Sunday, January 31, 2010

Mari kita sama-sama prihatin

Baru-baru ini Dato Mufti Selangor dilaporkan dalam akhbar Kosmo sebagai berkata bahawa rumah-rumah urut di negeri Selangor semakin bertambah bilangannya.

Saya percaya ada sebab musabab yang mendorong beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian. Mungkin bimbang yang gejala maksiat dari rumah-rumah urut ini akan merosakkan umat Islam di negeri ini.

Benar, rumah-rumah urut seumpama ini banyak disalah-gunakan sehingga menjadi pusat pelacuran yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat. Namun ia bukan sekadar berlaku di Selangor tetapi juga di negeri-negeri lain termasuklah Wilayah Persekutuan. Dan keduanya ia bukan sekadar berlaku di Selangor pasca PRU ke 12 malah telah pun disalah-gunakan pada kes-kes tertentu sejak sekian lama.

Saya dihubungi wartawan dari akhbar yang sama berhubung isu ini. Barangkali menyangkakan saya selaku pemimpin PAS negeri akan turut menyerang dan mengakui memang kerajaan PR banyak meluluskan lesen rumah-rumah urut yang menjadi pusat pelacuran.

Saya tidak mempertikaikan kebimbangan Dato Mufti tetapi saya menjelaskan realiti sebenar kebetulan saya juga sebagai salah seorang ahli majlis dalam PBT di Lembah Kelang dan duduk dalam Jawatankuasa Pelesenan PBT berkenaan.

Saya menghuraikan bahawa kehadiran ahli-ahli majlis PAS dalam PBT-PBT seluruh Selangor tidak memungkinkan kami redha untuk meluluskan rumah-rumah urut yang sebegitu banyak tanpa kawalan. Lebi tepat lagi pusat-pusat kesihatan ini ada banyak kategorinya dari urut kaki berbentuk refleksologi,hinggalah rawatan tradisional, bekam dan urut untuk wanita. Di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) contohnya sejak Pakatan Rakyat memerintah lesen untuk urut badan telah dibekukan.

Masalahnya di sini adalah lesen-lesen yang disalah-gunakan (yang menurut peraturan boleh dibatalkan jika berbuat demikian) dan pusat-pusat yang beroperasi tanpa lesen. Kelemahnnya adalah penguatkuasaan. Memang tenaga penguatkuasaan PBT sangat kecil kerana itulah EXCO PBT, Ronnie Liu menjelaskan bahawa kerajaan negeri sangat memerlukan kerjasama pihak polis. Kuasa pihak polis dalam hal ini lebih besar dan kesannya lebih efektif.

Bekas MB Selangor Khir Toyo turut dilaporkan dalam akhbar yang sama menyalahkan kerajaan negeri dan PBT di Selangor. (Semasa beliau MB pihak polis Bukit Aman pernah serbu premis judi haram dalam kawasan DUN beliau sendiri yang beroperasi sekian lama, dengan lesen pusat hiburan diberi oleh pihak PBT)

Walaupun dengan kekuatan penguatkuasaan yang kecil saya rasa sejak PR memerintah di Selangor operasi penguatkuasaan semakin meningkat dan alangkah cantiknya jika pihak polis dapat turut membantu.

Berbalik kepada kebimbangan Dato Mufti, sebagai umat Islam kita perlu prihatin dan berusaha untuk mengekang peluang-peluang maksiat dikalangan umat Islam khasnya sebagai sebahagian dari kerja-kerja amar makruf nahi mungkar kita. Tanggungjawab ini perlu disandang dan dipikul oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan dan perbezaan fahaman politik.

Sebagai contoh berkuatkuasa 1 Januari 2010 di kawasan pentadbiran MPSJ (yang walaupun cuma ada 3 ahli majlis PAS dari jumlah 24) dua peraturan baru telah diperkenalkan kepada penguasaha rumah-rumah urut dan kelab-kelab malam yang dilesenkan.

Bagi rumah-rumah urut tadi berkuatkuasa tarikh berkenaan sekiranya pemegang yang dilesenkan menjalankan urut unseks iaitu melibatkan lelaki urut wanita atau sebaliknya, maka ia tidak dibenarkan mengabil pekerja yang beragama Islam bekerja (dalam semangat Enakmen Jenayah Syariah Selangor). Sekiranya didapat melanggar syarat ini lesen yang diberikan boleh dibatalkan.

(Untuk makluman lelaki Islam memang dilarang mengunjungi rumah urut uniseks seumpama ini, dan peraturan ini telah ada sejak kerajaan yang terdahulu)

Manakala bagi kelab-kelab malam yang menghidangkan atau menjual arak, pemegang lesen juga tidak dibenarkan mengambil pekerja Islam bekerja kerana bertentangandengan Enakmen yang sama.

Peraturan-peraturan baru ini mungkin dipandang kecil. Mengapa tidak tutup terus! Itulah yangtermampu kami laksanakan setakat ini tetapi ianya bagi kami suatu langkah yang proaktif danpositif yang tidak pernah pun diambil inisiatif oleh parti pemerintah dahulu walaupun mereka lebih mendominasi PBT-PBT seluruh Selangor dahulu.

Jangan sesiapa menganggap bahawa kerajaan PR ini tidak mengambil pusing langsung tentang kerja-kerja amar makruf nahi mungkar. Jangan cetuskan persepsi seolah PAS dalam kerajaan PR hanya sebagai “sleeping partner”. Kami lebih suka membawa perubahan dan memperkenalkan pembaharuan tanpa menjaja “political mileage” kononnya juara sana sini sedangkan hakikatnya semasa mereka berkuasa dahulu dengan majoriti mutlak, kerja-kerja seumpama ini langsung tidak menjadi keutamaan.

Terima kasih Dato Mufti kerana ambil prihatin hal ini. Marilah kita sama mengembeling tenaga mencari penyelesaiannya. Mari kita bekerja untuk memartabatkan Islam melalu cara yang paling terhormat, bukan menuding jari dan melonjak-lonjak mendabik diri sebagai juara sedangkan ekor bergelumang najis.

(Untuk makluman kenayaatn saya kepada akhbar berkenaan walaupun dirakamkan hampir setengah jam langsung tidak dilaporna. Terima kasih Kosmo)

3 comments:

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum saudara. Semalam anak dan isteri saya telah berkunjung untuk membeli keperluan di salah sebuah hiper market terbesar di kawasan Batu Caves. Anak saya telah melihat seorang bukan muslim membeli beberapa korton arak di situ yang kemudiannya membayar di kaunter bayaran yang juru tunainya adalah muslim dan muslimat. Sekadar untuk mendapatkan penjelasan dari saudara, Apakah di hiper market sebegitu pihak PBT mempunyai kuasa tertentu untuk melakukan sesuatu? Atau ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna sepenuhnya. Adakah tidak mungkin satu kaunter khas diguna untuk pembayaran barang-barang seperti ini atau setidak-tidaknya disediakan papan tanda yang mengarahkan "Kepada pelanggan yang membeli barangan tidak halal sila ke kaunter ..." demi menghormati kesucian agama Islam.

Anonymous said...

Bro Roslan,
Saya dah lama dah baca blog saudara.
Dulu masa BN memerintah Selangor, Bro ada kasi saranan supaya dibekukan terus dan tarik balik lesen semua rumah urut!

tapi bila PR memerintah, lain macam pulak bunyinya. Pesal tak bekukan dan tarik balik je lesen rumah urut seperti yg bro sarankan dulu?

Sekarang baru tau, jadi kerajaan lagi susah dari jadi pembangkang kan?

roslan sms said...

Sdr Anonymous....

Terima kasih atas komen sdr dan kerana setia mengikuti blog ini.

Saya akui sebagai ahli PAS saya menggunakan blog ini pra PRU12 lalu untuk memperkenalkan pembaharuan yang ingin dibawa oleh PAS selaku Parti Islam.

Walaubagaimanapun ditakdirkan Allah swt tertubuh kerajaan PR Selangor selepas PRU12 yang mana PAS duduk sebagai rakan kongsi.

Selangor bukan Kelantan dalam suasana yang ada kerana itu hasrta dan cita-cita PAS tidak dapat terlaksana kerana realiti yang ada.

Namun ia tidak harus menjadi alasan untuk tidak memperkenalkan Islam dalam apa sahaja ruang yang ada.

Kerana itu artikel saya ini mencecah realiti yang ada dan menghuraikan apa yang PAS boleh lakukan dalam suasana di Selangor. Ternyata ia lebih baik dari apa yang telah Umno tidak lakukan sebelum ini.

Selain itu kami terus berdoa kehadrat Allah swt agar semua pihak boleh beransur-ansur menerima Islam dan sekurang-kurangnya Islam dapat terlaksana dikalangan penganutnya.

Jadi kerajaan sekarang membuka ruang kami berdakwah secara lebih efektif berbanding semasa pembangkang. Hidup ini penuh cabaran, bagi kita yang yakin dan beriman, teruslah bekerja untuk Islam samada dalam keadaan senang atau susah.

Saya berharap sdr bersama sayainsyallah.