Friday, September 03, 2010

Sports Toto jamu orang dhaif Islam.........bermaruahkah kita?


Bulan Ramadhan yang penuh barakah ini dipenuhi umat Islam dengan amal ibadat yang berlipatganda kerana mahu mengejarkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah swt. Kalau makan dan minum pun wajib dielakkan,inikan pula perkara dan kerja-kerja yang keji dan mungkar serta diharamkan oleh agama. Demikianlah ketahanan umat Islam diuji pada bulan yang besar ini.

Namun demikian dimanakah letaknya maruah kita, usah berbicarlah hal jalur gemilang yang diinjak dan dibakar di seberang, itu perkara kecil, berbanding dengan biadapnya kita sendiri membenarkan anak-anak yatim dan miskin serta ibu-ibu tunggal yang beragam Islam diraikan, diberi makan dan wang raya dari hasil judi oleh syarikat judi tempatan!

Ya Allah ampunkanlah dosa kami.

Dalam The Metro sisipan akhbar The Star hari ini dilaporkan betapa syarikat judi SPORTS TOTO menjamu dan meraikan anak-anak yatim dan ibu tunggal dari Persatuan Anak-Anak Yatim Dan Ibu Tunggal Kg. Medan, PJ and Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat, Banting.

Kita perlu pandang serius perkara ini. Pihak pengurusan kedua-dua persatuan perlu dinasihatkan kerana mereka membenarkan orang yang miskin serta anak yatim di bawah jagaan mereka dijamu oleh sebuah syarikat yang aktivitinya jelas haram disisi Islam! Pihak Sports Toto juga perlu diberitahu bahawa hasil judi mereka yang haram itu jangan diberi makan kepada orang Islam walaupun kononnya atas alasan kebajikan.

Saya sedih melihat masih ada kesempatan diambil oleh syarikat-syarikat ini untuk menjamu orang-orang Islam yang miskin dan dhaif. Dan lebih sedih lagi apabila melihat merekayang diberi amanah menjaga orang susah sanggup menggadaikan maruah dan mengharung dosa semata-mata kerana habuan wang ringgit.

1 comments:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum. Sebenarnya isu ini telah lama berlaku dalam negara ini dan bagi mereka yang menjadi pemimpin kepada NGO-NGO memang berada dalam keadaan dilema. Sesungguhnya hanya kekuatan iman sahaja yang boleh menolak bantuan seumpama itu. Kesukaran kebanyakan pertubuhan dan persatuan mendapatkan dana sedang keperluan untuk menggerakkan aktiviti dan memenuhi keperluan ahli begitu mendesak kadang-kadang membuat pemimpin NGO ini sukar untuk membuat keputusan.

Di pihak penderma dan penyumbang pula nampaknya syarikat haram seperti ini yang begitu pemurah berbanding dengan syarikat-syarikat atau pihak lain. Saya yang pernah menjadi pemimpin sebuah persatuan di peringkat nasional telah merasai pengalaman sukarnya mencari dana untuk persatuan. Ada pihak memang menunjukkan respon untuk menyumbang tetapi membatalkannya hanya kerana persatuan kami tidak (belum dapat) pelepasan cukai untuk penderma dari Jabatan Hasil Dalam Negeri. Ada pula yang bertanya itu dan ini sebelum memberi sumbangan dan puas menemuduga akhirnya sumbangan tidak dilluluskan oleh pihak pengurusan. Memang benar kelihatannya syarikat-syarikat haram ini tidak begitu cerewet dalam memberi sumbangan mungkin kerana mereka banyak dapat duit dari business yang tidak diredhai Allah itu.

Apa pun, saya mencadangkan agar satu peraturan atau garis panduan kalau bukan akta atau enegmen harus diadakan oleh pihak yang berkaitan bagi menentukan kaedah memberi sumbangan kepada institusi Islam. Sebenarnya bukan hanya sekadar syarikat judi sahaja yang harus dipersoalkan keharusan derma mereka. Malah bagaimana pula dengan bank, syarikat-syarikat kewangan dan insurans? bukankah syarikat-syarikat ini terlibat dengan riba? Masyarakat sering mempersoalkan sumbangan yang diberi oleh syarikat-syarikat judi dan arak tetapi tidak bertanya pun bagaimana dengan kedudukan syarikat-syarikat riba. Mungkin sudah sampai masanya kita berfikir sejenak tentang kewajaran dan pengawalan golongan penderma untuk menderma dan keperluan penerima untuk menerima dan menolak derma dari wang yang haram.

Apa yang terjadi pada anak yatim dan ibu tunggal dalam posting saudara ini merupakan dosa yang tidak boleh ada tolak ansurnya kerana ia melibatkan maruah. Mungkin itulah sebabnya Rasulullah menyatakan bahawa kefakiran boleh membawa kepada kekufuran. Di pihak kita pula sebagai saudara seagama, di mana peranan kita dalam membantu golongan seperti itu sehingga memberi ruang kepada pihak yang tak sepatutnya memberi buka puasa kepada anak yatim. Seandainya kita semua memainkan peranan kita pastinya mereka tidak akan makan duit haram itu. Satu lagi, sejauh manakah akhlak dan keperibadian pihak pengurusan tempat-tempat berkenaan. Seandainya mereka itu terdiri dari orang-orang yang soleh dan bertaqwa sudah pasti mereka tidak tergamak untuk memberi makan api neraka kepada orang-orang jagaan mereka.

Hakikatnya kita masih terlalu jauh dengan ajaran Islam yang sebenar sehingga semua ini boleh berlaku dan selagi Islam tidak tertegak sebagai ad-din yang syumul selagi itulah masalah seperti ini akan terus berlaku dan kita sebenarnya bertanggungjawab sama di depan Allah nanti..