Here I freely share my thoughts. Likewise please feel free to comment or criticize.
Sunday, September 26, 2010
Kalau kita biasa hidup senang, hidup bagaikan tikus jatuh ke kepok, tak pernah susah, tiba-tiba jatuh terperosok menyembam bumi, memang sukar menghadapi realiti. Demikianlah keadaan rakan-rakan kita dalam Umno di Selangor. Lebih 50 tahun menongkat langit menyangkakan ia tidak akan runtuh-runtuh, rupanya bila runtuh, hidup terus kacau dan meracau.
Mereka menyangkakan seolah perubahan politik yang dibentuk hasil dari kemahuan rakyat ini suatu mimpi ngeri. Ia akan hilang jika mereka terjaga dari tidur.
Untuk merampas kembali kuasa mereka tidakss egan dan silu melakukan apa sahaja yang terupaya oleh nafsu serakah. Biar ia bohong, politik murahan, mereka sangkakan rakyat masih di takuk lama. Masih akan tunduk dan patuh pada apa sahaja karenah mereka.
Beberapa hari lalu saya menafikan bahawa ada ahli PAS di Kuala Selangor keluar parti tinggalkan PAS masuk Umno. ADUN Umno Jeram Amiruddin Setro menggambarkan pada rakyat bahawa orang PAS sudah hilang keyakinan pada parti dan perjuangan mereka. Buktinya seorang Timbalan Ketua Pemuda cawangan dengan lebih 30 orang ahli keluar parti menyerahkan boring masuk Umno kepada beliau.
Bagi beliau itulah pencapaian terbesarnya. Ini suatu permulaan, kalau hari ini 30 esok mungkin 300, lusa 3000 kemudian puluhan ribu akan keluar beramai-ramai dari PAS dan masuk Umno. Lalu akan robohlah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ini.
Menurut PAS cawangan berkenaan iaitu cawangan Kuala Parit di Bukit Kuching, Jeram, apa yang di “drama” kan oleh amiruddin itu bohong belaka. Pertama hamba Allah yang dikatakan Timbalan Ketua Pemuda PAS itu bukan ahli PAS pun dan keduanya kesemua 30 orang yang didakwa ahli PAS pun bukan begitu.
Pada hari Sabtu lepas di muka S4 akhbar Sinar Harian YB Amiruddin dilaporkan berkata:
Ahli PAS keluar parti bukan sandiwara. Mereka mengaku kepada saya, katanya.
Dengan kuasa Allah pada keluaran yang sama akhbar berkenaan muka S19, berita Kuala Selangor dilaporkan : PAS sangkal dakwaan 30 ahli sertai Umno. Berita tersebut bukan sekadar melaporkan penafian PAS cawangan, malah dilaporkan dalam Majlis Jamuan Aidilfitri cawangan berkenaan, hamba Allah bernama Sharudin Mohd Nri dan rakan-rakannya 30 orang turut hadir dan Sharudin menafikan ada mengaku menyerang PAS pada Amiruddin.
Dalam mukasurat sama disiarkan gambar Sharudin bersama Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Selangor dan pimpina Pemuda PAS Kuala Selangor.
Sekarang siapa yang menipu?
Itulah kerja Umno di negeri Selangor sebenarnya. Dengan beberapa kerat baki kerusi Dun yang ada pada mereka, apa sahaja mahu digunakan untuk mengaburi mata rakyat serta mencabut keyakinan rakyat pada kerajaan PR Selangor yang mereka kasihi itu.
PAS tidak menipu dalam hal ini, yang terbukti Umno yang menipu, ADUN Umno penipu.
Saya yakin rakyat Selangor salamanya tidak akan memilih penipu untuk memimpin mereka. Kalau dah terkena lebih 50 tahun, insyallah mereka tidak akan tertipu lagi.
Wednesday, September 22, 2010
Hukum mereka yang biadap
Kes vandalisma ke atas surau di Seremban mula dibicarakan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini dengan tiga tertuduh di hadapkan ke pengadilan. Mereka bertiga dituduh melakukan khianat dengan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes ini mengingatkan kita pada kes khianat ke atas Gereja Metro Turbanaclle di Taman Melawati, KL yang telah dibakar sebelum itu.
Apa pun tidak ada tempat dalam masyarakat kita bagi mereka yang biadap dan tidak menghormati agama atau kepercayaan sesama warga Malaysia. Sebagaimana kita mengutuk serangan ke atas gereja yang dibakar itu, kita juga perlu menzahirkan pendirian yang sama ke atas apa yang berlaku ke atas surau di Taman Pulai Impian, Sikamat, Seremban itu.
Mereka yang bersalah wajar dihukum supaya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia bahawa setiap kita perlu memelihara sensitiviti satu sama lain khasnya dalam hal agama dan kepercayaan masing-masing. Tidak ada sesiapa sekalipun berhak bertindak mengkhianati rumah ibadat mana-mana golongan.
Kita telah bina Negara ini dengan sikap toleransi dan saling faham-memahami, jangan ada sesiapa yang menodai sikap dan budaya itu.
Tuesday, September 21, 2010
Bagi orang politik apabila ada ahlinya meninggalkan parti sudah pastilah ia sesuatu yang mencemaskan dan malah berkemampuan memberikan gambaran buruk kepada parti berkenaan. Demikianlah apabila saya dihubungi wartawan meminta pengesahan darihal berita 30 orang ahli pemuda PAS keluar parti menyertai Umno di Kuala Selangor.
Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan:
30 Pemuda PAS sepakat keluar parti
Siap dengan gambar penyerahan borang dari seorang Pemuda yang mendakwa dirinya Timbalan Ketua Pemuda PAS cawangan kepada ADUN Umno Jeram, Amiruddin Setro.
Parlimen Kuala Selangor dimenangi oleh PAS (DR Dzul )dalam PRU lalu. Manakala 3 DUN di bawahnya dua dimenangi PR iaitu Ijok (diwakili Tan Sri MB) dan Bukit Melawati (Ir. Muthiah – PKR) manakala Umno Cuma bertahan di DUN Jeram yang diwakili Amirudin.
Benarkah diwaktu dewasa ini, dizaman rakyat menolak politik pincang, politik rasuah, politik sempit dan kotor masih ada yang mahu menyertai Umno, pengasas mazhab politik yang disenaraikan tadi?! Benarkah di Selangor diwaktu PR sedang mengembangkan sayapnya setelah menang di negeri bertuah ini, mengikis dan mencungkil keluar saki-baki daki-daki kotor pentadbiran Umno dan BN lebih setengah abad itu, masih ada yang tergiur mahu tinggalkan PR (dalam kes ini PAS) menyertai Umno?
Saya pernah menyatakan pada seorang rakan wartawan(ketika berlaku kemelut lompat melompat selepas PRU lalu) bahawa tiada orang yang waras yang menyertai PAS kemudian meninggalkan PAS untuk masuk Umno kecuali terganggu kewarasannya.
Berbalik kepada kes di Kuala Parit, DUN Jeram, Parlimen Kuala Selangor tadi, setelah disiasat ternyata tiada lagi yang hilang kewarasannya di sana. Tidak ada orang PAS yang keluar parti masuk Umno di sana. Sebaliknya orang kampung di sana sedang rancak bercerita darihal seorang pemuda yang bermasalah yang pendirian bagaikan lalang, kesempitan hidup lalu mencari jalan keluar mudah dengan menggadai maruah bagi menyenangkan diri.
Beliau yang mendakwa dirinya Timbalan Ketua Pemuda PAS cawangan itu sebenarnya tidak pernah mendaftar sebagai ahli PAS pun. Begitu juga mereka yang kononnya seramai 30 orang yang dikatakan mengikut jejaknya.
Kalau pemuda tadi tergamak menggadai maruah, Umno bagi saya lebih buruk lagi. Sanggup ber”drama” kononnya menerima orang PAS masuk partinya sedangkan hamba Allah itu dan konco-konconya tidak pernah menjadi ahli PAS pun!
Kalau pun terdesak sangat mahu menonjol diri janganlah sampai tipu dan menipu.
Inilah perangai Umno Selangor yang bakal ditalkinkan oleh rakyat negeri ini pada PRU akan datang.
Bagi saya rakyat sudah muak dan tidak lagi akan termakan dengan taktik kotor dan politik murahan mereka. Rekod buruk mereka selama lebih setengah abad sebelum ini tidak mudah dilupuskan malah telah tetunjam dalam ingatan dan hati rakyat.
Ringkasnya tiada yang keluar PAS di Kuala Selangor. Yang Umno terima hari itu adalah beberapa kerat pemuda yang bermasalah yang bakal mengotorkan lagi kandang buruk dan usang Umno. Selamat menerima biawak hidup hadiah penduduk kampong kepada anda!
Berikut adalah kenyataan akhbar PAS Selangor berhubung insiden ini:
KENYATAAN AKHBAR
PAS SELANGOR NAFIKAN 30 PEMUDA PAS
KELUAR PARTI DI KUALA SELANGOR
Laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 21 September, 2010 dirujuk.
PAS Selangor menafikan laporan akhbar Sinar Harian bahawa kononnya 30 orang Pemuda PAS dari cawangan Kuala Parit, Kawasan Kuala Selangor keluar parti untuk menyertai Umno.
PAS Selangor turut menafikan bahawa Sdr Sharudin Mohd Nri adalah Timbalan Ketua Pemuda cawangan berkenaan. Menurut rekod cawangan, beliau tidak pernah mendaftar menjadi ahli PAS dan begitu juga mereka yang kononnya menuruti beliau untuk menyertai Umno.
Ternyata tindakan Umno khasnya ADUN Jeram, YB Amiruddin Setro, melakonkan “drama” anak-anak muda keluar PAS menyertai Umno itu sebagai suatu tindakan publisiti politik murahan oleh mereka yang sudah ketandusan modal politik setelah BN ditolak mentah-mentah oleh rakyat Selangor pada pilihan raya umum 2008.
Cawangan PAS Kuala Parit telah ditubuhkan pada tahun 1985 dengan keahlian melebihi 100 orang. Menurut sumber cawangan pertambahan mendadak keahlian cawangan berkenaan berlaku khasnya selepas PRU lalu menandakan rakyat sudah hilang keyakinan pada Umno.
PAS Selangor sesungguhnya sedang aktif mengatur strategi dan memberi tumpuan untuk menawan saki-baki DUN yang dimenangi Umno termasuklah DUN Jeram. Oleh itu tidak hairanlah dalam suasana yang tidak menentu bagi Umno ini, Umno Kuala Selangor sanggup melakonkan “drama” murahan semata-mata untuk melarikan tumpuan rakyat terhadap kemampuan dan kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang semakin disenangi dan mendapat tempat di hati rakyat.
Rakyat Selangor umumnya menerima kepimpinan baru negeri yang diterajui Pakatan Rakyat yang telah mampu mengikis kepincangan puluhan tahun pentadbiran negeri ini di bawah Umno dan Barisan Nasional. PAS Selangor yakin rakyat akan memberi mandat yang lebih besar pada kerajaan ini pada PRU ke 13 nanti. Tiada “drama”murahan termasuklah yang dilakonkan di Kuala Parit itu yang mampu membendung dan menyekat gelombang kebangkitan rakyat itu.
DIKELUARKAN OLEH:
ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN PAS SELANGOR
21 September, 2010
Monday, September 20, 2010
Sinar Harian hari ini memuatkan berita bertajuk: “PKR tidak akan berpecah” iaitu ulasan berkenaan Mesyuarat Pemilihan PKR yang sedang berlangsung di seluruh Negara kini yang akan turut membuat pemilihan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan disemua peringkat.
Berita tersebut memuatkan pandangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor YB Iskandar, Pengerusi DAP Selangor YB Ean dan saya sendiri.
http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8193559.asp
Sudah menjadi adat parti-parti politik, pasti akan melalui proses pemilihan pucuk pimpinan. Masing-masing pimpinan akan menonjol dan ditonjol, apa pun kesudahannya ahli atau perwakilan yang akan menbuat keputusan.
Bagi PKR berbeza dengan parti-parti lain dalam negara, mereka memberi kuasa kepada setiap ahli yang berdaftar untuk membuat pemilihan. Ini sesuatu yang baru dalam politik di Malaysia dan sudah pastilah menarik untuk dituruti.
Setakat hari ini jawatan tertinggi parti iaitu Presiden sudah hampir pasti akan dimenangi Datin Seri Dr Wan Azizah tanpa bertanding. Populariti beliau sebagai calon ikon dalam parti berkenaan tidak dipertikai lagi. Yang menjadi rebutan kini adalah jawatan nombor dua parti itu iaitu Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh veteran parti Senator Dr Syed Hussin Ali.
Dan ianya setakat ini menjadi rebutan antara dua calon popular (walaupun ada beberapa nama lain) yang masing-masing telah isytihar diri untuk bertanding iaitu YB Azmin Ali dan Dato Zaid Ibrahim.
Pertandingan ini mengingatkan saya akan pertandinagn untuk jawatan yang sama dalam PAS pada tahun lalu dimana telah dimenangi oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa. Kini PKR melalui senario yang sama. Ia tampak genting dan sengit namun saya pasti akan dilalui dengan baik kerana kita semua dalam Pakatan Rakyat punya agenda yang lebih besar iaitu menyelamatkan umat dalam PRU ke 13 nanti.
Seorang rakan wartawan menjolok saya dengan bertanya siapa pilihan saya untuk jawatan Timbalan Presiden PKR itu, saya katakan bagaimana saya mahu memilih kerana ia melibatkan parti kawan dan bukan saya. Lalu dijolok lagi bagaimana kalau saya yang terlibat, saya jawab biarlah ahli-ahli PKR yang telah melalui pahit dan manis bersama sejak parti mereka ditubuhkan memutuskannya.
Mereka telah berjalan jauh dalam pencapaian yang ada pada hari ini. Mereka diperlakukan berbagai-bagai, ada yang merengkuk dalam penjara tak kurang dicederakan dengan zalim, difitnah malah ada juga yang biadap yang berpaling tadah. Mereka tempuhi segala mehnah dan rintangan, yang setia dan isitqomah terus menggalas perjuangan dengan parut dan bekas yang tertinggal pada tubuh dan badan.
Saya tidak kenal Dato Zaid kecuali semasa berkempen untuk beliau di Hulu Selangor. Tetapi Sdr Azmin saya kenal dan secara peribadi saya kagumi khasnya kekentalan semangat dan daya perjuangan beliau sejak DSAI dipecat dari jawatan TPM sehinggalah penubuhan PKR sehingga hari ini. Sejak beliau dilantik menjadi Pengerusi PKR Selangor Jun lalu saya berurusan terus dengan beliau dalam beberapa isu kepentingan bersama dan ternyata beliau seorang yang matang dan berwibawa.
Apa pun terpulanglah kepada rakan-rakan dalam PKR untuk membuat keputusan. Pilihlah yang terbaik dari yang baik-baik. Yang penting biduk berlalu kiambang bertaut, setelah selesai nanti kita bersatu atas semangat Pakatan Rakyat untuk mempertahankan negeri-negeri dalam genggaman kita, menawan yang selebihnya dan menggegar Putrajaya. Selamat memilih.
Friday, September 17, 2010
PAS Selangor menegaskan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum 2008 lalu dimana rakyat Selangor bangkit merobah kerajaan negeri dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat adalah isyarat hilangnya keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kemampuan Umno dan Barisan Nasional dalam mengurus dan mentadbir negeri ini. Oleh itu isu samada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo minat atau tidak untuk kembali menjadi Menteri Besar Selangor tidak berbangkit sama-sekali.
Malah realitinya hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat Selangor itu terhadap kerajaan BN Selangor yang lalu banyak tertumpu pada kepincangan kepimpinan Khir sendiri sebagai MB Umno dan BN yang terakhir.
Beliau mungkin tidak menyedarinya dan masih mengagung-agungkan era kepimpinan beliau namun hakikatnya semasa beliau MB lah api kemarahan rakyat meluap-luap dan diterjemahkan langsung melalui peti undi pada PRU ke 12 yang mengakibatkan Umno dan BN hilang kuasa di Selangor.
Oleh itu sebenarnya beliau dan Umno serta BN Selangor tidak ada pilihan. Isu siapa yang bakal menjadi MB Selangor bukannya terletak pada pilihan Khir atau Umno Selangor tetapi rakyat. Sehingga kini rakyat Selangor telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat iaitu gabungan PAS,PKR dan DAP yang telah memilih Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB kerajaan baru ini sejak Mac 2008.
Ianya akan kekal begini sehinggalah mandat dikembalikan kepada rakyat. Buat masa ini dengan dokongan dan kepercayaan rakyat, harapan Khir atau sesiapa sahaja dari Umno atau BN Selangor untuk kembali memegang teraju pentadbiran negeri ini agak tipis. Rakyat telah selesa dan kini yakin bahawa keputusan mereka pada 8 Mac 2008 lalu adalah keputusan yang paling tepat. Mustahil mereka mahu kembali menoleh kebelakang mengundang kepincangan yang lampau untuk menggantikan yang baru dan bersih yang telah dibina bersama ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.
7 Syawal 1431/ 16 September 2010
sila lihat laporan The Malaysian Insider:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-khir-patut-lupakan-hasrat-kembali-jadi-mb-selangor/
Thursday, September 16, 2010
Di Kelantan telah sempurnalah sudah perlantikan Sultan yang baru. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhammad Faris Petra telah pun dilantik dan dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 4 Syawal lalu menggantuikan ayahanda Baginda yang gering.
Semalam Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa yang juga ahli parlimen Bachok telah menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menerima perlantikan Tuanku itu yang disenangi dan dikasihi rakyat Kelantan.
Tiada apa pertikaian pun yang dilaporkan setakat ini yang melibatkan rakyat jelata bermakan segalanya berjalan dengan lancar.
Cuma dalam akhbar The Star hari ini dilaporkan:
Pasukan Prihatin Maya Kelantan (PRIMA) committee member Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad said PRIMA regretted the move by the PAS government to replace the “Daulat Tuanku” with Takbir (shouts of Allahuakbar three times) which was out of the norm in any Royal Proclamation ceremonies held before this.
AJK PRIMA Wan Khairul Ihsan menyatakan PRIMA (Pasukan Prihatin Maya Kelantan) kesal dengan tindakan kerajaan PAS Kelantan yang telah menggantikan laungan “Daulat Tuanku” dengan “Takbir” sebanyak tiga kali yang menurut beliau tidak menepati adat dalam mana-mana majlis pengisytiharan di Raja.
Bagaimana seorang pemimpin yang mendakwa prihatin diperingkat maya boleh menganggap takbir atau laungan ALLAHUAKBAR sebagai sesuatu yang janggal dan di luar adat. Kita bukan lagi dizaman Parameswara tetapi telah menerima Islam sejurus Parameswara memeluknya (dan ada kesan yang membuktikan terlebih awal dari itu khususnya di Pantai Timur). Melalui pengaruh ADDEEN ini banyak perubahan dalam adat dan kepercayaan Melayu telah diubah atas nama Islam.
Saya yakin laungan ALLAHUAKBAR menggantikan DAULAT TUANKU pada 4 Syawal lalu direstui oleh semua pihak yang terlibat malah kalau PRIMA sedikit prihatin ia akan dapati semua iklan menjunjung kasih atau persembahan tahniah ke atas Tuanku Sultan yang baru dalam media cetak memuatkan kalimah ALLAHUAKBAR dan BISMILLAH termasuklah iklan BN Kelantan.
“Allah Yang Maha Besar” atau “ALLAHUAKBAR” yang dilaungkan oleh semua yang hadir di Istana Balai Besar pada 4 Syawal lalu menandakan bahawa rakyat dan istana Kelantan tunduk pada kebesaran ALLAH swt, Tuhan Yang Maha Perkasa yang memberikan kerajaan kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan menarik balik dari sesiapa yang Ia kehendaki.
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (ali Imran:26)
Takbir bukan milik orang PAS. Takbir laungan pengiktirafan kebesaran Allah, laungan kejayaan laungan keinsafan laungan umat Islam tidak kira apa bangsa atau kefahaman politik, dari Amerika ke Eropah, Afrika, Negara Cina, India semuanya melafaz laungan ini ketika solat, ketika di Baitullah, dimana sahaja. Kalau ia mulia dan bahan ucapan di Rumah Allah mengapa tidak di Istana yang dibina atas keizinan Allah?
Daulat Tuanku digantikan dengan ALLHUAKBAR jangan dijadikan isu bimbang ia menceminkan kedangkalan ilmu kita. Biarlah yang baik digantikan dengan yang lebih baik dan lebih mulia lalu kita terima dengan hati terbuka.
ALLAHUAKBAR Semoga Allah melindungi Tuanku Sultan Kelantan ke 29 Dunia dan Akhirat.
Monday, September 13, 2010
Menurut The Star online seramai 301,653 pengundi baru telah didaftarkan di seluruh negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2010. Daripada jumlah itu 56% atau 169, 850 didaftarkan melalui usaha parti-parti politik yang didaftarkan melalui Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.
DAP mendahului parti-parti politik dalam kempen mendaftarkan pengundi-pengundi baru ini iaitu dengan berjaya mendaftarkan 55,321 pengundi, diikuti Umno sebanyak 54,872. PAS mendaftarkan 38,618 manakala PKR 13,098.
Angka-angka ini seharusnya menginsafkan kita betapa pentingnya kempen ini terus dipertingkatkan. Kalau kita berhasart melonjakkan kemenangan Pakatan Rakyat mengatasi pencapaian PRU 2008 maka semua pihak kena bekerja kuat. Tahniah kepada DAP kerana terus mendahului parti-parti lain dalam usaha ini.
Ternyata Umno dan BN tampak terus lesu, namun jangan perkembangan ini melenakan kita. Parti-parti PR jangan terlalu banyak “politicking”, tumpukan kepada kerja-kerja yang lebih bermanfaat yang bakal mengekalkan kedudukan yang ada dan membawa kita kepada merealisasikan impian yang sedia ada.
Pastikan anak-beranak, saudara-mara dan kenalan kita semuanya sedia berdaftar untuk layak mengundi pada PRU ke 13 nanti. Kurangkan bercakap, banyakkan bekerja. Raya-raya juga tapi tumpuan pilihanraya jangan lupa.
Saturday, September 04, 2010
Hari Jumaat ini insyallah kita akan meraikan Eidul Fitri. Ini bermakna umat Islam dalam negara akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing mulai awal minggu hadapan.
Lajnah Penerangan PAS Pusat mengaturkan program Kempen Balik Kampung bagi membekalkan mereka yang pulang ke kampung bertemu sanak-saudara masing-masing dengan bahan-bahan penerangan untuk menjawab dan menyerang propaganda jahat Umno dan BN yang sering bernain di media arus perdana yang dibolot oleh mereka.
Kiranya saya ada saluran atau ruang untuk berbicara dengan golongan sasaran ini di negeri Selangor, di Sabak Bernam, di Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan lain-lain pelusuk Selangor, saya akan katakana.
PERTAMA: Yakinlah di Selangor ini walaupun media arus perdana menyerang dan memperlekeh kita, rakyat Selangor celek. Mereka dapat mengukur, melihat dan menyukat apa yang telah berlaku dan apa yang sedang berlaku. Hari ini dengan semalam jauh bezanya walaupun semalam itu lebih 50 tahun lamanya sedang hari ini baru 2 tahun 6 bulan.
Dalam tempoh yang singkat hari ini banyak noda dan kepincangan yang lampau telah berjaya dikikis dan diubati.
KEDUA: Kita mampu memperkasakan kedudukan hari ini, menjadi lebih baik, lancar dan licin. Lebih bermakna sehingga tiada lagi gusar dan bimbang Mutiara kecil ditangan ini mampu berkilau mampu menyerlah menerangi dunia, pokoknya adalah pada kita.
Oleh itu bangkitlah anak-anak Selangor di setiap ceruk, mempertahankan kerajaan yang ada ini dan mengembalikan ia dengan kekuatan yang lebih kukuh untuk terus memimpin membawa kebaikan dan kesejahteraan buat semua.
Gabungan PAS,PKR dan DAP memang baru buat negeri ini. Tetapi yang baru ini muncul bukan untuk mengulangi kecurangan mereka yang lampau, ia muncul dengan izin Allah untuk merintis jalan baru, rakyat yang baik di Selangor ini perlukan kepimpinan yang baik dan bermaruah yang memenuhi keperluan dan kebajikan rakyat selain mampu menjelamkan pembangunan yang bermanfaat. Telus, bebas rasuah dan takut pada Tuhan.
PAS, PKR dan DAP memang punya banyak perbezaan, namun juga ada persamaan. Persamaannya yang jelas adalah ia jujur mahu membela dan memperjuangkan nasib rakyat. Ia benci pada penindasan, benci pada kepincangan, benci pada kezaliman. Bersama ia merupakan satu pakatan yang mahu mengurus negeri yang maju dan kaya ini agar hasil-mahsulnya bukan dibolot oleh kelompok atau puak tertentu, tetapi diurus dengan penuh hemah dan dilimpahkannya kembali untuk dirasai oleh segenap rakyat jelata.
Dalam tempuh 2 tahun 6 bulan ini kita telah saksi dan rasai bersama:
1) Menteri Besar dan EXCO Pakatan Rakyat bekerja bersungguh demi rakyat. Sejak 100 hari pertama memerintah, aset dan harta mereka dipamirkan buat tatapan rakyat. Bagaimana dengan MB dan EXCO yang lalu, agak-agaknya berapakah harta dan aset mereka apabila keluar dari Bangunan SUK pada 8 Mac 2008 lalu? Yang kita tahu bekas MB BN Selangor bina mahligai berjuta ringgit sbeaik keluar dari rumah rasmi kerajaan.
MB dan EXCO PR Selangor bekerja sepenuh masa, tiada yang berniaga atau menyalurkan kekayaan untuk disalah-guna anak-isteri dan kaum keluarga seperti mereka yang lepas. Begitu juga para ADUN PR Selangor. Tiada yang lari dari tanggungjawab, tiada yang mencuri kesempatan seperti amalan dimasa-sama lampau.
EXCO dan wakil rakyat PAS contohnya, sebahagian besar ditauliahkan dan mampu memberi kuliah dan berkhutbah depan rakyat. Mereka bukan sekadar datang mengunjungi masjid dan surau, tetapi mampu membimbing jemaah dan mengimamkan solat, sesuatu yang ganjil diperingkat Selangor sebelum ini.
2) Masjid dan surau di Selangor hari ini berjaya dibebaskan dan diserahkan kembali urusannya kepada ahli-ahli kariah. Sebelum ini institusi agama ini dibolot oleh parti politik. Merekalah yang menentukan pimpinannnya. Hak ahli-ahli kariah dinafikan. Masjid menjadi sejuk dan lesu. Mereka menyenarai hitamkan tuan-tuan guru dan para ulamak yang berwibawa.
Almarhum Dato Ishak Baharom, Prof Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus adalah antara tokoh-tokoh besar yang digam dan doharamkan dari memberi kuliah dan pengajian. Program ilmu, program pemantapan rohani seperti qiyamullail dipandangn serong dan penuh prasangka.
Kini masjid dan surau di Selangor hidup. Masjid diagendakan menjadi wahana transformasi ummah. Yang mahu dibentuk dan dilahirkan adalah anak-anak Selangor yang cinta Islam dan menjiwai Islam sehingga ia menjadi satu cara hidup mereka. Tiada lagi masalah sosial, tiada lagi keruntuhan akhlak, semua menjadi semakin baik dan berguna buat masyarakat.
3) Di Selangor hari ini rakyat beroleh nikmat langsung dari program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Inilah kerajaan negeri pertama yang memberi air percuma kepada rakyatnya (20 meter padu pertama). Bagi jutawan dan hartawan ia mungkin tidak bermakna tetapi buat rakyat jelata kebanyakkan ia sangat bermakna dan dialu-alukan. Begitu juga Selangor hari ini ada TAWAS Tabung Warisan Anak Selangor, ada skim warga usia emas, ada hadiah buat anak-anak kita yang masuk ke IPTA/IPTS, ada Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang.
Perkara-perkara kecil sebegini (Umno Selangor dakwa ia kecil) tidak dipedulikan malah diabaikan oleh kerajaan sebelum ini. Namun bagi kerajaan PR Selangor inilah yang dikehendaki rakyat jelata, keutamaan yang sewajarnya diberikan oleh kepimpinan yang prihatin pada keluhan dan kemahuan rakyat.
4) Prestasi pimpinan masyarakat kerajaan PR Selangor walau dalam tempoh 2 tahun 6 bulan jauh meninggalkan kepimpinan pincang dimasa lepas. Dahulu jawatan Ketua Kampung dipegang oleh “Little Napoleon” lazimnya Ketua Umno atau MIC atau MCA cawangan. Apa sahaja bantuan dan kemudahan peringkat kampung dipolitikkan. Orang kampung menjadi hamba dan terpaksa akur jika tidak mereka dipulau dan disisihkan.
Hari in Ketua Kampung bagaikan wakil rakyat kecil. Mereka berkhidmat untuk rakyat dan menjadipenghubung antara rakyat dan kerajaan. Bukan orang PAS, PKR dan DAP sahaja, orang Umno yang susah juga dibantu. Demikian juga anggota JKKK yang lain, Nazir dan JK Masjid. Begitu juga ahli-ahli majlis PBT. Di bawah kerajaan PR ahli-ahli majlis PBT juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk. Perkhidmatan PBT kepada masyarakat menjadi semakin lancar dan efisyen.
5) Untuk Hari Raya tahun ini kerajaan Pusat mengumumkan bonus RM500 kepada kakitangan Persekutuan. Kerajaan Negeri PR Selangor turut memberi jumlah yang sama kepada kakitangan kerajaan negeri malah ia melangkau selangkah lagi dengan turut memberikan hadiah RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) yang akan melibatkan pembayaran sebanyak RM1.3 juta.
Sebelum itu pada bulan November 2008 kerajaan PR Selangor telah mengumumkan kenaikan gaji guru-guru KAFA dari RM738.30 ke RM1000, sementara Penyelia KAFA mendapat kenaikan dari RM1112.00 kepada RM1500.
6) Di bawah kerajaan PR Selangor pengagihan kontrak kerajaan menjadi lebih telus dan membuka peluang kepada semua kontraktor Bumiputera yang layak tidak seperti dahulu apabila tawaran sekadar berligar dikalangan beberapa kerat yang tertentu sahaja.
Isu perlombongan pasir yang dipolitikkan oleh pihak Umno dan BN sebenarnya menyembunyikan fakta bahawa di bawah PR tawaran perlombongan pasir ini adalah melalui proses tender. Kerajaan negeri menerima tawaran yang terbaik, tidak seperti dahulu apabila ia didominasi oleh syarikat kaum keluarga tertentu sahaja.
Segala yang disenarikan di atas adalah nikmat yang diperolehi rakyat Selangor apabila mereka menaikkan kerajaan baru ini.
Tugas kita adalah untuk memperkasakan lagi kerajaan yang baik ini dan mengelakkan sama-sekali dari puak pincang yang terdahulu kembali berkuasa merosakkan apa yang telah dipulihkan.
Oleh itu dari Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, rakyat Selangor perlu sedar bahawa mutiara yang ada dalam tangan ini perlu dikekalkan. Sama-sama kita bentuk sebuah pengharapan baru yang lebih baik buat semua setelah laluannya telah dibuka oleh kerajaan baru ini. Kita kikis dan buang saki-baki Umno dan BN yang ada yang cuma kemaruk pada kuasa setelah 2 tahun 6 bulan kehilangannya. Kuasa bagi mereka adalah buat kepentingan peribadi dan kelompok mereka semata-mata sedangkan kuasa yang sebenarnya perlu diguna untuk kepentingan rakyat.
PR Selangor tewas tipis di beberapa kerusi DUN di Selangor. Ayuh kita yakinkan ibu-bapa, sanak-saudara dan kenalan kita bahwa kemenangan yang lebih besar penting buat PR untuk menterjemahkan agendanya dengan lebih bermakna buat rakyat. PAS tewas 45 undi di DUN Seri Serdang, Puchong, 117 undi di Sabak, 123 undi di Sg Air Tawar, 404 undi di Morib, 613 di Taman Templer, 642 di Paya Jaras. Begitu juga DAP dan PKR tewas tipis di kerusi tertentu.
Kita mahu tebus semua kekalahan ini kerana kita mahu bina kerajaan yang tidak lagi memberi peluang kepada gangguan mana-mana pihak. Kita mahu meyakinkan kakitangan kerajaan negeri khasnya para pegawai kanannya bahwa “this state government is here to stay”, mereka samada memilih untuk taat pada kerajaan pilihan rakyat ini atau mereka ikut senasib dengan BN dan Umno Selangor yang semakin nazak.
Sempena Eidul Fitri ini, kembalikanlah kegembiraan sebenar buat rakyat Selangor. Hakikatnya kita telah buat pilihan yang terbaik pada 2008, dan terbukti ia memang baik sehingga kini. Kekalkan pilihan ini dan tambah perkasakan ia. Moga Selangor kekal bermaruah, maju, bersih dan berkebajikan.
Friday, September 03, 2010
Namun demikian dimanakah letaknya maruah kita, usah berbicarlah hal jalur gemilang yang diinjak dan dibakar di seberang, itu perkara kecil, berbanding dengan biadapnya kita sendiri membenarkan anak-anak yatim dan miskin serta ibu-ibu tunggal yang beragam Islam diraikan, diberi makan dan wang raya dari hasil judi oleh syarikat judi tempatan!
Ya Allah ampunkanlah dosa kami.
Dalam The Metro sisipan akhbar The Star hari ini dilaporkan betapa syarikat judi SPORTS TOTO menjamu dan meraikan anak-anak yatim dan ibu tunggal dari Persatuan Anak-Anak Yatim Dan Ibu Tunggal Kg. Medan, PJ and Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat, Banting.
Kita perlu pandang serius perkara ini. Pihak pengurusan kedua-dua persatuan perlu dinasihatkan kerana mereka membenarkan orang yang miskin serta anak yatim di bawah jagaan mereka dijamu oleh sebuah syarikat yang aktivitinya jelas haram disisi Islam! Pihak Sports Toto juga perlu diberitahu bahawa hasil judi mereka yang haram itu jangan diberi makan kepada orang Islam walaupun kononnya atas alasan kebajikan.
Saya sedih melihat masih ada kesempatan diambil oleh syarikat-syarikat ini untuk menjamu orang-orang Islam yang miskin dan dhaif. Dan lebih sedih lagi apabila melihat merekayang diberi amanah menjaga orang susah sanggup menggadaikan maruah dan mengharung dosa semata-mata kerana habuan wang ringgit.