PKR tidak akan berpecah
Sinar Harian hari ini memuatkan berita bertajuk: “PKR tidak akan berpecah” iaitu ulasan berkenaan Mesyuarat Pemilihan PKR yang sedang berlangsung di seluruh Negara kini yang akan turut membuat pemilihan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan disemua peringkat.
Berita tersebut memuatkan pandangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor YB Iskandar, Pengerusi DAP Selangor YB Ean dan saya sendiri.
http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8193559.asp
Sudah menjadi adat parti-parti politik, pasti akan melalui proses pemilihan pucuk pimpinan. Masing-masing pimpinan akan menonjol dan ditonjol, apa pun kesudahannya ahli atau perwakilan yang akan menbuat keputusan.
Bagi PKR berbeza dengan parti-parti lain dalam negara, mereka memberi kuasa kepada setiap ahli yang berdaftar untuk membuat pemilihan. Ini sesuatu yang baru dalam politik di Malaysia dan sudah pastilah menarik untuk dituruti.
Setakat hari ini jawatan tertinggi parti iaitu Presiden sudah hampir pasti akan dimenangi Datin Seri Dr Wan Azizah tanpa bertanding. Populariti beliau sebagai calon ikon dalam parti berkenaan tidak dipertikai lagi. Yang menjadi rebutan kini adalah jawatan nombor dua parti itu iaitu Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh veteran parti Senator Dr Syed Hussin Ali.
Dan ianya setakat ini menjadi rebutan antara dua calon popular (walaupun ada beberapa nama lain) yang masing-masing telah isytihar diri untuk bertanding iaitu YB Azmin Ali dan Dato Zaid Ibrahim.
Pertandingan ini mengingatkan saya akan pertandinagn untuk jawatan yang sama dalam PAS pada tahun lalu dimana telah dimenangi oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa. Kini PKR melalui senario yang sama. Ia tampak genting dan sengit namun saya pasti akan dilalui dengan baik kerana kita semua dalam Pakatan Rakyat punya agenda yang lebih besar iaitu menyelamatkan umat dalam PRU ke 13 nanti.
Seorang rakan wartawan menjolok saya dengan bertanya siapa pilihan saya untuk jawatan Timbalan Presiden PKR itu, saya katakan bagaimana saya mahu memilih kerana ia melibatkan parti kawan dan bukan saya. Lalu dijolok lagi bagaimana kalau saya yang terlibat, saya jawab biarlah ahli-ahli PKR yang telah melalui pahit dan manis bersama sejak parti mereka ditubuhkan memutuskannya.
Mereka telah berjalan jauh dalam pencapaian yang ada pada hari ini. Mereka diperlakukan berbagai-bagai, ada yang merengkuk dalam penjara tak kurang dicederakan dengan zalim, difitnah malah ada juga yang biadap yang berpaling tadah. Mereka tempuhi segala mehnah dan rintangan, yang setia dan isitqomah terus menggalas perjuangan dengan parut dan bekas yang tertinggal pada tubuh dan badan.
Saya tidak kenal Dato Zaid kecuali semasa berkempen untuk beliau di Hulu Selangor. Tetapi Sdr Azmin saya kenal dan secara peribadi saya kagumi khasnya kekentalan semangat dan daya perjuangan beliau sejak DSAI dipecat dari jawatan TPM sehinggalah penubuhan PKR sehingga hari ini. Sejak beliau dilantik menjadi Pengerusi PKR Selangor Jun lalu saya berurusan terus dengan beliau dalam beberapa isu kepentingan bersama dan ternyata beliau seorang yang matang dan berwibawa.
Apa pun terpulanglah kepada rakan-rakan dalam PKR untuk membuat keputusan. Pilihlah yang terbaik dari yang baik-baik. Yang penting biduk berlalu kiambang bertaut, setelah selesai nanti kita bersatu atas semangat Pakatan Rakyat untuk mempertahankan negeri-negeri dalam genggaman kita, menawan yang selebihnya dan menggegar Putrajaya. Selamat memilih.
No comments:
Post a Comment