PRK Kajang bakal menyaksikan suatu ujian besar terhadap
persahabatan dan permuafakatan Pakatan Rakyat. Bukan pertandingannya yang dimaksudkan,
bagi pertandingan PR lawan BN serta mungkin
beberapa calon Bebas itu, adalah dijangkakan PR melalui Dato Seri Anwar
Ibrahim selaku calon PKR mewakili PR bakal menang dengan selesa. Yang
dimaksudkan adalah apa akan berlaku selepas Anwar berjaya mempertahankan kerusi
Kajang.
Saya melihat bagi PAS PRK ini merupakan sesuatu yang
mengejut dan tidak sepatutnya diadakan diwaktu rakyat sedang “sakit” menghadapi
kenaikan kos hidup yang timpa-menimpa. Namun atas nama persahabatan dan
permuafakatan, menghormati “kawan”, maka dikerahkan juga para pemimpin dan
petugasnya agar membantu calon PKR demi memastikan kerusi ini tidak jatuh ke
tangan lawan.
Tidak ada siapa dalam PR mahu melihat kerusi ini jatuh ke
tangan musuh.
Ujian besar yang saya maksudkan merujuk kepada jawatan
Menteri Besar Selangor.
PAS dalam kenyataan rasminya yang dibuat oleh Tuan Guru Hj
Abd Hadi Awang sebelum ini ada menyebut bahwa :
"………………….
ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah
tidak berbangkit”
Ini bermakna pada pandangan PAS jangan jadikan PRK Kajang
ini sebagai gelanggang untuk merobah kepimpinan negeri Selangor. Dalam erti
kata lain PAS selesa dan akan mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai
Menteri Besar Selangor samada sebelum, semasa atau selepas PRK Kajang.
Semua pihak boleh membaca dengan terang dan jelas maksud
PAS.
Masalahnya walaupun kenyataan ini diketahui umum namun dari
hari ke hari isu “tukar MB” di Selangor semakin lantang dan ketara. Pihak PKR
yang merupakan rakan permuafakatan PAS di dalam PR terang-terang mempromosi dan
menjual calonnya sebagai bakal MB Selangor yang baru (selain dari beberapa
kerat pimpinan PAS sendiri yang ghairah dan terlompat-lompat, tak sedar mereka
mengkhianti pendirian parti sendiri).
Pihak media samada yang arus perdana mahupun alternatif saban
hari memainkan isu ini seolah Tan Sri Khalid sudah tiada nilai dan harga buat
PR di Selangor!
PAS adalah rakan paling “senior” dalam PR. Kerana itu sikap
dan pendirian PAS terkadang berbeza dari rakan-rakannya yang jauh lebih muda
usia dan pengalaman. PAS mengharung pengalaman dan pahit-jerih sejak dari
sebelum Merdeka sehingga hari ini lebih 60 tahun menjunjung dan mendaulatkan
matalamat dan prisip perjuangannya. Sudah pasti pandangan PAS mengambil kira
semua aspek dan ruang-lingkup politik apalagi kehendak syariah.
PAS mahu Tan Sri Kahlid kekal sebagai MB. Benar ada
kritikkan dan teguran terhadap kepimpinan Tan Sri di Selangor, khasnya dari
kalangan ahli-ahli PKR sendiri, namun mungkin PAS melihat krtikan dan teguran
itu tidaklah sampai keperingkat yang boleh memudarat dan menjejaskan
kelangsungan kerajaan PR di Selangor. (Dalam hal ini PAS konsisiten sebab pernah PAS pecat ADUN nya yang ketika itu EXCO Selangor apabila ia sedari mudarat yang mendatang jika tokoh berkenaan dikekalkan)
Sikap PAS jelas, biarlah Tan Sri kekal mengepalai Selangor,
lantaran rekod pentadbirannya yang bersih dan cemerlang itu. Malah rakyat Selangor pun terbukti selesa dan memandanga tinggi pakan beliau. Tidak ada bukti
kukuh dan berasas yang boleh dikemukakan yang menunjukkan bahawa PR dan
Selangor akan terancam dengan kekalnya Tan Sri sebagai MB.
Apa akan berlaku kiranya pandangan PAS ini ditolak?
Disitulah akan bermulanya ujian menguji kekuatan
persahabatan dan permuafakatan PR.
PAS melalui kenyataan rasminya bukan meminta pun jawatan MB,
apa yang ia mahu adalah Tan Sri yang mewakili PKR Selangor (yang mengikut
angkanya adalah rakan kongsi terkecil di negeri ini) kekal sebagai MB kerana
Selangor perlu terus bergerak ke hadapan bagi memberi rangsangan dan dorongan
politik yang lebih besar khasnya pada PRU akan datang.
Menukar MB melalui PRK Kajang dikira suatu langkah yang
tidak bijak dan silap.
Mungkin ramai yang akan mempertikaikan pendirian ini
(termasuk segelintir dalam PAS yang saya sebutkan yang sudah barangkali sesuai
sahaja berhijrah ke “rumah” lain), tetapi dalam apa pun suasana, PAS adalah
rakan kongsi dalam PR, naik dan turun, susah dan senang bersama PR, menghargai
komitmen dan kesetiaan PAS selama ini, wajarlah pendiriannya dihormati khasnya
oleh rakan-rakan dalam PR, DAP dan PKR. (Kiranya ada ahlinya sendiri yang mempertikaikan
pendiriannya, ahli itu bermasalah dan perlu didisiplinkan).
Bukannya PAS menolak Anwar sebagai MB, bukankah PAS sebelum
ini yang terkehadapan yang mahukan Anwar sebagai PM sejak dari zaman Reformasi
lagi. Masalahnya perhitungan PAS barangkali melihat bahawa dalam suasana
semasa, mengekalan Tan Sri sebagai MB adalah yang terbaik bukan hanya buat PR
malah lebih penting lagi rakyat Negeri Selangor yang PR wakili.
Pandangan PAS boleh dibahas dan dibincangkan, tetapi
bersungguh dalam waktu dan ketika ini mempromosi pertukaran MB sedangkan PAS
berdasarkan kenyataan rasminya tidak bersedia, menunjukkan tiada ada kesepakatan
dan lebih parah lagi ia menggoncang asas penubahan PR itu sendiri iaitu
perpaduan dan kesatuan ketiga-tiga parti.
Jika MB yang ada itu kotor, bermasalah, tidak bermoral, saya
pasti PAS lah yang akan ke hadapan menuntut penyingkirannya. Tetapi berbuat
demikian ke atas seorang hamba Allah yang bersih, baik dan berkaliber, adalah
merupakan suatu penghinaan, yang bagi saya adalah merupakan alasan terbesar
mengapa PAS tidak dapat memberikan persetujuannya.
Kita yang menjuarai kepimpinan yang telus dan bersih, kita
yang memperjuangkan ketulusan dan keterbukaan, oleh itu bagaimanakah kita pula
mahu terlibat dalam kerja-kerja merobohkan sesuatu yang sedemikian.
Semoga ujian besar ini dapat datasi dan diselesaikan dengan
rasional dan tidak emosional sehingga akhirnya rakyat dan negeri tergadai.
No comments:
Post a Comment