Tuesday, September 21, 2010

Tiada orang PAS yang masuk Umno di Selangor

Bagi orang politik apabila ada ahlinya meninggalkan parti sudah pastilah ia sesuatu yang mencemaskan dan malah berkemampuan memberikan gambaran buruk kepada parti berkenaan. Demikianlah apabila saya dihubungi wartawan meminta pengesahan darihal berita 30 orang ahli pemuda PAS keluar parti menyertai Umno di Kuala Selangor.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan:

30 Pemuda PAS sepakat keluar parti

Siap dengan gambar penyerahan borang dari seorang Pemuda yang mendakwa dirinya Timbalan Ketua Pemuda PAS cawangan kepada ADUN Umno Jeram, Amiruddin Setro.
Parlimen Kuala Selangor dimenangi oleh PAS (DR Dzul )dalam PRU lalu. Manakala 3 DUN di bawahnya dua dimenangi PR iaitu Ijok (diwakili Tan Sri MB) dan Bukit Melawati (Ir. Muthiah – PKR) manakala Umno Cuma bertahan di DUN Jeram yang diwakili Amirudin.

Benarkah diwaktu dewasa ini, dizaman rakyat menolak politik pincang, politik rasuah, politik sempit dan kotor masih ada yang mahu menyertai Umno, pengasas mazhab politik yang disenaraikan tadi?! Benarkah di Selangor diwaktu PR sedang mengembangkan sayapnya setelah menang di negeri bertuah ini, mengikis dan mencungkil keluar saki-baki daki-daki kotor pentadbiran Umno dan BN lebih setengah abad itu, masih ada yang tergiur mahu tinggalkan PR (dalam kes ini PAS) menyertai Umno?

Saya pernah menyatakan pada seorang rakan wartawan(ketika berlaku kemelut lompat melompat selepas PRU lalu) bahawa tiada orang yang waras yang menyertai PAS kemudian meninggalkan PAS untuk masuk Umno kecuali terganggu kewarasannya.

Berbalik kepada kes di Kuala Parit, DUN Jeram, Parlimen Kuala Selangor tadi, setelah disiasat ternyata tiada lagi yang hilang kewarasannya di sana. Tidak ada orang PAS yang keluar parti masuk Umno di sana. Sebaliknya orang kampung di sana sedang rancak bercerita darihal seorang pemuda yang bermasalah yang pendirian bagaikan lalang, kesempitan hidup lalu mencari jalan keluar mudah dengan menggadai maruah bagi menyenangkan diri.

Beliau yang mendakwa dirinya Timbalan Ketua Pemuda PAS cawangan itu sebenarnya tidak pernah mendaftar sebagai ahli PAS pun. Begitu juga mereka yang kononnya seramai 30 orang yang dikatakan mengikut jejaknya.

Kalau pemuda tadi tergamak menggadai maruah, Umno bagi saya lebih buruk lagi. Sanggup ber”drama” kononnya menerima orang PAS masuk partinya sedangkan hamba Allah itu dan konco-konconya tidak pernah menjadi ahli PAS pun!

Kalau pun terdesak sangat mahu menonjol diri janganlah sampai tipu dan menipu.
Inilah perangai Umno Selangor yang bakal ditalkinkan oleh rakyat negeri ini pada PRU akan datang.

Bagi saya rakyat sudah muak dan tidak lagi akan termakan dengan taktik kotor dan politik murahan mereka. Rekod buruk mereka selama lebih setengah abad sebelum ini tidak mudah dilupuskan malah telah tetunjam dalam ingatan dan hati rakyat.

Ringkasnya tiada yang keluar PAS di Kuala Selangor. Yang Umno terima hari itu adalah beberapa kerat pemuda yang bermasalah yang bakal mengotorkan lagi kandang buruk dan usang Umno. Selamat menerima biawak hidup hadiah penduduk kampong kepada anda!
Berikut adalah kenyataan akhbar PAS Selangor berhubung insiden ini:

KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR NAFIKAN 30 PEMUDA PAS
KELUAR PARTI DI KUALA SELANGOR

Laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 21 September, 2010 dirujuk.

PAS Selangor menafikan laporan akhbar Sinar Harian bahawa kononnya 30 orang Pemuda PAS dari cawangan Kuala Parit, Kawasan Kuala Selangor keluar parti untuk menyertai Umno.

PAS Selangor turut menafikan bahawa Sdr Sharudin Mohd Nri adalah Timbalan Ketua Pemuda cawangan berkenaan. Menurut rekod cawangan, beliau tidak pernah mendaftar menjadi ahli PAS dan begitu juga mereka yang kononnya menuruti beliau untuk menyertai Umno.

Ternyata tindakan Umno khasnya ADUN Jeram, YB Amiruddin Setro, melakonkan “drama” anak-anak muda keluar PAS menyertai Umno itu sebagai suatu tindakan publisiti politik murahan oleh mereka yang sudah ketandusan modal politik setelah BN ditolak mentah-mentah oleh rakyat Selangor pada pilihan raya umum 2008.

Cawangan PAS Kuala Parit telah ditubuhkan pada tahun 1985 dengan keahlian melebihi 100 orang. Menurut sumber cawangan pertambahan mendadak keahlian cawangan berkenaan berlaku khasnya selepas PRU lalu menandakan rakyat sudah hilang keyakinan pada Umno.

PAS Selangor sesungguhnya sedang aktif mengatur strategi dan memberi tumpuan untuk menawan saki-baki DUN yang dimenangi Umno termasuklah DUN Jeram. Oleh itu tidak hairanlah dalam suasana yang tidak menentu bagi Umno ini, Umno Kuala Selangor sanggup melakonkan “drama” murahan semata-mata untuk melarikan tumpuan rakyat terhadap kemampuan dan kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang semakin disenangi dan mendapat tempat di hati rakyat.

Rakyat Selangor umumnya menerima kepimpinan baru negeri yang diterajui Pakatan Rakyat yang telah mampu mengikis kepincangan puluhan tahun pentadbiran negeri ini di bawah Umno dan Barisan Nasional. PAS Selangor yakin rakyat akan memberi mandat yang lebih besar pada kerajaan ini pada PRU ke 13 nanti. Tiada “drama”murahan termasuklah yang dilakonkan di Kuala Parit itu yang mampu membendung dan menyekat gelombang kebangkitan rakyat itu.

DIKELUARKAN OLEH:
ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR

KETUA PENERANGAN PAS SELANGOR
21 September, 2010

1 comments:

Abdur Raheem said...

Assalamualaikum tuan,

Secara rengkasnya, saya berharap PAS dapat mentarbiah ahli-ahli mereka dengan cermat dan konsisten.

Saya, nazir masjid yang mempunyai ajk masjid yang terdiri dari ajk jkkk yang mana ketua kampong kami adalah ahli umno yang masuk PAS selepas pilihanraya sudah.

Saya, sejak 1985 menyokong PAS dan bercampur dengan orang PAS sehinggakan saya tahu PAS mampu mengubah masyarakat. Namun pada hari ini sejak kemenangan PKR diSelangor ini dan institusi masjid dikembalikan kepada ahli kariah, ahli-ahli PAS yang baru masuk PAS ini membuat saya meluat dengan mereka.

Saya faham dan tahu bahawa PAS belum sempat mentarbiah mereka, namun saya masih berharap setelah lebih setahun menerajui masjid, ajk jkkk ini yang juga ajk masjid (pengundian macam umno semasa pemilihan) menggambarkan bahawa inilah orang-orang PAS.

Ahli kariah memang benci mereka kerana mereka dulu adalah kawan-kawan mereka dalam umno, tapi sejak menjadi ajk masjid mereka menunjukkan mentaliti dan sikap ahli PAS yang umno (berdendam dengan ahli kariah).

Tolonglah buat satu-satu program supaya ahli-ahli PAS yang baharu ini diajar/ ditarbiah dengan bersikap dengan sikap ahli-ahli PAS yang terang-terang bukan macam ahli-ahli umno.

Tumpuan patut dibuat kepada mereka yang menjadi ketua dalam masyarakat seperti ketua-ketua kampong dan ajk jkkk.

Saya tidak akan menyokong umno oleh kerana membenci mereka tetapi saya payah untuk berdakwah kepada ahli kariah kerana mereka ini.

Tolonglah. Ikhlas.