Semoga kekal Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor (15/2/14)

Saturday, February 15, 2014

Semasa minggu pertama Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi MB Selangor selepas PRU 2008, saya diarahkan oleh Presiden PAS untuk pergi berjumpa beliau atas urusan rasmi. Ternyata Tan Sri begitu berbangga dengan sokongan rakyat dan terpancar di wajahnya berbagai rancangan dan cadangan yang akan dikemukakan oleh beliau selaku MB untuk memandu negeri termaju di Malaysia ini. Sudah pasti pengalamannya sebagai tokoh korporat yang berjaya akan digunakan sepenuhnya untuk memacu dan mentadbir Selangor.

Apa yang masih terpaku di hati saya sehingga hari ini adalah kenyataan beliau berkenaan kedudukannya itu. Kalau orang biasa-biasa sudah pasti kerusi empuk MB akan menjadi batu loncatan untuk ia memewahkan lagi hidupnya, keluarganya, kaum kerabat dan kroni. Bukankah itu yang telah berlaku bagi mereka yang duduk di atas kerusi ini sebelumnya? Kerana itu Umno dan BN tumbang kerana rakyat mahu menempatkan orang yang lebih baik duduk di atas kerusi ini.
Kata Tan Sri Khalid sebenarnya beliau tidak perlu kepada kedudukan sebagai MB ini. Memang umum mengetahui beliau seorang jutawan yang berjaya hasil usaha dan kelincahan serta kebijaksanaannya dalam dunia korporat dahulu.

Kata beliau, jawatan ini beliau terima kerana mahu menyumbang khidmat kepada negeri beliau, kepada Selangor.
Kenyataan ini bagi saya mencerminkan keikhlasan seorang yang mulia yang mahu menjadi lilin membakar diri demi keselesaan, kemajuan dan kemewahan rakyat dan negeri Selangor. Dan terbukti beliau benar-benar berpegang kepada kata-katanya itu.

Di bawah beliau Selangor terus bangkit gagah, maju dan perkasa menjadi sesuatu yang dikagum rakyat dan malah mush-musuh politik sekali.
Atas rekod bersih, telus dan gigih inilah maka rakyat Selangor telah memberikan mandate sekali lagi kepada PR bawah kepimpinan beliau dalam PRU 2013 baru-baru ini. Malah beliau turut membuktikan keupayaannya dimana dalam PRU itu beliau mengosongkan kerusi DUN Ijoknya untuk berhijrah ke DUN Pelabuhan Kelang.

Ada sesetengah pengkritik mengatakan perpindahan ini kerana Tan Sri goyang, rekodnya di Ijok tidak baik kononnya. Ternyata kritikkan itu meleset apabila beliau menang besar di Pelabuhan Kelang dan calon PKR Ijok Dr Idris turut berjaya mengekalkan kerusi itu dengan selesa.
Tidak keterlaluan saya katakan Selangor memang dahagakan seorang MB, seorang pemimpin seperti Tan Sri. Jika selama ini kerusi MB menyaksikan satu demi satu penyandangnya gugur angkara masalah rasuah dan moral, Tan Sri lain dari yang lain-lain.

Pernah beliau bercerita kepada saya berkenaan ibunya. Ketika melancarkan skim Amanah Saham Nasional dahulu, yang diterajui beliau. Katanya kepada saya, ibunya pernah bertanya, “Sahak (nama timangan Tan Sri di kampung) dimana kau simpan duit orang tu, jaga-jaga nanti hilang….. (lebih kurang begitu)” menunjukkan betapa seorang ibu prihatin dan mendidik anaknya agar jujur dan amanah. Memanglah wang pelabur bukan dalam kocek Tan Sri, tetapi seorang ibu yang tidak tahu mekanisma sebenarnya tetap mahukan anaknya itu berperibadi mulia.
Hari ini Tan Sri bukan sekadar menjaga wang pelabur ASN tetapi khazanah dan kekayaan rakyat dan negeri Selangor dan terbukti ibunya telah berjaya membentuknya menjadi anak yang baik kerana dia sehingga ini muncul tidak tewas dan gelap mata dengan kekayaan dan peluang yang berada disekelilingnya.

Selain PKR, DAP dan PAS dapat menerima Tan Sri sejak 2008 sebagai MB, malah kualiti kepimpinannya itulah yang telah menjadi modal kempen bagi PR dalam PRU 2013 bagi mempertahankan Selangor.
Rakyat terus memberi mandat malah yang lebih kuat dan selesa kali ini demi kerana keyakinan mereka pada Tan Sri.

Isunya, benarkah Tan Sri “dipaksa” menandatangani surat perletakkan jawatan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar The Star hari ini?

Kecewalah rakyat jika begitu dan saya harap tidak.
Selepas PRU 2013 lalu Setiausaha Agung PKR menegluarkan kenyataan:

“PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk  diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.
KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat  dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.”

Biarlah Tan Sri meneruskan khidmat cemerlang beliau itu.
Entah kenapa tiba-tiba saya teringat kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan isterinya yang mahu saya jadikan penutup posting ini:

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
 Nabi Ismail : Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?

 Isteri : Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.
 Nabi Ismail : Apa katanya?

 Isteri : Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.
 Nabi Ismail : Apa jawapanmu?

 Isteri : Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.

 Nabi Ismail : Adakah dia berpesan apa-apa?
 Isteri : Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.

 Nabi Ismail : Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.
 Isteri : Alhamdulillah, syukur.

Semoga kekal lah Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dengan sokongan dan dokongan rakyat insyallah.

 

1 comments:

Zaman Ali said...

Kenapa MB yang berjaya nak ditukar???