Selangor telah menukar Menteri Besarnya berkali-kali sejak
Merdeka. Acapkali jika tidak kerana keuzuran, pertukaran berkenaan adalah
kerana masalah moral penyandangnya sehingga ada penganalisa yang mengatakan
bahawa kerusi MB Selangor ini adalah kerusi “panas”.
Yang pertama disingkirkan melalui undi tidak percaya dalam
Dewan adalah Allahyarham Dato Harun Idris apabila beliau enggan menggosongkan
kerusi MB setelah dipecat dari Umno pada 19 Mac 1976. Sidang Dewan khas
terpaksa dipanggil dengan Pemangku MB Dato Hormat Rafiee membentangkan usul
memecat Harun. Setelah diundi 25 bersetuju, 1 iaitu Harun sendiri menentang, 4
berkecuali dan 1 tidak hadir.
Umno memecat Harun setelah beliau didakwa di Mahkamah atas
kes rasuah.
Seorang lagi bekas MB iaitu Muhammad Taib digugurkan dari
jawatan MB pada April 1997 apabila didakwa di Mahkamah Australia kerana gagal
mengisytiharkan wang tunai RM3.8 juta yang dibawanya ke Negara berkenaan.
Manakala Tan Sri Abu Hassan Omar yang menggantikan Muhammad
Taib juga terpaksa berundur pada bulan Ogos 2000, tak sampai sepenggal menjadi
MB apabila berbangkit desas-desus skandalnya dengan seorang wanita.
MB Umno terakhir adalah Dr Khir Toyo yang tersingkir secara
teknikal apabila Pakatan Rakyat merampas kuasa dari BN dalam PRU 2008. Khir
akhirnya diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan kini menanti rayuannya di
mahkamah setelah disabitkan oleh mahkmah tinggi.
Demikianlah kisah jatuh dan tersungkur mereka yang duduk atas
kerusi “panas” MB Selangor sejak lebih 3 dekad yang lalu. Apa pun ternyata
jatuhnya mereka kesemuanya angkara masalah moral dan hilangnya keyakinan rakyat
atas mereka. Tidak ada dalam sejarah negeri ini atau mana-mana negeri lain di
Malaysia sekalipun, seorang Menteri Besar yang baik dalam erti kata memiliki
rekod cemerlang, bersih, telus, tiba-tiba “dijatuhkan”, tidak pernah berlaku.
Di Selangor Menteri Besarnya datang dari pelbagai disiplin
pengajian dan latarbelakang. Kalau kita mulakan dari Dato Harun, beliau seorang
lulusan undang-undang, Dato Hormat tidak memiliki kelulusan tinggi (dikhabarkan
seorang bekas Sarjan dalam pancaragam polis), Tan Sri Ahmad Razali seorang bekas
guru (ipar kepada PM Tun Mahathir ketika itu), Muhammad Taib juga bekas guru,
Abu Hassan bekas pegawai kanan kerajaan lulusan Sarjana (MA) dan Khir Toyo
seorang doktor gigi.
Tidak pernah Selangor yang mewah, maju dan kaya-raya ini
memiliki seorang MB yang punya kelulusan tinggi dan pengalaman luas dibidang
korporat.
Apa yang mahu saya tonjolkan bahawa hari ini tidak seperti
yang lepas-lepas malah tidak seperti di negeri-negeri lain, Selangor punya
seorang MB yang memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang Keperibadian dan
kepimpinannya bersih dan telus, dan ini diakui semua bukan sekadar oleh kawan
malah juga oleh lawan.
MB Selangor hari ini berkelulusan tinggi dan cemerlang dalam
pengajiannya. Iaitu lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya
dan MBA dari Univesiti Queensland Australia. Beliau pernah menjadi CEO
Permodalan Nasional Berhad (terlibat semasa pelancaran Amanah Saham Nasional),
dan CEO Kumpulan Guthrie. Pada tahun 1981 beliau antara individu yang terlibat
mengembalikan penguasaan Guthrie (syarikat gergasi perladangan ) ke tangan anak
bangsa apabila PNB menguasai 51% saham syarikat berkenaan sekaligus merampas
penguasaan Brtish ke atasnya.
Memang layaklah Negeri Selangor yang gagah perkasa ini,
negeri termaju dan antara terkaya di Malaysia, di pimpin dan ditadbir oleh
tokoh yang berkaliber dan berkebolehan umpama Tan Sri Khalid.
Tiba-tiba, tanpa ada kecacatan dan kekurangan, tanpa ada
skandal, masalah moral atau seumpamanya kita mendapat khabra berita bahawa
tokoh ini mahu dirihatkan!!!
Jika tidak ditukar Tan Sri, Selangor berkemungkinan rebah
ditangan BN, agenda ke Putrajaya akan terbantut…..demikianlah antara kajian dan
pandangan beberapa kalangan bijak pandai tertentu. Tetapi bukankah Selangor
yang terbit dengan keputusan PRU paling cemerlang? Jika dulu iaitu PRU 2008 PR
menang 36 kerusi BN 20 kini PRU 2013 di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid PR
tambah 8 kerusi ke 44 dan BN cuma dapat bertahan di 12 kerusi!
Dan selain itu ada yang keluarkan hujah bahawa beberapa isu sensitif
termasuklah kes perampasan Bible, tidak dtangani secara bijak oleh Tan Sri,
bahawa ancaman puak ekstrimis boleh memungkinkan darurat diisytiharkan.
Benarkah begitu? Walaupun yang terbit dengan hujah berkenaan bijak-bijak belaka
tetapi sejauh mana ianya benar dan logic perlu ditimbang juga. Jangan sampai kita dikatakan punya agenda lain, marahkan pijak sehingga bertindak bakar kelambu!
Terbitlah dengan analisis yang lebih konstruktif dan masuk
akal. Hujahkanlah kelemahan dan kegagalan Tan Sri dengan terperinci jika ada
yang boleh memungkinkan PR kalah dan kecundang di Selangor dan Putrajaya kelak. Nyatakanlah alasan konkrit bahawa rakyat akan tolak PR jika Tan Sri Khalid kekal begini begini begini.
Saya harian mengapa alasan-alasan longgar dan hujah yang mentah
mahu digunakan untk mengundurkan seorang yang baik dan cemerlang umpama Tan Sr Khalid
yang tidak pernah Selangor rasakan sebagai pemimpinnya sebelum ini.
Janggallah sejarah negeri ini, apabila MB-MB sebelumnya
jatuh angkara isu moral dan masalah besar, tiba-tiba Tan Sri Khalid, MB PR, jatuh
kerana ……. kerana apa pun kita tak tahu kerana tidak diyakinkan seyakin-yakinnya.
Pilihanraya Kecil Kajang akan bermula tak berapa lama lagi.
Kajang perlu dipertahankan demi membuktikan kukuhnya PR di Selangor. Semoga
kita menang cemerlang di Kajang dan semoga jawatan MB sebagaimana yang
disurakan oleh PAS sebelum ini tidak dipersoalkan. Kekallah negeri ini ditadbir
dan dipimpin demi kesejahteraan rakyat dan negeri oleh Tan Sri Khalid selaku MB
Pakatan Rakyat Selangor.
1 comment:
pujuklah tski masuk pas utk dia kekal sebagai mb
Post a Comment