Sehingga ke hari ini laman-laman
rasmi DAP tidak langsung mengulas Himpunan 355 yang telah diadakan dengan
jayanya di Padang Merbok dengan kehadiran lautan manusia pada 18 Febuari lalu.
Begitu juga penentang-penentang
tegar Rang Undang-undang meminda Akta 355, masing-masing menyepi tanpa sepatah reaksi
terhadap Himpunan 355 itu.
Baru-baru ini wartawan kanan
Joceline Tan dari akhbar harian berbahasa Inggeris The Star dalam ruangan
mingguannya menulis bahawa:
“Himpunan 355 ini bukan hanya besar tetapi
mencerminkan kemampuan dan keupayaan PAS dan ia bukti betapa PAS langsung tidak
terkesan dengan kehadiran Pan (dalam persada politik Malaysia)”.
Beliau menambah:
“ Walaupun
kemudiannya hujan lebat namun tiada yang berganjak walau seinci sekalipun sekali
lagi membuktikan tingginya komitmen mereka yang hadir terhadap apa yang
diperjuangkan.”
Hakikatnya himpunan berkenaan
telah mencapai matlamatnya sebagaimana dicetuskan oleh ahli parlimen Marang,
Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang iaitu menzahirkan kekuatan umat Islam
yang menyokong pindaan ini serta memberi isyarat kepada semua pihak darihal
kesungguhan dan komitmen rakyat Malaysia yang beragama Islam dalam memartabat
dan mendaulatkan agama mereka.
Seluruh rakyat Malaysia termasuk
DAP dan pihak-pihak lain telah menyaksikan jumlah kehadiran Himpunan 355. Ada
beberapa kerat termasuklah Pan cuba memperlekehkan jumlah kehadiran tetapi
berdasarkan laporan Joceline Tan di atas ia tetap lautan manusia.
Realitinya himpunan berkenaan
telah membuktikan betapa umat Islam boleh bersatu apabila sahaja agamanya
menjadi isu.
Saya yakin DAP suka tidak suka
menerima hakikat ini, lalu mereka tidak seperti Pan sedang mencari akal
bagaimana mahu mengatasi perkembangan dan fenomena politik baru ini.
Mereka dan ramai yang lain tahu
bahawa Himpunan 355 membuktikan betapa PAS telah melonjakkan satu kebangkitan
atau fenomena politik baru yang sekaligus telah melonjak imejnya dikalangan
rakyat, khasnya dikalangan para pengundi Melayu apabila berjaya menunjukkan
yang mereka sentiasa ke hadapan dalam isu-isu membabaitkan kedaulatan Islam.
Himpunan 355 mengiktiraf peranan
PAS dan sokongan padu rakyat khasnya umat Islam terhadap usaha-usaha murni
parti yang memperjuangkan Islam ini.
Ini bermakna cita-cita DAP untuk
melihat Pan kononnya berperanan menggantikan PAS berkecai begitu sahaja apatah
lagi untuk menawan Kelantan. Dan malah nafsu DAP untuk menaikkan pimpinan
Melayu kononnya untuk memenangi hati umat Islam turut terbantut melalui kencangnya
gelombang Himpunan 355 ini.
DAP perlu berfikir panjang,
kerana umat Islam telah bersuara dan tidak akan menyepi lagi selepas ini.
Bagi mereka usaha memartabatkan
agama mereka, suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan
inisiatif kea rah itu adalah sesuatu yang suci dan murni.
Siapa sahaja yang menentang usaha
ini, akan dilihat tidak “mesra” Islam dan tambahan jika ada ahli politik tanpa
mengira agama dilihat memiliki sikap yang negatif pasti tidak akan menerima
undi mereka pada PRU akan datang.
DAP, MCA, Gerakan, MIC dan
parti-parti lain perlu bertindak rasional dalam isu ini. Umat Islam Malaysia
bukannya memaksa mereka menyokong usul ini tetapi sekurang-kurangnya janganlah
menzahirkan penolakkan atau menjadi batu penghalang yang hanya akan mengundang
marah orang-orang Islam.
Marah ini mampu dan boleh sahaja
diterjemahkan pada undi, dan pihak yang menentang bakal kehilangan undi
majoriti pengundi Islam jika mereka berterusan memilih untuk bersikap
menentang. Ini bukan ugutan tetapi ini risiko pilihan sendiri yang perlu
dipikul masing-masing.
Jangan lagi berhujah kononnya
usul ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, atau ia bakal mewujudkan
dwi sistem undang-undang dan pelbagai alasan lain yang dangkal lagi meleset.
Hakikatnya pindaan ini sekadar satu pindaan terhadap undang-undang yang sedia
ada. Ia pernah dipinda sebelum ini, dan perlaksanaannya kelak sebagaimana
sebelumnya hanya terpakai atas umat Islam sahaja dan tidak yang lain.
Berterusan bersikap negatif akan
dilihat sebagai mencabar hak umat Islam untuk mengamalkan agama mereka.
Cukup-cukuplah sikap pertentangan seumpama itu dimain dan dipolitikkan.
Mereka yang menentang dan tidak
senang boleh berhujah dan berdebat di Parlimen semasa sidang dewan nanti, itu
hak mereka. Tegur dan kemukakanlah penambah-baikan jika ada tetapi berkeras
mahu melawan arus dengan mengundi menentang sudah semestinya dengan sendiri
memberi isyarat bahwa mereka pasif dan tidak ada keinginan untuk melihat Islam
diperkasakan di Malaysia.
Dari Padang Merbuk lautan ungu
akan nanti laksana tsunami menjalar dan merebak sehingga ke dewan Parlimen. 222
orang ahli Dewan Rakyat termasuk yang Islam dan bukan Islam akan memikul
tanggungjawab meneliti, membahas dan mengundi usul ini nanti.
Semoga yang Islam atas kesedaran
masing-masing akan menyokong usul ini manakala yang bukan Islam meraikan
kehendak saudara-saudaranya yang Islam kerana usul ini tiada berkaitan mereka.
Peringatan ini bukan hanya kepada
yang bukan Islam malah termasuk yang Islam. Kekalkanlah keharmonian dan
bertindaklah dengan rasional jika sayang dan menghargai undi para pengundi
Melayu Islam.
Lautan ungu di Padang Merbuk
telah mencetuskan fenomena politik baru, iaitu semangat dan kecenderungan umat
Islam di Malaysia untuk memperkasakan amalan agama mereka. Selama ini
Perlembagaan Persekutuan menjamin hak berkenaan dan hari ini umat Islam mahu
melihat hak itu tidak dirampas atau dicabar sesiapa.
Mereka yang mengiktiraf kesungguhan lautan
ungu ini akan selamat manakala mereka yang memilih mencabar dan menentangnya pasti
akan kecundang dimamah keinginan besar umat Islam yang merupakan majoriti
pengundi di Malaysia. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment