Saturday, March 17, 2018

Menunggu janji Allah swt

Semasa saya menjawat jawatan Setiausaha Akhbar Presiden PAS, kira-kira 10 tahun lalu, masih segar diingatan saya betapa seorang “pakar” PAS ketika itu, telah memberikan taklimat panjang lebar kepada Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang darihal dapatan beliau berkenaan prospek PAS dalam PRU ke 12 ketika itu.
 
Pra PRU ke 12, PAS bertahan tipis di Kelantan dan hanya punya 7 kerusi Parlimen.

Menurut pakar berkenaan yang kini telah melompat ke PAN, PAS yang terus mempromosi pembentukan Negara Islam dan perlaksanaan hukum Islam, akan tewas teruk dalam PRU 2008 dan malah akan kecundang di Kelantan, satu-satuanya bentengnya di Malaysia.

Saya yang hadir taklimat berkenaan berasa cemas ketika itu, dan hampir terpengaruh dengan lontaran pakar berkenaan sehinggalah Tuan Guru Presiden dengan yakin menyebut, jangan sekali-kali lupa akan bantuan Allah swt. Bermakna apa sahaja kajian dan penyelidikan kita, sebagai sebuah gerakan Islam kita perlu sentiasa padan dan selaraskan ia dengan janji-jani Allah swt dan Rasul Nya saw.

Akhirnya ternyata, PRU ke 12, bukan sahaja PAS berjaya mempertahankan Kelantan dengan majoriti yang lebih kukuh, malah PAS cemerlang dan memerintah di Kedah selain berjaya membentuk kerajaan campuran bersama rakan-rakannya di Perak dan Selangor serta Pulau Pinang.

Pakar berkenaan jauh tersasar ramalannya malah beliau sendiri dalam PRU ke 12 itu rupanya berjaya memenangi sebuah kerusi Parlimen.

Demikianlah, terbukti bukan mudah mahu membaca isi hati, pemikiran dan kecenderungan pengundi di Malaysia khususnya para pengundi Melayu/ Islam. Dalam negara kita yang demokratik ini mereka mungkin kelihatan senang dan terbuka, namun ada perkara-perkara yang boleh mereka kongsikan, dan ada juga yang mereka pendam di lubuk hati. Kerana itu siapa pun boleh meramal, tetapi akhirnya keputusan muktamad adalah di tangan rakyat hasil dari gerakan dan perancangan Allah swt.

Ada sebahagian para pengkaji sengaja mahu mempengaruhi mood dan sentimen rakyat sehingga bersedia memanipulasi dapatan asalkan ianya memanfaatkan mereka dan kelompok mereka. Atas hal itu, rakyat khususnya para pengundi perlu berhati-hati dan jangan termakan atau masuk perangkap mereka.

Terbaru, badan yang dipelopori ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Invoke Malaysia, mengeluarkan dapatan kajian mereka bahawa PRU ke 14 ini Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP, PBBM dan Pan, kononnya akan berjaya menguasai pemerintahan di 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor dan Kedah. Manakala di dua buah negeri lain,iaitu Melaka dan Negeri Sembilan akan berlaku situasi “hung state” dimana tiada satu blok menguasai majoriti.

BN akan hanya berjaya mempertahankan Terengganu, Pahang dan Perlis serta merampas Kelantan.

Bagi kerusi Parlimen pula PH akan memenangi 89 kerusi manakala BN 76 tidak termasuk baki 57 kerusi di Sabah dan Sarawak. Yang menariknya, Invoke menyatakan bahawa PAS, tidak akan memenangi walau satu kerusi Parlimen pun dan malah akan kecundang di Kelantan.

Dapatan Invoke ini mengingatkan saya kepada dapatan “pakar” PAS yang kini sudah melompat ke Pan sebagaimana yang saya sebutkan di awal tadi.

Mustahi Rafizi mahu beri kredit pada PAS walaupun angka-angka mungkin memihak ke PAS. Bagi beliau memberikan gambaran buruk buat nasib PAS bertujuan menjauhkan pengundi dari PAS seterusnya melonjakkan sokongan orang ke kelompok beliau.

Dapatan beliau meletakkan PH menguasai 14.1% sokongan pengundi Melayu sejak Febuari tahun ini dan ia bakal meningkat dari bulan ke bulan. Bolehkah dengan 14.1% itu PH menang di Kedah dan menguasai Selangor, Johor dan Perak dimana kerusi-kerusi bukan Melayu sahaja tidak cukup untuk membentuk kerajaan?

Atau kiranya PRU diadakan dalam bulan Mei 2018, adakah sokongan Melayu pada PH itu bakal melonjak dari 14.1% pada bulan Febuari ke 42.3% iaitu lonjakkan tambahan pada skala 2 kali ganda?

Sesungguhnya angan-angan Invoke itu terlalu longgar, tambah mereka bukannya badan bebas yang boleh terbit dengan kajian yang tidak berat sebelah bagi meyakinkan masyarakat ramai.

Biarlah PH terpesona dan selesa dengan kajian Invoke itu. Mungkin mereka termasuklah parti setahun jagung umpama Bersatu dan Pan sudah melonjak-lonjak tidak sabar berebut jawatan Exco, Menteri dan Perdana Menteri kerana Rafizi dakwa mereka boleh ke situ.

Apapun bagi kita, realitinya rakyat jelata hari ini sungguh tertekan dan tersiksa hidup mereka lantaran kenaikkan kos hidup yang membebankan dan suasana ekonomi yang tidak menentu. Mereka hilang keyakinan dengan BN kerana itu ramai menjangkakan bakal berlaku “Tsunami Melayu”.

Para pengundi Melayu akan menolak BN tetapi sebagaimana dapatan beberapa pengkaji bebas hari ini, kerana adanya beberapa elemen “bekas” BN dalam PH, yang rekod kepincangan dan ketempangan mereka yang lampau jauh lebih mudharat dari kepimpinan BN hari ini, maka “Tsunami” itu tidak akan condong ke PH tetapi sebaliknya bakal memberi manfaat dan untung buat PAS yang bebas unsur mungkar dan rekod buruk.

Biarlah PH dan komponannya terjun dengan labu-labu Rafizi dan terus hanyut ikut mimpi mereka, yang pentingnya perahu ini terus belayar ke destinasi, menyelamtkan rakyat dan negara dari kepincangan yang ada dan memberi harapan kepada kesejahteran yang lebih bermakna dan berkekalan melalui PAS dan Gagasan Sejahtera. roslansms@gmail.com



 


No comments: