Semakin hampir pilihanraya umum semakin rancak kelihatan pelbagai pihak mensasarkan serangan dan “peluru” mereka terhadap PAS.
Umno dan kaum kerabatnya di dalam Barisan Nasional lantaran sebagai musuh politik tradisi PAS sudah semestinya berterusan melancarkan serangan ke atas PAS. Kerajaan negeri Kelantan dikritik dan diperendah selain mensasarkan Adun-adun PAS tertentu di Selangor dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan.
Demikian juga tidak terkecuali, musuh politik baru PAS, Pakatan Harapan. Apa sahaja liputan berkenaan PH, pasti akan melibatkan serangan dan singgungan terhadap PAS. PAS bagaikan parti wajib diserang atas apa sahaja isu dan perkembangan.
Permusuhan ketat ini sesungguhnya bukan berpunca dari kelemahan PAS, tetapi ia dilancarkan hakikatnya kerana PAS merupakan sebuah parti yang mengancam kedudukan dan kelangsungan tiap-tiap mereka dalam politik tanahair.
PAS tidak boleh terus dibiarkan menguasai sokongan dan dokongan rakyat. Jika dibiarkan pengaruhnya akan semakin menebal, dan rakyat akan makin cenderung pada PAS sehingga akhirnya nanti PAS terbit sebagai juara dan pilihan utama rakyat.
BN dan Umno yang menjadi punca utama kepada penderitaan dan permasalahan rakyat pada hari ini, seakan terperangkap dengan ketempangan dan kepincangan mereka. Rakyat semakin bosan dan menolak mereka walaupun kebelakangan ini pelbagai penambah-baikan kononnya mahu diperkenal untuk memulihkan wajah mereka yang sedia tercalar dan hodoh itu.
Masalahnya “stigma” yang berparut di wajah mereka sukar dimaafkan rakyat. Imbuhan dan janji-janji yang ditaburkan khususnya kebelakangan ini mungkin menarik dan mempersonakan rakyat yang sedang susah menderita, namun jangan sangka ia boleh merobah sentimen kebencian mereka yang sudah membara menunggu masa meletup.
PH pula terus cuba mengaitkan PAS dengan Umno. Lagu-lagu basi “unity government” diulang-ulang seakan boleh mempengaruhi rakyat agar meninggalkan PAS dan menyokong mereka.
Tidak cukup dengan itu, PAS difitnah menerima wang dan bantuan dari Umno dengan harapan tohmahan ini boleh membangkitkan kebencian rakyat pada PAS. Boleh percayakah rakyat dengan tohmahan murahan seumpama ini?
Sedang hakikatnya PH sendiri penuh berkudis. Kes rasuah melibatkan beberapa pimpinan DAP dan kalangan aktivis PKR mula mengikis apa sahaja keyakinan rakyat yang ada pada mereka. Tambah dengan kehadiran beberapa tokoh bekas Umno dalam PH yang rakyat sangat tahu menanggung pelbagai masalah semasa mereka berkuasa dahulu turut tidak membantu.
Kerana pelbagai permasalahan inilah maka bagi BN dan PH, PAS perlu dilanyak dan jangan dibiarkan mengatasi mereka dari sudut kepercayaan dan sokongan rakyat. Tambah dengan pilihanraya bakal menjelang, PAS yang berintegriti dan bersih berbanding dengan mereka yang kotor dan bermasalah pasti akan jadi pilihan utama para pengundi.
Rakyat perlu sedar bahawa mereka perlu berwaspada dalam membuat keputusan ketika pilihanraya umum ke 14 nanti. Dengan kehidupan yang sungguh tertekan lantaran kenaikkan kos hidup yang sungguh membebankan hari ini, mereka perlu berani membuat perubahan.
Barisan Nasional ternyata merupakan punca yang membawa kepada krisis ekonomi yang melanda rakyat dan negara hari ini. Rasuah, salahguna kuasa, kronisma dan nepotisma melahirkan pentadbiran negara yang pincang dan tempang yang mengakibatkan rakyat merana hari ini. Rakyat yang bijak tidak akan mengulangi memilih bahana umpama BN ini.
Begitu juga PH sebagaimana yang kita nyatakan turut terpalit dengan isu integriti dan malah mahu menonjolkan pimpinan yang satu ketika dahlu menyumbang kepada ketempangan dan kepincangan yang BN warisi.
Rakyat perlu berlaku adil dalam membuat pilihan. Pilihlah parti yang terbukti punya rekod yang bersih dan malah berjaya melahirkan saf kepimpinan yang bertaqwa, berintegriti dan bersih.
Rekod PAS tidak menipu. Di Kelantan sejak 1990, dan kemudian di Selangor dalam kerajaan campuran sejak 2008, wakil rakyat dan pimpinan PAS semuanya cemerlang dan tidak terjerumus dalam aktiviti mungkar yang memudaratkan rakyat.
Begitu juga sebenarnya sepenggal memerintah Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah 2008.
PAS melalui disiplin dan adabanya telah berjaya melahirkan pemimpin yang berkualiti yang tiada pada mana-mana parti samada dari kalangan BN mahupun PH.
PRU ke 14 nanti, PAS lah sewajarnya dikaji, diperhatikan dan diberi kepercayaan kerana ternyata jika kita perlukan kepimpinan yang dapat menyelematkan negara dan rakyat, bukan BN atau PH tetapi PAS lah sepatutunya menjadi pilihan kita semua.
Islam menjanjikan keamanan, keselamatan, keadilan dan kesejahteraan buat semua. Jangan kita perjudikan nasib serta masa depan kita dan negara dengan memilih mereka yang mungkar atau punya kecenderungan untuk mungkar dan memusnahkan negara. Jangan juga kerana menerima sogokan wang atau barangan maka kita gadaikan apa sahaja maruah yang berbaki pada diri kita.
Ayuh bersama kita membawa kesejahteraan buat rakyat Malaysia dengan memastikan seluruh rakyat memberi undi pada PAS PRU ke 14 nanti. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment