Wednesday, November 15, 2017

Pertahankan hak majoriti

Mendakapi “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” meletakkan PAS tidak boleh berpolitik semata-mata dalam ruang konvensional iaitu membangkang dan mengkritik semata-mata kerana berada dalam blok pembangkang.

BPMS mendesak PAS supaya memposisikan dirinya sebagai sebuah parti politik yang sentiasa konstruktif walaupun berada di pihak pembangkang khususnya di peringkat Persekutuan.

Permasalahan ummah dan rakyat perlukan jalan penyelesaian dan BPMS menuntut PAS agar tampil ke hadapan dan melontarkan penyelesaian Islam kepada pihak kerajaan semoga maruah dan nasib ummah serta rakyat dapat terbela dan terpelihara tanpa menunggu sehingga memperolehi kuasa untuk berbuat demikian.

Dalam hal ini PAS terpanggil untuk mengemukakan cadangan dan formula penyelesaian dalam kerangka “Amar Makruf Nahi Mungkar” agar kesejahteraan Islam dapat dicapai dan dinikmati oleh negara sekaligus memartabatkan Islam sebagai penyelsaian kepada permasalahan ummah, rakyat dan negara.

Dua isu semasa yang mendesak yang perlukan campurtangan PAS dipelbagai peringkat adalah pertama isu ekstradisi melibatkan tokoh dakwah antarabangsa Dr Zakir Abdul Karim Naik, yang kononnya dikehendaki oleh kerajaan India bagi siasatan berhubung keterlibatan beliau dalam isu mempromosi aktiviti keganasan. Keduanya adalah isu yang dibawa oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia berhubung larangan bertudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan depan sektor perhotelan.

Kedua-dua isu ini mencetuskan kebimbangan dan keresahan khasnya dikalangan masyarakat dan rakyat majoriti Islam di Malaysia. Kerajaan Malaysia perlu diberi nasihat dan teguran agar mengambil langkah yang positif biar dilihat sentiasa sensitif dan memelihara maruah, kepentingan dan nasib umat Islam pada setiap masa dan ketika.

PAS perlu “engage” pihak kerajaan secara serius dengan memberi pemahaman dan pandangan konstruktif agar sebarang keputusan yang bakal diambil dapat memelihara kepentingan Islam dan umatnya.

Dalam isu Dr Zakir Naik, Ketua Polis Negara sendiri telah membuat kenyataan bahawa pihak polis sedang memerhatikan pergerakan Dr Zakir bagi memastikan beliau bebas konflik serta tiada isu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Kerajaan India dikatakan sedang mengusahakan permohonan ekstradisi bagi meminta kerajaan Malaysia mengembalikan anak kelahiran Mumbai, India ini untuk menjalani penyiasatan kononnya terlibat dalam kegiatan memperomosi keganasan di India.

Dr Zakir difahamkan kini memiliki taraf kerakyatan tetap di Malaysia manakala menurut satu laporan lain paspot antarabangsanya telah pun dibatalkan oleh kerajaan India.

Rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam malah masyarakat Islam antarabangsa mengiktiraf kemampuan dan bakat Dr Zakir khususnya dalam kerja-kerja dakwah dengan kemahiran luar biasa dalam bidang perbandingan agama. Begitu besar sumbangannya kepada dunia Islam sehingga kerajaan sendiri menganugerahkannya Tokoh Maal Hijrah 2013 yang telah dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong.

PAS perlu menasihati kerajaan agar mengambil langkah perlu bagi menyelamatkan tokoh dakwah ini. Pertuduhan pihak India ternyata sungguh meleset dan dilihat lebih sebagai dendam untuk menghalang kerja-kerja ddakwah Dr Zakir selama ini.

Kerajaan Malaysia jangan tunduk pada tekanan tokoh-tokoh politik tertentu samada dari BN lebih-lebih lagi dari DAP yang sangat memusuhi kerja-kerja dakwah Dr Zakir itu.

Jika India sudah pun membatalkan paspot antarabangsa Dr Zakir, maka wajarlah PAS mendesak agar kerajaan Malaysia memberikan kerakyatan penuh kepada Dr Zakir, biar beliau menjadi warga Malaysia sekaligus menunjukkan  kepada dunia Islam betapa teguhnya kerajaan Malaysia dalam mempertahankan mereka yang bersungguh dan komited dalam gerak kerja dakwah.

Keduanya dalam isu larangan mengenakan tudung bagi wanita Islam yang bekerja di barisan depan sektor perhotelan, ternyata pihak Persatuan Hotel Malaysia perlu diberi kata-dua agar menghormati hak berpakaian wanita Islam lebih-lebih lagi dengan Islam merupakan agama Persekutuan.

Alasan polisi dan “standard operating procedure” atau SOP yang kononnya digunakan oleh industri hotel seluruh dunia sangatlah dangkal dan menghina agama Islam yang merupakan agama majoriti rakyat dalam negara ini. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin setiap penganut agama apatah lagi umat Islam untuk menganut dan mengamalkan agama mereka secara bebas.

PAS perlu mendorong kerajaan Malaysia agar jangan sekali-kali tunduk dalam bab yang melibatkan hak dan kepentingan umat Islam ini. Sebagaimana kita menghormati dan bersungguh dalam membela hak dan kepentingan golongan minoriti, maka lebih-lebih lagilah hak dan kepentingan majoriti jangan sekali-kali dikompromi.

Kedua-dua isu semasa yang mendesak ini perlukan sangat campurtangan PAS, biar apa sahaja keputusan atau tindakan yang bakal diambil paling penting menguntungkan Islam dan memelihara maruahnya.

Kedua-dua isu ini bukannya isu politik tetapi isu Islam dan hak kebebasan. PAS bukannya mahu mengkritik dan mengugut secara agresif tetapi mahu mengambil pendekatan diplomasi dan politik matang. Semoga apa sahaja inisiatif dan usaha yang diambil dapat menarik perhatian pihak kerajaan dan yang pentingnya Dr Zakir kekal aman dan bebas menjalankan aktiviti dakwahnya di bawah jaminan perlindungan kerajaan Malaysia dan tiada larangan bertudung olehh industri perhotelan atau mana-mana sektor dan industri sekalipun di Malaysia. roslansms@gmail.com

No comments: