lebih baik dan bermoral. Tidakkah itu nanti turut memberikan keamanan kepada warga yang bukan Islam?

Rakyat khasnya umat Islam telah bersuara melalui Himpunan 355 dengan satu suara yang lantang dan tegas. Langkah seterusnya adalah mendapatkan pertimbangan rasional ahli-ahli Parlimen sehinggalah nanti pindaan ini menjadi undang-undang dan umat Islam menjadi warga yang lebih baik.

Moga Malaysia kekal harmoni dan Islam sebagai agama Persekutuan menjadi semakin perkasa. roslansms@gmail.com

No comments: