Setiap yang menjalani ibadah puasa pasti turut menunggukan
ketibaan Hari Raya. Hari Raya Eidul Fitri dijangka dirayakan pada hujung bulan
ini. Selepas dari Hari Raya rakyat Malaysia akan tertunggu-tunggu pula tarikh
PIlihanraya Umum ke 14 .
Pelbagai tarikh dan jangkaan telah dan ada diberikan.
Mungkinkah selepas Hari Raya nanti, atau mungkin juga selepas Sukan SEA hujung
Ogos nanti, atau mungkin juga selepas
sidang Belanjawan 2018 sekitar Oktober nanti, jika tidak mungkin dalam musim
Tahun Baru Cina bulan Febuari tahun hadapan dan selewat-lewatnya bulan Jun 2018
apabila tempoh Parlimen sampai ke penghujungnya.
Apa pun sebagaimana Hari Raya, tarikh Pilihanraya suka atau
tidak akan tiba jua. Yang penting semua pihak perlu bekerja kuat bagi memastikan
kejayaan terbaik.
Soalnya apakah kecenderungan rakyat Malaysia khasnya para
pengundi pada PRU ke 14 itu nanti?
Apakah pertimbangan atau kriteria terpenting yang akan
dijadikan garispenentu buat rakyat Malaysia dalam membuat keputusan pada PRU
itu nanti. Apakah isu-isu besar yang akan membentuk selera para pengundi nanti?
Menurut akhbar harian
The Star kebimbangan terbesar rakyat Malaysia adalah isu yang melibatkan kos
hidup. Teraju akhbar berkenaan Datuk Seri Wong Chun Wai menulis bahawa walaupun
terdapat pelbagai isu politik dan agama yang berligar sekitar rakyat Malaysia
namun isu pokoknya tetap bagaimana mahu menejelaskan bil dan tanggungan
bulanan.
Menurut beliau mana-mana pihak yang berjaya mengemukakan
penyelesaian terbaik terhadap isu genting ini, maka ia lah yang akan meraih
kemenangan besar dalam PRU ke 14.
Bagi PAS, kenaikkan kos hidup dan bebanan sara hidup memang
memberi kesan besar kepada seluruh rakyat dalam negara. Kepincangan dan
ketempangan pentadbiran kerajaan Persekutuan khasnya sejak dari zaman Tun Dr
Mahathir sehinggalah Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib terus menerus
menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN.
Sejak dari pengenalan GST, yang telah mengakibatkan
kenaikkan mendadak kos hidup, rakyat khususnya mereka yang berpendapatan
sederhana dan rendah terus terkesan dan terbelenggu dengan bebanan hidup yang
sangat mengazabkan.
Walaupun rakyat digula-gulakan dengan BRIM namun sebagaimana
sifat gula-gula ia sekadar penghibur sementara, dikemam, dikunyah kemudian
hilang begitu sahaja. Tiada penyelesain yang berpanjangan dan meyakinkan.
Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS di
dalam ucapan dasarnya bertema “Sejahtera Bersama Islam” dalam Muktamar PAS ke
63 baru-baru ini ada menyebut:
“PAS akan terus
komited memperjuangkan Malaysia yang bebas rasuah dan pentadbiran yang telus
dengan cara yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini. Selama
puluhan tahun ini jugalah PAS telah menentang penyelewengan sumber dan dana
negara dalam isu BMF, skandal matawang asing BNM, PKFZ. Skandal MAMINCO,
Perwaja Steel , IMDB dan lain-lainnya dengan cara kita sendiri.
Kekurangan integriti,
akhlak dan kejujuran adalah antara masalah yang wujud berakar umbi di negara
ini. Ianya menyebabkan indeks persepsi rasuah yang buruk sehingga menimbulkan
krisis keyakinan ekonomi kepada persekitaran pelaburan dalam negara kita ini.”
PAS terlalu yakin bahawa rakyat kini sudah bersedia untuk
membuat perubahan dari kawasan luar bandar sehinggalah ke bandar, mereka sudah
tidak sabar mahu membawa diri keluar dari tekanan hidup angkara kelemahan
kerajaan yang ada.
Masalahnya kemanakah arah tuju mereka?
Dauk Seri Wong menekankan isu kaum dan agama tidak relevan
kerana tumpuan rakyat adalah pada masalah kos hidup mereka semata-mata.
Namun PAS percaya sebagaimana disebut oleh Tuan Guru
Presiden dalam ucapan dasarnya:
“Punca masalahanya apabila manusia meninggalkan petunjuk
Allah yang bernama Islam”.
Bagi PAS, umat Islam yang sedang perit menanggung kesan
kenaikkan kos hidup ini akan insaf bahawa tiada jalan lain bagi mereka untuk
keluar dari kemelut ini selain mengikuti petunjuk Allah swt iaitu Islam yang
sekian lama ditinggalkan.
Sejak dari PAS mengambil pendekatan berpolitik secara matang
dan sejahtera, mengambil pendekatan aman dan penuh hikmah, ramai yang sudah
mula cenderung untuk berjinak dengan PAS dan jika kesan RUU355 tempoh hari
dapat dijadikan ukuran, tidak mustahil umat Islam akan memberi keyakinan penuh
pada PAS kali ini berbanding dengan parti politik sekular dan liberal yang
lain.
Begitu juga masyakarat bukan Islam. Mereka dapat melihat
betapa hanya tinggal PAS yang ikhlas berpegang pada prinsipnya, dan jujur mahu
membela nasib rakyat pelbagai kaum dan agama sebagaimana sedang diperlihatkan
di Kelantan dan di Terengganu pada tahun 1999.
Rakyat hari ini sudah bijak dan mempunyai kekuatan untuk
berani membawa perubahan. Mereka sedar permasalahan yang membelenggu mereka
hari ini bukan semata-mata berpunca dari ketempangan dan kepincangan
pentadbiran tetapi lebih dari itu kerana mereka lupa dan lalai pada tuntutan
Islam.
Hakikat ini sesungguhya dapat dikesan banyak pihak kerana
itu ramai yang membenci dan memusuhi Islam cuba melahirkan pelbagai serangan
dan persepsi buruk agar “Tsunami HIjau” yang bakal melanda negara dapat dielak
dan digagalkan.
Rakyat dewasa ini tidak mahu mengulangi kesilapan mereka
yang lampau. Mereka juga ternyata tidak tergiur dengan parti dan kelompok yang
ekstrim dan rasis apalagi yang memperlekeh dan mencemuh Islam. Tiada tempat di
hati mereka untuk mereka yang mengkhianati perjuangan, yang durhaka apalagi
yang tidak hormat dan menerima Islam sebagai agama Persekutuan.
Isu periuk nasi dan kesempitan hidup memang menghantui
rakyat. Sudah lebih 60 tahun PAS berkerja dan berdakwah untuk menyedarkan
rakyat Malaysia. Dengan situasi yang ada dan kecelaruan di dalam blok
pembangkang yang dilihat lebih mabuk kuasa dan membelakangkan status quo, PAS
lah yang bakal muncul sebagai penyelamat melalui agenda “Sejahtera Bersama
Islam” nya.
Masalah sudah ditangan dan melalui tangan itu jugalah kunci
penyelesaiannya akan diputar. Putaran kali ini adalah mengikut Islam dan tidak
yang lain. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment