Thursday, November 30, 2017

Menanti lanskap baharu pasca PRU14

Tahun 2017 sudah berarak rapat ke penghujungnya. Bermakna besar kemungkinan dengan datangnya musim tengkujuh dan monsun Timur Laut yang biasa melanda negara khasnya di Pantai Timur termasuklah Pahang dan Johor Pilihanraya Umum ke 14 tidak akan diadakan tahun ini sebaliknya tahun hadapan.  

Malangynya samada ia diadakan cepat atau lambat, satu sentimen yang kekal lekat bersarang di hati para pengundi Malaysia yang tidak berganjak hingga hari ini adalah ketidakpuasan hati terhadap pengurusan dan suasana ekonomi negara serta kos hidup yang berterusan mencengkam dan menghimpit kehidupan.

Kerajaan BN mungkin cuba merawat sentimen ini dengan pelbagai pendekatan dan gula-gula tetapi ternyata rakyat di bawah yang menanggung realitinya tidak kebah-kebah malah berterusan menympan dendam kemarahan.

Dalam kegagalan merawat sentimen ini yang menular dikalangan rakyat khasnya para pengundi Melayu, tidak mustahil apa yang dijangkakan iaitu “Tsunami Melayu”, yakni gelombang kemarahan pengundi Melayu terhadap kepimpinan yang ada tetap akan berlaku dan merobah lanskap politik Malaysia pasca PRU ke 14.

Jangkaan ini bukannya melulu tetapi turut dikongsi oleh beberapa pakar, penganalisa dan pemerhati politik tanahair.

Pemimpin teragung DAP, Lim Kit Siang sendiri pernah menulis bahawa apa yang dikatakan “Tsunami Melayu” itu yakni undi protes besar-besaran para pengundi Melayu terhadap BN berdasarkan beberapa isu semasa akan berlaku PRU ke 14 ini. Dan atas itu Lim mengharapkan sangat tsunami berkenaan berpihak pada Pakatan Harapan yang diterajui DAP.

Soalnya mahu dan berselerakah para pengundi Melayu meninggalkan Umno dan BN dengan memilih PH yang didominasi DAP yang terang-terang menentang perkembangan dan kemajuan Islam di tanahair?

Dr Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre di dalam satu majlis forum baru-baru ini menyatakan Umno dijangka kehilangan 35 peratus dari undi Melayu yang ia kuasai sebelum ini. Sudah pastilah angka tersebut besar dan jika berlaku akan menjejeaskan dominasi kuasa Umno di dalam kerajaan khasnya di peringkat Persekutuan. Soalnya, ke manakah akan pergi 35 peratus itu?

Mengulas perkara yang sama, Ketua Pengarang Akhbar harian The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dalam kolumnya baru-baru ini menyebut bahawa kiranya berubah kecenderungan pengundian dikalangan para pengundi Melayu, beralih arah dari Umno ke pembangkang dalam PRU ke 14, parti yang akan dipilih mereka adalah PAS, bukannya yang lain.

Menurut Wong lagi pertarungan sebenar untuk undi Melayu hanyalah antara Umno dan PAS. Keputusan PRU ke 14 nanti tambah beliau akan ditentukan oleh 70 peratus pengundi Melayu, ke mana pergi undi mereka itulah penentu senario politik pasca PRU ke 14.
Ramai menjangkakan parti tajaan DAP iaitu Pan, tidak dapat bertahan dan malah akan berkubur dalam PRU ke 14 nanti. Matlamat kononnya mahu menggantikan PAS ternyata semakin meleset dan Wong di dalam tulisannya menyebut Pan gagal membuktikan kemampuannya dengan hanya berjaya mendaftar sekitar 10,000 orang ahli seluruh negara.

Rata-rata pengundi Melayu tidak pernah cenderung kepada parti yang tidak menentu arah tujunya dan mudah bersekongkol malah dengan musuh demi mahu mengejar agenda perjuangan. Parti menghimpunkan para pengkhianat politik biasanya tidak bertahan lama.

Parti Pribumi pula yang diterajui Tun Dr Mahathir sekadar bertenggek atas kononnya kehebatan dan ketokohan satu dua individu pemimpin. Mereka sehingga kini masih gagal menguruskan partinya sendiri dan setakat hari ini masih gagal mengadakan Mesyuarat Agungnya yang pertama.

Keculuparan Tun Dr Mahathir dalam beberapa isu termasuklah dalam kes liwat Datuk Seri Anwar dijangka lebih merugikan partinya dan PH.

Begitu juga PKR. Sejak berpisah dengan PAS ia sukar menguruskan partinya sehingga menghilangkan keyakinan ahli dan penyokong terhadapnya. Dominasi kuat DAP dalam PH telah menggerhanai sama-sekali peranan dan kekuatan mereka. Malah dalam satu forum anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Faisal Hazis menjangkakan rentetan pelabagai masalah yang dihadapinya PKR bakal kalah dihampir 50 peratus kerusi yang ia kuasai.

Ini bermakna kiranya tahap kemarahan para pengundi khasnya pengundi Melayu terhadap BN dan Umno tidak dapat dibendung, maka tercetuslah gelombang besar “Tsunami Melayu”, dan tsunami ini bakal melihat perindahan sokongan dan undi majoriti para pengundi Melayu berpindah dari Umno dan BN ke PAS buat pertama kali dalam sejarah.

PAS lah satu-satunya parti Melayu Islam yang istiqamah dan konsisten dalam perjuangannya. Ia tidak pernah berganjak dari memperjuangkan dasar dan prinsipnya. PAS terbit dengan rekod kepimpinannya yang bersih dan bebas rasuah, walau cuba ditohmah dan difitnah oleh sesetengah pihak termasuk Sarawak Report yang anti Islam itu.

Bersatulah musuh-musuh politiknya dengan pelbagai agenda dan tipu muslihat, tetapi rakyat jelata khasnya para pengundi Melayu hari ini diyakini akan mengundnyai untuk perubahan yang bermakna dan menjamin nasib dan masadepan mereka dan negara.

Rakyat mahukan kepimpinan yang bersih, adil dan bertenaga serta mampu memimpin dan menyelamatkan mereka dan negara. Rakyat bosan dengan janji-janji kosong apalagi tipu muslihat dari golongan yang menghalalkan apa sahaja cara demi mengejar kuasa.

Rakyat mahukan kesejahteraan dan kedamaian dan sesuatu yang pasti.

Ternyata PAS lah pilihan yang tinggal buat mereka dan berdasarkan bacaan politik pelbagai pihak dan sentimen yang membara di hati rakyat, lanskap baru politik Malaysia pasca PRU ke 14 akan dilakarkan oleh PAS. roslansms@gmail.com

No comments: