Friday, September 17, 2010

Kenyataan Media PAS Negeri Selangor

PAS Selangor menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum 2008 lalu dimana rakyat Selangor bangkit merobah kerajaan negeri dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat adalah isyarat hilangnya keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kemampuan Umno dan Barisan Nasional dalam mengurus dan mentadbir negeri ini. Oleh itu isu samada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo minat atau tidak untuk kembali menjadi Menteri Besar Selangor tidak berbangkit sama-sekali.

Malah realitinya hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat Selangor itu terhadap kerajaan BN Selangor yang lalu banyak tertumpu pada kepincangan kepimpinan Khir sendiri sebagai MB Umno dan BN yang terakhir.

Beliau mungkin tidak menyedarinya dan masih mengagung-agungkan era kepimpinan beliau namun hakikatnya semasa beliau MB lah api kemarahan rakyat meluap-luap dan diterjemahkan langsung melalui peti undi pada PRU ke 12 yang mengakibatkan Umno dan BN hilang kuasa di Selangor.

Oleh itu sebenarnya beliau dan Umno serta BN Selangor tidak ada pilihan. Isu siapa yang bakal menjadi MB Selangor bukannya terletak pada pilihan Khir atau Umno Selangor tetapi rakyat. Sehingga kini rakyat Selangor telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat iaitu gabungan PAS,PKR dan DAP yang telah memilih Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB kerajaan baru ini sejak Mac 2008.

Ianya akan kekal begini sehinggalah mandat dikembalikan kepada rakyat. Buat masa ini dengan dokongan dan kepercayaan rakyat, harapan Khir atau sesiapa sahaja dari Umno atau BN Selangor untuk kembali memegang teraju pentadbiran negeri ini agak tipis. Rakyat telah selesa dan kini yakin bahawa keputusan mereka pada 8 Mac 2008 lalu adalah keputusan yang paling tepat. Mustahil mereka mahu kembali menoleh kebelakang mengundang kepincangan yang lampau untuk menggantikan yang baru dan bersih yang telah dibina bersama ini.

Ketua Penerangan PAS Selangor
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

7 Syawal 1431/ 16 September 2010

sila lihat laporan The Malaysian Insider:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-khir-patut-lupakan-hasrat-kembali-jadi-mb-selangor/

1 comments:

Anonymous said...

Salam, yang menentukan kerajaan Selangor bukan pada UMNOBN tapi Rakyat yang memilih..hormatlah pada keputusan rakyat...