Wednesday, January 20, 2010

Kerajaan PR Selangor terus bertenaga demi rakyat

Kekalahan besar kira-kira 22 bulan lalu terus menggerhanai tubuh Umno dan BN di Selangor malah mencederakan ego mereka. Ramai pimpinan BN Selangor samada dari Umno, MCA, MIC, Gerakan masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah dilucutkan dari kuasa oleh rakyat jelata di negeri ini setelah bertongkat pada kuasa lebih 50 tahun.

Barangkali kerana sukar menerima kenyataan maka berbagai usaha tidak kiralah yang halal atau haram digunakan untuk kembali berkuasa biarpun ia sekadar angan-angan yang lebih tegar dari milik Mat Jenin sendiri.

Kalau benar mahu menebus kembali kuasa sekalipun, maka tunggulah sehingga penggal ini berakhir. Rakyat jelata telah membuat keputusan dalam keadaan sedar, kini mereka mahu merasa bagaimana pengalaman di bawah kerajaan baru pilihan mereka itu. Yang telah ditolak itu belajar-belajarlah duduk secara diam dan tertib, bila tiba gilirannya nanti bertarunglah.

Kita lihat mereka yang kalah itu rupa-rupanya terus meroyan. Segala muslihat dan kerja-kerja kotor diguna dan diguna bagi memaksa kerajaan halal pilihan rakyat ini rebah. Tiada lagi batas peradaban dan etika bagi mereka. Mungkin ramalan Pak Nujum yang menilik bahawa kerajaan PR Selangor bakal jatuh Januari 2010 ini terlalu menggiurkan bagi mereka sehingga melonjak-lonjak nafsu serakah masing-masing mahu memaksa kerajaan negeri ini jatuh, walaupun Pak Nujum itu bak kata P.Ramlee “kaki temberang”!

Semalam semasa mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor, dua orang pimpinan kanan PR terganggu jadual mereka untuk hadir. Dr Xavier Jayakumar disoal-siasat pihak polis berkenaan peruntukkan sekolah Tamil, manakala Dato Dr Hasan oleh SPRM mengenai isu YBK.

Hari ini pula seorang lagi EXCO, Yaakob Sapari disoal-siasat pihak SPRM berkenaan isu pasir. Sebelum itu Ean Yong dan Ronnie Liu pun pernah diganggu.

Dan dalam keadaan itu dilontarkanlah oleh anasir-anasir “desperado” tadi berbagai khabar angin dan SMS fitnah, mungkin untuk mewujudkan suasana kalut, antaranya konon-konon ada ADUN PKR yang melompat, dan terbaru kononnya Dato’ MB Selangor letak jawatan!

Cukup-cukuplah. Setakat hari ini untuk makluman semua kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus bertenaga malah makin bertenaga setelah berjaya dalam jangka waktu singkat 22 bulan merobah secara drastik gaya dan sistem pentadbiran negeri, dari kabur, tidak telus sebelum ini kepada lebih dinamik, bersih dan berwibawa.

Hubungan sesama komponan PR semakin matang dan erat malah dalam bulan Mac nanti akan diadakan Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Selangor untuk membuktikan kekukuhan parti-parti yang mendukung kerajaan ini dan kesungguhan untuk terus mara dan melangkah ke hadapan demi kebaikan dan masa depan rakyat dan negeri bertuah ini.

Teruslah bersama kerajaan negeri ini, berikan mereka kepercayaan untuk terus memikul amanah rakyat dan merealisasikan cita-cita perjuangan bersama. Tolak dan putuskan sahaja ikatan dengan mereka yang sudah keputusan akal, selain mencetus huru-hara dan porak-peranda.

Kita di Selangor menolak "juara rakyat" dan segala dentuman tin kosong mereka, yang kita mahu adalah Pakatan Rakyat!

2 comments:

Anonymous said...

Salam bro,

Ahli politik PR bukan maksum, UMNO pun sama. Bagi la pihak berkuasa siasat dulu. Asal politician PR kena tangkap je, salah UMNO hahaha. Ustaz Azizan juga best.

Orang Baling

Rintihan Rakyat said...

Salam Bro...

Adakah kenyataan yang bro buat ini setelah membuat kajian terperinci tentang KPI semua wakil-wakil rakyat PR di selangor.

Sebagai contoh wakil rakyat tempat saya DUN Batu Tiga. YB Rodziah gagal dalam memberikan khidmat kepada rakyat. YB Rodziah sudah lupa diri, beliau telah lupa apa yang telah beliau janji semasa kempen pilihanraya dulu.

YB Rodziah gagal untuk menafaatkan kemenangan yang diperolehi daripada rakyat. Beliau harus sedar dalam PRU-12 banyak orang UMNO telah mengundi dan memberi kemenangan kepada beliau dan kepada seluruh wakil rakyat PR amnya. YB Rodziah seharusnya memantapkan Jentera Parti dan menambahkan keahlian Anggota PKR. Jangan hanya terlalu bergantung kepada Jentera PAS semata-mata.

Borang orang yang menyertai PKR dihantar kepada beliau turut hilang. Langsung tiada follow up. Baru-baru ini hampir 400 orang yang ingin menjadi ahli baru PKR telah masuk ke PKR Kota Raja.

Ini satu kerugian kepada beliau.

Harap bro roslan tolong bawa isu ni dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat untuk tindakan dan seterusnya menguatkan Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU-13 nanti.


* Rintihan Rakyat *