Monday, February 24, 2014

Kalimah "Allah" jangan debat tapi cari penyelesaian (24/2/14)


Isu penggunaan kalimah “Allah” masih tinggal terapung-apung di udara tanpa ada satu kata putus yang boleh mereda atau menyelesaikan permasalahannya.
Bagi PAS contohnya kata putus telah pun dikeluarkan oleh Presiden dan Majlis Syura Ulamak PAS, pada dasarnya bagi PAS menterjemahkan kalimah “God” atau “Lord” dalam mana-mana kitab agama bukan Islam kepada Allah tidak dibolehkan kerana ianya tidak menepati maksud sebenar dan boleh mengelirukan.

Namun dalam PAS sendiri pun ada juga sekalangan pemimpinnya yang seolah berhujah membelakangkan keputusan ini. Bagi mereka yang “terlalu hebat” ini, keputusan tersebut sekadar panduan dan bukannya pegangan dan pendirian parti. Anehnya mereka itu bukan pun dari kalangan yang berlatarbelakangkan disiplin agama, lantas mereka pun sesungguhnya tanpa mereka sedari menyumbang kepada kekeliruan yang bertambah kusut.
Apa pun saya tertarik dengan pandangan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan di Perdana Menteri dan seorang penganut Kristian Roman Katolik yang disiarkan dalam akhbar The Star hari ini.

Panjang lebar huraian yang beliau berikan terhadap isu ini termasuklah “Penyelesaian 10 perkara” yang dikemukakan oleh kerajaan.
Anehnya Idris Jala lebih faham dan kelihatan dapat menerima Enakmen Islam Negeri-negeri yang melarang dan mengawal penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh masyarakat bukan Islam, berbanding beberapa pemimpin Islam lain.

Bagi saya apa yang mahu dihurai dan detakankan oleh Idris adalah sikap toleransi dan faham-memahami antara masyarakat berbagai agama dan kaum di Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.
Bagi Sabah dan Sarawak beliau menegaskan bahawa penduduk tempatan di sana telah menggunakan kalimah “Allah” ini sejak daripada sebelum Merdeka lagi, namun beliau bersetuju kiranya da usaha untuk menggunakan kalimah ini bagi maksud menyibarkan agama Kristian dikalangan orang Islam, maka ia adalah salah.

Namun bagi Semenanjung Malaysia beliau menjelaskan:
“Furtheremore Christians in Peninsular Malaysia who are Chinese, Indians and others do not normally use “Allah” in English and in their own vernacular language.”

(Malahan penganut Kristian di Semenanjung Malaysia yang berbangsa Cina, India dan lain-lain tidak biasanya menggunakan kalimah “Allah” dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa ibunda mereka)
Dalam isu akhbar Kristian “The Herald” pula beliau berakata sepatutnya ianya diselesaikan secara rundingan dan dialog tetapi memandangkan pihak The Herald mahu menggunakan penyelesaian undang-undang, maka semua pihak perlu menunggu keputusan rayuannya, dan sama-sama menghormatinya apabila ia telah diputuskan.

Jadi jika seorang pemimpin Kristian mempunyai pandangan sedemikian rupa, apalah lagi yang mahu kita hujah dan perdebatkan lagi. Ada sampai pemimpin politik Islam bertegang-tegang urat berbahas isu ini, masing-masing mahu membuktikan kehebatan dan kejaguhan mereka,dan sekali lagi, mereka barangkali tidak sedar kedua-dua mereka bukan pun memiliki kelayakan agama yang tinggi lagi sempurna, serahkanlah urusan ini kepada ahlinya!
Saya fikir jika orang bukan Islam boleh memahami bahawa kebimbangan utama masyarakat Islam dalam isu ini adalah permasalahan “murtad”, dan ianya sudah dan pernah pun berlaku (Nor Aishah Bukhari, Joshua @ Jamaluddin Othman, Lina Joy) kerana itu umat Islam Malaysia begitu sensitif dan mempertahankan eksklusifnya penggunaan kalimah ini dikalangan orang Islam, jika ini dapat difahami, ianya sesuatu yang positif dan kita dapat hidup secara harmonis, bersatu-padu sebagaimana biasa.

Ini bukan isu politik tetapi ini isu maruah dan masa depan.
Kalau begitu pandangan Idris Jala, dan kalau keputusan Majlis Syura ULamak PAS serta ulamak-ulamak lain dan NGO Islam dapat diterima, saya rasa bibit penyelesaian dalam isu ini sudah terzahir, tiada siapa yang juara, yang pentingnya semua dapat hidup dengan aman dan damai dalam bumi kita yang dicintai ini.

 (NOTA : saya perhatikan beberapa ulasan media alternatif termasuklah Malaysia Insider, mengkritik dan mencemuh pandangan Idris Jala itu)

No comments: