Tuesday, November 03, 2015

Kesombongan DAP perlu disekat dan diajar

Ahad lepas berlangsung Mesyuarat Agung Pemilihan DAP Negeri Selangor.

Beberapa hari sebelum pemilihan tersebut Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang juga ahli parlimen PJ Utara telah memberitahu wartawan bahawa partinya akan bertanding di sekurang-kurangnya 8 kerusi yang diwakili PAS di Selangor dalam PRU akan datang.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Chempaka (YB Dato Iskandar Abd Samad – Naib Presiden PAS/PJ Selangor), Paya Jaras (YB Khairuddin Othman – SU Perhubungan PAS Selangor), Taman Templer (YB Zaidy Talib – Bendehari PAS Selangor), Tanjong Sepat (YB Hazlin – Pengarah PR PAS Selangor), Lembah Jaya (YB Khasim – YDP PAS Ampang), Dusun Tua (YB Razali – YDP Hulu Langat), Meru (YB Dr Abd Rani Osman), Seri Serdang (YB Noor Hanim).

Menurut Tony DAP boleh memenangi kerusi-kerusi ini walaupun ia masing-masing memiliki lebih 50% pengundi Melayu kerana menurut beliau DAP punya pengaruh yang luas di kawasan-kawasan berkenaan. 

Rasionalnya DAP mahu mengambil kesempatan pertembungan PAS dan Umno di kawasan-kawasan ini dan mencuri undi bukan Melayu bagi pihaknya. 

Di DUN Chempaka contohnya terdapat 54% pengundi Melayu. Secara tradisinya bilangan ini akan berpecah antara memihak ke PAS ataupun calon Umno. 

Pengundi Cina pula 38% dan India 7%. DAP berkemungkinan yakin ia dapat meraih majoriti pengundi-pengundi Cina dan India ke pihaknya. Selain itu ia juga kini yakin bahawa terdapat beberapa segmen pengundi Melayu sudah mula terbuka hati padanya.

Kononnya PAS boleh menang di kerusi-kerusi ini dahulu lantaran sokongan padu pengundi-pengundi bukan Melayu yang mengundi PAS atas desakkan DAP. Kini kerana tiada lagi kerjasama politik antara PAS dan DAP, maka DAP mahu merampas kerusi-kerusi ini.

Bagi saya DAP jangan terlalu taksub sehingga beriktikad bahawa pengundi bukan Melayu itu semua tunduk padanya selama-lamanya. Saya melihat pengundi bukan Melayu hari ini khasnya di Selangor senang pada wakil-wakil PAS yang memberikan khidmat tanpa mengira warna. Dan dalam waktu yang sama mereka bimbang pada sikap bongkak dan sombong DAP yang tidak kondusif buat masyarakat berbilang kaum di Selangor.

Mereka tidak takut pada Islam yang dijunjung wakil-wakil PAS ini.

Selangor bukan Pulau Pinang. Selangor negeri berbilang kaum yang rakyatnya boleh hidup aman dan tenteram di bawah kerajaan negeri yang MB nya silih berganti orang Melayu yang kini disandang PKR. DAP yang dominan hanya akan menggerhanai kuasa politik Melayu yang akhirnya akan mencetuskan ketegangan dan ketidakstabilan dalam negeri yang aman damai ini berpayungkan Tuanku Sultan Selangor.

Dalam hal ini Dewan Himpunan  Penyokong PAS atau DHPP khasnya telah banyak meneroka dan menguasai hati dan minda masyarakat bukan Melayu sehingga membawa mereka lebih memahami dan dekat pada PAS dan pimpinannya.

Saya yakin kali ini pengundi bukan Melayu akan lebih berhati-hati dan meletakkan kestabilan negeri dan keseimbangan hubungan kaum mengatasi nafsu politik DAP yang sedang memuncak itu.

Bagaimana pula dengan sokongan pengundi Melayu?

DAP mungkin telah berjaya mendapatkan sebilangan kecil orang-orang Melayu menyokongnya, tetapi bilangan itu terlalu kecil. Ini membuktikan orang-orang Melayu masih menganggap DAP ini parti dominan Cina dan tidak ada tempat untuk orang-orang Melayu.
Buktinya dalam pemilihan jawatankuasa DAP Selangor baru-baru ini sebagaimana saya sebutkan di atas, dari 36 calon yang bertanding untuk 15 jawatan tertinggi negeri, tidak ada seorang pun pemimpin Melayu yang berjaya ditempatkan di “top” 15.

Undian tertinggi iaitu 736 diperolehi Gobind Singh ahli parlimen Puchong, dan tempat ke 15 oleh Ong Kian Meng ahli parlimen Serdang yang memperolehi 414 undi.

Calon Melayu yang terdekat iaitu Edry Faizal jatuh ke tempat 22 dengan hanya berjaya memungut 272 undi.

Jika DAP benar sebuah parti berbilang kaum sudah pasti pimpinan tertingginya di negeri Selangor hampir 50% didominasi oleh orang-orang Melayu. Dari 15 sepatutnya orang Melayu menang sekurang-kurangnya 7. Tetapi terbukti tidak seorang pun yang menang.
Ini menunjukkan DAP belum bersedia menjadi parti berbilang kaum yang sebenar kerana hakikatnya ia didominasi oleh orang-orang Cina semata-mata. 

Kalau begitulah keadannya bersediakah pengundi-pengundi Melayu khususnya di 8 DUN yang dinamakan di atas menerima seorang wakil dari DAP untuk mewakili mereka? Tidak kiralah samada calon DAP itu nanti Melayu atau bukan Melayu, soalnya sanggupkah kita beri kepercayaan kepada sebuah parti yang sekadar mengambil kesempatan mengelabui mata orang-orang Melayu Islam.

Sanggupkah DAP nanti mengambil tahu dan memperjuangkan nasib Melayu dan Islam dikalangan kita sedangkan parti mereka didominasi bukan Melayu. 

Dalam beberapa perkara melibatkan agama Islam sebelum ini DAP lah yang paling ke hadapan menentangnya, lupakah kita?

Perlaksanaan hukum hudud di Kelantan ditentangnya mati-matian sehingga mendiang Karpal Singh pernah mengugut langkah mayat beliau dahulu. Begitu juga apa sahaja usaha untuk memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran tidak pernah disenangi DAP dan ini bukan rahsia lagi.

Oleh itu sudah sampai masanya bagi pengundi-pengundi Melayu Islam khasnya selain pengundi bukan Melayu, mengajar DAP dengan menghentikan kesombongan mereka. Kita tunjukkan pada mereka bahawa keamanan dan kestabilan politik negara buat kita lebih utama dan penting dari meletakkan seorang calon DAP sebagai MB Selangor apatah lagi PM Malaysia.

Katakan “TIDAK” pada DAP!

Monday, November 02, 2015

Awas ancaman politik DAP



Pada Pilihanraya Umum 1999, salah satu parti pembangkang yang memperolehi kemenangan yang terbesar adalah PAS. Selain mempertahankan kerajaan negeri Kelantan, PAS juga turut merampas negeri Terengganu.

Selain itu di Parlimen PAS menguasai 27 kerusi iaitu peningkatan 20 kerusi berbanding PRU 1995 manakala DAP menang 10 dan Parti Keadilan 5.

Kejutan terbesar dalam PRU itu bukannya kemenangan PAS termasuklah menguasai Terengganu. Kejutan terbesar ketika itu sesungguhnya adalah kekalahan dua tokoh besar pembangkang yang selama ini menguasai Dewan Rakyat iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh di Pulau Pinang.

Lim umpamanya tidak pernah tewas dalam PRU sejak mula bertanding pada tahun 1969 kecuali pada tahun 1999.

Ketika melihatkan kemenangan besar PAS itu, Lim Kit Siang telah menulis dalam blognya: 

“The danger of the  historic electoral setback for UMNO in the 1999 general election and the emergence of PAS as the dominant Opposition in Parliament with 27 seats and a very marginalised DAP with ten seats  is that  Parliament in the next five years will principally become the battleground between UMNO and PAS for the hearts and minds of the Malays in the Malay heartland, resulting in a spiral of Islamisation and Malay-isation policies - threatening not only a democratic secular Malaysia but even  Vision 2020 and  the concept of Bangsa Malaysia.”

(Bahaya yang muncul dari kekalahan Umno tahun PRU 1999 ini dan kemunculan PAS dengan 27 kerusi sebagai parti pembangkang yang paling dominan (sebelum ini DAP) serta penguncupan kuasa politik DAP dengan hanya 10 kerusi di parlimen dalam tempoh 5 tahun mendatang akan melihat pertembungan untuk menguasai hati dan fikiran orang-orang Melayu di kawasan-kawasan Melayu, yang akan mengakibatkan kebangkitan usaha-usaha Islamisasi dan “Memelayu” kan dasar-dasar yang nanti bukan hanya akan mengancam Malaysia yang demokratik dan sekular ini tetapi juga menggugat Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia.)

Itu tulisan Kit Siang 16 tahun lalu, ketika beliau kalah dan ketika PAS menang besar. Barangkali ketika itu dengan kemenangan kita di Kelantan dan Terengganu serta 27 kerusi Parlimen, kita tidak berapa beri perhatian pada pandangan Kit Siang itu.

Tetapi ternyata Kit Siang memang tidak senang apabila kuasa politik dalam negara beralih tangan ke orang-orang Melayu Islam sebagaimana pada PRU 1999.

Pada Kit Siang jika kuasa politik negara beralih ke tangan orang-orang Melayu maka ketika itu ia menjadi ancaman kepada negara, kononnya menggugat kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan akan beralih menjadi negara yang lebih Islam dan lebih Melayu.

Adakah ini sebagai bukti bahawa Kit Siang bimbang pada politik Islam dan Melayu?

Kita orang Melayu Islam dididik menghormati hak dan kebebasan rakan-rakan kita masyarakat bukan Melayu Islam. Kita dididik menghormati kepercayaan, adat dan budaya serta hak mengamalkan Bahasa ibunda rakan –rakan kita. Dalam erti kata lain rakan-rakan bukan Melayu dan Islam merupakan sebahagian dari kita warga Malaysia.

Tiba-tiba Kit Siang menzahirkan dirinya sebagai seorang yang tidak boleh terima sekiranya hak demokrasi memberi penguasaan dan tunggak kuasa politik kepada orang-orang Melayu Islam.
Tidakkah ini rasis dan chauvinis?

Seakan tanpa kuasa politik ditangan orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagaimana pada tahun 1999, hak dan kebebasan masyarakat bukan Melayu dan Islam terancam, benarkah demikian?
Itu 16 tahun lalu.

Hari ini Kit Siang dan partinya DAP semakin berani. Dari tindak-tanduk partinya contohnya di Selangor DAP sudah bercita-cita mahu mengambil alih sepenuhnya kuasa politik negeri. Pertembungan antara PAS dan Umno mahu diambil kesempatan olehnya dengan meletakkan calon DAP di kawasan-kawasan ini.

DAP percaya bahawa sudah ada segolongan orang-orang Melayu yang boleh mendakap perjuangannya dengan menolak perjuangan Islam PAS. Mereka yang liberal dan fikiran kononnya terbuka sudah tidak kesahkan sangat perjuangan agama atau bangsa. Ditambah dengan kononnya sokongan maksima pengundi bukan Melayu, DAP menjangkakan kemenangan besar buatnya.
DAP Selangor mengisytiharkan akan bertanding di 8 kerusi DUN yang dikuasai PAS hari ini antaranya kerusi Cempaka yang diwakili oleh kerusi Peseuruhjaya PAS Selangor dan Naib Presiden PAS.

Apakah rasional tindakan ini?

Anggaplah melalui penyertaan ini, DAP ditakdirkan menang dan PAS kalah. 8 kemenangan tambahan akan memberi DAP 23 kerusi dengan menganggap ia kekal menang di 15 kerusi yang ia kuasai hari ini. Ini bermakna dalam PRU akan datang DAP menjangkakan ia boleh menguasai 23 kerusi DUN di Selangor. Dengan tambahan 6 kerusi dari rakan pakatannya DAP lah kuasa dominan di Selangor kerana itu sudah ada “pakar perlemabgaan” dalam partinya yang mengatakan tiada halangan sebenarnya untuk bukan Melayu menjadi Menteri Besar.

Itu baru Selangor, bagaimana dengan Perak, Malaysia?

DAP sedang menuju ke arah penguasaan total politik Malaysia dengan sedikit sebanyak bantuan dari rakan-rakannya. Menghapuskan kuasa dan dominan politik Melayu nanti akan membolehkan DAP merobah negara ini menuju ke wawasan sekular yang ia perjuangankan selama ini.
Jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara sekular, dimana agama tidak lagi menjadi keutamaan dan sandaran, merobah dasar yang telah dipersetujui dan diamalkan bersama sejak Merdeka, bolehlah kita menimbang-nimbang untuk menolak parti-parti lain khasnya PAS dan gantikan dengan DAP.

Cita-cita DAP ini suatu ancaman yang serius buat kuasa politik Melayu Islam sebagaimana Kit Siang melihat lonjakkan penguasaan kuasa poilitik Melayu dalam Parlimen 1999 itu suatu ancaman buat beliau dan partinya.

Semoga kita semua tidak lalai dan terlepas pandang ancaman besar ini.

Tuduhan mesra BN kerana bimbang kekuatan PAS

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2093 Edisi Isnin  muka F15



Sejak kebelakangan ini banyak tumpuan diberikan terhadap PAS. 

Mungkin kejayaan Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, baru-baru ini meyakinkan banyak pihak bahawa PAS merupakan sebuah parti yang tahan diuji, konsisten, teguh, bersatu dan memiliki keupayaan dan tenaga untuk memikul amanah  yang lebih besar dimasa hadapan.

Ini terbukti apabila PAS tidak berkocak dalam menghadapi krisis dalaman partinya. Pengkhianatan dalam partinya ditangani dengan penuh tertib dan keluarnya beberapa indidividu dari PAS terus digantikan dan diisi tanpa sedikit pun menjejaskan pengurusan dan jentera partinya. Malah diketika mereka yang mengkhianati perjuangannya lari keluar parti, PAS menerima ribuan ahli baru dari bulan ke bulan membuktikan popularitinya sedikit pun tidak terjejas.

Hakikatnya PAS tidak lagi bersama dalam pakatan politik baru yang disertai Dap, PKR dan PAN. Namun demikian ia terus menjalin kerjasama politik dengan PKR rakan setianya dalam Pakatan Rakyat yang dikatakan telah berkubur itu.

Bagi para pemerhati walaupun PAS disingkirkan begitu sahaja oleh rakan lamanya Dap, namun penyingkiran itu tidak sedikit pun menggegar kepercayaan rakyat terhadapnya termasuk oleh masyarakat bukan Melayu. Sokongan yang diberikan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) umpamanya  terus meningkat dan masyarakat bukan Islam contohnya di Kelantan terus senang dan memberikan sokongan kepada kerajaan PAS walaupun cuba dimomokkan oleh musuh-musuhnya.

Terakhir beberapa ketua masyarakat bukan Islam telah mengunjungi Menteri Besar Kelantan selain Presiden PAS sendiri dialu-alukan ketika mengunjungi gereja di Sibu, Sarawak menandakan masyarakat bukan Islam selesa dan sedikit pun tidak membencinya.
Realitinya PAS tidak pernah mendatangkan masalah pada rakyat Malaysia. Rakyat kenal PAS sebagai sebuah parti Islam sejak sebelum Merdeka lagi yang berjuang untuk memartabatkan Islam dengan penuh istiqamah  tanpa meminggirkan kehadiran masyarakat minoriti bukan Islam, malah membela dan mempertahankan kepentingan mereka.
Sejarah membuktikan ketika rusuhan kaum tercetus dalam persitiwa hitam 13 Mei, masyarakat Cina minoriti di Kelantan langsung tidak terancam.

PAS memerintah Kelantan kini berturut-turut sejak 1990, tidak pernah kedengaran masyarakat minoriti bukan Islam ditekan dan ditindas atau berhijrah keluar dari Kelantan kerana bimbangkan PAS. Begitu juga ketika PAS memerintah Terengganu satu penggal pada tahun 1999 dan di Kedah pada tahun 2008.

Sesungguhnya yang rimas dan risau pada PAS adalah Umno dan hari ini Dap dan PAN sebaris dengan mereka dalam memusuhi PAS.

Atas dasar itu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen baru-baru ini menegaskan bahawa PAS akan terus menjadi pembangkang tanpa Pakatan Harapan.

PAS akan mengambil pendekatan menerang dan bukannya menyerang dalam usahanya mendekati rakyat dan memenangi sokongan mereka. PAS mahu bersama rakyat meneroka perubahan buat negara tercinta, akan tetapi perubahan tersebut akan diteroka dengan berteraskan Islam yang merupakan dasar dan matlamat perjuangan PAS.

Anehnya apabila Tuan Guru menegaskan bahawa PAS sedia bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pihak bagi tujuan ini termasuk pihak kerajaan, terus sahaja kenyataan ini diputarbelit, digunakan dengan niat jahat untuk menggambarkan seolah PAS sudah mula bermesra dengan BN dan mahu mewujudkan kerjasama politik dengan Umno.

Sesungguhnya itulah sahaja modal dan senjata untuk menyerang dan memburukkan PAS. Inilah modal sama yang telah pernah digunakan sebelum Muktamar PAS di Kuala Selangor baru-baru ini, semasa Muktamar dan kini berbulan selepas Muktamar terus dinyanyikan oleh pihak-pihak yang sebenarnya gerun dan goyang dengan kehadiran dan kekuatan PAS walaupun ia bersendirian.

Modal ini sudah lapuk dan tidak lagi mampu menggugat kekuatan PAS.

Dalam perbahasan Bajet 2016 di Parlimen baru-baru ini Tuan Guru Presiden PAS telah menyatakan bahawa PAS sanggup kalah teruk dan memperolehi sedikit kemenangan kerana kemenangan yang ia kejar terlalu jauh. Tidak seperti parti-parti lain PAS berjuang dengan mengejar janji Allah swt iaitu untuk memperolehi dua bukannya satu kemenangan. Iaitu kemenangan di dunia dan juga di akhirat.

Oleh itu ahli-ahli PAS begitu yakin mereka kini berada di atas landasan yang benar. Keyakinan ini akan mereka bawa untuk meyakinkan rakyat Malaysia pula bahawa pilihan yang terbaik buat mereka diwaktu negara diselimuti kegawatandan ketidaktentuan  ini adalah untuk meletakkan harapan pada PAS.

PAS sebagaimana ditegaskan Tuan Guru Presiden akan mempertahankan proses demokrasi yang beradab dan berakhlak. PAS akan menghormati konsep Raja berperlembagaan dan sentiasa kehadapan memelihara dan mempertahankan hubungan dengan masyarakat majmuk dalam negara termasuklah di Sabah dan Sarawak.
Politik perkauman, politik ekstrimis, adu-domba dan pengkhianatan tiada dalam agenda PAS. Begitu juga politik api dalam sekam, gunting dalam lipatan sebagaimana yang sedang menghantui Umno hari ini.

Dalam suasana sebegini PAS akan memberikan kefahaman dan menerang sebaik mungkin kepada rakyat Malaysia bahawa perubahan yang mereka inginkan bagi menyelamaykan negara yang tercinta akan diperjuangkannya dan hanya akan menjadi realiti apabila kepercayaan diberikan pada PAS dan rakannya, PKR serta NGO-NGO lain yang berkongsi cita-cita dan matlamat bersama PAS.

PAS akan mengemukakan formula dan penyelesaian Islam, jika perlu berunding dan bersemuka dengan Umno dan BN umpamanya, ia akan lakukannya sebagaimana hari ini PAS memberikan kerjasama baik sehingga memungkinkan kerajaan negeri Selangor kekal di bawah PKR, PAS dan Dap walaupun PAS tiada lagi hubungan dengan Dap.

Yang penting ahli-ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia perlulah memberikan kepercayaan kepada PAS tanpa ambil pusing, fitnah dan tohmahan pihak musuh yang hanya mahu merumitkan lagi keadaan negara dan mencampakkannya ke jurang kebinasaan. roslansms@gmail.com