Friday, November 03, 2017

Mahathir "perkakas" DAP ke Putrajaya

Meletakkan seseorang yang sarat dengan masalah dan rekod lampau yang penuh pincang sebagai pemimpin dan ketua pasti akan mengakibatkan sesuatu badan atau kumpulan itu turut dilihat bermasalah,. Malah prospek untuk sibermasalah tadi  mempalitkan pula kepincangan beliau kepada badan atau kumpulan berkenaan serta orang kebanyakkan di sekeliling sangatlah besar.

Mungkin bagi Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng, menaikkan Tun Dr Mahathir Mohammad meneraju Pakatan Harapan dalam keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merengkuk dalam penjara adalah langkah yang bijak walaupun Tun punya banyak masalah lampau.

Anwar sudah hilang pengaruhnya kerana terlalu lama dalam penjara dan perjuangannya sudah bukan relevan lagi. DAP terlalu percaya bahawa diwaktu ini Tun punya pengaruh besar, malah jauh mengatasi pengaruh Anwar yang dilupakan.

DAP terus optimis mereka akan terus mengawal dan menguasai undi bukan Melayu.

Masalahnya untuk melangkah ke Putrajaya, undi rakyat bukan Melayu berkenaan sahaja tidak memadai. DAP perlukan sokongan masyarakat majoriti Melayu. Lantas kehadiran Tun dilihat sebagai perkakas buat DAP kerana Tun dipercayai punya pengaruh besar dikalangan masyarakat Melayu.

Campurkan kedua-duanya yakni undi bukan Melayu yang DAP kononnya kuasai dan tambahan undi Melayu yang kononnya akan menderu masuk melalui PKR-PBBM dan Pan kerana pengaruh Tun maka tercapailah cita-cita kedua-dua anak beranak tadi dan parti mereka untuk melangkah dan menguasai Putrajaya.

Sebelum ini paling besar pencapaian politik yang mampu diperolehi DAP adalah sekadar menguasai kerajaan Negeri Pulau Pinang selain berperanan dengan parti-parti lain di Perak dan Selangor.

Namun dengan bantuan Tun dan memperkudakan ketiga-tiga parti tadi, PRU 14 kelak Pakatan Harapan pada anggapan kedua beranak ini akan berjaya menguasai kerajaan Persekutuan, paling kurang dengan 113 kerusi Parlimen sebagaimana dibayangkan Kit Siang sebelum ini.

PAS kata pihak DAP akan kalah semua kerusi yang ditandinginya.

DAP akan muncul sebagai rakan kongsi paling dominan dalam PH mungkin menguasai seklitar 50 ke 60 kerusi Parlimen atas kepercayaan 85 ke 90 peratus pengundi bukan Melayu akan terus menyokong mereka. DAP mensasarkan semua kerusi bukan Melayu dan campuran di Semenanjung selain semua kerusi yang sama termasuk kerusi bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Manakala di kerusi-kerusi campuran, pengaruh Tun akan membawa undi Melayu buat calon-calon DAP.

Baki 53 kerusi kononnya akan dimenenagi PKR mungkin dalam 30 kerusi, PBBM 20 kerusi dan Pan 3.

Runtuhlah dominasi Umno selama hampir 60 tahun melalui Barisan Nasional dan sebelumnya Perikatan diperingkat kerajaan Persekutuan dan melangkah masuklah Lim anak beranak dan rakan-rakan kongsi mereka dari PKR, PBBM dan Pan menguasai Putrajaya.

DAP bersendirian memang mustahil berkuasa di Putrajaya akan tetapi DAP dengan bantuan Tun dan kuda-kuda tunggangannya jelas mampu menjadi rakan kongsi paling dominan dalam kerajaan Persekutuan yang baru dan dengan penguasaan majoriti kerusi dari 113 yang disasarkan sudah pastilah DAP yang paling berpengaruh dalam kerajaan Persekutan baru di bawah PH. Tercapailah cita-cita dan agenda DAP berdekad-dekad lamanya.

Soalnya berupayakah DAP menjelmakan mimpi ngeri ini?

Jika benar undi masyarakat bukan Melayu dapat mereka kuasai sehingga ke paras 85 ke 90 peratus ianya akan menjadi realiti dan jika benar pengaruh Tun dapat membantu PH sehingga menguasai lebih 50% undi Melayu bersiap-sedialah untuk kita nobatkan pimpinan DAP sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

Namun bagi saya yang bakal menggagalkannya, merobah mimpi ngeri buat rakyat menjadi malapetaka buat DAP tidak lain melainkan Tun Dr Mahathir itu sendiri .

Mimpi DAP ini sesungguhnya bertenggek semata-mata pada Tun.

Bersediakah rakyat Malaysia memadam dan melupakan segala rekod lampau Tun yang banyak menzalimi rakyat dan meletakkan ekonomi negara semakin tempang di bawah kerajaan yang sedia ada?

Sudikah para pengundi Melayu yang DAP sasarkan kononnya sehingga 50% bakal berpihak ke PH menyerahkan kembali mandat pada Tun dan kali ini meletakkan pula negara dalam genggaman DAP dengan bantuan Tun?

Tun sebelumnya adalah antara Perdana Menteri yang paling keras layanannya terhadap perkembangan Islam dan yang paling kuat menekan dan menzalimi gerakan Islam khususnya PAS.

Tun bukan sahaja PM semasa insiden pembunuhan 14 ahli dan aktivis PAS di Memali, Tun juga telah menangkap dan memenjarakan tanpa bicara pimpinan PAS bawah ISA, menggagalkan usaha dan inisiatif membangunkan sistem pendidikan Islam dan tahfiz, dan paling kuat menganaktiri dan memboikot kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu.

Malah bukan ahli dan penyokong PAS sahaja diperlakukan sewenang-wenang diwaktu pemerintahan Tun, semasa ulangtahun memperingati 30 tahun Operasi Lalang baru-baru ini akhbar The Star menggariskan beberapa kezaliman Tun yang pasti tidak dapat dilupakan rakyat Malaysia termasuklah Operasi Lalang itu sendiri, layanan terhadap sekolah dan pendikan Cina, menyerang sistem kehakiman dan memecat Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim kanan ketika itu dan banyak lagi.

Jika rakyat Malaysia khususnya para pengundi Melayu boleh memaafkan Tun  dan sanggup melupakan kerakusan lampaunya, maka terimalah agenda DAP dan bersedialah membentuk Malaysia baru yang sekular dan ultra liberal. roslansms@gmail.com

No comments: