Bajet 2018 telah pun dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia. Dengan peruntukkan RM280.25 bilion, ianya merupakan bajet terbesar negara dan tidak salah menganggapnya sebagai bajet pilihanraya oleh kerana tempuh kerajaan ini akan tamat sebelum Oktober 2018.
Begitulah juga dewan-dewan undangan negeri-negeri turut akan membentangkan belanjawan masing-masing. Setakat ini Pulau Pinang dan Selangor telah pun sudah, yang turut memberi fokus kepada PRU ke 14 dengan harapan kerajaan masing-masing akan terus kekal memerintah pasca PRU ke 14 nanti.
Menyedari betapa hampirnya pilihanraya umum kesemua parti-parti politik utama sedang giat menyusun dan memperkemaskan jentera pilihanraya masing-masing tidak kiralah samada di pihak parti pemerintah mahupun pembangkang.
Itupun kiranya parti berkenaan punya jentera yang pastinya bersandar pada keahlian masing-masing. Jika nama sahaja parti tetapi tidak punya kekuatan ahli, maka tiadalah jentera pilihanraya yang berkesan dan jangan harap boleh datangkan impak dalam PRU.
Baru-baru ini bekas Pengarang Harakah yang kini sudah melompat meninggalkan PAS, merungut di dalam tulisannya dalam sebuah portal berita pro Pan kononnya PAS kekang ahli-ahlinya dari menyertai parti yang ditubuhkan oleh para pengkhianat PAS itu.
PAS kononnya menakut-nakutkan ahli-ahlinya demi mengelakkan mereka dari menyertai Pan.
Pilihanraya Umum sudah semakin hampir, Pan rupanya masih lagi kalut memikirkan kenapa tidak ramai mahu menyertai partinya. Rakyat tidak menyertai Pan, mungkin lantaran pelbagai alasan tetapi PAS juga yang disalahkan,
Jika benar Pan itu ditubuhkan untuk menggantikan PAS, mereka perlulah mempunyai kekuatan setanding PAS. PAS yang lebih 60 tahun usianya itu hari ini purata menerima 125 permohonan untuk menjadi ahli saban hari. PAS hari ini punya 7,000 cawangan di 195 kawasan parlimen seluruh negara.
Tetapi Pan sedang kacau menyalahkan PAS kerana tiada yang berminat menyertai partinya.
Sejurus ditubuhkan dengan nama-nama besar yang lompat keluar meninggalkan PAS, ramai para penganalisa dan pemerhati politik menjangkakan PAS bakal lumpuh. Para pengkhianat PAS itu dikatakan berpengaruh dan membawa politik Islam yang lebih liberal dan terbuka yang bakal disertai oleh puluhan ribu ahli PAS diperingkat akar umbi yang kononnya sudah bosan dengan kepimpinan ulamak PAS.
Hari ini lain pula bunyinya. Rupanya jangkaan dan bacaan politik pemuka-pemuka besar itu semuanya meleset. Cawangan-cawangan PAS yang didakwa bakal lumpuh kerana semua minat melompat menyertai Pan rupanya semakin kukuh dan bertambah.
Pastinya yang paling marah dan rasa tertipu adalah mereka dan parti yang bersungguh menaja penubuhan Pan ini dahulu atas kepercayaan Pan boleh menandingi pengaruh dan keupayaan PAS khususnya dalam memperolehi sokongan pengundi Melayu Islam.
Apakah kuasa yang ada pada PAS untuk menghalang ahli-ahlinya meninggalkan parti apatah lagi melompat menyertai Pan?
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan masing-masing punya hak dan kebebasan. Jika benar perjuangan Pan itu menepati atau sebagaimana didakwa lebih baik dari PAS sepatutnya sudah berbondong-bondong menyertai Pan. Tetapi mengapa tidak?
Di sana ada beberapa wakil rakyat PAS yang sudah dikenali tiada kesetiaan pada parti tetapi tidak lompat menyertai Pan, mungkin kerana bimbang melanggar baiah. Tetapi baiah ini mereka angkat secara sukarela tanpa paksaan ketika masing-masing menjadi calon dahulu. Mereka yang berikrar dengan nama Allah, bukannya orang lain.
Apa pun ternyata Pan tidak menjadi sebagaimana diagendakan oleh sesetangah pihak. Ia rupanya panas seketika dan kemudiannya suam dan kini kaku statik tiada lagi upaya.
Tiada lagi ahli PAS yang tergiur atau terpesona mahu menyertai Pan setelah mengenali siapa sebenarnya dibelakang Pan. Pan tidak mampu menarik ahli parti-parti lain khasnya Umno menyertainya, maka tinggallah ia begitu menjadi parti elit dengan keahlian yang statik.
Mungkin tiba masanya buat ahli-ahli biasa Pan bermuhasabah dan fikir panjang-panjang. Masih belum terlambat untuk kembali ke perjuangan PAS, kembali bersama rakan-rakan yang istiqamah yang kini sedang berhempas-pulas berjuang untuk menobat dan memartabatkan Islam.
Tinggalkanlah sekerat dua pemuka Pan yang telah tergelincir dengan percaya bahawa matlamat boleh menghalalkan cara. Biarkan mereka yang ada kepentingan itu terus berteduh di bawah ketiak Lim Guan Eng dan DAP selama-lamanya jika mereka mahu.
Ahli-ahli Pan yang lain kembalilah ke PAS untuk sama-sama kita menjunjung cita-cita perjuangan yang sama sebagaimana satu ketika dahulu.
Pilihanraya Umum ke 14 ini bakal menyaksikan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru antara BN, Harapan dan Gagasan Sejahtera. Ramai menjangkakan akan berlaku Tsunami Melayu dimana para pengundi Melayu yang merupakan majoriti pengundi Malaysia akan bangkit protes dan menolak BN angkara kepincangan dan ketempangan pengurusan dan pentadbiran kerajaan pusat yang sedia ada.
Dalam keadaan dan situasi yang sedia ada PAS yakin boleh meraih sokongan tsunami ini melalui istiqamaahnya dalam memperjuang dan mempertahankan Islam serta rekod perkhidmatannnya yang bersih dan disenangi serta dipercayai masyarakat majoriti Melayu Islam. Rugilah jika kita memilih untuk melawan arus. roslansms@gmail.comKe
No comments:
Post a Comment