PAS sedang menghadapi musim
Mesyuarat Agung Tahunan bagi kawasan-kawasannya seluruh negara. Kemuncaknya
nanti adalah Muktamar PAS Pusat yang akan diadakan di Alor Setar bermula 29
April ini.
Ini merupakan muktamar PAS
terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14 diadakan.
PAS menjadi tumpuan ramai khasnya
para pemerhati politik kerana masa depan pakatan pembangkang samada akan
memberikan BN cabaran satu lawan satu dalam PRU ke 14 nanti atau pertandingan
pelbagai penjuru sebagaimana pada Pilihanraya Negeri Sarawak atau Pilihanraya
kecil di Sg Besar dan Kuala Kangsar kini banyak bersandar pada PAS.
Yang pastinya PAS tiada lagi
sebarang kerjasama politik dengan DAP sementara Pan pula, parti serpihan PAS
yang bermatalamat kononnya mahu menggantikan PAS, tidak pernah dan tidak
sekali-kali akan diiktiraf PAS.
Sudah pasti PAS tidak akan
berunding dengan kedua-dua parti ini.
Lalu masih adakah harapan satu
lawan satu sebagaimana dahulu?
PAS telah menetapkan bahawa ia
hanya akan berkerjasama dengan parti yang menghormati dasar dan prinsip
perjuangannya. Penetapan status seumpama ini bukanlah sesuatu yang melampau
kerana sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sejak lebih 60 tahun
lalu, sudah pastilah PAS berhak menetapkan perkara ini.
Berkerjasama dalam apa bentuk
sekalipun dengan parti yang menentang Islam atau menolak perlaksanaan Islam
walau sesama penganut Islam, adalah sesuatu yang mustahil buat PAS, kerana ia
bakal menggugat kedudukannya dikalangan ahli dan para penyokongnya.
Oleh yang demikian siapa sahaja
yang mahu berpakat dan berkerjasama dengan PAS wajarlah memahami kedudukan ini
dan menerimanya, sebagaimana mereka juga sudah semestinya akan mengharapkan PAS
menghormati perjuangan dan dasar mereka masing-masing.
PPBM masih menaruh harapan bagi
membentuk kerjasama dengan PAS. Mungkinkah mereka bersedia menerima dan
menghormati dasar PAS?
Sementara itu PAS setakat ini
masih punya tahaluf ataupun kerjasama politik bersama PKR, namun disatu pihak
lain PKR bersama DAP dan Pan membentuk Pakatan Harapan, bagaimanakah hubungan
PAS- PKR nanti?
Malah sudah ada tuntutan dalam
PAS agar mengkaji dan menyemak semula hubungannya dengan PKR , sesuatu yang
menurut Presiden PAS akan dilakukan pada atau selepas Muktamar penghujung April
nanti.
Dan dalam pada itu PAS telah pun
membentuk satu pakatan politik baru yang diberi nama Gagasan Sejahtera yang
setakat ini dianggotainya bersama Parti Ikatan.
Barangkali pihak pembangkang
merindui seorang “arkitek politik” umpama Tengku Razaleigh Hamzah, yang sebelum
ini dalam PRU 1990 telah berjaya menyatukan parti-parti pembangkang melalui dua
bentuk pakatan politik yang berbeza, satu dikenali Angkatan Perpaduan Ummah
yang menggabungkan Semangat 46, PAS, Hamim dan Berjasa manakala satu lagi
dikenali sebagai Gagasan Rakyat yang menggabungkan Semangat 46, IPF, DAP dan
PRM.
Semangat 46 menganggotai
kedua-dua pakatan sebagai “penghubung” yang memastikan kesatuan pihak
pembangkang dalam menghadapi BN.
Mampukah hari ini PKR memainkan
peranan itu?
Menantikan kemuncak apa yang dikenali
“tsunami kebangkitan Islam” dalam PRU ke 14 nanti hasil kesedaran umat Islam
khususnya dalam memartabat dan memperjuangkan agama mereka yang terbukti
melalui isu RUU 355, barangkali kebijaksanaan Tengku Razaleigh dahulu boleh
dipertimbangkan.
Melahirkan satu pakatan politik
yang menggabungkan parti-parti yang mengiktiraf dan bersedia memberi laluan
buat umat Islam menganut dan mengamal agama mereka secara aman dan bebas dalam
negara Merdeka ini sangat bermakna dalam mahu mematahkan pengaruh Umno, tunggak
BN.
Kesediaan meneroka jalan baru ini
pasti akan dapat mengutip hasil yang lumayan yang bakal dibuahkan oleh tsunami
yang dimaksudkan. Umat Islam yang merupakan majoriti rakyat dan pengundi dalam
negara hari ini sudah bosan dan muak dengan kuasa politik pemerintah yang sedia
ada, namun mereka berhati-hati kerana mahu menentukan penggantinya nanti biar
punya kemampuan membela nasib mereka dan membawa kesejahteraan pada negara.
Pengganti itu nanti jangan
liberal apalagi sekular sehingga memporak-perandakan negara dan mencalarkan
imej dan harga diri Islam. Kerana itu satu pakatan seumpama ini penting dan
sangat relevan.
Samada PAS nanti boleh menerima
kelahiran dwi pakatan pembangkang seumpama ini, terserahlah kepada
kebijaksanaan pimpinannya, tetapi jika hasil tangan Tengku Razaleigh dahulu
boleh diterima, tidak mustahil sesuatu yang seumpama itu hari ini boleh juga
barangkali dipertimbangkan.
Timbalan Presiden PPBM Dato Seri
Mukhriz Mahathir telah menzahirkan keinginan untuk menjalin berkerjasama dengan
PAS, demikian juga Timbalan Presiden PKR Dato Seri Azmin Ali turut melahirkan
keyakinan dapat membentuk kerjasama efektif dengan PAS kiranya diberi lebih
masa.
Mungkinkah sesuatu yang positif
mampu dilakarkan?
PAS sudah pasti akan mengambil
kira semua aspek, dan menimbangkan semua perkembangan dengan teliti dan
bijaksana berpandukan hukum tertingginya dengan bimbingan Majlis Syuranya. Apa
pun keputusannya nanti, kita mahu melihat Islam mendapat kedudukan dan dinobatkan
selain nasib dan masa depan kaum dan penganut lain dibela.
PAS diyakini dapat melahirkan
sesuatu yang memberi pengharapan yang cerah buat rakyat dan negara khususnya
dalam menghadapi PRU ke 14 nanti. Ianya bukan sesuatu yang mudah tetapi ianya
tidak mustahil dilahirkan.
Semoga penyelesaian Islam yang
diperjuangkan PAS menjadi formula paling kukuh dan ampuh dalam menyelesai
kemelut yang dihadapi rakyat Malaysia keseluruhannya. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment