Thursday, June 22, 2017

Selamat Hari Raya Aidil Fitri



Umat Islam termasuklah di Malaysia bakal merayakan Hari Raya Aidil Fitri pada tanggal 1 Syawal tidak berapa hari lagi. Setelah satu bulan menjalani ibadah puasa, berlapar dan berdahaga serta menumpukan pada ibadah di malam hari maka tibalah waktu untuk bergembira, setelah berjaya menjalankan perintah Allah swt dengan penuh tekun dan berdisiplin sepanjang Ramadhan.

Umat Islam di Malaysia dijangka mengambil kesempatan bercuti ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing berhari raya dengan kaum keluarga dan sanak-saudara. Masing-masing bakal bertumpu di kampung halaman di Utara, Selatan, Pantai Timur dan Barat selain Sabah dan Sarawak.

Diharapkan semua kita berhati-hati apabila pulang ke kampung masing-masing. Pandu dengan cermat dan pastikan keselamatan masing-masing terutama apabila menggunakan jalan dan lebuhraya untuk bertemu yang dikasihi.

Sesungguhnya kita masing-masing punya misi besar apabila berkumpulnya kaum keluarga dan berkunjung-kunjung ke rumah kenalan dan sanak-saudara di Hari Raya nanti. Hari Raya ini kelak adalah yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum ke 14 nanti.

Maka pergunakanlah kesempatan Hari Raya ini untuk meyakinkan semua pihak akan betapa perlunya PAS diberikan peluag, kepercayaan dan keyakinan dalam PRU kali ini, kerana masalah kronik dan tenat yang sedang melanda rakyat dan negara hari ini tidak kelihatan akan pulih atau berubah melainkan kita semua bangkit dan kembali kepada Islam.

Pada 1 Syawal nanti kita masing-masing akan menggemakan bumi dengan laungan takbir yang maksudnya termasuklah:

“Tiada Tuhan melainkan Allah, dan tidak ada lain yang kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir”

Lantas melihatkan keadaan hidup kita pada hari ini wajarlah kita semua menjadikan maksud takbir itu sebagai pedoman hidup kita terutama apabila tiba PRU nanti. Dan kesempatan berkumpul Hari Raya inilah kesempatan terbaik untuk kita masing-masing menyedarkan selain ingat-mengingati sesama yang tersayang bahawa masa untuk berubah telah datang.

PAS terbukti telah berjaya menzahirkan ciri-ciri kepimpinan Islam yang sebenar. Wakil-wakil rakyat PAS samada di Kelantan, Selangor, Terengganu, Kedah mahupun negeri-negeri lain jelas telah menjiwai dan mempamirkan corak kepimpinan Islam yang sebenar dan kualiti inilah yang perlu kita ambil kira apabila menentukan saf kepimpinan negara dan negeri dalam PRU nanti.

Negara perlukan kepimpinan yang jujur dan bertaqwa, yang meletakkan kepentingan Islam mengatasi yang lain-lain. Bukannya pemimpin yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk kepentingan kaum keluarga, mengayakan diri atau menegakkan apa-apa agenda peribadi.

Kita sudah sekian lama mencuba, ternyata pemimpin yang telah kita berikan kepercayaan selama ini semuanya gagal sehingga mengakibatkan keadaan hidup kita pada hari ini menjadi terus sempit dan mendukacitakan. Negara dipalit dengan pelbagai skandal dan rasuah serta salahguna kuasa yang berleluasa.

Negara kita yang kaya hasil bumi selain pesat industrinya ini punya potensi untuk terus maju dan berjaya dengan melimpahkan kesejahteraan berpanjang pada rakyat jelata, tetapi syaratnya ia perlu diketuai dan ditadbir oleh pemimpin yang benar-benar adil dan bersih.

Di sinilah kita semua berperanan untuk membuka mata hati setiap yang kita temui sepanjang musim Hari Raya ini bahawa rakyat jangan lagi mengulangi kesilapan yang lampau sehingga memperjudikan kehidupan kita semua. Tetapi pergunakanlah kuasa yang diberikan nanti dengan mengambil kira nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Gejala keganasan, buli, buang anak, zina dan keruntuhan akhlak semakin menjadi-jadi. Ada pihak lebih gemar mempolitikkan insiden malang ini dengan menyalahkan pihak lawan, sedangkan puncanya adalah pembetukan akhlak dan keperibadian yang lemah dan sambal lewa dalam jiwa kita masing-masing.

Jika pemimpin yang diberi amanah adalah’
 dikalangan mereka yang berakhlak dan bertaqwa, niscaya rakyat yang dipimpin juga akan terdorong untuk mengikuti keperibadian pemimpinnya itu. Pepatah Arab ada berkata: “ An-Naasu 'ala Diini Muluukihim" maksudnya “Rakyat itu mengikuti agama (keperibadiaan) pemimpin mereka” dalam erti kata lain rosaknya rakyat lantaran rosak dan pincang para pemimpin yang diberi amanah.

Sistemnya perlu diubah, dan Islamlah formulanya dan tiada yang lain.

Ini bukan masanya untuk kita mencuba-cuba dengan idea liberalis, atau puak-puak sekular dan rasis yang hanya mahu menggantikan kepincangan yang ada semata-mata kerana tamakkan kuasa. Akhirnya mereka juga akan turut pincang sebagaimana sipincang yang mereka gantikan.

Jangan kita hanyut jauh dari Islam yang Allah pelihara dan muliakan.

Mudah-mudahan berbaki semangat Ramadhan yang ada dan menjelang Aidil Fitri yang mulia, kita semua khususnya umat Islam akan insaf dan kembali mendambakan pertolongan Allah swt untuk membawa kita keluar dari kemelut yang ada ini.
Takbir Hari Raya yang bakal kita laungkan bersama jutaan umat Islam seluruh dunia tanggal 1 Syawal nanti jangan sekadar syahdu dan berlagu-lagu kerana ia sesungguhnya turut bermaksud:

“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, yang menepati janji Nya, yang menolong hamba Nya, dan yang memuliakan tentera Nya dalam mengalahkan tentera al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya)”

Semoga menjelang pilihanraya umum ke 14 nanti umat Islam di Malaysia kesemuanya bersedia untuk sederap kembali “Sejahtera Bersama Islam” dengan melonjak dan menaikkan calon-calon PAS demi masadepan yang baik buat Malaysia.

 Selamat Hari Raya Aidil Fitri. ,maaf zahir dan batin. roslansms@gmail.com

No comments: