Apa yang masih terpaku di hati saya sehingga hari ini adalah kenyataan beliau berkenaan kedudukannya itu. Kalau orang biasa-biasa sudah pasti kerusi empuk MB akan menjadi batu loncatan untuk ia memewahkan lagi hidupnya, keluarganya, kaum kerabat dan kroni. Bukankah itu yang telah berlaku bagi mereka yang duduk di atas kerusi ini sebelumnya? Kerana itu Umno dan BN tumbang kerana rakyat mahu menempatkan orang yang lebih baik duduk di atas kerusi ini.
Kata Tan Sri Khalid sebenarnya beliau tidak perlu kepada kedudukan sebagai MB ini. Memang umum mengetahui beliau seorang jutawan yang berjaya hasil usaha dan kelincahan serta kebijaksanaannya dalam dunia korporat dahulu.
Kata beliau, jawatan ini beliau terima kerana mahu
menyumbang khidmat kepada negeri beliau, kepada Selangor.
Kenyataan ini bagi saya mencerminkan keikhlasan seorang yang
mulia yang mahu menjadi lilin membakar diri demi keselesaan, kemajuan dan
kemewahan rakyat dan negeri Selangor. Dan terbukti beliau benar-benar berpegang
kepada kata-katanya itu.
Di bawah beliau Selangor terus bangkit gagah, maju dan
perkasa menjadi sesuatu yang dikagum rakyat dan malah mush-musuh politik
sekali.
Atas rekod bersih, telus dan gigih inilah maka rakyat
Selangor telah memberikan mandate sekali lagi kepada PR bawah kepimpinan beliau
dalam PRU 2013 baru-baru ini. Malah beliau turut membuktikan keupayaannya
dimana dalam PRU itu beliau mengosongkan kerusi DUN Ijoknya untuk berhijrah ke
DUN Pelabuhan Kelang.
Ada sesetengah pengkritik mengatakan perpindahan ini kerana
Tan Sri goyang, rekodnya di Ijok tidak baik kononnya. Ternyata kritikkan itu
meleset apabila beliau menang besar di Pelabuhan Kelang dan calon PKR Ijok Dr
Idris turut berjaya mengekalkan kerusi itu dengan selesa.
Tidak keterlaluan saya katakan Selangor memang dahagakan
seorang MB, seorang pemimpin seperti Tan Sri. Jika selama ini kerusi MB
menyaksikan satu demi satu penyandangnya gugur angkara masalah rasuah dan
moral, Tan Sri lain dari yang lain-lain.
Pernah beliau bercerita kepada saya berkenaan ibunya. Ketika
melancarkan skim Amanah Saham Nasional dahulu, yang diterajui beliau. Katanya
kepada saya, ibunya pernah bertanya, “Sahak (nama timangan Tan Sri di kampung)
dimana kau simpan duit orang tu, jaga-jaga nanti hilang….. (lebih kurang begitu)”
menunjukkan betapa seorang ibu prihatin dan mendidik anaknya agar jujur dan
amanah. Memanglah wang pelabur bukan dalam kocek Tan Sri, tetapi seorang ibu
yang tidak tahu mekanisma sebenarnya tetap mahukan anaknya itu berperibadi
mulia.
Hari ini Tan Sri bukan sekadar menjaga wang pelabur ASN
tetapi khazanah dan kekayaan rakyat dan negeri Selangor dan terbukti ibunya
telah berjaya membentuknya menjadi anak yang baik kerana dia sehingga ini
muncul tidak tewas dan gelap mata dengan kekayaan dan peluang yang berada
disekelilingnya.
Selain PKR, DAP dan PAS dapat menerima Tan Sri sejak 2008
sebagai MB, malah kualiti kepimpinannya itulah yang telah menjadi modal kempen
bagi PR dalam PRU 2013 bagi mempertahankan Selangor.
Rakyat terus memberi mandat malah yang lebih kuat dan selesa
kali ini demi kerana keyakinan mereka pada Tan Sri.Isunya, benarkah Tan Sri “dipaksa” menandatangani surat perletakkan jawatan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar The Star hari ini?
Kecewalah rakyat jika begitu dan saya harap tidak.
Selepas PRU 2013 lalu Setiausaha Agung PKR menegluarkan
kenyataan:
“PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat
Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri
Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang
untuk diangkat sebagai Menteri Besar
Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan
Negeri Selangor sebelum ini.
KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri
Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat
kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan
warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda
perubahan rakyat dapat diteruskan
bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.”
Biarlah Tan Sri meneruskan khidmat cemerlang beliau itu.
Entah kenapa tiba-tiba saya teringat kisah Nabi Ibrahim,
Nabi Ismail dan isterinya yang mahu saya jadikan penutup posting ini:
Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa
dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
Nabi Ismail : Ada
sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?
Isteri : Ya, ada.
Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
Nabi Ismail : Apa
katanya?
Isteri : Dia bertanya
tentang keadaan hidup kita.
Nabi Ismail : Apa
jawapanmu?Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.
Nabi Ismail : Adakah
dia berpesan apa-apa?
Isteri : Ada, dia
berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.
Nabi Ismail : Oh,
begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah
dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
Isteri :
Alhamdulillah, syukur.
Semoga kekal lah Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor
dengan sokongan dan dokongan rakyat insyallah.
1 comment:
Kenapa MB yang berjaya nak ditukar???
Post a Comment