Tuesday, June 30, 2009

Mari berfikir untuk Islam

Baru-baru ini saya sempat mengikuti satu pasukan penguatkuasa yang terdiri dari Jabatan Penguatkuasa MPSJ dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah menyerbu dua buah kedai tikam nombor di USJ1 Subang Jaya. Kedua-dua premis judi ini dilesenkan oleh kerajaan Pusat dan memperolehi lessen niaga (premise license) dari MPSJ.

Serbuan bukannya ke atas premis tetapi ke atas para pembelinya yang beragama Islam.Menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor, orang Islam yang didapati berjudi adalah melakukan kesalahan dibawah peruntukkan ini dan boleh dijatuhkan hukuman. Apabila kami tiba pada hari tersebut memanglah ramai pembeli yang sedang beratur untuk membeli nombor dan ada yang baru mahu keluar dengan nombor tikaman masing-masing.

Apa yang saya mahu tonjolkan di sini adalah gelagat salah seorang yang telah ditangkap. Si pemuda Melayu ini marah-marah apabila ditahan oleh para pegawai pengutakuasa, menjerit-jeritmahu tahu apa kesalahannya. Lalu seorang pegawai JAIS memaklumkan beliau ditangkap kerana berjudi.

Dan pemuda tersebut dengan selamba tetapi penuh yakin berkata lebih kurang bahawa jika ini dosa maka ianya antara beliau dengan Tuhan, mengapa pihak berkuasa mahu sibuk-sibuk. Malah beliau mengaku bahawa beliau berjudi untuk mendapatkan wang tambahan, katanya kalau beliau susah apakah JAIS bersedia membantunya!

Inilah realiti masyarakat kita hari ini. Belasan orang yang beragama Islam telah ditahan pada hari itu dan jumlah yang sama berjaya membolos diri.

Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Dimanakah kelemahan kita?

Memang jika ditanya mereka yang kuat mengkritik saya percaya soalan pertama yang akan dihamburkan adalah mengapa PBT terus memberi lessen perniagaan kepada kedai-kedai judi ini, mengapa tidak ditutup terus deperti di Kelantan.

Hakikatnya kedudukan politik di Kelantan berbeza dengan di Selangor, walaupun PAS (8 kerusi) bersama membentuk kerajaan di Selangor, namun ianya kerajaan campuran bersama rakan-rakan lain iaitu PKR (15 kerusi) dan DAP (13 kerusi). Tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berfikir bagaimana mahu melaksanakan amr makruf nahi mungkar.

Kita menghormati kehendak dan sensitiviti politik kawan-kawan kita, namun ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan tugas dan kerja kita. Cumanya kita perlu memperkasakan jabatan-jabatan tertentu agar penguatkuasaan khasnya terhadap umat Islam dapat dipertingkatkan.

Umno BN telah mewariskan kita Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang mereka luluskan tetapi tidak berdaya menguatkuasakan. Umno jangan cabar-cabar PAS kenapa tidak buat Islam sedangkan mereka juga Islam mengapa judi, arak dan maksiat lain terus kekal semasa mereka memerintah dahulu.
Demi menghormati kawan-kawan kita dalam Pakatan Rakyat kita beri tumpuan terhadap rakyat yang beragama Islam. Matlamatnya bukan menghukum atau mengambil tindakan tetapi memelihara masyarakat dan ummah agar menjadi baik dan selamat dunia dan akhirat. Lalu semua pihak perlu gembeling tenaga ke arah itu. Dalam ruangkecil yang diberikan kita guna-pakai sepenuhnya undang-undang negeri ini agar berkuatkuasa sepenuhnya.

Dalam waktu yang sama para pendakwah kita terus perlu berperanan bukan sekadar di masjid-masjid dan surau-surau tetapi dimana sahaja tempat yang memungkinkah dakwah Islam disampaikan. Saya percaya si pemuda Melayu yang ditangakpdi USJ1 itu sudah berpuluh tahun tidak mendengar mesej Islam, kerja kita untuk memperbaiki “area” itu.

Begitu juga tindakan bersepadu antara Jabatan Agama dan PBT perlu terus dipertingkatkan. Jabatan Agama mungkin kekurangan pegawai, kita buat tindakan bersepadu dengan PBT agar kekurangan itu dapat disokong oleh pihak PBT.

Dalam pada itu pimpinan kita diperingkat wakil-wakil rakyat, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan JKKK, JKP semuanya perlu menggunapakai kuasa dan ruang yang diberikan oleh jawatan masing-masing untuk menekankan aspek amar makruf nahi mungkar ini. Dalam isu pengharaman arak saya perhatikan sudah ada PBT-PBT tertentu yang telah bertindak proaktif menggunapakai enakmen yang sedia ada.

Di MPSJ contohnya semalam pihak majlis baru meluluskan garispanduan baru terhadap kelulusan lessen premis hiburan dan rumah-rumah urut. Antaranya mengambil dari semangat enakmen ini, semua premis hiburan yang dilesenkan menjual arak selepas daripada ini tidak lagi dibenarkan mengambil pekerja yang beragama Islam. Begitu juga rumah-rumah urut yang dilesenkan yang “unisex” (perempuan mengurut lelaki) tidak lagi dibenarkan mengabil pekerja yang beragama Islam. Lesen-lesen baru yang bakal dikelaurkan semuanya akan mengenakan larangan ini,

Inilah perkara-perkara yang perlu kita fikirkan sebagai sumbangan kita semua terhadap membawa perjuangan Islam di negeri ini setelah kita punya saham berkuasa. Memang idealnya kita mahukan semua premis ini ditutup, judi diharamkan dan lain-lain, tetapi kita perlu mendakap reality yang ada. Apa pun kita jangan berpeluk tubuh tetapi terus bekerja mencari ruang dan peluang yang ada untuk mempertahan dan memelihara Islam.

Mudah-mudahan kebaikan Islam nanti disedari dan mahi dokongsi bersama oleh semua, insyallah.

12 comments:

Anonymous said...

Betulke Kelantan tak ada lesen judi dan arak? Masa BN perintah Selangor heboh PAS suruh tutup semua pusat judi dan arak. Sekarang dah pegang Selangor kenapa macam-macam alasan, pakatanlah rakanlah, mana lebih utama? Allah ke kawan-kawan Pakatan Rakyat?

tong_kosong said...

demi menghormati rakan2 dalam PR?

maka benarlah kata-kata Nizar bahawa PAS tidak pernah ingin menubuhkan kerajaan/negara Islam

kami sudah menolak UMNO/BN yg mengaku Islam tapi jauh melencong, apabila amanah diberi pada PAS ini pula jawapannya?

negara ini majoritinya umat Islam, agama rasminya Islam... tetapi sememangnya rakyatnya hormat menghormati sesama lain walau berbeza agama dan bangsa..

bukankah satu ketika dulu PAS yg mengajak membenci UMNO kerana KEGAGALANNYA membentuk sebuah negara yg berlandaskan perintah ALLAH... mengapa PAS bagi alasan menghormati? agama lain membenarkan JUDI?

jika UMNO dan PAS juga gagal... kepada siapa kami boleh berharap selain hanya doa pada Allah?

DAP?

madkrie said...

takut masalah lain pulak yang timbul nanti..macam isu arwah Ishak Baharom tangkap ratu cantik..
apa yang jelas kita perlu menyedarkan umat islam dahulu dengan banyak lagi membuat serbuan tempat2 maksiat..

AlHadi Tok Ayah Su (atas) said...

Salam hormat !

Permasaallahan ini sudah lama malah sudah berkarat didalam kepala sesetengah orang melayu muslim dan amat sukar digarap untuk kembali pulih jadi bersih berkilat semula.Contohnya disuatu zaman dulu ada kaedah judi yang diberi nafas lunak seperti "loteri kebajikan",kata orang sudut kebajikannya ialah hanya kepada kuncu kuncu yang menguasai syarikat tersebut termasuklah untuk pembesar pembesar selain daripada itu ianya juga sebagai sumber penyumbang cukai besar kepada sesebuah kerajaan.

Olih kerana dikatakan kebajikan maka akan ada satu pakatan sulit dengan membocorkan rahsia mana mana nombor yang akan keluar untuk hadiah "1st prise".Dengan cara itu akan terselamatlah mana mana indivudu tertentu dari jatuh bangkrap dan sebagainya termasuklah terlepas daripada kesalahan rasuah merasuah,mungkin kerana itulah sebabnya maka kita lihat kenapa kegiatan judi ini begitu liat untuk dihapuskan.

kaedah ini dipanggil "animal politik",kita lihat bagaimana setelah seekor harimau atau ular sawa yang diberi makan kenyang kenyang selepas daripada itu ia akan tertidur kekenyangan,diwaktu itu sesiapa sahaja bolih melintas dan melakukan apa sahaja diberhampiran harimau tersebut kerana pastinya tidak diganggu lagi.....jadi fikir betul!

Ku ingat Taqwa said...

salam. tak taulah saya kenapa kita sentiasa mencari alasan untuk melaksanakan undang-undang islam atau pendekatan Islam. Apa yang saya nampak, kita ni tidak sepenuhnya islam, iman kita masih lagi lemah didalam melaksanakan hukum-hakam islam. jika ditanya kepada "orang-orang agama" dari Hindu, budhism, kristian dan sebagainya, saya rasa jawapan yang sama akan diberikan iaitu judi adalah satu perlakuan yang merosakkan dan tidak direstui oleh 'agama' mereka. Pandangan saya, apa yang kita takut ialah UNDI daripada orang-orang bukan Islam yang saya kira tak seberapa pun. Cadangan saya, terus laksanakan penutupan pusat-pusat judi ni, dalam masa yang sama memberi penjelasan kepada rakyat melalui wakil-wakil mereka (orang-orang) agama tadi. INGAT, kita akan tetap dipersalahkan dan akan diaoal dengan apa yang kita laksanakan. Jangan ingat, kita LEBIH BAIK sikit dari UMNO sudah memadai untuk kita masuk syurga ALLah. Apa yang penting adalah keredhaan darinya. Wassalam

Pakcu said...

saya setuju dgn En.Citaras pedas..
Kenapa kita tidak boleh bertegas dlm hal nih ? Kenapa tidak kita bg penerangan kepada sekalian ADUN PR bahawa judi semua agama membencinya.

Then, kita pertegaskan perlu haramkan segala yg berkaitan dgn judi. Kalau tgk sekarang, pa beza kita dgn BN. Sama je !

Jaga hati kawan ? BN pun boleh cakap mereka juga nak jaga hati MIC, MCA.

Bg saya, bukan ADUN PR nih tak tahu judi tu merosakkan tapi buat buta dan pekak. Apa nak jadi mcm BN sebelum ni ke ? Makan duit haram. Duit hasil cukai judi, arak kita msuk dalam hasil pendapatan negeri...

Alasan utk menjaga hati kawan..? Arghh saya tak boleh terima alasan ini.

Unknown said...

tahniah..kerana berjaya menghidupkan perbincangan ttg penguatkuasaan enekmen islam. Harap perkara ini boleh diselaraskan dgn mana- lajnah berkaitan agar sesi kempen juga perlu dibuat terhadap kefahaman larangan judi, bekerja di tempat yg tak sepatutnya ie karaoke dll..inilah masanya pas zahirkan apa itu dakwah..sbb kuasa dah ada..

Wak Kamsina said...

Pusat Zakat ni.. kenapa liat sangat nak bagi kepada yang layak.

Lembab.

Tolong tengok-tengokkan.

Anonymous said...

Tulang Besi mesti sakit hati apabila baca article ini.

Takut DAP tersinggung.

Anonymous said...

2 x 5 saja... dulu PAS hentam UMNO berkuasa saja tapi tak mampu laksana Undang-undang syariah,sampai alasan UMNO menghormati parti komponen dlm BN pun dianggap bersekongkon dgn kafir.
Nah sekarang siapa bersekongkoong dgn KAFIR??

Wahai ahli PAS terutamanya yg mengaku diri itu pemimpin dan ulama tolong cermin diri sendiri dan bertaubat kerana sebenarnya situasi PAS sekarang sama sahaja dengan UMNO.

Alasan yg saudara beri itu dah lama UMNO bagi.

wanibrah said...

apa-apa je, berjudi haram, tak ambil tindakan ke atas penjudi pun haram, keluar lesen premis judi pun haram, keluar lesen judi awal-awal lagi haram, niat tak nak haram judi pun haram, niat nak jaga hati kawan lalu tak nak haram judi...haram juga! Mungkin Tuhan bagi peluang sikit untuk didik orang Islam supaya tinggal judi, maka layaknya dapat pahala. Tetapi jika tinggalkan langsung tanpa kuat kuasa pengharaman judi, jadi berdosa pula. Tambahan pula, sebagai ahli Majlis Perbandaran kuatkuasa judi tak boleh tinggalkan. Fokuskan kuatkuasa tu kepada orang Islam, sambil ambil langkah review balik lesen premis dan make a new struture licensing. make sure non-Muslim are only will permited, dan mana-mana orang Islam yang ditangkap kerana maksiat termasuk berjudi perlu dihukum maksimum sebagai tanda religious education for all peoples.

wanibrah said...

Berikut disedut artikel berikut sebagai tatapan umum:

GAMBARAN PENGARUH BUDAYA BARAT
GAMBARAN PENGARUH BUDAYA BARAT
DALAM KEHIDUPAN BELIA-REMAJA
Oleh:
Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Dip. Islamic Studies, UIA, BA (Hons) Sains Politik UKM,
MA Analisis Polisi dan Keselamatan UKM
Ph.D Fakulti Ekologi Manusia, UPM



Menurut Anwar Al-Jundi, antara pengaruh barat yang amat nyata ialah menafikan fungsi agama itu sama sekali. Mereka memisahkan agama daripada kehidupan. Sedangkan kemajuan yang dicapai oleh sesebuah masyarakat adalah berdasarkan peranan agama dalam segala aspek kehidupan . Gerakan ini tersusun rapi melalui gerakan misionari, pendidikan, pengajian ketimuran, kebudayaan, murtad, media cetak, media elektronik, teknologi maklumat dan sebagainya.

Antara agenda pengaruh barat hari ini ialah

• merapatkan jurang antara nilai-nilai barat dan nilai masyarakat Islam
• mengekalkan penguasaan atas segala kekuatan masyarakat serta meracuni pemikiran mereka dan merendah-rendahkan kemuliaan dan keistimewaan manhaj yang mereka bawa
• memecahbelahkan kesatuan umat dan mencari punca-punca nang membolehkan mereka sentiasa bermusuhan sehingga mereka tidak boleh bersatu
• merosakkan kubu yang menjadi penguasaan umat Islam iaitu berakhlak mulia. Inilah faktor yang paling penting untuk meruntuhkan institusi kekeluargaan Islam serta meniupkan roh-roh kerosakan akhlak


2.5.3. Judi dan Arak

Penulis tidaklah terlalu ekstrim sehingga mahu menghapuskan judi dan arak sama sekali. Tetapi pengalaman penulis yang selalu menyertai dialog antara agama dengan wakil-wakil Non-Muslim berpandangan, tidak ada satu agama yang membenarkan kedua-dua aktiviti ini. Ia adalah pengaruh barat semata-mata yang bercanggah dengan mana-mana agama termasuk agama orang barat (Kristian).

Contoh, pengadilan kes Dato’ Osu Sukam yang terlibat dengan aktiviti perjudian sebanyak 7.1 juta sepatutnya dihayati secara bersama oleh belia remaja. Menurut Hakim Datuk Ian Chin, yang mendengar kes ini, agama-agama lain turut melarang perjudian .

Datuk Chin memetik kitab Bible Prov. 28:22 yang antara lain bermaksud sesiapa yang mengejar kekayaan dengan cara yang jahat, menyangkakan dia tidak akan dirundung kemiskinan. Di dalam Kitab Tirukal kitab suci agama Hindu ayat 931 menyebut: Jangan berjudi, kerana jika pun kamu menang, kemenangan itu laksana mata kail yang menyangkuk ikan yang menelannya. Di dalam buku Buddhism in Practice, Dr Peter Santina menulis: Dalam hal ini Buddha menasihatkan manusia menjauhkan diri dari enam aktiviti yang boleh mengakibatkan hilangnya kesejahteraan yang diperolehi melalui tanggungjawab sosial seseorang dan pengurusan kewangan yang baik. Enam aktiviti yang perlu dijauhkan adalah perjudian, hiburan yang mahal-mahal, bercampur dengan mereka yang tidak baik, malah, minum arak dan berpelisiran di jalan-jalan.
Dalam isu ini juga Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa pemimpin tidak seharus melibatkan diri dalam perkara-perkara yang bercanggah dengan agama. Pemimpin seharus menjadi teladan kepada orang yang dipimpin.

Sebagai sebuah negara Islam kita tidak sepatutnya membina pusat perjudian yang terbesar di Asia Tenggara bagi menarik pelancong. Ini kerana judi ini bukan budaya semua agama di dunia ini. Ia adalah pengaruh budaya barat yang ingin menghancurkan sesuatu bangsa secara tidak disedari. Judi termasuk juga tikam nombor ekor dan sekutu dengannya.

Mungkin apa yang saya gariskan adalah suatu yang ideal tetapi semua nilai yang saya gariskan itu bukan hanya bertentangan dengan agama Islam tetapi juga bertentangan dengan nilai-nilai agama lain juga. Tidak ada satu agamapun yang menghalalkan arak, judi, gay lesbian, pelacuran, seks bebas, bahan lucah.