Thursday, October 20, 2016

MP Islam wajib sokong RUU 355

(Menerjang Badai: HARAKAH Bil. 2190)
 
Rang Undang-undang Persendirian yang dibawa Presiden PAS dan ahli parlimen Marang Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang untuk meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) diletakkan pada perkara ke empat dalam “order paper” atau Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang mula bersidang Isnin ini.

RUU 355 ini kini menjadi isu nasional dengan diberi perhatian dan minat oleh sebahagian besar rakyat khsusunya umat Islam yang kelihatan bersatu menanti-nantikan usaha untuk memartabat dan memperkasakan mahkamah syariah ini sekaligus memberi laluan kepada perlaksanaan sebahagian dari hukum dan peraturan Islam menepati al Quran dan Sunnah dikalangan mereka.

Akta yang mahu dipinda ini adalah berkenaan pengurusan dan pentadbiran Undang-undang Syariah yang selama ini mengawal dan mengurus hal ehwal umat Islam dalam negara berhubung kait dengan amalan dan pegangan agama mereka.

Umat Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara kita mahu dan berkeinginan mengamalkan agama mereka menurut fahaman dan kepercayaan mereka. Hak ini terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan khasnya dalam Perkara 3 dan Perkara 11 undang-undang tertinggi negara itu. Malah Perlembagaan Persekutuan turut memberi hak kepada penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka menurut kepercayaan mereka.

Walaubagaimanapun samada usaha memperkasakan mahkamah syariah ini akan diterima atau ditolak adalah tertakluk kepada ahli-ahli Dewan nanti.

PAS sebagai sebuah parti Islam sudah pastilah berharap besar agar usaha ini dapat disokong dan menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya adalah diharapkan usul ini diangkat oleh kesemua ahli-ahli Dewan yang beragama Islam bagi membuktikan kesatuan kita khasnya dalam isu dan perkara yang melibatkan agama kita bersama.

Menurut Mursyidul Am PAS Tuan Guru Hj Hashim Jasin jika pun usul ini ditolak PAS sesungguhnya tidak rugi. Yang penting PAS telah berusaha. Menurut beliau:

“Kalau tidak boleh buat disebabkan halangan, itu persoalan lain. Tapi apa yang Allah perintahkan, kita kena usaha untuk buat.”

Malanglah jika ada ahli-ahli Dewan khususnya yang beragama Islam terbabit dalam menggagalkan usaha murni ini.

Usul ini akan dibuka untuk perbahasan, sewajarnya jika ada kalangan ahli-ahli Dewan yang beragama Islam merasakan usul ini perlu penambah-baikan untuk memperkemaskannya, maka pergunakanlah sesi perbahasan itu untuk mengemukakan cadangan dan pandangan.

Akan tetapi jika sesi perbahasan digunakan untuk menggagal dan menyerang usul ini, saya percaya ahli-ahli yang berkenaan akan dipertanggungjawabkan khususnya oleh pengundi-pengundi Islam di kawasan mereka masing-masing nanti.

Disaat dan ketika peluang dibuka untuk kita semua mengangkat dan memartabatkan agama tercinta ini, tiba-tiba ada wakil rakyat Islam bersekongkol dalam menggagalkannya sekaligus sealiran dengan para pengkritik dan penentang usul ini.

Suka tidak suka tindakan sedemikian samalah dengan tindakan menentang Islam kerana tidak mahu melihat perkembangan dan kemajuan amalannya dalam negara.

Demi memilihara maruah dan kesucian Islam sepatutnya kesemua wakil rakyat Islam tidak kira dari mana parti sekalipun bangkit mengenepikan perbezaan ideologi dan fahaman politik masing-masing dan malah bagi parti-parti tertentu mengenepikan whip dan disiplin parti untuk menyokong usul ini.

Usul ini bukannya usul PAS atau usul Hj Hadi walaupun dibawa oleh Presiden PAS tetapi 
sebenarnya ia perlu dilihat sebagai usaha kita bersama untuk membela dan memperjuangkan Islam dalam negara ini.

Setelah hampir 60 tahun Merdeka hari ini kita diberi peluang untuk menyumbang ke arah melaksankan jika tidak pun sepenuhnya tetapi sebahagian dari hukum dan peraturan yang diperintahkan oleh Allah swt ke atas kita. Apakah kita mahu melepaskan peluang ini atau kita memilih untuk menentangnya?

Sejarah Islam di Malaysia bakal dilakarkan berikutan pembentangan usul ini. Lakarkanlah ia dengan tinta emas dan bukannya dakwat hitam yang comot serta mencacat dan merencatkan masa depannya.

Sementara itu DAP dengan lantang menyatkan bakal menentang Rang Undang-undang ini kononnya kerana mahu mengekalkan negara ini sebagai sebuah negara sekular iaitu negara yang memisahkan agama dengan pentadbiran (untuk rekod DAP punya dua ahli Parlimen Islam).

Disitu sahaja kita boleh lihat “denial syndrome” atau sindrom penafian mereka sedangkan kewujudan dwi sistem perundangan telah ada dalam negara kita sejak zaman berzaman dari sebelum Merdeka lagi.

Malaysia lahir dan terus membangun bersama dengan dwi sistem perundangan ini dengan bukti terpampang megah dan besar bangunan-bangunan Mahkamah Syariah dalam negara. Ini tidak mungkin berlaku jika negara ini negara sekular.

Rakyat Malaysia bukan Islam tidak wajar melahirkan kebimbangan kerana urusan pentadbiran agama Islam ini tiada kena mengena langsung dengan mereka. RUU 355 ini sebagaimana kuasa mahkamah syariah yang lain adalah terkena hanya ke atas umat Islam sahaja dan ini ditegaskan berulang kali namun terus juga ditentang DAP dan konco-konconya.

Menurut sejarah umat Islam di Malaysia tidak pernah menafikan hak masyarakat bukan Islam dalam negara, jadi kenapa perlu yang minoriti pula menafikan hak yang majoriti?
Kita akur Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Masing-masing dan siapa sahaja berhak bersuara. Semoga DAP dan sekutunya mengamalkan hak mereka mengikut peraturan, malah sebelum inipun ahli Parlimen Marang telah naik turun mahkamah kerana menghadapi penentangan mereka yang mahu menggagalkan usaha membawa usul ini ke Parlimen.

Siapa pun tidak boleh memaksa masyarakat bukan Islam tetapi jika mereka faham dan akur tiada sebab mereka mahu menentang kecuali termakan hasutan dan fitnah DAP.

Yang pelik dan harus kita bimbang adalah apabila penentangan datang dari yang beragama Islam sendiri. Semoga Allah swt merawat dan memulihkan hati-hati mereka ini. roslansms@gmail.com

Sunday, October 16, 2016

RUU 355: DAP adu domba rakyat Malaysia



Kata tokoh DAP, Lim Kit Siang sekiranya RUU 355 ini dibenarkan dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat akan berlaku:

"tectonic shift" to the fundamental basis of the Merdeka constitution and the Malaysian agreement.

(Anjakan tektonik terhadap asas Perlembagaan Merdeka dan Perjanjian Malaysia)

Nampaknya ancaman dan ugutan Kit Siang terhadap RUU 355 ini semakin berani dan lantang. Beliau cuba mencetuskan kebimbangan seolah RUU 355 ini jika diluluskan boleh mengancam hak khususnya masyarakat bukan Islam termasuklah rakyat di Sabah dan Sarawak.

Bagi Kit Siang RUU 355 ini suatu ancaman.

Bagi Kit Siang membenarkan RUU 355 ini bermakna merobah asas Perlembagaan Persekutuan yang kononnya menjamin Malaysia ini sebagai sebuah negara sekular.

Yang Kit Siang tidak jelaskan bahawa RUU 355 ini sebenarnya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) dan jika diluluskan memberikan kuasa kepada 

Hakim-hakim mahkamah berkenaan menjatuhkan hukuman atas kesalahan tertentu menepati hukum syarak sebenar.

Yang Kit Siang sorok dan sembunyikan bahawa Mahkamah Syariah di Malaysia hanya mengadili orang Islam.

Malaysia adalah sebuah Negara Islam, itu dinyatakan secara jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Orang Islam sebagaimana penganut agama lain berhak mengamalkan agama mereka sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 11(1):

 “Tiap-tiap  orang  berhak  menganuti  dan  mengamalkan agamanya”

Apa yang RUU 355 bawa adalah bagi memperkasakan mahkamah syariah bagi membenarkan umat Islam di Malaysia mengamalkan agama mereka yang sebenar sebagaimana yang dijamin Perlembagaan.

Kesimpulannya tindakan penentangan Kit Siang dan DAP ini sebenarnya cuba menafikan hak umat Islam sebagaimana dijamin Perlembagaan.

Anjakan tektonik sebenarnya adalah apabila masyarakat bukan Islam cuba ditipu oleh Kit Siang dan DAP dengan kebimbangan dan fitnah yang bukan-bukan. Jika sebelum ini masyarakat Malaysia masing-masing hormat menghormati antara amalan agama, kepercayaan dan budaya masing-masing, hari ini Kit Siang dan DAP cuba mengadu-domba biar kita masing-masing punya syak wasangka antara sesama kita rakyat Malaysia.

RUU 355 ini tiada kaitan dengan masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam yang majoriti dalam negara ini sedang berusaha untuk dekatkan diri mereka pada agama mereka melalui saluran yang dibenarkan oleh undang-undang, mengapa yang minoriti perlu menentang?

Berubah ke arah kebaikan atau kekal musnah dalam kemungkaran

(Menerjang Badai : HARAKAH Bil . 2189)
 
Pulangnya ke rahmatullah Almarhum Dato Dr Haron Din, Mursyidul Am PAS, sesungguhnya merupakan satu kehilangan besar yang sangat dirasai bukan hanya oleh PAS malah oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Bagi PAS Almarhum merupakan seorang tokoh yang terbilang dan besar peranan, pengorbanan serta sumbangannya pada parti sehingga ke akhir hayat.

Beliaulah perisai yang telah melindungi dan memberi kekuatan kepada kepimpinan parti khususnya dalam mendepani pelbagai cabaran dalaman dan luaran dan beliaulah juga pendorong dan pembimbing yang sentiasa memberi suntikan semangat dan daya juang pada para ahli dan akar umbi PAS dipelbagai peringkat.

Bagi sesetengah pemerhati luar ketiadaan Almarhum kononnya akan mencetuskan kelompangan dalam saf kepimpinan tertinggi parti dan PAS dikatakan akan tempang tanpa tokoh sehebat dan sekaliber Almarhum.

Ternyata mereka tidak mengenali PAS.

Walaupun diakui ketiadaan Almarhum adalah satu kehilangan besar pada PAS, namun PAS bukannya sebuah parti setahun jagung. Ia telah wujud lebih enam dekad lamanya dan ia merupakan satu-satunya parti Islam terbesar dalam negara dengan memiliki ahli dan kekuatan parti kedua terbesar selepas Umno.

Kekosongan jawatan Mursyidul Am tetap mampu diisi dan PAS ternyata punya barisan kepimpinan yang berwibawa, terlatih dan masing-masing mampu untuk mengisi apa sahaja kekosongan dalam parti membuktikan PAS sentiasa serius dalam mahu memimpin ummah dan negara ke arah kecermerlangan mengikut acuan prinsip dan perjuangannya.

Tuan Guru Hashim Jasin telah diumumkan oleh Majlis Syura sebagai Mursyidul Am PAS yang baru menggantikan Almarhum Dato Dr Haron Din dan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan.

Begitulah PAS, patah tumbuh hilang berganti, namun agenda untuk memartabatkan Islam dan menyelamatkan negara tidak sekali-kali berganjak dan akan kekal utuh sampai bila-bila.

Individu dan kelompok lebih-lebih lagi yang khianat dan punya agenda peribadi, besar mana sekalipun mereka, pemergiannya langsung tidak mampu menjejaskan bahtera perjuangan PAS kerana PAS sarat dengan pimpinan dan individu yang ikhlas dan kukuh berkongsi satu matlamat perjuangan ke arah menuntut redha Allah swt.

PAS hari ini membuktikan bahawa ia mampu kekal relevan dan mencabar walau apa tribulasi dan dugaan besar atau kecil yang ia tempuhi.

Ramai tokoh-tokoh besarnya direhatkan oleh Allah swt terbaru Almarhum Dato Dr Haron Din dan sebelumnya Tuan Guru Nik Abd Aziz, Ustaz Tan Sri Azizan Abd Razak, Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Dato Abu Bakar Chik dan ramai lagi. Namun setiap kekosongan telah segera diisi dan bahtera PAS terus tenang belayar.

Begitu juga dikhianati ia apabila bekas-bekas pimpinannya yang kecewa telah melompat parti bersekali dengan kerusi-kerusi yang “dicuri”, namun bahtera PAS tidak terkesan dan terus belayar menuju destinasi besarnya.

Kerana itu dikalangan parti-parti politik yang ada khususnya yang mewakili masyarakat Melayu Islam, PAS dilihat jauh ke hadapan dengan keupayaan untuk mengaut keyakinan rakyat dalam skala yang besar kerana ia kelihatan sentiasa konsisten dalam perjuangannya dan tidak mudah menggadaikan prinsip semata-mata kerana mengejar sesuatu yang tidak menentu.

Dosa dan pahala menjadi garis pemandu buat PAS dan ini tidak lagi dipentingkan oleh mana-mana pihak lain.

Selain itu kekuatan PAS tidak bertenggek pada mana-mana individu tetapi sebaliknya tersandar pada prinsip perjuangannya yang agung lagi suci. Tokoh dan negarawan datang dan pergi namun Islam yang diperjuangkannya terus semakin marak dan menjulang tiada kelihatan akan layu apatah lagi padam.

Orang Melayu Islam kini sudah mula menuntut pimpinan yang berkualiti dan ikhlas membela dan mempertahankan nasib dan masadepan mereka. Bukannya pemimpin yang rasuah, zalim apalagi khianat dan pembelot.

Sesungguhnya dewasa ini rakyat khasnya masyarakat majoriti Melayu Islam cenderung kepada parti yang bersih dan sentiasa mampu mengenengah dan melahirkan pimpinan yang jujur dan bertaqwa.

Satu-satunya parti yang memiliki kualiti seumapam ini sudah semestinyalah PAS yang masih istiqamah kekal kukuh berdiri di atas paksi Islamnya.

Malah seorang penganalisa politik dalam sebuah akhbar tempatan menulis:

PAS is still very much a Malay party to watch.
It has a huge cache of young and committed professionals and religious scholars who will shape the future of the party and perhaps even the country.

Maksudnya:

PAS mashi merupakan (satu-satunya) parti Melayu yang perlu diberi perhatian.
Ia sarat dengan pimpinan muda dari kalangan profesional dan ulamak yang bakal melakar masa depan partinya dan malah juga negara.

Demikianlah tidak syak lagi majoriti umat Melayu Islam akan kekal mulia dan dihormati ramai apabila ia mampu memilih dan mengangkat pimpinan  yang terbaik dari kalangannya untuk memimpin.

Masa depan negera terjamin stabil dan sejahtera kiranya ia dipimpin oleh saf kepimpinan yang gerun dan takutkan Allah swt dan bukan yang sebaliknya.
PAS mengemukakan pilihan ini buat masyarakat.

Berubah ke arah keselamatan dan kebaikan atau kekal musnah dengan kemungkaran. roslansms@gmail.com