Wednesday, February 01, 2017

Muslihat Kit Siang

Apabila penasihat dan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang secara mendadak menghulurkan tangan persahabatan pada PAS setelah partinya berpatah arang berkerat rotan dengan Parti Islam ini sekian lama, sudah pasti ia menimbulkan seribu satu persoalan.

Ramai yang hampir terpedaya dengan langkah baru Kit Siang itu dengan menyangkakan inilah peluang terbaik kedua parti terbesar di barisan pembangkang ini mengenepikan perbezaan dan bersatu untuk memberi tumpuan menumbangkan BN. Jika PAS dan DAP boleh bersatu seperti sebelumnya, sudah pasti harapan pihak pembangkang semakin cerah dan kemungkinan pertandingan tiga atau lebih penjuru dalam PRU akan datang dapat dielakkan.

Langkah mengejutkan Kit Siang ini satu peluang baik buat kedua parti, dan ternyata Kit Siang seorang “negarawan” yang berjiwa besar.

Itu sekurang-kurangnya pandangan mereka yang kosong jiwa politiknya.

Namun hajat Kit Siang itu terbantut apabila Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang segera menolaknya.

Kemungkinan penolakkan ini dilihat sesetangah pihak sebagai satu langkah angkuh dan sombong oleh PAS, tetapi mereka yang beranggapan demikian ternyata tidak memahami sejarah dan situasi politik antara PAS dan DAP.

Menurut Tuan Guru, DAP punya agenda politiknya, begitu juga PAS dan kedua agenda itu sentiasa bercanggah mengakibatkan sebarang bentuk kerjasama diwaktu kini sesuatu yang hampir mustahil.

Jika Kit Siang dan DAP dengan mudah boleh menerajang PAS keluar dari Pakatan Rakyat satu ketika dahulu setelah gagal mempengaruhi perubahan kepimpinan dalam PAS, dan kemudiannya menjaja penubuhan sebuah parti kononnya untuk menggantikan PAS, kenapa hari ini Kit Siang mahu memadam semua episod getir itu dan membuka buku baru?

Ada yang mengatakan tindakan Kit Siang itu sebagai “melutut” kembali pada PAS.

Bagi saya seorang seumpama Kit Siang yang telah terjun dan berkecimpung dalam alam politik Malaysia sejak tahun 60an lagi tidak mudah “melutut” begitu apalagi pada PAS.

Sebenarnya Kit Siang seorang strategis yang licik, walaupun beliau pernah gagal dalam percaturannya sebelum itu, tetapi kali ini ia terlalu yakin kerana beranggapan sokongan pengundi Cina tetap berada dalam genggamannya sehingga membawa ke PRU akan datang.

Pada PRU lalu DAP menang 38 kerusi Parlimen (walaupun kalah 1 kemudiannya dalam PRK Teluk Intan). Kit Siang yakin DAP bukan sahaja boleh mengekalkan bilangan itu malah tidak mustahil menambah beberapa lagi.

Keputusan PRK Teluk Intan selain Sg Besar dan Kuala Kangsar gagal menggoncang keyakinannya.

Lalu kenapa perlu bantuan PAS?

DAP sesungguhnya telah hampir mencapai maksima kekuatannya. Dengan bersandarkan undi bukan Melayu, khasnya undi Cina itulah sekitar bilangan kerusi Dewan Rakyat yang boleh DAP menang kecuali pengundi Melayu di kawasan majoriti Melayu mengundinya, sesuatu yang sukar dicapainya.

Kit Siang hari ini bukan sekadar melihat untuk mengekalkan kuasa di Pulau Pinang dan kembali berkuasa dalam kerajaan campuran di Selangor. Nafsu politiknya melonjak sehingga mensasarkan Perak, Negeri Sembilan dan mungkin Johor, malah ianya kini sudah memuncak hingga ke Putrajaya.

Untuk menang dan berkuasa serta mungkin menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, DAP perlu menang sekurang-kurangnya 112 dari 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Di sanalah bantuan sebuah parti Melayu yang mampu menggugat monopoli Umno di kerusi-kerusi majoriti Melayu sangat diperlukan. Mana satukah parti itu?

Parti yang berpengalaman dan sudah dikenali orang-orang Melayu, yang konsisten dalam perjuangannya, yang punya jentera yang berdisiplin dan bergerak malah disegani pula orang-orang Melayu jika tidak PAS.

PKR mungkin boleh juga membantu tetapi tidaklah sebesar PAS kerana konsepnya yang lebih ke arah berbilang kaum.

Pan pula serba tidak mengena buat DAP. Suatu eksperimen untuk menggantikan PAS yang terbukti gagal. Sedang PBBM atau Bersatu masih belum diuji.

Lantaran itu demi mencapai agenda politiknya Kit Siang sanggup mengenepikan segala perbezaannya dengan PAS dan menghulurkan tangan persahabatan kepada Tuan Guru Presiden PAS walaupun ia tahu cubaannya itu tidaklah mudah dicapai.

Harapan Kit Siang melalui pencapaian DAP antara 40 ke 50 kerusi ditambah dengan sumbangan besar PAS dari kalangan kerusi Melayu serta beberapa kerusi lagi dari PKR dan mungkin Bersatu, Putrajaya dapat ditundukkan.

Tetapi ternyata pengalaman pahit PAS dengan DAP terlalu sukar buat PAS untuk dilupakan. Dan sebagaimana berpengalamnnya Kit Siang dalam politik, Tuan Guru Presiden PAS tidak kurang juga pengalamannya yang menjangkau hampir 40 tahun, pernah menjadi Menteri Besar, Ketua Pembangkang dan tidak pernah terkeluar Dewan sebagaimana Kit Siang sejak tahun 1982 (Tuan Guru kekal di kerusi DUN nya sejak tahun 1982 manakala Kit Siang pernah hilang taraf YB nya dalam PRU 1999).

Menurut Tuan Guru malah DAP hingga kini menentang beberapa agenda utama PAS khususnya dalam meningkatkan hukum syariah di kalangan umat Islam.

Agenda ini merupakan asas perjuangan PAS. Jika DAP tidak boleh menerima sekalipun janganlah sampai menentang. Mana mungkin PAS boleh berkerjasama dengan parti yang tidak hormat malah menentang dasar dan prinsip perjuangannya. Jangankan PAS mana-mana parti lain pun tidak boleh menerima parti seumpama itu sebagai kawan.

PAS memang bercita-cita mahu menang PRU, tetapi kemenangan yang PAS mahu capai adalah dengan kebebasan dan kemampuan untuk melaksanakan perubahan. Mustahil PAS boleh mengenengahkan agendanya jika menang bersama dengan DAP.

Kalau mengikut percaturan Kit Siang, kiranya Putrajaya dirampas, dominasi DAP kelak terlalu besar dalam kerajaan sehinggakan mana-mana parti lain yang berada dalam pakatannya terpaksa akur dan tunduk padanya sebagaimana kerajaan campuran Perak pada tahun 2008 dulu.

Bayangkan kerajaan Persekutuan sedemikian rupa.

PAS mahu menang PRU tetapi matlamat kemenangan itu bukanlah dengan cara yang haram dan bertentangan dengan syarak. roslansms@gmail.com

No comments: