Pakar dan pensyarah undang-undang Prof Emeritus Shad Saleem
Faruqi berkongsi pandangan terhadap senario di Selangor pasca PRK Kajang dalam
ruangannya “Reflecting on the law” dalam akhbar The Star hari ini (m/s:22).
Menurut beliau kiranya benar Dato Seri Anwar Ibrahim mahu
dinobatkan sebagai MB Selangor pasca PRK Kajang maka beberapa kemungkinan senario
isu perlembagaan perlu dilihat, dipertimbang dan diterokai. Antaranya:
PERTAMA – Perletakkan jawatan
Perlu ada kesediaan meletak jawatan di pihak Tan Sri Khalid
Ibrahim. Namun dalam hal ini juga Shad memperakui bahawa Tan Sri merupakan
seorang tokoh yang kukuh kedudukannya dalam Dewan dengan dukungan 44 dari 56 ahli dewan
dan malah kata Shad, Tan Sri diperakui sebagai seorang tokoh yang popular dan
diminati ramai.
Dengan berlatarbelakangkan hakikat demikian kata Shad lagi
kalau pun ia meletakkan jawatannya, tidak ada jaminan yang Tuanku Sultan
Selangor akan memberikan perkenan. Tuanku berkuasa menitahkan Tan Sri agar
terus kekal di kerusi MB.
Selain itu tambah beliau, Tuanku juga boleh menangguhkan
pemergian Tan Sri itu tertakluk kepada keputusan rayuan kes jenayah di mahkamah
yang melibatkan Anwar. Tuanku mungkin bimbang kiranya Anwar menjadi pengganti
dan kemudiannya kecundang dalam rayuannya maka akan sekali lagi berlaku kekosongan
jawatan MB.
KEDUA – Undi tidak percaya
Sekiranya Tan Sri enggan tunduk kepada arahan partinya untuk
mengosongkan kerusi MB, maka PKR boleh membawa undi tidak percaya ke atas Tan
Sri di Dewan. Dalams senario ini ada 2 kemungkinan, pertama, Dewan luluskan
dan Tan Sri mengosongkan kerusinya atau , kedua, Tan Sri selaku MB menggunakan
kuasanya mengadap Tuanku Sultan memohon Dewan Negeri dibubarkan. Kiranya
dibubarkan Tan Sri kekal sebagai “caretaker” MB sehingga selesai pilihanraya.
KETIGA – Pemecatan oleh Tuanku Sultan
Sekiranya sidang Dewan tidak dipanggil, PKR atau Pakatan
Rakyat boleh meyakinkan Tuanku Sultan yang Tan Sri tidak lagi memiliki sokongan
majoriti ahli-ahli dewan dan dengan itu melalui Artikel 53 (2)(a) Sultan boleh
memecat Tan Sri, namun disini, perlaksanaan kuasa itu tertakluk sepenuhnya di
atas budi-bicara Tuanku dalam menjalankan kuasa Baginda.
KEEMPAT – Digantung atau dipecat
PKR boleh menggantung atau memecat keahlian Tan Sri. Namun
menurut Shad dalam senario di India semasa pemerintahan Indra Gandhi, walaupun
dipecat dari parti Kongres nya mendiang terus berpegang pada jawatan PM kerana majoriti
ahli dewan tetap berdiri di belakangnya.
Shad membuat kesimpulan bahawa perlantikkan dan pemecatan MB
tidak syak lagi adalah merupakan kuasa budibicara Tuanku Sultan berdasarkan
Artikel 55 (2) (a) Perlembagaan Negeri Selangor. Apa yang pernah berlaku di
negeri-negeri Perlis, Perak, Terengganu dan Selangor sendiri dalam hal ini menjadi
tauladan perundangan dan perlu diambil kira semua pihak.
Dan yang paling menarik dalam ulasan Shad bahawa,
sesungguhnya perubahan dan pengembangan pentafsiran undang-undang itu sangat
luas. Ianya tidak mustahil kata beliau kiranya berlaku juga kekosongan jawatan
MB samada melalui perletakkan jawatan atau pemecatan, Tuanku Sultan boleh
sahaja tidak melantik calon PKR dan sebaliknya melantik pula wakil dari PAS,
yang pada pandangan Tuanku boleh menguasai sokongan majoriti dalam dewan.
Apa pun kerana itu pandangan dan pendirian PAS agar Kajang
jangan digunakan sebagai alasan untuk menukar MB adalah sesuatu yang mustahak
untuk diambil kira dan difahami apalagi dihormati. Jangan kerana tekanan politik dalaman yang
sepatutnya boleh diselesaikan secara dalaman, dipunggah ia secara pukal dan terbuka
di khalayak ramai dan akhirnya mengundang krisis yang tidak menguntungkan
sesiapa.
Dalam suasana tenang dan aman hari ini dari ceruk-ceruk
kampung, lurah dan gunung serta pekan dan bandar Selangor sampailah ke serambi
istana semuanya terpelihara, jangan digegarkan sehingga akhirnya mencetuskan
gundah-gulana.
No comments:
Post a Comment